Rabu, 11 April 2012

Reput Tulang

Aku memukul kompang-kanan bersama rakan-rakan MUHAJJIR ketika persembahan nasyid di salah satu seminar anjuran UNIT KAUNSELING ISLAH, JAMAAH ISLAH MALAYSIA yangmana ibu_suri adalah salah seorang ko-kaunselor. Blogger JH berdiri di belakang-kanan.

Seperti malam selalunya, ibu_suri tidak dapat memicing mata lalu meminta aku menyanyikan satu lagu untuknya di ketika jam berada di 2.30 pagi. Aku yang baru saja berada di katil seusai melayari blog untuk membaca berita terkini tanah air dan masih belum ada rasa kantuk, berbisik;

"Malu arrgghh.... orang lain dinihari macam ni bertahajjud tapi you suruh abang menyanyi pulak!"

"Tak pa la.... I tak boleh tidur ni. You tak apa la... sat lagi krohhh.. krohhh... la tu!"

Sambil menepuk belakang ibu_suri aku pun tak mahu banyak ragam, perlahan-lahan aku menyanyi. Lagu yang memang selalu aku nyanyikan semasa ibu_suri masih sihat dan aktif dulu apatah lagi tatkala seperti hari ini. Lagu yang liriknya itu sebenarnya tertuju pada diriku sendiri dan dia.

" Beginilah nasib diriku yang malang, Oh Tuhan!
  Tak boleh bersenang lenang
  Berihat sekejap isteri dah meradang
  Kerja berat takut reput tulang.

 ( ibu_suri ketawa....)

  Tidaklah boleh ku kenanglah kenang
  Oh airlah mata aii.. jatuh berlenang
  Karam di laut dapat ku renang
  Karam di hati nak bayar hutang

 ( ketawa lagi.... )

  Beginilah nasib diriku yang malang, Oh Tuhan!"

Diam....

" Err.. Nyanyi lagu Tidurlah Permaisuri lah pulak!"

"Tak boleh. Tu suara Jamal. Pitchnya tinggi sangat. Nanti blogger Jendela Hatiku kat belakang rumah tu tak boleh tidur pulak!"

Sambil menepuk belakang ibu_suri, aku teringat pada masa depan anak-anakku; Along, Angah dan Akhmal. Klip video temubual Dayangku Intan yang aku tonton di blog tadi masih terngiang-ngiang. Entah bila masanya aku terlena sedangkan ibu_suri aku percaya masih terkebil-kebil menyusuri hari yang semakin pagi!

Isnin, 9 April 2012

Seperti Pagi Yang Tiada Sarapan

Sebenarnya aku amat senang dengan blog aku ini dan yang ini. Bagi aku setiap hari jika tidak menatap blog aku ini seperti pagi yang tiada sarapan.

Biarlah apa orang lain nak kata; ini adalah hakikat yang ada dalam diriku sendiri. Meminati penulisan adalah sesuatu yang tumbuh sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Lebih subur pabila abah menghadiahkan sebuah mesin taip sebaik sahaja aku mendapat keputusan 11 agregat dalam SRP 1975. Begitu bangganya abah bila dapat tahu karya bilisku selalu tersiar dalam majallah dan radio Ipoh masa itu.

Aku seorang yang pendiam. Tak punya ramai kawan. Jadinya, menulis akan membuatkan aku puas untuk meluahkan apa yang bermain dalam dada dan kepala. Kekadang, masa cikgu mengajar, ilhamku datang dan aku menulis di tepi buku nota. Masa aku berada di bilik air aku berdeklamasi dengan sendiriku.

Sekali lagi aku sayang blog aku ini yang walaupun tidak sehebat blog lain orang. Aku berterima kasih kepada dunia siber yang memberi ruang dan peluang untuk aku menulis dengan mudah dan menyimpannya (entah di mana) untuk di baca semula bila-bila teringin.

Menulis dan mendengar lagu adalah seiring dengan jiwa halusku yang mungkin mewarisi darah seni abahku. Tapi tidak seperti dulu, aku kini lebih gemar menulis dan mendengar lagu-lagu kemanusiaan dan keTuhanan.

Kekadang, aku juga membaca Quran dengan lagu aku sendiri. Yang mungkin tidak sedap taranumnya di telinga orang lain tapi cukuplah buat hiburan hati sendiri.

Ahad, 8 April 2012

Menjerit

Aku berharap sangat agar ujian yang selama ini aku hadapi tidak pula menimpa kepada anak-anakku, saudaramaraku malah sahabat handaiku. Ianya teramat berat. Belum tentu mereka mampu menerimanya sepertimana aku.

Bukan mudah untuk berkongsi hidup bersama seorang insan yang menghidap mood disorder (gangguan perasaan). Perlu ketinggian kesabaran, kebijaksanaan bertindak, teguh pendirian dan tegar menelan segala kata-kata yang pahit. Perlu kebal meneroka segala kejemuan aktiviti hidup yang stereotaip.

Jika tidak kerana aku memegang pada amanah yang aku terima setelah - ' aku terima nikahnya ....' belum tentu aku masih di sini.

Pernah aku katakan pada Angah; kalau orang lain menjadi seperti ayah mungkin ibu menjadi seperti mana yang kamu lihat bergelendangan di tepi-tepi jalan itu!

Sungguh! Aku buka merapek. Itu kata doktor Psikiatrik yang selang 3 bulan aku bawa ibu_suri untuk dirawat itu. Doktor itu sendiri berkata; Saya tabik dengan awak. Kalau orang lain bukan 4 tahun tetapi 4 minggu sahaja dia sudah lari. Tak tahan!

Ahhh.... ibu_suri yang sedari tadi merungut kenapa aku masih belum tidur seperti memberi warning dengan membilang 1..2..3... 

Aku perlu masuk tidur sebelum kiraan ke 4 walaupun sebenarnya aku masih mahu berada di depan pc ini. Walau hatiku terasa bebal lewat masa-masa privacyku sudah semakin tiada dek terkongkong namun aku masih mesti mengukir senyuman. Kekadang rasanya mahu saja aku menjerit!

Khamis, 5 April 2012

Terlebih Islamik

Beberapa hari lalu aku singgah di Masjid Syeikh Abdul Kader, Bukit Mertajam. Masjid ini memang antara masjid yang menjadi kegemaran aku untuk bersolat atau rehat setelah penat berurusan.

Terasa mahu buang air kecil, aku berjalan memasuki bilik air. Mungkin kerana masjid ini menjadi tumpuan ramai orang, bilik airnya tidaklah dapat aku kategorikan sebagai A. Mungkin D.

Semasa memilih selipar yang disediakan khas untuk memasuki tandas, keluar seorang pak cik dari salah satu tandas lain lalu;

"Assalamualaikum!" sambil tersenyum memperbetulkan kopiah. Manis wajahnya.

Aku jadi terpinga-pinga. Biaq betoi pak cik ni. Islamik terlebih pula sampaikan berada dalam tandas pun masih nak bagi salam!

Selasa, 3 April 2012

Sebelum ke PICC


Rutin rawatan susulan ibu_suri di Klinik Kesihatan Kubang Semang hari ini. Dr Azlina yang cukup Islamik dan baik terus memberi peransang supaya ibu_suri terus menjaga makan dan senaman demi kesihatan  lebih baik.

Berat: 121.8 kg ( sebelum: 122.7 kg) )
Gula: 8.5 ( tak berubah )
Tekanan Darah: 180/100 ( sebelum 190/120)

Lantaran tekanan darah tinggi masih tidak menyeronokkan hati doktor, dos untuk pil hipertensi ditambah.

Balik ke rumah, aku berbaring di katil. Ingin lupakan sebentar semua simpang-siur. Hujung kepala mula berdenyut walaupun ringan. Akhirnya terlelap.

Esok lusa perlu ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mengambil stok baru ubat psikiatrik ibu_suri. Ini semua adalah persediaan untuk ibu_suri sebelum ke PICC 14 April ini.