Halaman

Jumaat, 31 Disember 2010

Tanda Sayang

Semalam aku balik kampung. Tengok mak lansung uruskan majlis merisik adik yang lebih mesra digelar Mak Su. Dah besar rupanya adik aku ini.. Akan dipinang orang. Malah tak sangka juga, bakal jadi inspektor polis rupanya. Tak sangka aku, dalam keluarga besarku ini ada juga yang akan memasuki bidang anggota beruniform. Tumpang bangga!

Mak Su

Mujur ibu_suri agak mudah diurus. Itupun segala keperluannya aku dahulukan baru uruskan hal lain. Mandikan dia, pakaikan baju, sisirkan rambut, beri makan ubat.

Semua hampir semua adik-adikku balik samada dari Selatan maupun utara.

 "Ini adik kita yang terakhir. Yop kalau boleh nak hadir di dalam semua urusan berkaitan perkahwinannya. Lagipun abah dah tak ada. Mak pula tak mampu berjalan. Yop rasa bertanggungjawap atas semua urusan."

Aku sempat jumpa satu-satunya kawan abah yang masih ada di kedai Mee Kari tepi Sungai masuk kampung. Sunnahnya, tanda kita sayang pada arwah ibubapa kita yang telah pergi, kita perlu rajin ziarah saudara mara dan kawan-kawan mereka yang masih hidup.

"Sorang je?"

"Sorang aje le. Mana ada kawan aku. Habis semua menginggal. Aku ni ditakdirkan Tuhan masih sihat ni pasal aku selalu mengayuh basikal ke sana ke mari."

Aku maengangguk kecil. Betul juga kata pak cik tu.

Rabu, 29 Disember 2010

Penjaga Parkir

Semasa aku keluar dari TM Point Bayan Baru membayar bil Streamyx tadi petang, aku terjengah-jengah mencari pekerja parkir. Hari panas elok. Kesian melihat penjaga parkir yang kelihatannya berpanas sejak dari pagi.

Aku menggamit. Aku hampir kenal pada semua penjaga parkir ini kerana kerap ke sini. Malah ada  diantara mereka yang tahu nama aku. Agaknya mereka terlihat lencana kerja yang tergantung di poket baju.

Foto ihsan: http://persma.com
Aku menghulur resit parkir. Penjaga parkir menulis sambil membelek no plat kereta. Sambil mencarik bil dari buku, dia mengambil duit yang ku hulur. Gaya dia hendak memulangkan baki, aku memberi isyarat 'keep the change'. Bukan kerana aku banyak duit. Apalah sangat RM1 tolak 30 sen, harga duit parkir untuk aku berbanding dia yang mungkin gajinya tak seberapa.

Dia mengangkat tangan tanda terima kasih sambil memerhati aku beredar. Tak kiralah samada dia jujur mengutip duit parkir dan memulangkan seluruhnya kepada taukeh atau sebaliknya.

Yang pasti aku amat menghormati mereka ini kerana mencari rezeki dengan titik peluh sendiri berbanding mereka yang pernah aku lihat meminta-minta semasa aku solat Jumaat di masjid yang tak jauh dari sini.

Isnin, 27 Disember 2010

Siapalah Aku?

Sebaik membuka blog Gayong, aku tiba-tiba jadi terpana. Macam mana pula boleh ada 2 blog Insan Marhaen ni?

lihat bloglist sebelah kanan, atas dan bawah
Dan lebih meruapkan darah ialah bila melihat urlnya sama seperti url yang pernah aku guna dahulu - http://hafinah.blogspot.com. Dan nama paparan blognya juga sama - Insan Marhaen.

Aku cuba melayari blog ini. Dari satu n3 ke satu n3. Namun tiba-tiba pula suhu darah aku menurun. Nampak macam blog budak-budak. Dan n3nya asyik cerita pasal artis lelaki cina yang cun sana cun sini.



Entahlah. Aku pun seperti selalu, garu kepala yang tak gatal. Tak faham. Macam mana blog Gayong ini boleh terima blog ini ke sisipannya? Adakah dia juga anak murid Gayong? 

Tapi apa alasannya untuk menggunakan nama hafinah? Dan nama Insan Marhaen sebagai nama profailnya tetapi menggunakan nama Love sebagai header blognya?

Yang aku bimbang dan tak seronok ialah kebarangkalian ada orang yang hack blog aku dahulu untuk tujuan yang tidak baik. Maklumlah, di dunia tanpa sempadan ini semuanya bukan boleh berlaku.

Akan tetapi siapalah aku untuk tujuan yang tidak baik itu jika benarlah begitu?

Sabtu, 25 Disember 2010

Produk Yang Terbaik!


1.
Sejak guna papan kekunci dan tetikus tanpa wayar ini, aku agak selesa menulis blog. Tak perlu risau butang-butang papan kekunci komputer riba aku rosak sepertimana komputer riba ACER yang pertama aku dahulu. Aku dapat tahu perihal aksesori  ini pun setelah berbincang dengan Along. Aku beli jenama Logitech di PC Depot. Harga RM79. Along kata mahal. Namun pada aku, mahal sedikit tak mengapa asalkan puas hati menggunakannya. Lagipun, aku bukan rajin sangat nak pusing-pusing tempat lain semak harga.

Aku beli yang ini demi untuk menjaga komputer ribaku yang ada ini.  Mungkin ini belian aku yang terakhir.  Aku sayang komputer riba ini sepertimana aku sayang pada Kancilku yang satu itu. Kalau rosak hamba Allah berdua ini, aku takkan mampu membeli yang baru.

2.
Dah lama aku tengok krim rambut ini semasa sembahyang Jumaat di Masjid Bayan Baru. Akhirnya aku beranikan hati menyeluk poket membeli satu botol walaupun harganya, mak aii... RM25. Semua ini semata-mata kerana risau dengan masalah keguguran rambut ibu_suri yang begitu ketara mutakhir ini. Disamping ikut nasihat doktor supaya lebihkan memakan Protin, aku juga mencari alternatif menukar ke syampu baru anti rambut gugur dan juga mahu mencuba krim rambut ini. 

Foto ihsan TropicaBioHerbs
Melalui internet aku dapat tahu bunga raya dan aloe vera adalah herba yang berkesan untuk merawat rambut gugur. Minyak rambut produk Muslim keluaran Tropica Bioherb ini disamping mengandungi 2 elemen peransang itu juga mengandungi kelapa dara, buah keras, biji betik, Pudina dan Sintuk.

Disamping mujarab sebagai ejen anti gugur, minyak rambut ini juga boleh merawat gatal kulit kepala, menghilang migrain dan membuang panas kepala. Ironinya, ramai kawan-kawan aku yang beli ini ialah yang mengalami masalah kepala botak.

3.
Dah masuk 2 minggu aku diserang selsema dan rasa berbalam-balam. Mungkin ini pertanda aku sudah semakin usia. Melihat anak-anak muda yang ramai bersembahyang di surau lokasi kerja buatkan aku terasa semakin hampir ke penghujung nafas. Aku melihat ke belakang, masih banyak kerja yang belum siap. Aku pandang ke hadapan, masih banyak ruang yang belum terisi.

Aku harap aku sempat menarik nafas, tenang dan dalam sebelum aku permisi dari dunia ini. Aku ingin lalui hari-hari yang tenang. Aku ingin lalui jalan-jalan yang lapang. Aku ingin lalui jiwa-jiwa yang tenteram. Dan aku akur dengan kata-kata Dr Danial, panelis Halaqah TV9; produk yang paling baik untuk semua ini adalah Al Quran, membaca, mengkaji dan mengamalkannya!

Rabu, 22 Disember 2010

Tidak Tergamak

Udah masuk minggu ke 2, aku masih kurang sihat. Pagi terasa seperti mahu demam tapi bila petang, ok pulak. Risau juga dibuatnya takut-takut ada sebab lain. Sejak umur pelan meningkat ini, terasa benar sakitku lambat kebah.

Yang lebih terusik di hati ini ialah seperti tiada tempat untuk aku mengadu. Jauh sekali anak, ibu_suri pun bila aku beritahu aku mahu rehat sahaja di rumah dan tidur awal malam ini;

“Ala, bukan semalam you janji nak makan kat Sg Petani ke? I boring la duduk kat rumah seharian. You asyik-asyik kerja, komputer, kerja, komputer…”

25 tahun aku serumahtangga dengan ibu_suri. Kalau tidak 100%, 90% aku tahu sikapnya. Ditambah dengan fe’el aku pula yang tidak suka bertelagah panjang, makanya selepas 1 kali… selepas 2 kali mengatakan tidak, maka kali ke 3;

“Ok la.. Lepas sembahyang nanti kita pergi ok?”

“I nak pakai baju mana?”

“Tuu…” Sambil memuncungkan mulut kearah baju yang yang tergantung di pintu bilik Along. Huu.. nak pakai baju apapun mahu aku pilihkan!
   
gambar hiasan

Aku harap aku mampu mempertahankan rumahtanggaku dengan ibu_suri. Tidak tergamak untuk aku mensia-siakan kehidupan yang telah kami bina hampir suku abad ini di atas senangpayah dan senyumtangis.

Selalu aku berdoa jika tidak kami mati bersama, biarlah aku sempat menjaga ibu_suri hingga ke akhir hayatnya. Banyak sangat aku melihat rumahtangga yang runtuh walaupun telah berusia bertahun-tahun hanya kerana rapuhnya kasih sayang. Hendaknya pula ada orang ke3 yang dapat menawarkan kasih sayang dan kepedulian yang lebih baik kepada pada salah satu dari pasangan itu, Sayugia, runtuhlah istana di basahi deraian airmata!

Isnin, 20 Disember 2010

Fatihah Buat Kak Lah

Khamis lalu aku dikejutkan dengan berita sepupu ibu_suri meninggal dunia di Sungai Ara. Kak Lah memang akrab dengan ibu_suri sejak dari zaman remaja mereka lagi. Kak Lah selalu membantu suaminya berniaga di kantin USM. Aku pernah beberapa kali minum di kantin beliau.

Sesuatu yang hebat dengan Kak Lah ialah dia seorang yang sabar dan ....

".. Dia pun sorang yang punya hati yang terbuka. Sebab itu dia boleh kekal bersama suaminya hingga sekarang.." ujarku pada Pak Long, bapa Kak Lah.

Dia bukan sahaja bersikap terbuka menerima kenyataan untuk bermadu bersama isteri kedua suaminya seorang Pattani malah madu ketiganya seorang Kemboja. Boleh tinggal serumah dan bekerja bersama di kantin. Huu.. bukan calang-calang hamba Allah Kak Lah ni, fikirku.

Madu Kak Lah memeluk ibu_suri sebaiknya saja dapat berjumpa. Dengan rembesan airmata dia menceritakan saat-saat akhir mereka di sisi Kak Lah.

"Badannya berpeluh-peluh meminta maaf pada abang. Lepas dia mengucap Allahuakbar, dia pun pergi.."

Satu-satunya yang aku perhati Kak Lah ini sedari aku kenal dia ialah dia selalu bertudung labuh, murah senyum dan bersahaja perilakunya..

Jenazah Kak Lah di mandikan di Masjid Al Huda Sungai Ara

Alangkah bahagianya dunia ini kalau semua isteri dapat mencontohi keterbukaan hati seperti Kak Lah. 

Al Fatihah buat beliau yang kini bersemadi di Tanah Perkuburan Orang Islam Bukit Jambul. Hilang sudah satu contoh isteri yang begitu baik dan menerima pujian tinggi dari suami dan bapanya sendiri.

Sabtu, 18 Disember 2010

Silent Reader

Sambil bawa ibu_suri jalan-jalan seperti selalunya, aku singgah ke kedai buah di Kompleks Kailan, Kepala Batas. Kali ini aku nak beli betik sebab dah selalu beli pisang. Terserempak pula dengan jiran. Setelah bertanya khabar tiba-tiba satu soalan terpacul di mulutnya.

"Kamu bukan rajin tulis blog ke? Isteri saya rajin baca blog kamu." aduhh...terasa segan lah pulak!

"Banyak sabar ya. Menjaga isteri yang sakit macam tu banyak pahalanya. Jangan suka sangat pergi jumpa bomoh ni. Amalkan baca ayat Quran." sambil menepuk-nepuk bahuku. 

"Tu la... kekadang ni nasihat adik beradik ni tak tertolak juga. Depa tu yang beria-ia suruh jumpa bomoh. Tapi saya memang fikir masalah kesihatan ibu_suri ni lebih kepada perubatan hospital."

"Yelah.. memang kekadang ni kita susah juga nak jaga hati adik beradik ni. Bagus juga. Ada laptop. Boleh tulis-tulis untuk berkongsi."

"Ni, amalkan makan buah. Buah prun pun bagus untuk lawas buang air besar. Ni, cari apa?"

"Ingat nak cari betik."

"Ahaa... elok la tu. Saya balik dulu ya! Tadi ziarah kawan sakit." sambil sekali lagi menepuk bahu aku. Terasa mesra pula bila ditepuk begitu.

"Abang, saya nak cari betik yang just nice esok lusa baru masak. Ada ke bang?" tanya aku pada penjual bila jenuh pusing keliling petak petak buah tapi tak jumpa yang berkenan di hati.

Entah kenapa terasa segan benar bila terkenang kemungkinan ramai lagi silent reader blog aku dari jirana-jiran rumahku sendiri. Habislah semua rahsia aku depa tahu. 

Haiii... Kalau kalian jumpa ibu_suri, jangan pulak cerita kat dia yang aku selalu tulis pasal dia dalam blog ya! Tak pasal-pasal nanti telinga aku kena piat..he..he..

Khamis, 16 Disember 2010

Banyak Potasium, Tak Bagus Juga!

Semalam aku bawa ibu_suri seperti biasa ke Unit 102 Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang. Dr Izani tersenyum dari jauh bila melihat ibu_suri menolak daun pintu dan masuk.

"Assalamualakum. Waa.. ceria nampaknya! Macam ni la.. bagus."

Sambil membelek kad kuning membaca catatan doktor di lawatan sebelum ini, Beberapa soalan biasa diajukan; makan, tidur dan urus diri secara kendiri, bagaimana? Aku biarkan ibu_suri menjawap sendiri sebab aku perasan doktor tidak memandang ke wajah aku sebaliknya ke wajah ibu_suri.

"Ada dengar bunyi suara bisik-bisik di telinga?" Geleng!

"Doktor. I think she come back to the previous stage. Energetic and full of ideas. Kalau betul doktor, huuu.. very tough to me."

"Dia sekarang ni masuk ke stage mood di-order. InsyaAllah, jaga pemakanan ubat dia, akan ok."

semakin ramai orang yang bermasaalah ni ya!
"Masaalah dia sekarang, rambutnya gugur secara drastik. Risau saya. Tangannya juga menggigil macam sindrom Parkinson. Dan dia juga susah buang air besar. N*j*snya keras. So, saya selalu beri dia makan pisang. Dulu dia mengadu kebas mulut sebab kurang Potasium. Pisang banyak Potasium dan serat."

"Ooo.. jangan selalu sangat makan pisang. Seminggu sebiji dua  ok. Pisang memang tinggi kandungan  Potasium. Tapi, banyak Potasium dalam badan pun tak bagus untuk jantung. Dia kurang minum air kosong ni. Dan kena banyak makan makanan berProtein. Rambut gugur mungkin kerana kurang Protein"

Ooo.. macam tu pulak!

"Awak kena banyak minum air, makan ikan, daging, sayur dan buah-buahan. Selalu senaman ya! Ketar tangan itu memang kesan sampingan dari ubat yang awak makan. Jadi di samping ubat Epilim 200mg, Respidon 2mg dan Sertraline 50mg saya tambah Benzhexo 2mg."

"Hmmm..Rajin baca paper tu ya!" Tak sangka doktor itu sempat kerling akhbar Harakah yang aku pegang walaupun aku cuba menyorok tajuknya. "Agak-agak PRU13 tahun depan jadi, ya!"

Aku hanya senyum sahaja. Tak mahu panjangkan tajuk itu sebab ini hospital!

Selasa, 14 Disember 2010

I'll Be With You!

Balik dari kerja kelmarin dulu, aku tumpangkan seorang rakan. Berbangsa Cina. Aku pernah tuliskan kisah bersamanya sebelum ini. Cuma aku tak berikannya satu nama. Hari ini aku namai dia sebagai L, ok?

"How is your wife?"

"OK. Just take care her as usuall.."

"She is lucky having husband like you. Honest and  humble"

"Ye ka.." sambil menekan punat lagu kereta ke USB mode. Tiba-tiba berkumandang lagu  ini - Rest Of My Life.

"Wah.. what song is this. Very nice lah!"

"Maher Zain. This singer is very popular now after a group of Inteam and Raudhatus Sakinah join and held a concert in KL". Susah pulak aku nak explain dalam BI ni.

"What is Raudhatus Sakinah?"

"O... Ini satu center yang jaga perempuan yang terlanjur. Mereka jaga in Islamic ways.." Ada sikit rasa segan jauh di sudut hati. Segan kerana pernah dia bertanya aku satu dua soalan yang pedih - kenapa Melayu ramai kes dadah, terlanjur dan rogol. Aduhhh... susah nak jawab!

"You not join them? I thought you like to join all this charity?"

"Mmm.. nak kata 100% tu maybe not. But tolong sikit-sikit tu ada. Raudhatus Sakinah ini actually form by my NGO too.. "

"Ooo.. aiya..very nice song la..

For the rest of my life
I`ll be with you
I`ll stay by your side honest and true
Till the end of my time
I`ll be loving you. loving you.


Can you give to me, one?"

"Boleh. Tapi ini Islamic song?"


"O, It is ok. I like the words. Very romantic.."


Fikiran aku pun teraba-raba nak cari dimana mp3 lagu ni. Agaknya dia ingat ini lagu cinta, kut!

"Ok. Drop me here. Thank you so much. Take care your wife, ya!"

Ok, sambil aku berfikir lagi.... Adakah cukup sekadar itu sahaja tugas ku dalam menyebarluas dakwah islamiah kepada non-muslim seperti dia?

Teringat ibu_suri...yeah.. For the rest of my life, i'll be with you!

Ahad, 12 Disember 2010

Pakai Seluar

Maaf kerana aku tak berpeluang ziarah blog kalian semua. Cuma pilih-pilih sahaja. Sikap ibu_suri yang  mau dilayan dia dalam serba serbi buat aku tak sempat nak curi-curi buka blog.

Semalam selama 5 jam aku memandu. Membawa ibu_suri jalan-jalan. Just wal-walk eating air, beritahu aku kepada Angah bilamana dia menalipon dan terkejut bila tahu aku ada di Perak

Memang aku lebih suka memandu di highway berbanding ibu_suri lebih suka ikut jalan lama. Tak perlu berasak dengan kenderaan dan mudah singgah untuk rehat.

Selepas selesai minum dan makan sedikit, aku pergi ke bilik air. Ramai sungguh orang. Kebanyakkan Melayu. Agaknya ni mesti  segraf dengan banyaknya kenduri kahwin.

Aku pastikan tidak tersilap tandas. Pernah sekali aku pimpin ibu_suri ke bilik air. Dengan aku-aku sekali nak masuk. Nasib baik ibu_suri perasan. Kalau tidak...auww...!

Aku suka cari tandas mangkuk. Sambil mencari aku terlihat seorang budak belasan tahun sedang menggoyang-goyang pintu tandas.

"Oit.. Cepat la.. Buat ape lama bebeno tu.."

" Dah nak habih ni haa. Tengah pake (pakai) seluo (seluar)."

"Ape ke he nyer.. Pake seluo lame bebenor."

"Ye le.. Ni tengah pakai spenda (seluar dalam) le pulak ni ha... "

Dan kemudian aku terdengar dia bercakap sendirian..

"Pakai seluo lepas tu pakai spenda. Ape ke he nyer.."

Aku ketawa sendirian. Kalau pakai seluar dalam kemudian baru pakai seluar panjang tu kira biasa le. Tapi kalau pakai seluar panjang dulu baru pakai seluar dalam cuma siMamat sekor ni aje ler.

Boleh jadi calun Raja Lawak budak ni, fikir ku.

Khamis, 9 Disember 2010

BLOGLIST 2011 .. SELAMAT DATANG TAHUN BARU


Aku pun sebenarnya baru bertaaruf sikit-sikit je dengan blog Ben Ashaari ni. Namun bila kami sama-sama tersenarai dalam 20  Blog Personal Suami Pilihan, aku mula mengintai blog Ben. Arghh... terasa low profile lah aku ni bila melihatkan followernya saja melebihi 6k. Dah 3-4  kali ganda jumlah rumah-rumah kat lokasi kediaman aku ni.

Bila saja senarai 5 finalis diumumkan ( dan blog aku tercampak keluar ), aku dah mengagak yang blog Ben Ashaari akan menjadi juara. Dan memang tepat telahanku. Pendekata, kalau ada hadiah lumayan peneka paling tepat, aku layak menerimanya.

Malam ini bila aku sesaja ziarah blog Ben, aku terbaca n3 ini. Hem.. pandai Ben nak test market. Maka aku pun dengan rasa rendah diri menanam saham di sini. Ada untung sabut, timbul. kalau untung batu, tenggelam.

Walau apa pun, Muga tahun baru yang mendatang akan memberi inspirasi baru buat kita semua para bloggers. Namun aku lebih suka ucapkan SELAMAT DATANG TAHUN BARU 1432H kerana aku bukan sahaja malah tidak mahu sekadar menjadi Melayu dot..dot..dot.. yang terpengaruh dengan kalendar masihi sebaliknya mahu menjadi Melayu Islam yang melebihkan kalendar Hijr.

Ye ke Melayu Islam? Atau Melayu kapal selam, aku nih! Uhhh.......

Selasa, 7 Disember 2010

Selingkuh

Akhmal yang masuk ke rumah tiba-tiba bertanya aku;

"Ayah, kenapa ramai-ramai di luar tu?"

Aku menjengah ke luar pagar. Baru tadi aku dan Angah pergi ke rumah jiran sebelah. Berbincang tenttang perincian tempahan makanan untuk majlis walimah dengan katering PSC. Tak pula dengar apa-apa cerita yang lain dari biasa.

"Zam, kenapa tadi ramai-ramai tu?"

"Khalwat, ayah. Kami syak ada yang tak kena sebab kami perasan ada lelaki masuk ke rumah si X tu. Kemudian lampu katup. Lama juga kami panggil, baru dia buka pintu. Memang sah.."

"Suaminya mana?"

"Suaminya kerja kat Perak. Seminggu sekali baru balik. Anak dia bagi mengasuh kat jiran berek polis tu."

Fuh, lega juga hati aku kerana rupanya bukan kes kecurian. Tapi tak terlintas pula di fikiran aku kes yang itu pula.

gambar hiasan
Aku teringat mak aku pernah menasihatkan anak jiran sekampung masa aku masih bersekolah dulu. Dia tidak mahu mengikut suaminya pindah luar dari negeri Perak.

"Kamu jangan gitu. kamu kena ikut ke mana laki kamu pergi. Udah rezekinya di situ, di situlah kamu kena tinggal. Tak ada eloknya sorang di sana, sorang di sini. Esok, dibuatnya cari satu lagi di sana, menangis air mata darah pun tak guna sebab salahnya esok.. salah kamu tak ngikut laki..."

Agaknya, itu jugalah puncanya. Isteri jauh dari suami. Balik cuma seminggu sekali tidak cukup untuk melepas dahaga si siteri yang tersungkur dek gejolak nafsu!

Sabtu, 4 Disember 2010

Selimut Putih

"Sudahlah. Tutuplah lagu tu!" tiba-tiba ibu_suri meninggikan suara.

Segera aku tekan mute mp3 keretaku walaupun aku memang suka mendengar lagu Selimut Putih apatah lagi di dendangkan oleh vokalis Munif - Hijjaz yang bersuara lunak. Dikatakan, Munif ini jika melagukan semula nasyid dari Orkes El Suraya, huh.. mendayu-dayu!

Aku faham perasaan ibu_suri. Sejak dia mengalami sindrom bi-polar pusingan kedua ini, dia lansung tidak mahu mendengar berita sedih, menonton gambar kemalangan malah menziarahi kematian mak kawan baiknya semasa sama-sama aktif sebagai AJK dalam Kelab Remaja JIM (KRJ) - Latifah Bee di Taman Pekaka minggu lalu pun dia tak mahu.

Sebenarnya, lagu Selimut Putih itu juga mengingatkan aku  kepada konsert kesenian islam yang kerap aku dan kawan-kawan seniku terutama Muhajjir pentaskan. Berlatar belakangkan sajak Sakaratul Maut oleh NadaMurni, kami sering membuat persembahan samada di Pulau Pinang, Kedah hatta ke Perak.

Bayangkan, berlatar belakang lagu Selimut Putih kami mengusung keranda yang ber'mayat' melalui celah-celah penononton di padang dengan harapan untuk menerbitkan  rasa gerun dan insaf kepada audien.

merenung pusara bapa mertua sambil menitis air mata

Aku curi-curi pandang wajah ibu_suri sambil memegang stereng dengan perasaan simpati. Aku pun jika berada di posisinya, akan terbayang-bayang kemungkinan yang berbagai-bagai. Berbagai-bagai yang menggerunkan dan mendebarkan!

Selasa, 30 November 2010

Tangan Siapa?

Akhirnya aku tersingkir dari senarai 5 terbaik Blog Personal Suami Pilihan di Blog Pilihan Malaysia ini. Pun aku tidaklah rasa kecewa malah berterima kasih kepada BPM dan rakan-rakan bloggers kerana sudi memilih aku sebagai  calon walaupun tidak finalis. Gimanapun aku masih teruja untuk meneliti siapa yang bakal menduduki takhta yang hebat ini. Aku agak..hmm.. mungkin Ben Ashaari.

Okey lah! Lupakan dulu,

Aku ada satu foto. Foto ini diambil lebih kurang jam 6.30 ke 7 petang, 2 minggu lalu. Lokasi - Stadium PISA. Majlis makan malam ulangtahun syarikat tempat kerjaku. Menurut jurukameranya Alex Chng- tiada unsur-unsur super impose. Dan menurut gadis Vietnam yang diambil gambar juga, tiada orang lain selain mereka berdua sahaja.


Aku mahu kalian buat analisa dan hipotisis sendiri. Aku? Tak tahu. Memang semua kawan-kawanku juga masih dengan  tanda ???? Malah blogger Jendela hatiku ( JH ) juga tak ambil pusing!

Errrr... Malam ni malam apa, haa...??

Ahad, 28 November 2010

Syok Sendiri

Amat teruja bila aku diberi ucap tahniah oleh bloggers Cerkleng dan Faizal Fredley di ruang  SALAM kerana blog aku tercalun dalam kategori Blog Personal Suami Pilihan oleh laman Blog Pilihan Malaysia. Dalam terpinga-pinga, berhari-hari juga aku cuba memahami semua ini. Dan secara mendadak juga follower aku bertambah dari 130 kepada 134.


Walaupun tersenarai pada tangga tercorot yakni ke 18, namun terima kasihlah pada blogger yang bertanggungjawap mencalunkan blog aku yang tak sepertinya ini. Siapa dia itu, tertanya-tanya juga di dalam hatiku  berhari-hari.

