Rabu, 12 September 2012

Surat Buat Naqib

Naqib,

sumber
Maaf kerana malam ini aku tak dapat nak hadir usrah.  

Aku tahu ini usrah pertama selepas sebulan kita bercuti lewat Ramadhan. Usrah ini penting seumpama tiang-tiang yang akan menegakkan jamaah. Penting dalam menyebarkan kefahaman dan menegapkan keyakinan pada kesatuan ummah. Penting untuk membina kekuatan dalaman diri dan kekuatan ibadah.

Tapi malam ini aku benar-benar minta maaf. Bukan kerana aku terpaksa lambat untuk ke usrah seperti selalunya lantaran balik lewat dari kerja yang jauhnya berbelas-belas kilometer dari rumah dan mengharung puluhan kereta yang berasak-asak. Juga bukan kerana terpaksa uruskan dulu keperluan makan dan mandi ibu_suri sebelum aku berpergian.

Malam ini aku sebenarnya tidak dapat hadir kerana menerima sms dari Akhmal baru sebentar tadi. Akhmal sekarang ditahan polis dan kini berada di IPD Perda. Aku percaya kau maklum hal ini. Bukan baru sekali. Dah banyak kali hingga aku sendiri jadi mangli.

Namun bukan sangat aku tak hadir usrah kerana nak tengok Akhmal di IPD. Aku dah suruh Angah pergi kerana ke IPD itu seperti sudah cuak rasanya. 

Aku tak hadir usrah malam ini kerana aku masih belum malah tidak tahu bagaimana nak beritahu ibu_suri berita ini.

Naqib,

Maafkan aku. Bagi aku, siapa yang memakan garam dialah yang mengetahui bagaimana rasa masin. Siapa yang mempunyai isteri separa normal seperti aku ini, dialah yang lebih mengetahui serba salah bagaiamana untuk menyampaikan berita pedih tentang anak tanpa menggugat emosi halus seorang ibu_suri!

Sekali lagi maaf yangmana aku memilih untuk tidak hadir ke usrah hari ini demi mudah-mudahan akan dapat hadir usrah di hari-hari esok!

Wassalam.

10 ulasan:

Deru Ombak berkata...

Malam ni, waktu begini dengan hujan lebat di luar sana, mata saya masih lagi terkebil2. Datang baca surat IM. Saya kelu!

Anonymous berkata...

Ya Rabb! Kau mudahkanlah urusan saudaraku ini. Kau kurniakanlah kesabaran kepadanya. Tabahkanlah hatinya. Kurniakanlah cahaya keinsafan untuk anakandanya muga ia menjadi penyejuk mata dan jiwa buat sahabatku ini suami isteri. Aamiin.

kakcik berkata...

Semoga Allah mempermudahkan perjalananmu IM (tak tahu apa lagi hendak kakcik perkatakan...)

pB berkata...

berat mata orang yang membaca, berat lagi orang yang menulis menanggungnya

semoga Allah memberi kekuatan kepada IM utk menghadapi semua cabaran ini

nur berkata...

SEtiap kali baca ni saya doakan agar IM diberi hikmah untuk memberitahu ibu suri dan didoakan agar emosi ibu suri tenang sahaja.. AMin..

Anonymous berkata...

Speechless..Ya ALLAH,tenangkan kegelisahan IM dan beri kan ganjaran pahala pada sahabat ku ini,

Ibu n Abah berkata...

IM...
Besar sekali tanggungjawap yg IM perlu galas..
Insya Allah.. Jemaah IM akan memahaminya....

makchaq berkata...

Tak tau nak kata apa IM..

Makchaq doakan semoga Allah permudahkan segala urusan IM dan semoga Akhmal diberi petunjuk..

Ujang Kutik berkata...

Sdr IM,

Tidak dinafikan dugaan hidup yg keras itu menyakitkan.Semoga saudara kuat dan dapat menyelaraskannya dengan sebaiknya.

Sesungguhnya, saudara jauh lebih kuat dari kebanyakkan kami.

Anonymous berkata...

kami mengirim doa. ramai yang mendoakan. insyaAllah diberi jalan keluar.
kisah IM banyak pengajaran kepada kami yang tersangat ringan ujian berbanding IM.