Rabu, 14 April 2010

Siap Siaga

Sebab itulah pentingnya kereta kita selalu dalam keadaan siap siaga untuk dipandu bila-bila masa dan ke mana sahaja.Bersih, tayar yang cukup angin dan servis yang tip-top.

Begitu juga sentiasa ada satu beg di dalam kereta mengandungi baju beberapa helai, alat mandian, solekan dan aksesori sembahyang keperluan ketika bermusafir.

Dan untuk kes aku, sebuah doa yang panjang di sujud terakhir sembahyang sebelum bertolak agar diberi kekuatan jiwa dan raga untuk berhadapan dengan apa jua kemungkinan samada dari ibu_suri atau Akhmal.

Walaupun asalnya aku hendak jenguk Akhmal pagi Selasa untuk mengelakkan dari kos berganda dengan bermalam di hotel namun Isnin malam aku mendapat panggilan talipon;

“Akhmal sedang dibawa ke dewan bedah. Doktor akan membuat operation sekejap lagi.”

Rasa bersalah tiba-tiba menyerbu seluruh dadaku lewat sms dari pegawai STB Nur Hafizah itu. Aku segera meminta ibu_suri bersiap-siap untuk bertolak. Bukankah sepatutnya kami berada di sisi anak di saat-saat dia akan diusung ke Dewan Bedah? Wang soal kedua sepatutnya. Aku masih ingat beberapa tahun lalu tatkala dia diberitahu akan di buat pembedahan appendiks di Bagan Specialist Centre. Dia menggenggam tangan aku dengan erat menandakan dia gentar dan gusar. Dan pastinya saat begini dia juga memerlukan aku di sisi sebagai penguat semangat.

Aku menyeluk kocek seluar. Mengira not RM yang aku ada. Aku melepaskan nafas yang sesak. Inilah kelemahan aku. Tidak pernah ada wang simpanan untuk kes luar jangka seperti hari ini.

Aku menalipon Angah. Anakku yang seorang ini memang banyak membantu aku di kala aku memerlukan. Lega sedikit hatiku bila dia sanggup top-up sedikit untuk menampung kos perjalananku ke Hospital Besar Taiping.

Sepanjang pemanduan di Lebuhraya PLUS aku cuba mententeramkan diriku agar tidak tampak oleh ibu_suri akan kegusaran di wajah. Seperti pemanduan sebelum ini ibu_suri banyak berleter tentang itu dan ini yang sebenarnya tidak membantu malah menambah serabut kepala aku. Hinggakan;

“Eh… u keluar simpang kirilah. u pi terus nak ke mana?” disertai dengan satu cubitan di peha kiri. Aku menahan kesakitan. Ini bukan cubit sayang tapi cubit marah.

“u ingat sapa.. hah!”

Aku akui sebenarnya aku hampir terlajak dari memandu ke arah susur keluar Bandar Taiping. Dalam bab berjalan, ibu_suri selalu menjadi co-pilot aku. Banyak sangat perkara yang bersarang dalam kepalaku membuatkan aku kekadang hilang tumpuan.

Mencari lokasi Hospital Taiping di malam begini satu hal juga. Jenuh putar dan bertanya.

Di pintu hospital, aku minta ihsan dari pengawal pintu untuk masuk sekejap melihat Akhmal. Dia sudah pun tidur. Aku agak dia mesti mamai akibat klorofom yang disedut sebelum pembedahan tadi.

Aku cuba mententeramkan ibu_suri sekaligus mententeramkan diriku sendiri. Aku kemudiannya memutuskan untuk mencari hotel bermalam kerana jam sudah pukul satu. Mencari hotel yang menepati ciri-ciri yang ibu_suri mahu terima juga satu perkara yang memeningkan juga. Akhirnya pencarian hotel yang ke5 baru ibu_suri setuju untuk bermalam.

Akulah yang kena banyak sabar dan bijak bermain taichi….

6 ulasan:

kakcik berkata...

IM masih di Taiping ke? Bagaimana keadaan Akhmal?

(STB tu singkatan untuk apa, ya?)

ain fathihah berkata...

STB > sekolah tunas bakti, rasanya lah.
betul kan?

moga anak encik IM cepat sembuh

hentian berkata...

Betul jawapan Ain. 100 mata penuh..he..he..

Akhmal dah kembali semula ke STB. Doktor tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kenapa Akmal muntah hampir separuh baldi kecil itu...

Dan doktor sempat memohon maaf kepada IM. Pembedahan itu akhirnya dibatalkan kerana salah maklumat...

Ariff Budiman berkata...

Semoga Akmal bertambah sihat dan kepada IM tabah menghadapi dugaan yang tidak terfikir. Aku hanya mampu doa dari kejauhan

Dama-Ulan berkata...

Salam,

Bersabarlan dan ini semua adalah kehendakNya. Setiap manusia akan diuji dan sejauh mana ujian itu kita dapat hadapai kerana disitu keimanan kita dinilai..

Aggaplah ini "Afaaltullah" sesungguhnya kita hanyalah Sifat yg sentiasa mengharapkan keredhaan Zat yg maha besar..

Saya doakan agar saudara dapat kuatkan semangat utk hadapai ujian di muka bumi ini...

p/s: kalau kita susah, ada lg org yg lbh susah.. kalau kita kuat, ada lg org yg lbh kuat...
Sekian...

hentian berkata...

Tkasih atas nasihat yang amat bernilai.