Rabu, 26 Mei 2010

Protes

Aku teringat semasa masih kecil sekitar 60an. Kehidupan yang susah. Kehidupan yang mana duit 1 sen masih boleh membeli seplastik air Lemonate atau ais kepal dari kedai Cina buat melepas dahaga ketika dalam perjalanan balik dari sekolah.

Satu hari, masa makan tengahari, entah kenapa aku tidak puas hati dengan masakan emak hari itu. Lauk yang dihidang amat tidak menyelerakan. Aku protes. Pinggan yang berisi nasi aku terbalikkan. Boikot. Tidak mahu makan. Lalu bertaburanlah nasi serta lauk itu di atas lantai. Aku tidak pula ingat atau mungkin tidak nampak bagaimana air muka emak ketika itu.

Bila sesekali aku teringat peristiwa itu di hari ini aku geleng kepala sendirian. Jauh di benakku aku terfikir kenapa aku sanggup berbuat begitu sedangkan aku tahu emak dan abah bukan mudah mencari rezeki. Hidup kami amat susah. Emak menoreh getah di sebelah pagi dan melanda bijih timah di sebelah petang sementara abah pula masih dalam rawatan schizrophenia.

Untuk mendapatkan duit buat membayar yuran peperiksaan pun terpaksa mencari botol-botol dan tin-tin buruk di belakang rumah lalu menjualkannya di kedai Cina. Entahlah...!


  • masih ada rupanya insan seperti ini di dunia yang serba maju dan bertamaddun hari ini.

2 ulasan:

kakcik berkata...

Bila diingat kembali, terasa betapa kesalnya, kan?? Tapi, masa itu yang kita tahu hanya memprotes tanpa memikirkan perasaan mahupun kesusahan yang ditanggung oleh orang tua kita.

hentian berkata...

Saya protes sesekali je. Berkorban yang banyak.. jaga adik-adik!