Alakulihal, kalau ikut apa yang aku faham, ini cuma baru saringan peringkat pertama. Pengundian akan berakhir pada Selasa 30 November. So, jangan lupa jika benar blog aku ini layak diiktiraf sebagai Blog Persoanal Suami Pilihan, klik di sini dan Pilihlah Aku

Pun, kalau aku tak berjaya, tak mengapa. Setidak-tidaknya aku telah berpeluang untuk 'syok sendiri'. 

Hatta, jauh di sudut hati,  sebenarnya ini juga merupakan satu peringatan dan motivasi yang berharga buat diri ini!

Jumaat, 26 November 2010

Salonpas

Tatkala beritahu Angah bahawa rumah selang 2 buah dari rumah aku disamun tadi siang, aku mula tak sedap perut. 

"Mana hang tau?"

"Tadi kak Yanti mai sini. Dia tanya Akhmal tadi buat apa. Akhmal kata dia ada di rumah!"

Aku tahu persepsi jiran terutama Melayu dimana-mana saja tetap sama; tu... anak si anu yang baru keluar lokap tu punya kerja agaknya.. walaupun bukti sahih belum jumpa!

Aku tak banyak cakap bila memandu ke Kepala Batas seperti biasa keluar makan dan jalan-jalan untuk ibu_suri. Namun hati aku melayang entah kemana hinggakan aku pun tak faham bagaimana tiba-tiba aku sampai ke pekan Tasek Gelugor.

"Mana I tau. Ingatkan u nak bawa I makan tempat lain!" jawap ibu_suri bila aku mengomel atas tersasarnya aku ini...

Sejak semalam sengal di bahu, tangan dan peha kanan masih terasa hingga hari ini. Kalau sakit sendi mungkin boleh makan Apple Cider macam blogger WN tapi aku rasa ini bukan. Kalau ikut kata nurse klinik tempat kerja aku, ini mungkin kerana stress.

"Kita selalunya tak tahu bahawa stress boleh memakan diri sendiri.." pernah nurse Cina yang walaupun berusia tapi masih tampak manis bernama May itu memberi pandangan bila aku bertanya.

"Apalah ayah. Bertampal sana sini.." tegur Angah bila melihat aku memekap Salonpas ke peha.

"Tak pa. Satu hari nanti Angah akan rasa sepertimana yang ayah rasa hari ini." jawapku.

"Ayah hanya berusaha sedaya upaya ayah. Selebihnya Allah sahaja yang tentukan masa depan Akhmal."

Hangat dari Salonpas membuatkan otot-otot aku sedikit lega!

Rabu, 24 November 2010

Segala Penyakit Di Dunia Ada Di Sini

Sewaktu dalam pemanduan balik ke rumah dari ofis, aku berbual dengan rakan yang menumpang keretaku. Seorang staff nurse klinik tempat kerjaku.

"Bagaimana kedaan isteri?"

"Entahlah.. Susah saya nak jawap."

"Ngapa?"

"Sejak sebulan dua ini ketara benar rambutnya kian banyak gugur. Dan lebih membimbangkan ialah tangannya menggeletar seolah-olah ada sindrom Parkinson."

Aku cuba mengawal stereng kereta dengan sabar dan mengharap ada sedikit tips dari rakanku yang melewati umur bersara. Namun tidak banyak maklumatnya yang dapat membantuku.

"Saya silap."

"Kenapa?"

"Sepatutnya, saya pergi hadiri kursus yang disarankan oleh doktor pada saya dulu. Setiap penjaga kepada pesakit bi-polar dis-order macam isteri saya sepatutnya mempelajari bagaimana cara untuk mengurus pesakit yang mempunyai mood yang cepat berubah dan tidak menentu. Tapi mungkin sebab tika itu saya panik dan serabut. Jadi saya pandang remeh kursus seperti itu. 2 tahun lebih kehidupan saya sengsara Sekarang ini baru saya rasa ok sikit. Itupun kerana mood dia sekarang ini lebih banyak pasif. Kalau kembali macam dulu, agresif dan penuh idea, entahlah..."

Aku dapat bayangkan betapa perlunya kekuatan mental, spiritual dan fizikal pada individu yang menjaga insan yang mengalami ahmar atau yang menjaga insan OKU, insan yang sakit terbaring di katil malah 1001 penyakit yang kekadang tak terduga dik fikiran.

Semasa aku beratur mengambil ubat baru untuk ibu_suri di Hospital Besar Pulau Pinang tengahari tadi, aku sempat berbual dengan guard yang menjaga bahagian farmasi. Melihat barisan yang bak ular dipalu menunggu untuk menyerah perskripsi di kaunter ubat, gurad perempuan itu berkata padaku;

"Macam ni lah tiap-tiap hari. Segala penyakit atas dunia ni ada di sini!"

Isnin, 22 November 2010

Carik-Carik Bulu Ayam

Memang Angah banyak membantu aku dalam memperbetulkan jalan hidup Akhmal agar menjadi manusia yang bergelar orang.

"Akhmal ni OKU. Memang ayah tahu OKU ini mempunyai satu sikap yang kalau dapat dipecahkan insyaAllah akan menjadi manusia berguna."

"Apa dia?"

"Dia rasa dia ada kelemahan. Jadi untuk menutup kelemahannya itu dia cuba bersikap seperti orang hebat. Macam Akhmal ni, dia akan bercakap lepas. Sanggup bertumbuk semata atas kerana isu kecil. Sanggup terima cabaran kengkawan walaupun sebenarnya cabaran itu tidak mendatangkan faedah. Jadi kalau kita dapat beritahu dia supaya dia menjadi dirinya sendiri dan berbangga dengan apa yang Allah berikan padanya, ayah pasti dia akan jadi insan yang akan dihormati. Tak perlu berlagak jadi orang hebat walhal tak hebat tara mana pun."

"Sikap inilah sekarang yang perlahan-lahan kita perlu tanamkan ke jiwa dia. Jangan bercakap dengan nada tinggi dan suka terjal orang. Buang cakap dengan bahasa yang angkuh."

"Ayah faham, bukan senang kita nak perbaiki sikap kita yang negatif. Apatah lagi Akhmal yang bukan orang biasa macam kita. jadi kitalah kena main peranan. Jadi pemangkin. Orang macam Akhmal ni kita perlu nasihat pelan-pelan. Tak boleh gopoh-gopoh mahu dia ubah terus penangainya. InsyaAllah, ditambah dengan doa, dia akan jadi baik."

Walaupun satu ketika lalu, semasa ibu_suri baru sahaja keluar hospital akibat angin Ahmar; malam itu Akhmal mengamuk kerana tidak tahan mendengar leteren ibu_suri. Akhmal bercakap dengan bahasa yang 'lebih-kurang' pada ibu_suri hingga menyebab Angah naik berang.

"Hang kurang ajar cakap terjai-terjai dengan ibu macam tu!"

pecah akibat tumbukan
Terus diterpanya Akhmal dan mahu menumbuk. Aku cepat-cepat masuk campur untuk leraikan.

"Sudahlah Angah. Hang jangan tambah masalah kita ni. Ibu dahlah sakit macam tu. Lawan dengan adik hang yang memang dah macam ni. Janganlah kita pulak sama biol. Kesianlah kat ayah! "

"Akhmal! ambil duit ni. Pi keluar dulu mana-mana. Lepas 12 nanti baru balik."

Dan Akhmal keluar dengan deraian airmata sambil berkata;

"Akmal tak mahu balik sampai bila-bila!"

Itu kisah 3 tahun dulu. Kini aku kira Akhmal patut berterima kasih kepada Angah kerana bukan sahaja menjadi teman aku tatkala berdepan dengan insiden Akhmal keluar masuk lokap dan mahkamah, malah Angahlah yang berusaha daftarkan dia untuk dapatkan lesen motor, kemudian carikan motor yang sesuai dengannya dan kini usahakan Akhmal untuk bekerja. 

Moralnya, kita perlu banyak sabar dan gunakan segala ruang yang ada untuk membantu anak-anak kita mencari hidup yang lurus di depannya.

Sabtu, 20 November 2010

Apabila Isteriku Tertawa

Aku selalu berpendirian bahawa orang yang paling patut kita hormati selain ibubapa adalah isteri (atau suami). 

Aku pernah terbaca dalam satu buku yang ditulis oleh orang ahli korporat yang berjaya. Tulisnya; jangan lupa, tulang belakang di sebalik kejayaan seorang suami adalah isteri.

Kita sering lupa hal ini. Isteri  selalu diperlecehkan sementara kita membanggakan isteri atau wanita lain. Bila orang lain sakit cepat-cepat kita nasihat berjumpa doktor atau pergi menziarahinya sedang bila isteri kita sakit kita suruh telan Panadol. Itupun, yang entah zaman bila kita beli tanpa merujuk tarikh luput.

Bila pulang ke rumah melihat rumah tidak kemas kita rungutkan isteri kita. Bila terlewat sikit isteri kita menghidang minuman kita pun melenting macam itu satu dosa besar baginya.

Aku selalu beritahu anak-anakku bahawa alangkah hebatnya seorang lelaki yang boleh memasak dan mengemas rumah. Seorang lelaki yang boleh menjahit baju, yang membasuh dan mengemas tempat tidur sendiri. Malah paling hebat yang mensterika pakaian isteri dan menolong buatkan air untuk isteri kalau diketahui bahawa isterinya memang sudah terlambat untuk ke sesuatu destinasi. Sudah tentunya, isteri pula bukanlah seorang yang suka mengambil kesempatan lewat baikhati seorang suami.

