Rabu, 22 Oktober 2014

Gerak Hati


Aku pandang keliling. Terasa semangat ini teramat down. Aku lebih banyak tidur. Berkali-kali, berulang pagi, petang dan malam soalan yang sama  oleh ibu_suri menancap gegendang telinga.

"Kata nak balik kampung. Bila?"

Aku bungkam. Tak terkeluar apa perkataan pun dari peti suara. Ianya bagai tersekat di kerongkong.

Angah pun tadi bertanya. Soalan yang sama.

"Ibu kata ayah nak balik kampung?"

"Ntah. Tak ada gerak hati untuk balik," terus mengaleh ke topik perbualan yang lain.

Kenapa? Aku pun henjut bahu... tak ada jawapan!.

Masa memandu aku terbayang wajah kurus mak. Sesekali mak mengelap air liur yang meleleh di sudut kiri bibir bila banyak bercakap. Cakap mak walau kemanapun akan akhirnya kona menyebut nama abah.

Aku tahu sejarah hidup mak dengan abah. Kalau pun tidak semua tapi sebahagiannya... ya!

Aku anak sulong. Aku pernah tengok mak menangis kerana keperitan hidup semasa abah menghidap skizofrenia. Jiran-jiran ada yang simpati, Tak kurang yang mengejek.

Mak pernah cerita bagaimana deritanya dia selaku menantu tatkala sebumbung dengan opah ketika baru kahwin. Kerana itulah mak beriya-iya minta abah buatkan rumah sendiri hatta buruk... kata mak.

Bila harga getah jatuh dan sungai Kinta mula tercemar dengan sisa buangan kilang di Tasek, mak menukar sumber rezeki dari menoreh getah dan melanda bijih timah kepada mencuci kain di rumah taukeh Cina di Taman Ipoh. Taukeh Cina itu boleh dikatakan semuanya baik dan simpati dengan mak. Mereka percaya dan sayang pada mak sebab mak seorang yang amanah dalam kerjanya.

Aku masih ingat semasa di SM Anderson, mesti berpakaian baju dan seluar panjang warna putih. Mak takada duit nak belikan aku seluar panjang putih yang baru. Taukeh Cina itulah yang bagi pada mak. Dan seluar yang sehelai itulah, mak alter hingga sesuai untuk aku memakainya. Dan yang sehelai itulah aku pakai hingga entah sampai bila... aku pun tak ingat.

Aku berazam untuk balik dalam minggu ini juga. Mungkin kekadang gerak hati tak boleh sangat dijadikan nas untuk bertindak. Perlu diimbangi dengan deria akal juga.

Aku harap siang esok aku berpeluang basuh kereta. Malamnya, hadir usrah. Lusa, aku bolehlah balik jumpa mak. Aku perlu siap siaga berlapang dada dengan ragam ibu_suri yang orang lain tidak akan nampak melainkan aku sahaja kerana aku selalunya menutup ia dari dilihat oleh orang lain.

Kecuali mak yang aku tahu, walaupun aku cuba selindung, mak tetap akan dapat membacanya sebab maklah yang melahirkan aku. Mak yang membesarkan aku dengan susahpayahnya. Tentu saja, gerak hati mak lebih tajam dari aku!

8 ulasan:

Ibu n Abah berkata...

Benar IM
Gerak hati seorg ibu mmg superb...(tiada tandingan)
Arwah mak akak sentiasa tahu lauk apa yg akak mahu makan lunch pd hari itu walau akak masih berada di sekolah...

Nor Azimah Ali berkata...

turut terasa gelodak jiwa IM tu, antara keperluan ibu-suri dan khidmat bakti seorang anak kepada ibu, tapi kan IM..ibu kita itulah seorang.....tiada gantinya..

Nor Azimah Ali berkata...

turut terasa gelodak jiwa IM tu, antara keperluan ibu-suri dan khidmat bakti seorang anak kepada ibu, tapi kan IM..ibu kita itulah seorang.....tiada gantinya..

NzA berkata...

hanya insan bergelar ibu yang akan faham dan memahami apa yg terbuku dilubuk hati seorg ibu.....

JR berkata...

Sementara dia masih bernafas, baliklah sekerap yang mungkin. Tak perlu tunggu gerak hati, bila ada kelapangan boleh balik. Bila kita sudah kehilangan ibu dan ayah seperti saya, selalu datang rasa rindu yang tak akan mungkin terubat itu....

Unknown berkata...

Bahagia sesiapa yang masih ada ibu dan bapa.

Curahkanlah belas kasihan dan kasih sayang.

sud@is berkata...

Selagi ada emak balik lah, kunjungan anak2 membahagiakan ibu bapa wpun sekejap...

insan marhaen berkata...

Ibu n Abah,
Ha.. ha... mak IM pun selalu masak yang IM suka bila balik kg. Cuma IM je yang tak boleh nak tahu apa yang anak-anak IM suka makan selain ayam...

Nor Azimah,
Ya lah.. ibu kita sorang. Dah tu... hujung usia pula. Tak banyak masa lagi untuk bersamanya.

NzA,
Ibu melihat melalui 7 sense yakni deria rasa. Deria itu hanya ada pada yang melahirkan kita.

JR,
Sudah tentu IM akan balik. Takada alasan untuk tidak balik kalau masa, duit dan kenderaan ada.

Ujang Kutik,
Berbanding abah, IM lebih rapat dengan mak. ALhamdulillah, masih ada mak hingga kini.

sud@is,
IM akui. Macam juga kunjungan anak-anak IM ke rumah IM ini. Bila tiada mereka tersa sunyi.