Jumaat, 11 Jun 2010

Kasih Erat Pabila Dalam Kesakitan

Sesampai sahaja di rumah aku akan terus mendapatkan ibu_suri. Seperti biasa dia akan duduk di kerusi depan tv di sebalik samar Maghrib. Mukanya sebek.

"Kenapa U lambat balik?"

"Tadi ziarah kawan di Hospital Pantai. Dia kena Denggi. Kenapa tak pasang lampu?"

"Tak mau. U dah cari sapa-sapa ke untuk ubat I?"

"Hmmm... tengah tanya kawan-kawan. Sabarlah... Nak makan? Ni abang beli pizza kat Pasar Tani tadi."

Ibu_suri memejam mata. Aku sentuh kakinya. Hangat. Aku sentuh tengkuknya. Tidak ada tanda-tanda demam.

Sudah sebulan ibu_suri mengadu sakit gigi. Dan sudah 3 klinik gigi aku rujukkan dia. Klinik gigi Seberang Jaya. Dia tak puas hati. Pergi pula Bhar Dental. Juga tak puas hati. Akhir pergi ke klinik gigi Ameen. Duit mengalir bagai air sungai lepas hujan.

"Gigi dia ok. Dia ada masalah gusi ni. Kena selalu kumur dengan air garam," beritahu doktor Ameen yang aku kira lebih berumur dari aku.

"Kenapa kumur dengan air garam?" sengaja aku ingin tahu.

"Memang. Kumur dengan air garam baik untuk gusi. Tok-tok kita dulu pun amalkan cara begini untuk jaga gigi."

Menjaga ibu_suri mutakhir ini memang membimbangkan. Lebih-lebih lagi sejak dia balik dari menghadiri pengkebumian bapa saudaranya di Bidor seminggu lalu. Aku pun terlupa lantaran membawanya terus ke kubur tanpa mengambil kira badannya yang 'lemah'. Sejak itu karektornya berubah 180°. Dari agresif kepada murung. Dari selalu bercerita hendak buka tadika, hendak berjumpa dengan ADUN Penanti kepada banyak mendiam diri. Huh, begitu susah. Begini pun susah hati juga aku ini.

Dia semakin kurang makan. Bila di restoran, bertanyakan makan apa yang dia mahu, jawapan yang dia beri amat lambat. Aku pula yang terpaksa memberikan cadangan pilihan.

Badannya tampak lemah. Bila berjalan aku perlu pimpin ibu_suri. Bila memasuki kereta aku perlu bukakan pintu. Setiap masa aku akan bersama dia. Malah kekadang aku tertidur bila menemaninya di katil terlalu lama.

Sudah beberapa malam aku bersembahyang Tahajjud. Memohon pada Allah agar dipelihara akan ibu_suri.

Tatkala tidur malam, ibu_suri akan memegang tanganku erat. Terasa tangannya bergetar.

"I takut!"

"Takut apa?"

"Tak tau. I sunyi. Kekadang I risau."

"Risau apa?"

"Tak tau." Lalu menghamburkan air matanya yang begitu murah. Ini yang aku tak boleh tahan ni.

Aku cuba menalipon kakak-kakaknya memberitahu keadaan ibu_suri. Respon mereka agak tidak menggalakkan. Terasa pula kesal. Dalam hidup ini, fikirku, apa sahaja permasaalahan, paling baik biarlah sendiri yang menguruskannya. Jangan mengharapkan belas orang. Orang lain pun mempunyai masalah mereka tersendiri. Begitu sesekali aku beranggapan. Malah kekadang keprihatinan dari sahabat lebih hangat daripada keprihatinan adik beradik sendiri.

Namun walaupun kekadang aku rasa tertekan, rasa lemah dan rasa ketepuan pemikiran, aku akan melemparkan senyuman dan kata-kata semangat pada ibu_suri. Aku buatkan dia seperti tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

"Kita kena positif hadapi hidup ini. Syukurlah sebab U ada abang yang masih sihat untuk jaga U. Jangan lupa berdoalah banyak-banyak pada Tuhan. Tuhan Maha Kaya."

Ya... Sesuatu yang baru aku perasan bila ibu_suri berkeadaan begini ialah aku selalu bersolat jamaah dengan dia hatta solat subuh sekalipun. Aku selalu balik awal untuk melihatnya. Dan segala yang aku perbuat, belikan dan doakan adalah dengan segala ketulusan dan keikhlasan.

Aku bimbang dengan perkembangan terkini ibu_suri. Masa inilah aku teringat kawan-kawannya dulu yang sama-sama berjuang dalam NGO dan kepartian. Aku sengaja menghantar e-mail sekadar mahu melihat sejauhmana respon mereka. Entah! Aku tidak dapat merasakan balasan kehangatan ketahap yang aku harapkan. Mungkin puncanya dari kesilapan aku atau ibu_suri juga adanya.

Bila sesekali aku merenung ibu_suri yang sejak akhir-akhir ini juga hela nafasnya agak kasar, seperti benar kata sesetengah orang;

Kasih sayang kita kepada orang yang kita sayangi akan semakin erat pabila dia di dalam kesakitan!

7 ulasan:

Echam berkata...

Teringat saya dgn kisah ayah saya menjaga arwah mak. Siang malam dia menjaga arwah mak sampailah ke hembusan terakhir arwah. Dalam hati saya, mampukah saya jadi macam beliau. Kepada saudara, teruskan beri semangat kepada Ibu Suri dan paling penting sentiasa ingatkan Ibu Suri supaya jgn putus berzikir. Kerana dgn berzikirlah semanta kita yang 'lemah'akan kembali kuat....

ibuintan berkata...

salam Jumaat En. IM,
semoga tabah menjaga Ibu suri,
ditempat saya ada ustaz yg pandai mengubati orang sakit gigi,
dia gunakan kaedah paku gigi insyaallah ramai juga yang dah berjumpa beliau sembuh

mutiara bd berkata...

"Wahai orang yang beriman, mohonlah pertolongan pada Allah dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah bersama dengan orang yang sabar"

Surah baqarah 153

Ana dah lama baca pengalaman dan kisah pakcik IM tapi tak pernah berani nak tinggal komen.

Semoga ganjaran terbaik menanti pakcik di akhirat.

maiyah berkata...

aduii.. sakit gigi ke.. x mauuuuuuu
hrp ibu suri sembuh cepat, org sakit gigi tau2 je lah..

hentian berkata...

menjaga insan dual-emosi ni memang perlukan kesabaran, kebijaksaan dan lapang dada yang tinggi.

muga ianya tidak menimpa dirikita yang kemudiannya akan menyusahkan orang lain. biarlah akhir hayat kita memudahkan waris kita menguruskannya.

iBu...gUru berkata...

salam IM
bapa mertua saya berpengalaman menjaga isterinya yg kena angin ahmar sejak dari tahun 1998 hingga sekarang... sabar dengan kerenah ibu mertua saya yg kadang2 anak menantu pun tak sanggup menghadapinya.....saya pun kadang2 tak tahan dgn mulutnya tapi bapa mertua tetap sabar ..... moga IM dapat menanganinya dgn sabar kerana kesabaran itu hanya dimiliki oleh orang2 yang beriman sahaja....

hentian berkata...

TK ibu_guru. Nasihat ini amat memberansangkan IM...