Halaman

Isnin, 5 Januari 2015

Malam


Bila mata tidak juga mahu pejam, aku ambil keputusan keluar minum di kopitiam tepi Masjid Kubang Semang yang beroperasi 24 jam.

Bawa kereta secara santai dalam hening malam amat mententeramkan. Lebih damai bila memutar stereng sambil dengar lagu-lagu Ebiet G Ade, penyanyi kegemaranku melalui album Puisi-Puisi Cinta keluaran BMG yang aku beli pada 1995 dulu.

Jalan raya yang hari siangnya begitu sibuk dan sendat terasa amat lapang. Masa ini semasa memandu sempat juga merenung ke dalam diri dan masa depan. Udah 3 bulan aku menganggur sejak menerima MSS, Ogos lepas.

Petang tadi aku di datangi oleh anak saudara yang memberithu mungkin akan ada kerja kosong sebagai tukang kebun sekolah. Ayah mahu atau tidak, tanya dia. Aku minta tempoh berfikir sehari dua.

Aku teringat akan abah yang dulu bekerja dengan Majlis Bandaran Ipoh - ikut lori sampah. Kemudian, bila pencen dia membeli sebuah mesin rumput dan ambil upah memotong rumput di rumah taukeh Cina di sekitar Ipoh Garden dan Canning Garden. Dengan duit itulah dia menyara persekolahan 7 orang kami adik beradik. Mungkinkah kini giliran aku pula mewarisi karier kerja kolar biru abah?

Esok, aku diberitahu melalui wassup usrah bahawa tenaga kerja diperlukan di Surau Al Hidayah, Taman Cenderawasih, Prai untuk proses pembungkusan barangan bantuan mangsa banjir di Pantai Timur. Projek ini di bawah seliaan i-Bantu IKRAM. Teringin sangat untuk turut sama esok. Kalau tidak kerana ibu_suri dan Akhmal yang tak boleh ditinggal lama, mau saja aku sertai misi ke sana sepertimana rakan-rakan aku yang lain.

Apapun, lewat malam begini, minum sambil membaca Harakah yang aku beli siang tadi dapat juga melegakan sedikit fikiran dan jiwa. Esok, lembar kehidupan tetap menanti dan meraih rutin kekuatan dan kesetiaanku...

...
Tuhan pasti telah memperhitungkan
amal dan dosa yang kita perbuat
kemanakah lagi kita kan sembunyi
hanya kepadaNya kita kembali
tak ada yang bakal bisa menjawab
mari hanya tunduk sujud padaNya ...

#untukkitarenungkan

(sesekali, batuk ibu_suri mengganggu kosentrasi aku menulis. Kesian dia...)

7 ulasan:

Kakcik Nur berkata...

DIA mengetahui segala isi hati kita...

iryanty ahamad berkata...

yang penting kerja halal im :-))...tapi kalau im kerja sapa jaga ibusuri

Ujang Kutik berkata...

وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰ

Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), {92:1}

Kakzakie berkata...

Sedangkan kakak yg sekadar mengikuti kisah IM dari paparan N3 faham apalah lagi Allah. Niat ada tapi keterbatasan pergerakan IM sungguh Allah amat mengerti..

aizamia3 berkata...

Moga urusan IM dipermudahkanlah hendakNYA.

JR berkata...

Dah lama tak tengok rupa CD. Kalau teringat nak dengar lagu ketuhanan dan sosial Abiet, Ramli Sarip, Kembara, Harmoni saya cuma mendengarnya melalui internet..

insan marhaen berkata...

kakcik,
memang benar. sebab itu selalunya kita jujur tatkala berdoa ke hadratNya.

iryanty,
sapa nak jaga ibu_suri itu tak jadi masaalah. cuma sekarang ini, kalau kena hantar dia ke klinik, tentu perlukan cuti sedangkan saya baru saja bekerja.

ujang kutik,
kekadang malam memberi ketenangan semasa memandu. kekadang menyeramkan..he..he..

kakzakie,
mungkin saya ini terlalu banyak memikir hinggakan susah membuat keputusan.

aizamia,
memang itulah doa saya selalu yakni dipermudakan menempuh apa juga ujian.

jr,
saya mewarisi minat abah. dulu abah suka kumpul piring hitam samada zaman momok, zaman EP dan zaman LP.

saya bukan setakat suka dengar tapi juga suka melihat lagu itu secara fizikal. saya akan hafal siapa pencipta lagu, penulis lirik malah mungkin penyusun musiknya.