Bayangkan jika satu ketika nanti isteri anda atau ANDA ditakdir duduk di kerusi ini seperti ibu_suri?

Aku amat sedih melihat satu insiden di coaster highway, Penang satu ketika dulu. Sebuah motor yang ditunggangi sepasang suami isteri Cina Tua tiba-tiba berhenti di tepi jalan. Suami nampaknya beria-ia memarahi isterinya yang sedang turun. Si suami tiba-tiba membuka topi keledar dan mengetuk kepala isterinya dengan topi keledar itu.

Bagi aku yang mula terasa kehilangan sentuhan dan belaian isteri mendoakan selalu agar tidak pula terus kehilangan dirinya pula. Biarlah begini jika ini takdirnya. InsyaAllah, aku akan menjaganya penuh ikhlas. Bagiku, melihat sekuntum tawa ibu_suri seperti melihat bulan purnama di malam hari...

Malah, kekadang aku rasa beruntung kerana berpeluang menjaga ibu_suri dalam keadaan begini. Yang muga-muga dengan keihlasan yang aku ada, Allah akan memandang aku dengan rahmatNya. Tidak semua orang menemui peluang seperti aku ini...

Justeru, hargailah isteri ( atau suami ) kita. Jika dia menegur, dengarlah dengan hati terbuka. Pandanglah isteri kita dengan pandangan kasih sayang. InsyaAllah, Allah akan pandang kita dengan kasih sayangNya pula.

Rabu, 17 November 2010

Berkorban

Bukan sengaja malah jauh sekali tidak mahu. Pi balik pi balik kerja, tau-tau esok dah nak raya dah. Aku lansung tak buat persediaan apa-apa. Tak macam raya puasa lalu. Rumah  tak berkemas. Barang-barang dapur pun tak sempat beli. Dan bila terdengar takbir raya semalam aku tiba-tiba teringat lemang.

"Angah, balik jangan lupa beli lemang 3 batang dengan serunding. Jangan beli kat kedai dulu tu. Lemang dulu mentah lansung tak boleh makan. "

"Hujan la ayah..."

"Kena beli. Kalau tak esok nak makan apa kita. Kedai bukannya buka." 

Memang serabut juga jadi suami, ayah dan suri rumah sekaligus ni. Mana nak fikir pasal Akhmal yang baru mula kerja, pasal Angah  dengan kenduri kahwinnya dan Along. Mana lagi dengan hal kerja, rutin menjaga makan minum, ubat dan mandi ibu_suri,  kain baju, rumah, laman rumah dan sesekali adik-adik di kampung. Tu nasib baik anak baru 3. Kalau 10 macam yang pernah aku dan ibu_suri angan-angankan semasa tengah asyik masyuk bertunang?

Sempat bersembang dengan rakan sekereta masa balik kerja semalam dalam hujan yang lebat selebat-lebatnya;

"Kerja dapur ni kalau nak dikira tak boleh habis. Ralit buat kerja di dapur, ruang tamu terbengkalai. Kekadang bila begitu, ibu_suri nanti suruh IM berhenti buat kerja dan duduk tepi dia. IM tak boleh duduk je. IM nanti mengantuk.."

Barulah aku dapat rasakan bagaimanalah seorang isteri yang berkerjaya. Balik rumah terpaksa menghadap dapur dan kerenah anak.

Apa-apa pun, Selamat Hari Raya Korban. Mengulas kata Senyum Kambing;  pengorbanan perlu untuk meneruskan hidup. Akan tetapi pengorbanan mestilah yang elok-elok. Yang niatnya kerana Allah. Barulah keberkatan itu datang.

Alahai... Teringat mak di kampung la pulak.. isk!..isk!..

Ahad, 14 November 2010

Azan Di Pagi Hari

Semasa di bilik 'termenung' tadi tiba-tiba aku terdengar suara azan. Heran juga aku apasal azan pula sedangkan jam baru 8.30 pagi.

Aku tiba-tiba teringat semasa aku masih kecil di kampung. Hujung tahun selalunya musim hujan. Diselang-seli dengan angin kencang. Rumah aku jauh di hujung dan tak ramai jiran. Dekat dengan landasan keretapi. Dekat dengan gunung. Di kelilingi pokok-pokok besar terutama pokok kelapa. Jadinya, bila musim angin kuat, paling merisaukan mak aku ialah jikalau pokok kelapa tumbang menimpa rumah.

rumah adik. bersebelahan rumah mak.
berlatarbelakang gunung Mat Sirat
Bila angin kuat bertiup, mak akan suruh aku adik beradik turun ke bawah rumah. Aku di suruh azan kuat-kuat. Kekadang berkali-kali memohon belas kasihan Allah agar diredakan angin kencang itu dari bertiup.

Sayu hati ini bila mengenangkan saat-saat susah dan saat-saat pengorbanan seorang mak memelihara kami adik beradik.

Tapi, azan sebentar tadi ini tak tahu pula pasal apa...

Jumaat, 12 November 2010

Akhmal Sertai Misi Kemasyarakatan

Ahad lepas, anakku Akhmal telah pergi menyertai misi bantuan mangsa banjir di Kedah di bawah selenggaraan IKRAM, sebuah badan bukan kerajaan. Bermula dengan majlis taklimat di Masjid Seberang Jaya jam 9 pagi.

.terima arahan sebelum bertolak

Mereka kemudiannya bergerak terus ke bilik gerakan IKRAM Kedah. Dari sana mereka menerima arahan tugasan selanjutnya.

dengar arahan dari wakil IKRAM Kedah

Kata Akhmal memang dasyat kesan banjir kali ini. Banjir berlumpur dan ada sesetengah rumah sudah naik lumut hijau.



























Letih ayah, keluh Akhmal. Ayah saja mahu kamu pergi sana supaya kamu kenal erti susah dan tahu erti menolong orang yang memerlukan, terangku pula.

Sabtu ini 13 Nov, misi bantuan oleh IKRAM akan diteruskan. Akhmal tak dapat ikut serta lagi kerana dia akan mula kerja esok di Kamdar, Bukit Mertajam.

Akhmal - berdiri, kanan

Aku sebenarnya amat kepingin untuk bersama dengan kawan-kawan semula. Membuat kerja kemasyarakatan yang telah lama kutinggalkan; sejak 3 tahun yang lalu. 

Hurmm....Mungkin di lain kali. Harapnya, gitulah...

Selasa, 9 November 2010

Macam Macam

Tadi pagi. Semasa aku memandu ke tempat kerja. Semasa aku menyelusuri lebuhraya Seberang Jaya. Semasa aku cuba tenang mengawal stereng kereta. 

Di hadapan aku tiba-tiba sebuah motor merapati sebuah motor lagi yang ditunggang oleh sepasang suami isteri di sebelah kiriku. Agaknya adalah apa-apa kesilapan yang dilakukan oleh pasangan itu hingga membuatkan penunggang bujang tadi kelihatannya begitu marah. Benar-benar marah dia. Dengan wajahnya. Dengan jari tangannya yang menunjuk ke arah suami. Tanpa dia menghiraukan sibuk dan banyaknya kenderaan lain bersimpang siur. Begitu marahnya dia seakan tidak mudah padam.

bukan mudah bersikap tenang dalam perjalanan.
Pasangan tadi kelihatannya tidak membalas. Suaminya tampak seperti cuba fokus pada pemanduan. 

Aku membunyikan hon. Namun seperti tiada kesan apa-apa. Aku kemudian geleng kepala.

Lebih mengujakan aku bila sibujang tadi meludah ke muka isteri yang memakai pakaian jururawat. Errkss... Tega si bujang itu ya.

Tak habis lagi. Si bujang itu terus mengekori pasangan tadi dan hilang di celah banyaknya kereta.

Aku cuma menarik nafas panjang. Dunia ini... macam-macam adanya!

Ahad, 7 November 2010

Sama-Sama Kasih!

Baru usai mandikan ibu_suri sebentar tadi. Selalunya, bila mandi begini, dengan aku aku sekali lenjun. Al- maklumlah, mandikan orang dewassa. Dan alang-alang dimandikan biarlah dengan hati yang ikhlas. Yang jujur. Bukan mandikan dia kerana terpaksa. Tu yang habis lenjun segalanya..

Tersentuh hati bila setiap kali selesai mandi dan lap badannya,  ibu_suri akan ucapkan;

"Terima kasih!" dengan bibir yang menggeletar.

"Sama-sama kasih. Dari kekasih untuk kekasih..." balasku sengaja untuk melihat dia tersenyum. Senyum yang tidak seperti orang biasa.

"I rasa puas bila U mandikan. Rasa bersih badan I."

Mutakhir ini aku kerap beri ibu_suri makan pisang. Beberapa bulan lalu ibu_suri di hospitalkan kerana mengidap kebas mulut. Doktor syak ibu_suri akan menerima 2nd stroke lalu memaksa aku hantar ibu dengan segera. Diagnosis doktor mendapati rupanya ibu_suri kekurangan Potasium dalam badan.

