Ahad, 27 Julai 2014

Rendang

Akhmal dibebaskan oleh mahkamah Jumaat lepas. Walaupun keputusan itu sedikit menyentotkan perasaan dan perancangan Rayaku, tapi aku terima dengan penuh keredhaan. Aku percaya, tentu ada hikmah dari Allah atas segala takdir yang berlaku.

Along juga ada balik. Dia cuti seminggu. Tidak pernah rasanya dia bercuti sepanjang ini. Katanya, nak tolong aku kemas barang-barang lama dalam setor. Memang betul pun. Dalam setor belakang bilik dia tu, serba mak nenek punya barang ada. Malah ada yang bersentuh sejak aku pindah ke rumah ini.

Tadi, semasa hendak pergi servis kereta di Perodua kerana dah cukup 20 000 km, ibu_suri bertanya lagi;

"Nak tak buat rendang ni?"

Aku tahu, itu satu permintaan bertaraf arahan; bukan pertanyaan sesaja.

Sesekali fikir, ada bagusnya kalau tradisi tahun-tahun lepas itu aku teruskan di Raya tahun ini. Persis rendang ayam itu bagai sesuatu yang akan memeriahkan suasana Raya dalam keluargaku. Aku pandang secara positif kehendak ibu_suri itu. Cuma yang jadi kemalasan aku ialah... yang nak fikir bahan yang perlu dibeli itu - aku. Yang nak pi beli itu juga - aku. Yang nak memasak itu juga nanti - aku.

Nak kemas rumah, basuh langsir, tukar sarung kusyen, sapu depan rumah, sapu sawang dan vakum karpet, nak sediakan juadah raya, juadah berbuka, juadah sahur - aku.

Sudahnya tadi, aku tertidur di ruang tamu. Bukan sangat kerana letih atau puasa tapi kerana tak tahu nak mula dari mana.

Nak balik kampung Hari Raya keberapa pun jadi isu. Beriya-iya ibu_suri suruh balik Raya pertama ( aku tahu itu kerana Angah balik hari itu membawa cucunya ) sedangkan aku cenderong balik raya ke2 kerana adanya Akhmal di rumah. Akhmal memang tak mesra sangat dengan keluargaku di kampung malah keluarga mertuaku di Penang pun. Dia ni lain sikit fe'elnya.

Angin juga aku tadi di dalam kereta pabila cuba memahamkan ibu_suri kenapa aku cenderong untuk balik raya ke2. Ntahlah, nanti bila tiba masanya aku akan buat keputusan. Aku ni jenis tak mahu banyak sangat berdebat atau berkeras. Aku terdidik oleh mak aku sedari kecil, lebih banyak bertolak ansur. Dek banyak sangat tolak dan ansur inilah kekadang aku tersungkur!

Tiada ulasan: