Jumaat, 16 April 2010

Oh Duniaku!

Usai saja solat Jumaat tadi tengahari, aku melangkah keluar dari Masjid Bayan Baru. Bersama ramai orang, berpusu-pusu keluar dan menyeberang jalanraya yang juga sibuk dengan simpang siur kenderaan. Panas sungguh hari ini. Berpeluh-peluh aku semasa solat. Kurang selesa.

Terfikir aku, kenapakah Tuhan biarkan manusia kerdil seperti aku ini kepanasan. Apakah Tuhan tidak ada belas kasihan terhadap makhluknya yang tiada kemampuan mengubah cuaca alam?

Aku teringat Firman Tuhan yang lebih kurang bermaksud bahawa dunia ini telah dicipta sebaik-baiknya untuk manusia. Jika berlaku kemusnahan, tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri.

Ya.... Tuhan telah menjadikan dunia ini dengan sistem yang sebaik-baiknya. Dan sistem itu berdiri dan berperanan mengikut formula yang telah ditentukan tanpa mengelat walau sedikit pun. Tumbuhan dijadikan sebagai penyejuk bumi dan pengimbang Oksijen. Flora dan Fauna dijadikan sebagai pelengkap bagi sistem permakanan dan perkumuhan. Gunung-ganang pula dicipta sebagai pasak bumi.

Kini bencana alam yang berlaku ialah kerana kesemua elemen ini telah dimusnahkan. Telah dikucar kacirkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Suhu makin meningkat kerana semakin kurangnya tumbuhan hijau. Bila udara semakin panas, sistem edaran udara juga jadi berkecamuk. Maka berlakulah tiupan angin dan ribut yang tidak sekata.

Agaknya apakah yang akan terjadi kepada dunia 1000 tahun lagi? Takut pula aku bila teringatkan makna surah Az Zalzalah yang pernah aku bacakan semasa membuat persembahan nasyid di Tapian Gelanggang, Batu Uban satu ketika dahulu. Masih terngiang-ngiang lagi baris-baris makna yang mengatakan bahawa bila berlaku kiamat, segala isi bumi akan terbang melayang di udara umpama kapas yang melayang ditiup angin di udara.

Nauzubillah!

Tiada ulasan: