Khamis, 21 Mac 2013

Terima Kasih, Blog!


Blog,

Maafkan aku kerana selalu mengadu keluh dan resahku saban waktu. Bagi aku, serabut yang bersarang di dada ini mahu tidak mahu mesti aku lampiaskan. Dan kepada kamulah semua itu aku tongsampahkan. Jika tidak begitu aku bimbang, aku akan jadi tegang. Atau paling aku tidak mahu akan menjadi gila.

Maafkan aku sekali lagi kerana selalu memetik butang-butang komputer tidak kira siang atau tengah malam. Justeru resah yang bersawang di dadaku ini juga tidak keruan jadual hadirnya. Sesukahati ia bertandang. Dan bila bertandang itu, jantungku akan berdebar-debar. Atau perasaanku jadi tak menentu. 

Kau tahu, selain menulis kepadamu; bila setiap kali resah itu bertamu, aku juga akan menarik nafas dalam dan menghembusnya sekuat hatiku. Bila begitu, sedikit sebanyak akan terasa lapang rongga dada. 

Kekadang juga bila resah datang bersekali dengan jemu dan buntu, aku ambil tuala. Di bilik mandi aku akan mencuci gigi, muka, rambut dan akhirnya seluruh tubuhku sepuasnya. Aku akan mandi semahunya. Aku akan menyarung pakaian yang paling aku suka dan sembahyang dengan sujud yang lama. Kemudian tidur di atas sejadah itu. 

Jika lebih meresahkan, aku akan ambil cuti tanpa pengetahuan ibu_suri dan memandu ke mana-mana RnR. Duduk di sana bersana komputer riba dan senaskah Harakah. Aku baca.. menulis.. sembahyang. Dan baca lagi…menulis dan sembahyang lagi hinggalah waktu petang. Akhirnya kembali ke rumah dengan harapan aku dapat kembali menatap wajah ibu_suri dengan dada yang telah pun lapang. 

Aku sebenarnya sayang akan isteriku walaupun sejarah perkahwinan kami kelabu. Aku sayangkan isteriku kerana Allah walaupun sebenarnya dia bukanlah seorang isteri yang aku harap dan angankan. 

Banyak perkara tentang hati dan perasaan yang tidak siapa tahu kenapa aku menerima luahan cinta isteriku dulu. Tidak siapa tahu apa sebenarnya yang ada dalam dadaku bila aku menyatakan pada mak bahawa aku ingin meminang kekasihku. Tidak siapa tahu kecuali Tuhan bahawa aku telah mengecewakan beberapa lagi wanita yang sebenarnya mengharapkan aku; yang sebenarnya lebih baik dari ibu-suri. 

Aku tidak reti untuk melihat kekecewaan hatinya yang menangis dan menangis di gagang talipon bila memberitahunya bahawa aku belum bersedia untuk bercinta. Dan kerana aku tidak tahu untuk menghampakan akhirnya aku menerima cintanya itu walaupun hati sebenarnya hambar. Dan kerana aku bukanlah lelaki yang pandai membelai dan memanjakan wanita maka rumahtangga kami selalu bergolak. Namun kerana prinsip hidupku: berkahwin biar sekali. Beristeri biar satu…. Aku pertahankan masjid yang kubina ini atas nama Allah.

Blog,

Terima kasih kerana engkau begitu setia bersamaku bila resah dan sunyi. Yang walau kekadang aku kekeringan ilham untuk menulis, memandang kamu pun sudah banyak melegakan jiwaku. 

Sekali lagi terima kasih. Agaknya, bila aku sudah tiada lagi di dunia ini, akan tinggallah kamu tanpa siapa lagi akan mengolek kamu! Doakan aku agar sentiasa tabah dalam hidup, setia menjaga ibu_suri dan sentiasa melangkah lurus di atas jalan Allah! 

Justeru aku lelaki biasa; yang entah apa-apa dan tidak pandai dalam apa-apa tapi masih mahu meneruskan hidup. Cita-citaku sekarang ini adalah ingin terus menjaga ibu_suri disamping terus menabur bakti kepada masyarakat melalui jamaah yang aku ada ini.

p/s: catatan ini terlalu peribadi. Tetapi aku tega menulisnya untuk koleksi biografi diri. Harap baca dan tamat di sini sahaja. Jangan kasi tau sama ibu_suri, ya...

15 ulasan:

Granny Hani berkata...

Serupa. Mujur lah di zaman ini ada blog. Tuhan tempat mengadu dan blog tempat meluahkan rasa..Blog kita, diri kita dan di sini suka duka kita tumpah.Stay strong IM, akak sentiasa doakan yg terbaik buat IM dan Ibu_Suri.

Ibu n Abah berkata...

IM..
Ticher hanny dah sampaikan apa yg ingin akak sampaikan..
Kuatkan semangat demi kerana ALLAH..
Semuga ganjaran yg baik menanti di sana.

❤Kamsiah❤ berkata...

sayu pulak membaca catatan IM ni...dgn meluah segala yg terpendam..diharap melegakan sedikit perasaan yg berkecamuk...pandangan org??biarkan mereka dgn apa jua tanggapan..

mokjadeandell berkata...

IM,
Makcik pun .Blog jadi tempat meluah rasa hati.Tapi banyak hati pula nak kena jaga..rasanya kalau tidak,entah apa yang makcik tulis....
Bila baca blog IM,makcik tahu diluar sana ada insan lebih besar dugaannya.Sabar itu pengubatnya.

mama maman aka yana berkata...

IM, hati sy jugak seakan berbisik seperti IM.. dan sama seperti IM sy suka berbicara diblog.. seakan damai seketika.. kann

Cik Wawa berkata...

semoha IM sentiasa tabah & cekal! c;

saz berkata...

Pertama kali menulis disini. Isteri atau suami kita mungkin bukan yang terbaik, tapi yakinilah mereka adalah yang terbaik buat kita. Setiap apa yang terjadi adalah atas keizinan Allah. Tiada apa yang akan terjadi tanpa keizinannya. Ujian adalah tarbiyyah dari Allah untuk meningkatkan darjat kita disisiNya. Semoga IM berjaya menjalani tarbiyyah dari Allah ini. Sesungguhnya syurga itu teramat tinggi nilainya.

Anonymous one berkata...

Saya bukanlah baik dan bijak macam orang, saya juga buat banyak kesalahan.


Saya datang baca log IM penuh keinsafan sebab ujian buat IM sangat berat.

Banyak yang saya belajar dari sini. IM pun selalu bagi komen blog saya terima kasih.

Terima kasih blog IM!

ujang kutik berkata...

Sdr IM,

Wauu...

Semua orang ada kisah/kenangan semalam. Jangan pedulikan.

Berpanas dan berhujanlah dengan yang kita miliki sekarang.

Jay Ar berkata...

Satu catatan peribadi yg paling ikhlas dan berani drpd IM. Rasanya saya sendiri belum seberani itu utk menceritakan sisi2 tertentu dlm rumah saya, belum berani atau mungkin tak akan pernah ada keberanian...

ANIM berkata...

setiap yg berlaku ada hikmahnya..
apa yang kita suka, mungkin itu membawa keburukan buat kita..
apa yang kita benci, mungkin itu yg terbaik buat kita..
jodoh, pertemuan, ajal, maut bukan kita menentukan..
ganjaran pahala untuk setiap yg kita kerjakan..
IM, bukan senang untuk meluahkan...hanya yg mengalaminya saja boleh melakukannya..
sabar dan redha dengan ujian Allah..

pB berkata...

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya

Yang pasti , pB memang kagum dengan tahap kesabaran IM


Semoga IM terus tabah dan kuat semangat

Bearcat berkata...

Kehidupan.....ada pahit ada manisnya...

nur berkata...

IM,
cinta kerana ALLAH.. terbaik..

NoorVictory berkata...

Salah satu sebab yang menguatkan saya adalah blog IM. Siapa tahu saat saya sedang bergolak dan berperang dengan perasaan dan menggunakan blog sebagai medium luahan rasa, Tuhan temukan saya dengan blog IM. Pasti ada sebab dan musabab.

Ujian untuk kita lain-lain, sesuai dengan kekuatan kita. IM kuat, sebab itu Allah uji dengan ujian yang berat. Teringat saat pertama kali IM menjenguk blog saya, IM kata IM suka dengan hadis yang menjadi header blog saya.

Ketika Allah rindu pada hambanya, Allah akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian. Dalam hadith qudsi Allah berfirman: “Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.” (HR. Thabrani dari Abu Umamah)

Tetaplah bertahan, IM. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal dengan ujian yang telah dilemparkan kepada IM.