Bila aku bercerita kepada rakan-rakan ada yang mengatakan pisang mengandungi banyak Potasium. Kemudian, bebaru ini ibu_suri mengalami masalah sembelit yang kritikal. Makanya aku kira pisang adalah rutin makanan ibu_suri yang terbaik di masa ini. Disamping mengandungi Potasium, ia juga mengandungi serat.

Aku suka makan pisang berangan akan tetapi ibu_suri sebaliknya sukakan pisang emas. Begitulah kami selalunya... jarang mempunyai citarasa yang sama. Dan selalunya..... itulah, aku yang banyak mengalah.

Tapi mutakhir ini pula aku kerap bagi ibu_suri makan ubat selepas minum segelas milo setiap pagi. Memang sejak dulu ibu_suri jarang makan pagi. Ini salah satu punca sesaorang mudah dapat stroke, mengikut kata pakar kesihatan. 

Ada rakan yang mencadangkan supaya diberi ibu_suri makan oat. Akan tetapi oat bukannya sedap. Dan bagi ibu_suri yang memang sejak azali kritis bab 'sedap tak sedap' makanan ni memang dia tolak oat ini siang-siang lagi. Malah bila aku cuba beri ibu_suri makan makanan bijirin HPA pun ibu_suri merungut panjang dengan aku.

Mungkin kalian tahu alternatif lain untuk aku beri kepada ibu_suri setiap pagi sebelum pergi kerja sebagai selingan dia memakan ubat?

Jumaat, 5 November 2010

Gitulah Anak Ayah!

Dalam sibuk-sibuk cerita pasal Pilihan Raya Kecil Galas dan Batu Sapi, tiba-tiba kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 5 sen mengambil kesempatan. Aku tidak nampak stesyen pam minyak penuh dengan kereta seperti selalunya kalau diketahui harga minyak  akan naik. Sah, rakyat tidak tahu. Atau pun sah, rakyat sudah mangli. 5 sen, ok lagi la...

Dan tidak sempat rakyat yang baru sedar di esok pagi, hujan pula turun membanjiri Kedah dan Perlis. Mujur Pulau Pinang, tidak. Dah lama Pulau Pinang tidak kena banjir besar. Kerajaan terpaksa pula mengalih pandangan ke bilik gerakan banjir. Dalam hal ini NGO seperti Jamaah Islah Malaaysia tidak terlepas walaupun sedikit lambat untuk memberi respon. Unit DERU di aktifkan semula. Aku mendapat sms;

"... JIM/IKRAM....memerlukan sumbangan air mineral, telekung, sejadah, kain pelikat, MPV dan tenaga-tenaga muda... "

Aku yang ketika menerima sms itu sedang memandu terasa jantung dijentik. Apakah aku lansung tidak ada rasa untuk membantu? Adakah semata kerana aku terpaksa menjaga ibu_suri sepenuh masa menjadi alasan untuk aku terlepas dari tanggungjawap kemasyarakatan ini?

Aku teringat sehelai kain pelikat yang masih baru tersimpan di laci. Aku teringat sehelai telekung yang ibu_suri beli dan mahu di sumbangkan ke masjid masih tersimpan di dalam but kereta. Aku teringat tuala yang aku beli beberapa helai masih tidak dipakai. Dan aku terfikir miskinkah aku kalau gaji yang baru aku dapat minggu lalu di laburkan sedikit untuk mereka yang lebih memerlukan dari aku?

"Akhmal, ayah nak hantar kamu bersama-sama kawan ayah pi tolong mangsa banjir kat Kedah, mahu?"

"Tak mahulah ayah!"

Uffsss...terasa kecil hati aku bila mudah sangat anak aku ini menolak. Sangkakan kalau ayah tidak dapat pergi, anak bolehlah mewakili. Semasa aku masih kecil dulu mak aku selalu menyuruh aku;

"IM, kamu pergi rumah Tok Din tu. Ada kenduri arwah. Mak tak dapat pergi. Kamu aje ganti mak dan abah kamu." Tidak pernah aku kata tidak. Aku paksa hadirkan diri juga walaupun selalunya aku hampir terlena sewaktu menadah tangan kerana doa yang terlalu panjang.

Aku memandu sambil melayan perasaan begitu. Selesai makan aku ambil keputusan terus balik kerana letih.

Tiba-tiba;

"Ayah, Akhmal nak ikut la macam yang ayah kata tadi tu. Esok pukul berapa sampai pukul berapa nak pergi tu?"

Heh..heh.. Gitulah anak ayah!

Selasa, 2 November 2010

Akhmal Oh Akhmal....akhir

Usai sembahyang Jumaat, aku kembali ke kereta. Aku capai talipon bimbit. Ada 6 msicall dari rumah. Gementar dada. Nombor talipon rumah selalunya dari ibu_suri. Apa hal pula ni? Hal aku ke mahkamah hari ini sebenarnya tidak diketahui oleh ibu_suri.

"Ha.. ayah, Akhmal ni. Akhmal dah balik rumah dah."

"Laa.. Macam mana hang balik rumah?"

"Kawan Akhmal hantar." Pulaakkk...

"Kes hang macammana?"

"Akhmal bebas. Kes tak ada bukti."

Entah kenapa aku kurang gembira mendengar keputusan ini.

Bila malam, aku ajak berbincang bersekali dengan Angah tentang apa yang perlu dibuat oleh Akhmal, next..

Nasihat dan saranan dari kawan-kawan serta saudara mara masih terngiang-ngiang di telinga. Tapi aku tahu. Itu sekadar nasihat berdasarkan dari apa yang mereka tahu, lihat dan mereka alami. Tidak semesti 100% sesuai dengan kemampuan dan  suasana yang aku alami pula.

Dalam perbincangan itu aku mengetahui beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama;

1. Apabila Akhmal keluar dari STB, masyarakat keliling taman sudah melabelkan Akhmal sebagai budak nakal yang perlu diawasi. Bila saja ada kes kecurian, yang mula-mula ada dalam kepala mereka adalah Akhmal.

2. Semasa Akhmal di gari dan di bawa ke balai, lebih dulu Akhmal di gasak oleh polis. mungkin untuk mengorek rahsia dan meminta pengakuan.

3. Di dalam lokap, Akhmal tidur di atas sekeping papan tanpa bantal, tanpa kasut.

4. Dia di bawa ke bilik siasatan. Di situ dengan tangan di gari ke belakang dia di soal dan diminta mengaku. Apabila Akhmal tidak mahu mengaku kerana dia yakin dia tidak bersalah, tangan Akhmal di cakuk naik ke atas. Tidak mengaku juga, cakuk itu akan ditarik ke atas lagi. Aku dapat rasakan betapa sakitnya keadaan itu. Mereka tidak tahu bahawa tangan Akhmal tidak kuat. Kalaulah ditaakdirkan tangannya patah...

5. Orang yang membuat aduan mengatakan Akhmal mencuri motor tidak datang ke balai polis untuk diambil pengakuan. 

Jadinya, cuba kalian bayangkan. Jikalah anak kalian dituduh mencuri tanpa bukti. Kemudian anak kalian di 'dera' di dalam lokap. Tapi akhirnya terbukti dia tidak bersalah.... Siapakah yang sepatutnya akan membayar semula segala sakit dan derita yang dia terpaksa tanggung? Tidur dalam lokap tanpa selimut, bau hamis selama 12 hari?  Si penuduh? Dia sebenarnya sedang ketawa terbahak-bahak di rumah yang berpenghawadingin.

Justeru itu, jangan mudah sangat menuduh orang tanpa bukti. Kalau tuduhan itu benar, berbaloilah. Akan tetapi jika tudahan itu tersasar,  bersiaplah untuk menjawapnya di akhirat kelak!

Hari ini hari anakku. Mungkin esok lusa, hari anak orang lain pula. Dan bagaimalah anakku hendak berubah menjadi baik jika masyarakat terus terusan berperasangka...

Bukan marah. Cuma sedikit kecewa!

Isnin, 1 November 2010

Pengorbanan

Salam IM,

Telah lama pengorbanan itu
aku perhatikan
kekentalan jiwa mendokong
sebuah kehidupan
meraih impian
entah bila kecapaian
sayu....

Aku mengerti itulah pengorbanan
hati seorang insan
dibajai keimanan
sebagai pengemudi
seluruh mahligai
biar luluh perasaan
hidup perlu diteruskan

Benteng kesabaran
ada waktunya akan runtuh
moga tidak padamu IM

Selamat Hari Raya Qurban
semoga semakin tabah
doa dari kakak buat IM sekeluarga

Blogger Kakzakie
 Jumaat, November 19, 2010 9:28:00 AM
( puisi ini adalah posting penulis untuk IM )

Siswa KLMU Demo

 


Along ada bagitau aku semasa balik bebaru ini bahawa siswa KLMU sedang bentuk satu grup untuk tangani isu wang PTPTN mereka yang dirasakan telah disalahurus oleh pihak KLMU. Berita terbaru ialah janji bahawa mereka akan dapat notebook sebaik sahaja lulus PTPTN akan dilupuskan. Kenapa, mereka tidak diperjelaskan.

Along dah hampir 1.5 tahun di KLMU. PTPTNnya baru saja dapat pertengahan tahun ini. Khabar mulanya bertiup bahawa notebook akan diperolehi pada bulan 6, tahun depan. Bermakna Along dah habis belajar baru dapat notebook.

