Selasa, 22 Mac 2022

Puasa

Tak lama lagi nak puasa. Tarikh bila yang tepat aku tak tahu. Memang dari dulu begitu. Yang selalu mengingatkan aku tentang tarikh sesuatu itu selalunya ibu_suri. Kini dia dah tiada, aku lalui sahaja hari-hari yang berlalu tanpa sasaran.

Sesekali fikir, puasa tanpa sesiapa di sisiku kali ini agak mudah (walaupun sunyi). Aku hanya urus diri aku sahaja. Rasanya berbuka puasa, beli sahaja di bazar Ramadhan (kalau rajin singgah dan bersesak); sekali dengan makan malam. Untuk sahur, aku pergi sahaja makan di kedai yang memang buka untuk sahur seperti kedai Kak Nah di simpang Kampung Tok Elong.

Kak Nah juga sudah kematian suami. Lama semasa ibu_suri masih ada lagi. Suaminya seorang yang gemar berbasikal dan aktiviti adventure dengan 4X4.

Lauk pauk di kedai Kak Nah tidaklah best sangat; tak juga tak best sangat. Mungkin sebab aku dah kerap sangat makan di sana.

Kedai Tok tepi masjid Kubang Semang aku tak pasti akan buka atau sebaliknya.

Sekarang ini aku kerap terjaga bila jam 3, 4 atau 5 pagi. Bila dah terjaga sukar nak pejam semula. Kalau terasa lapar, aku makan biskut atau megi sahaja. Ada juga aku beli bubur cup untuk spare bila lapar. Tak tahu apa lagi makanan segera yang boleh aku buat beli dan simpan bila bila diperlukan. Ada idea?

Pernah aku beli bubur mushroom. Tapi bila aku makan, tak best pula rasanya.

Aku harap aku akan dapat konsisten bertarawih di masjid. Dekat sahaja sebenarnya masjid dengan rumah aku. Kalau ikut zaman Khalifah Umar ( maaf kalau silap), kalau aku tak berjamaah di masjid, layak di bakar sahaja rumah aku ni.

Beberapa orang kawan menggalakkan aku kawin lain. Malah ada yang berkata: anta cakap ya sahaja. Yang lain semua kami uruskan.

Aku ketawa sahaja. Dalam kepala aku terbayang kalau berkahwin nanti, nak bagi makan apa istri baru aku. Aku tak tahu stail dia macam mana. Jangan jangan high demand. Aku ni dah la kerja pun bawah taraf B40. Takat layan tekak sendiri boleh la.

Namun aku tahu, aku tak boleh lah layan malas aku sahaja. Boleh cepat mati kalau otak dan otot tak bergerak cergas.

Aku pun dah lama tak ziarah pusara ibu_suri. Sekadar mendoakan dia dari jauh sahaja. Entahlah... Bekerja ini pun aku rasa takat 2~3 tahun sahaja lagi. Aku pun dah tak larat bergerak pantas. Atau malas nak berfikir deras. Juga dah tak kuat jiwa bila hadapi masaalah kerja.

Muga muga aku damai sahaja dalam meniti hari hari senja...



4 ulasan:

Warisan Petani berkata...

Semoga Allah permudahkan segala urusan seharian IM

Ammi berkata...

susah2 berbuka saja di surau..biasanya ada banyak orang sedekah makanan disitu.

Semoga Allah merahmati saudara

Wak Lat berkata...

ustad nasihat elok kalo terbangun pagi solat tahajjud dan solat taubat .. aminn

SalbiahM berkata...

semoga diberi kekuatan dan ketabahan hati beribadat selagi ada kudrat. hidup perlu diteruskan. bila berterawih dapat juga bergaul dengan jiran. kurang sunyinya