Khamis, 23 Oktober 2014

3 Ringgit


Aku memakir Vivaku hampir dengan petak Angin dan Air, Petronas Seberang Jaya. Aku buka bungkusan nasi yang dibeli dari Restoran Al Nur tadi. Harum bau kari buat ibu_suri senyum lebar. Makan dalam kereta dah semacam rutin bila bawa ibu_suri jalan-jalan seperti ini. Dan aku sabar menunggu ibu_suri menyuap nasi.

"Tuk..tuk.." Terkejut aku. Ketukan di tingkap kereta malam-malam yang sunyi begini memang perlu dibimbangkan. Wajah seorang anak belasan tahun terpacul dari luar. Aku tekan punat tingkap otomatik ke bawah setelah yakin ianya tiada apa-apa.

"Pak cik... Boleh bagi 2 ringgit? Nak isi minyak motor." Sambil menuding ke arah motor terletak tak jauh di selimuti samar lampu.

"Tadi ada mintak kat kereta lain tapi depa tak bagi. Depa takut saya ni menipu agaknya."

"Kenapa dengan motor kamu?" Sengaja menyelidik. Nak korek dalam sikit sejauhmana jujurnya anak ini meminta pertolongan. Keraguan tetap menyelubungi hati. Aku cuba mengusap dengan prasangka baik.

"Kami kerja cari tin. Nak balik Ampang Jajar. Minyak dah nak habis."

Ego aku serta-merta turun merudum. Waktu malam yang semua orang sedang berehat dengan keseronokan kota, ada insan yang terpaksa mencari rezeki mengutip bahan buangan untuk ditukar semula menjadi rezeki yang tidak berapa sen.

"Nanti...nanti, adik ya. Bagilah bang... kesian dia..." keloi ibu_suri. Aku mengeluarkan not biru 3 keping dari kocek. Susahnya dengan sikap ibu_suri ini macam nilah. Kalut. Tak dan nak congak...

Beriya-iya anak itu mengucap terima kasih dan berlalu. Aku tekan semula punat tingkap ke atas dan ibu_suri teruskan suapan.

"Kita sedap makan nasi kandar sedang depa ntah makan ntah tidak...." ujarku sambil memerhati anak itu mendapatkan seseorang yang tersandar di dinding tak jauh dari motor. Bila seseorang itu bangun, aku perasan dia seorang bapa. Belas benar di hati ini.

Aku melihat sibapa itu menuntun motornya ke arah pam minyak. Kemudian dia berjalan ke arah kaunter. Aku tanpa fikir panjang membuka pintu dan mengekorinya.

"Cukup ke 3 ringgit untuk isi penuh tangki motor?" tanyaku yang dah lama tak naik motor, tak boleh nak agak berapa harga untuk setangki penuh Honda Cup. Di kepala, bermain-main dengan kenaikan harga minyak... opsss.. penurunan subsidi minyak yang dikatakan untuk kepentingan negara.

"Cukuplah..." jawapnya teragak-agak seperti orang dalam serba salah. Aku merenung wajah sibapa dengan ikhlas dan belas. Terasa diri ini terlalu banyak keberuntungan berbanding sibapa ini. Ingatan aku segera mengimbau wajah abah. Sosok tubuh sibapa yang kecil dan kekampungan ini persis sosok tubuh abah. Aku hulur 2 ringgit lagi kemudian terus masuki Mesra Mart. 

Aku dapat melihat jiwa kesabaran dan kejujuran di wajah sibapa. Dan jiwa yang baik di wajah remaja belasan tahun itu. Aku memerhati mereka dari jauh hingga usai mereka mengisi petrol dan berlalu.

Tiba-tiba menyelinap rasa syukurku pada Tuhan kerana menghadiahkan peluang keemasan ini. Peluang untuk berbuat bakti yang sebenarnya bukan sekadar untuk bapa dan anak itu akan tetapi lebihnya untuk aku sendiri. Sepanjang pemanduan itu hati aku berasa cukup damai membawa ibu_suri berjalan dan mendengar ceramah di tapak Ekspo hingga jam lebih 12 tengah malam.

12 ulasan:

shaliza berkata...

Allahuakbar..dalam susahnya kita ada lagi yang lebih susah...

sud@is berkata...

Pandang kebawah membuat kita lebih bermuhasabah, Moga rezeki kita dan mereka dimurahkan dan diberkati NYA

Kakzakie Purvit berkata...

Menitik airmata kakak baca. Bertambah sedih bila org itu adalah saudara kita IM. Sedihnya. Beruntung Allah pilih IM waktu itu..

Tanpa Nama berkata...

Hampir setiap hari kita mengeluh pada Tuhan atas nikmat yang dianggap sentiasa tak cukup ni. Dan bila Dia hantar seseorang untuk kita kembali beringat, memang terasa 'deep' jugak. Terkesan bila baca budak tu bersama bapanya sekali...

Tanpa Nama berkata...

Saya ada teman yg telahh yatim sewaktu kecil berjualan kuih dan nasi lemak kepunyaan org lain. Kerak nasi lemak ehsan tuanpunya menjadi makanan harian. Alhamdulilah kini menjadi seorang yg berjaya dalam hidup dan kaya dgn sifat belas. Itulah kisah yg sering saya putar utk motivasi anak anak

JR berkata...

Saya sangat kecil hati dengan sikap sesetengah orang yg terlalu berprasangka buruk bila ada yg menadah tangan meminta wang. Memang ada yg niatnya tak baik, tapi kita tak boleh tangkap muat semuanya berniat begitu. Apa salahnya beri dengan ikhlas, selebihnya sama ada si-peminta benar-benar jujur atau punya niat lain adalah urusannya dengan Allah...

AMIIZAA@Mieja berkata...

Ya Allah sedihnya:(:( buat saya teringat2 situasi mcm Ini :(:(:(

Puteri Kenari berkata...

memang selalunya begini bila terdesak.Ramai yang tidak percayakan kita.Tetapi kalau pengemis menipu tu ramai pulak yang nak tolong.

apapun,alhamdulillah...semoga bantuan yang dihulurkan mendapat keberkatan.

Mario berkata...

thanks bro im utk citer ni...

Ibu n Abah berkata...

Insafnya...
Masih ada yg begini....

Tanpa Nama berkata...

Kebahagiaan dan ketenangan yang dirasakan dengan membantu orang lain... :)

Kakcik Seroja berkata...

Kerana sikap segelintir mereka yang suka berpura2, kita memang sering jadi wasangka - sedangkan sebahagiannya memang sangat memerlukan bantuan kita...