Notebook itulah sebenarnya yang aku hendak jika benar-benar dia dapat sebab dia sekarang sudahpun ada desktop yang dibeli sendiri dan netbook yang dia dapat bila daftar streamyx dengan TMnet. Tapi bila Along katakan bahawa notebook itupun tak tentu boleh dapat atau tidak akhirnya aku ambil keputusan untuk beli sendiri. Takut nanti  sekadar menjadi seperti pungguk rindukan bulan je. Nah! sekarang kan dah sah...

Aku beritahu Along bahawa inilah padahnya kalau pendidikan dijadikan perniagaan. Hal ini telah dibangkitkan sejak sebelum tsunami politik lagi.

Entahlah.... Aku katakan pada Along, kalau ayah ada upaya, ayah akan pergi tanya dengan pihak pengurusan kenapa banyak sangat keraguan dengan pengurusan PTPTN. Yuran yang anak aku tidak terlibat dipotong. Kuliah tidak menentu.

Sebelum ini di tv selalu menyiarkan iklan KLMU yang digambarkan sebagai profesional. Along nanti ketawa dan berkata... Indah khabar dari rupa!

Kok manapun, Along sudah pun hampir tamat di KLMU. Aku harap apa yang dia telah belajar akan digunakan sebaiknya bila tamat pengajian.

Semasa Along ambil Diploma di IIC, dia pinjam PTPTN RM15 000. Sekarang ambil Ijazah dia pinjam lagi RM48 000. Mak aih...

Aku dulu belajar di MARA, dapat duit poket RM250 sebulan. Habis belajar duit gaji aku dapat penuh. Along nanti bila habis belajar dia ada hutang dengan PTPTN RM 63 000. Mak aihh... Kesian anak aku &^%$#@@!@%^*())

Ahad, 31 Oktober 2010

Akhmal Oh Akhmal....2

"Akhmal ada kat lokap tepi kantin." Terpapar sms dari Akhmal di skrin talipon aku.

Aku ingat-ingat lupa hala ke mana kantin mahkamah ini.

"Sapa nama anak?" Tanya polis yang menjaga pintu.

"Akhmal"

"Ha... masuk. Ada di sana." Lembut suara polis itu. Sejuk sikit hatiku.

Berdiri Akhmal memegang jerejak besi. Ada 3 orang lagi di belakangnya. Seperti bukan rakyat Malaysia!

"Akhmal tak naik atas lagi. Sat lagi. Pukul 11 kot."

Aku ternampak seorang pak cik duduk di kerusi kantin. Pak cik ini aku pernah lihat dulu bertugas di pos pengawal pintu masuk pagar mahkamah. Pak cik ni orang di taman aku juga. Dulu dia berniaga.

"Eh, duduklah dulu. Dah minum?" Aku menolak. Rasa tak sedap hati. Tak mahu termakan budi.

"Anak kamu kes apa?"

"Curi motor dan xxxx"

"Dah naik atas?"

"Belum."

"Kalau kamu nak pak cik tolong, boleh. Anak pak cik ada kat dalam bilik nu. Dia lawyer."

Erkss.. Aku mula syak. Dan aku tahu kalau aku terus-terusan di sini, aku boleh terperangkap. Aku ni cepat cair juga orangnya kalau di pujuk. Dan lagi, aku ni susah nak tolak gesaan orang.

"Hari ni hari Jumaat. Selalunya kes akan cuba diselesaikan hari ni. Kalau nak, biar pak cik tolong. Ini hari Jumaat ni. Pak cik tak cakap tipu punya. InsyaAllah, boleh settle. Kalau anak kamu kena denda paling tidak RM2500. Atau 2 tahun masuk xxxx. Yang ni cuma RM500 je." Dan pak cik itu beredar ke meja sebelah, bercakap sesuatu dengan polis yang juga sedang minum di situ.

Aku tahu aku perlukan kekuatan. Perlukan sokongan. Di saat fikiran aku serabut ini, aku perlu pandangan pihak ke 3.

"Ayah.. lebih baik jangan. Ayah tunggu je apa mahkamah nak jatuh hukum. Nanti mahkamah akan bagi tempoh untuk kita fikir. Masa tu ayah talipon angah. Kita bincang."

Aku talipon juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Puan Maizura juga terkejut.

"Baru ni masa lapor diri kata dia ok je. Dah kerja. nak ambil lesen. Hari ni jadi lagu ni pulak!"

Aku garu kepala. Sengeh walaupun Puan Maizura takkan nampak.

"Macam mana, setuju tak dengan cadangan saya. Anak saya dok tunggu tu." Soal pak cik tadi dengan kopiah putih sedikit senget di kepala.

"Anak saya tak setuju. Dialah yang jaga Akhmal. Lagi pun JKM kata polis akan bagi laporan kat JKM sebelum jatuh apa-apa hukuman. Hari ni cuma untuk dapatkan perintah mahkamah je."

Dan aku pun cepat-cepat melarikan diri ke ruang menunggu di depan. Hasrat aku untuk minum, kantoi walaupun perut dah mula kruk..krak..!

Aku lihat jam hampir 12. Sempat makan agaknya sebelum solat Jumaat. Sambil menghidupkan enjin Kancil aku teringat dekat Masjid Sheikh Abdul Kader ada Caltex. Beli makanan ringan sahaja cukuplah kot. Aku pun bukan ada seleran sangat ni. Sekadar lapik perut takut gastrik walaupun taklah serius...

Sabtu, 30 Oktober 2010

Akhmal Oh Akhmal....1

Baru masuk ofis. Seperti selalunya setelah lampu, penghawadingin dan komputer di buka, aku mengambil tuala lembab. Hari ini hari Jumaat. Aku bercadang untuk 5S laci meja tulis aku. Sisih dan Susun semula barang-barang yang ada dalam meja seperti klip kertas, buku nota, kalkulator, pen maarker dan lain-lainnya.

Tiba-tiba talipon aku bergetar. Nombor Akhmal?

"Ayah ada di mana?"

"Tempat kerja. Kenapa?" Aku mula tak sedap perut.

"Ayah tak mai mahkamah ke?"

"Kenapa?" sambil melihat jam di di dinding. Hampir 9 pagi.

"Akmal kena bicara hari ni. Angah kerja ke?"

"Ha.. ya. Macam mana ayah boleh tak tahu hang kena bicara hari  ni?" Uh....

Aku terpempan sekejap merenung komputer yang sedang loading...

"Angah, Akhmal kena bicara hari ni. Dia talipon tadi." Aku cuba melihat sejauhmana Angah boleh bantu.

"Ha...la... Kan Angah dah peringat ayah semalam. Habis tu?"

Ye ke? Tak perasan pula aku. Mungkin kerana terlalu fokus pada ibu_suri menyebabkan aku memasuk telingakiri keluar telinga kanan kan peringatan Angah tu.

"La.. ayah nak tanya. Boleh tak keluar tengok Akhmal sat di Mahkamah BM tu?"

"Tak boleh ayah."

Aku faham kerana Angah baru saja mula kerja dengan MOX ini. Tentu dia tak ada cuti lagi ataupun tak berapa elok kalau minta time off untuk keluar.

Aku memecut kereta memecah angin jambatan Pulau Pinang yang merentasi Selat Melaka. Bergegar kereta aku sesekali dik hempasan angin yang kuat terutama bila bas memotong aku di lorong kanan.

Dah cuba talipon bos tadi tapi tak dapat. Cuma hanar e-mel beritahu yang aku keluar tengok anak dan cuba balik jika selesai dengan segera.


'Akhmal, inilah pengorbanan seorang ayah. Sanggup mengenepikan kepentingan dan keselesaan diri semata-mata mahu  melihat anak menjadi baik. Jadi orang. Terpaksa telan segala perlian orang. Terpaksa teguh berdepan dengan polis yang ayah lihat  paku di bahunya sahaja boleh melembutkan lutut ayah. Terpaksa berdepan dengan orang-orang yang kau aniaya semata-mata kerana pertanggungjawaban. Hari ini ayah terpaksa teguh untuk melangkah ke mahkamah. Satu-satunya tempat yang tidak sepatutnya ayah melangkah kecuali jika berbaju kot dan bertali leher.

Akhmal, kan ayah selalu berkata; daging itu walaupun busuk, dicincang di masak, dimakan jua. Itulah rasahati seorang ayah. Itulah rasa hati seorang yang mahu melihat kamu berjalan di atas landasaan yang betul. Cuma kamu ini entah kenapa masih tidak faham... masih tidak reti...

Entah apalah yang kamu cari dalam hidup. Kenapa kamu tidak menjadi seperti ayah seusia kamu dulu?'

Mujur jalan raya tak sibuk dan aku hampir sampai dalam masa yang kurang setengah jam!

Rabu, 27 Oktober 2010

DP SERI ROSMAH MANSOR



Pada pandangan tulus sebagai yang meminati lagu;
melodi - alunannya lembut.
musik  - sentimental dan mendamaikan.
lirik     - menyentuh jiwa jika di hayati. Ekspresi seorang isteri yang sedang melihat suaminya pada hari ini dan harapannya jika dia ditakdir sudah tiada lagi bersama.

Namun pandangan kalian?

Sahabat

Jam dinding lebih kurang 9.43 pagi bila talipon aku bergetar dengan sms dari blogger JH.

