Halaman

Jumaat, 28 Mac 2014

Sahabat

Semalam, JH mula bekerja setelah m/c sejak Isnin. Ketara benar pergerakannya yang perlahan. Belas berkerumun di hati. Sekalipun aku memang dikurniai Allah dengan sahabat baik disetiap fasa kehidupanku, akan tetapi sahabatku yang satu ini adalah yang terbaik dari yang baik itu.

Benar. Bila aku fikir-fikirkan kembali, setiap fasa kehidupanku, aku dikurniakanNya dengan seorang sahabat baik.

Semasa sekolah rendah, sahabat baikku bernama Yusuf Itam. Seorang anak yang (agaknya) sudah ketiadaan ibu bapa. Dijaga oleh kakanya yang garang. Yusuf Itam boleh aku katakan dipandang rendah oleh kawan-kawan lain ( malah guru sekolah ) kerana kulitnya yang hitam. Tetapi kerana dipandang rendah dan kulitnya yang hitam itulah aku menjadi sahabatnya... dan kami cukup baik. Dari Yusuf Itam aku hampir tahu kebanyakan lagu Hindustan!

Menginjak ke sekolah nenengah rendah di Sekolah Anderson ( 1973 ), aku diberiNya pula kawan baik bernama Roslan. Tinggal di Kampung Tengku Hussein Lama. Baiknya aku dengan dia hingga kenal seluruh ahli keluarganya. Selalu ke rumahnya bila hujung minggu dengan berbasikal. Hem.. Punyalah baik hingga satu hari hari maknya pernah meminta aku mengambil salah seorang dari anak perempuannya sebagai calon isteri. Haaa.. Manalah aku sanggup beristerikan adik kepada kawan baikku!

Bila berpindah ke SM Raja Chulan untuk ke tingkatan 4 ( 1976 ), aku mendapat 3 sahabat baik sekaligus. Kami buat grup studi dan kami beri nama JASS. J adalah anak kepada pemilik cafe di Stesyen Keretapi Ipoh. S khabarnya sekarang ini menjadi guru. Dan S yang satu lagi adalah pelajar Melayu tunggal yang mendapat A dalam semua subjek masa SPM tahun itu. Kini menjadi doktor.

Masa ini, dikampung, aku berkawan baik dengan Ja'a. Rumahnya tak jauh dari sungai yang membelah kampungku - Sungai Kinta. Dia selalu datang ke rumah dan bincang-bincang tentang pelajaran dan hal-hal kampung.

Masa itu, SPM kalau gred 3 memang susah nak sambung belajar. Kalau gred 2, boleh pergi ke politeknik. Atau paling tidak kalau gred 4 pun boleh mengulang atau sambung belajar ke sekolah vokesyenal. Akhirnya, aku mengadu nasib untuk memasuki Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur ( 1980 ). Di sini, aku berjumpa dengan Aziz Jaafar, yang di akhir tempoh 2 tahun pembelajaran, dia dinobatkan oleh IKMKL sebagai pelatih terbaik jurusan Elektronik RTV. Kami satu kelas tapi berlainan bilik di asrama. Dari dia aku kenal musik Blues dan Reggae. Dia tinggal di belakang SR Sungai Rambai, Melaka.

Bila aku mula bekerja di Hitachi, aku mengikuti kelas mingguan Dr Danial yang masa itu di Tapak Pesta. Aku mula diintip oleh jamaah yang aku anggotai sekarang ini. Aku mengikuti grup pendaki dan selepas berjaya mendaki Gunung Tahan inilah aku mula akrab dengan JH. Kami sama-sama menubuhkan kumpulan Nasyid Al Muhajjir, sama-sama menjadi murid Seni Silat Pusaka Gayong, menubuhkan Kelab adventure RINTIS, menerbitkan risalah bernama Jendela Hati untuk edaran umum sebagai salah satu usaha dakwah dan di tempat kerja kami sama-sama giat dengan kebajikan pekerja Muslim atas nama JK Surau. 

JH adalah sahabat yang memang terbaik kerana dia sentiasa berada di sisiku ketika susah dan senang terutama saat-saat genting aku tatkala ibu_suri jatuh sakit sekitar 2008 ~ 2010.

Begitu salasilah sahabatku yang kata orang berbeza dari yang bernama kawan!

15 ulasan:

❤Kamsiah❤ berkata...

sahabat yg sanggup susah bersama,sukar ditemui...bertuahlah jika kita dikurniakan sahabat seperti itu...

smbotak berkata...

ini baru dikatakan sahabat kan? tuhan hantar mereka ni untuk jadi pendorong kita...

insan marhaen berkata...

kamsiah,
ya.. sahabat ialah yang selalu bersama kita ketika susah dan senang.

smbotak,
betul agaknya. Tuhan tahu siapa sahabat yang sesuai dengan kita.

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulilah..IM di kurniakan sahabat yg baik2.

ANIM berkata...

sahabat setia sukar dicari...

insan marhaen berkata...

tanpa nama,
ya.. memang sesekali fikir, amat bersyukur.

anim,
tetapi lebih sukar menjaga hatinya apabila sudah ditemui.

Jay Ar berkata...

Setiap kali sahabat kita sakit, kita juga terasa kesakitannya. Dan bila sahabat karib pergi mendahului kita, rasa seperti ingin menyusulinya ketika itu, hancur luluh rasa hati...

Nor Azimah berkata...

wah..sahabat dunia akhirat lah ni

insan marhaen berkata...

JR,
Begitu juga yang IM rasa. Sebak bila dapat tahu (lewat) atas apa yang menimpa JH.

Azimah,
Harap-harapnya gitulah...

BUNDA a.k.a KN berkata...

Itulah baru dinamakan sahabat sejati...kawan memang ramai kan...

Salam petang selasa...lama tak menjengah kesini...

sud@is berkata...

sahabat sejati
hilang dicari jauh dirindui
susah senang bersama

NzA berkata...

Terkadang kita dikelilingi rakan2 tapi tak semua serasi dan boleh dijadikan sahabat.

insan marhaen berkata...

Bunda,
Sesekali datang singgah bermakna masih ingatkan IM..he..he..

sud@is,
ya.. selain adik beradik dan jiran, sahabat adalah teman penting dalam kehidupan.

NzA,
sebab itu dikatakan sahabat itu berbeza dari rakan.

faizah berkata...

Baca kisah IM, teringat yang ni....

Hadis Imam al nawawi diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim tentang tujuh golongan yang akan dinaungi Arasy di akhirat.
Antaranya, adalah dua sahabat yang bersahabat kerana Allah, mereka bertemu kerana Allah dan mereka berpisah kerana Allah.

Temuk berkata...

Salam IM
Jika seseorang itu sahabat baik kita, insyaAllah kita sahabat baik dia. Kita dan dia jadi seperti aur dengan tebing.