"Jom solat dhuha..."

Cepat-cepat aku habiskan merekod perenggan terakhir data-data kalibrasi. Begitu teruja aku dengan pelawaan JH yang begitu ambil berat terhadap aku.

Beginilah sepatutnya yang bernama sahabat. Saling ingat mengingati dari kealpaan. Saling ajak mengajaki pada amal kebaikan.

Dunia yang serba laju sekarang ini sedikit sangat kita temui sahabat yang sanggup menangis bersama bila kita susah dan senyum bahagia bila melihat kita senang.

Aku selalu memberi ingat pada anakku, Akhmal begini;

"Bila kita senang ramai kawan mengermuni kita bak semut menghurung gula. Akan tetapi bila kita dilanda susah tak ramai yang akan sapa kita dan bertanya khabar. Umpama bangkai, tak siapa kisah."

Dan nasihatku lagi;

"Kawan memang ramai. Tetapi tak semua kawan itu adalah sahabat."


Aku teringat kata-kata ini yang selalu aku tuliskan di akhir setiap surat yang aku kirirm kepada sahabat pena masa sekolah dulu;

'Kawan itu umpama pasir-pasir di pantai. Namun kawan yang sejati umpama sebutir mutiara di celah-celah pasir itu!'

Setibanya aku di surau, JH sudahpun sujud di rakaat terakhir. Aku perhatikan, lama sujudnya itu.

Aku tau, JH sedang berbisik dengan Kekasihnya seperti jugalah aku!

Ahad, 24 Oktober 2010

Jangan Risau

Selalunya keluhan ibu_suri di ketika tertentu ialah risau...risau...risau... Dan aku pula memujuknya dan berkata - jangan risau, buat apa risau dan lupakan risau. Itu cakap di mulutku saja walhal aku tahu bukan semudah itu untuk dia membuang kerisauan yang bukan dijemput pun.

Setiap hari doktor pakar Psikiatrik menasihatkan aku jangan mis memberi Epilim 400mg, Sertraline 50mg dan Risperidone 2mg demi untuk menstabilkan baham kimia di dalam darah ibu_suri. Dan itulah yang aku jaga kini. Doktor mau melihat dalam tempoh 2 bulan ini sejauh mana susunan baru ubat ini memberi impak. Kerisauan yang tidak berpunca itu barangkali disebabkan ketidakstabilan hormon di dalam badan.

"Tidak apa perlu dirisaukan, ok. Selalu ingat pesan abang ini;

1. Sabar dalam menerima dugaan hidup ini.
2. Selalu fikir secara positif dan berlapang dada.
3. Usaha untuk menjaga diri. Makan selalu, senaman dan keluar rumah supaya badan di sinari matahari.
4. Berdoalah pada Tuhan. Tak perlu tunggu di sejadah. Tak perlu tadah tangan. Berdoa masa baring, masa makan, masa berjalan dan setiap masa.

InsyaAllah, Tuhan itu Maha Mendengar, luas pengampunannya dan murah hatinya."

Aku tepuk perlahan-lahan belakang ibu_suri sambil memeluknya kemas-kemas. Emak aku yang baru datang dari kampung semalam memerhati saja gelagatku. Emak aku itupun baru saja lepas mandi. Walaupun terkesut-kesut ke bilik air namun kecekalan dan sikap positif emak seperti menjadi obor dan idola diriku. kesemuanya dia lakukan sendiri tanpa mahu dibantu.

"Biar mak buat sendiri. Ini pun satu senaman juga untuk mak."

Sebab itu senang jaga mak kerana sikap mak yang positif!

foto hiasan: IM dan blogger JH dalam perjalanan menyertai demo GMI


Sabtu, 23 Oktober 2010

Adakah Terusik?

Walaupun subuh Isnin lalu adalah subuh yang paling getir untuk aku dan Angah melihat tragedi yang trajis berlaku di depan mata,  aku tetap cuba teguhkan hati. Aku lalui hari siang seterusnya dengan wajah yang seperti tidak terjadi apa-apa. Hanya aku dan Angah sahaja yang tahu.

Aku bawa mak saudara ibu_suri, Cu Ton ke rumah kakak ibu_suri, kak Oyah di Taman Bukit Jambul. Mereka mahu bincang perihal tanah pusaka yang masih ada di Gunung Panjang, Gopeng, Perak.

Sedang rancak mereka berbincang, suami kak Oyah, Abang Sham balik dari Sekolah Agama Rakyat membawa pulang anak-anak angkat mereka.

Sedikit terhibur aku melihat keletah mereka 5 beradik. Nak kata nakal, tidak juga. Mereka sebenarnya anak terbiar. Abang Sham ambil mereka dari rumah setelah dapat tahu mereka ini ada bau-bau bacang dengannya. Keluarga lain tidak mahu memelihara mereka. Mau tidak mahu Abang Sham dan kak Oyah menyanggupi walaupun mereka sendiri sudah tua untuk menjaga anak-anak kecil lima beradik ini.

Emak mereka mengidap penyakit gila meroyan hingga tidak mampu mengurus diri sendiri. Anak-anaknya terbiar merayau-rayau mencari makan di tepi jalan atau meminta-minta. Badan mereka penuh kudis. Rumah mereka kotor dengan bau hamis, hancing dan  semut menghurung sisa makanan. Bapa sudah tiada lagi.

Abang Sham dan kak Oyah begitu sabar mendidik dan mendisiplinkan mereka. Kekadang aku sendiri tidak sanggup melihat mereka di rotan jika tidak mendengar kata.  Kalaulah kiranya aku  ditawar untuk menjaga mereka, belum tentu aku sanggup. Justeru aku wajar tabik pada keikhlasan mereka. Selut pada kesanggupan mereka menghabiskan sisa umur dengan tanggungjawap yang berat sebegini.

Sekarang kelihatannya, alhamdulillah, tingkah laku dan penampilan mereka sudah mula ada perubahan.

Ramai penderma dan NGO datang membantu termasuk NGO aku sendiri - Jamaah Islah Malaysia.

Hatta NGO non Muslim juga datang membantu. Kos membeli susu dan makanan ringan adalah antara yang amat diperlukan.

Sesekali bila difikirkan aku sendiri tidak sanggup menjaga mereka. Pagi-pagi hantar mereka ke sekolah. Tengahari ambil dan hantar pula ke SAR. Abang Sham akan memasak makanan untuk mereka.

Kalau kalian selalu berkata aku adalah suami yang penyabar dan setia pada isteri, Abang Sham mungkin lebih penyabar dan setia menjaga anak-anak istimewa ini.

Bagaimana kalian? Adakah tidak terusik dan tidak tergerak hati untuk membantu? Kerana mereka ini memerlukan sumbangan yang berterusan...

p/s: jika sudi bank in di no akaun CIMB - 07330000618202 -  ABU HANIFAH

Khamis, 21 Oktober 2010

Syurga Itu Tinggi Maharnya

Aku sesekali mengaleh pandangan ke kiri. Tampak wajah ibu_suri  yang suram. Air mata mengalir dan tumpah ke pipi. Berkaca-kaca disinari neon jalan. Aku faham dan turut menarik nafas panjang. Pastinya ibu_suri teringat Akhmal. Masih...

Segera aku teringat pada kawan akrabku. Kawan yang satu waktu dulu selalu bersama hingga dikatakan oleh lain-lain kawan seolah-olah kami ini saudara kembar. Bernasyid bersama. Bersilat bersama. Kemping bersama. Ke Gunung Tahan bersama. Malahan, ke Jepun juga bersama.

Nah, sekarang ini kami juga menerima mehnah yang hampir sama. Bergelut dengan   dugaan membesarkan anak bongsu yang terpesong jauh dari perjalanan yang lurus.

Tentunya kalau diceritakan kepada kawan-kawan lain seperti tidak akan percaya mereka.

"Eh, kamu kan aktif membuat program kebajikan. Menolong orang susah, Memberi kaunseling kepada orang yang bermasaalah. Mana mungkin kamu pula menghadapi anak yang bermasaalah?"

Ya.. Jika mengikut teori akal begitulah. Akan tetapi  sunnatullah mengatakan; lagi kuat amalan baik kamu, lagi kuatlah dugaan yang akan kamu terima.

Mahu tidak mahu kami berdua perlu terima hakikat takdir yang telah tertulis di Loh mahfuz.  Walaupun sebelum ini, semasa anak kami masih kecil dan semasa kami masih muda, tidak pernah terlintas akan berdepan dengan dugaan sebegini hebat di usia menjelang petang.

Rupanya, benarlah.: Syurga itu tinggi maharnya. Setiap yang layak ke sana mestilah melalui ujian yang juga tinggi harganya.

Masih ingat pesan mak; IM, kamu lalui hidup ini satu persatu dengan sabar. InsyaAllah, satu hari nanti akan selesailah semuanya.

Mata ibu_suri masih tetap pejam sedari aku mula bawanya keluar rumah hingga kini  sudah hampir kembali ke rumah. Beginilah aku saban malam. Sebaik sahaja balik dari kerja dan selesai sembahyang, aku akan bawa ibu_suri berjalan-jalan untuk hiburkan hatinya.

Kalau tidak aku yang menjadi teman hidupnya sejak 25 tahun lalu, siapalah lagi yang akan pedulikan dia!