Isnin, 25 Januari 2016

Sebenarnya, Allah Sayang Pada Kita...


Aku ke sini buat pertama kalinya bersama ibu_suri. Amat renyah pendaftarannya bagi yang belum pernah ada pas lawatan. Mujur pas lawatanku di Penjara Pulau Pinang boleh diguna di sini. Mudah sedikit.

Selesai daftar, aku bersegera ke kereta kerana ibu_suri perlu ke bilik air. Selesai lapor diri di pos kawalan pintu pagar, aku deras memandu ke tandas awam. Cuaca begitu panas lit lit.

Selesai semuanya, aku bercadang untuk memakir kereta di petak OKU. Mana tau... injin kereta tak boleh dihidupkan...Uh... Kenapa Tuhan beri aku dugaan di masa sukar seperti ini?

Aku minta beberapa lelaki menolak kereta ke parkir setelah usaha jumper cable tidak berjaya. Aku menalipon Perodua minta bantuan. Hari Ahad.. cuti Thaipusam... bukan mudah rupanya nak cari mekanik. 

Sesambil itu meminta kerusi roda dari pihak penjara. Tolak ibu_suri masuk ke dalam bilik menunggu yang berhawa dingin.

Pegawai penjara memang baik, mesra dan ringan tangan. Rasa kesal pun ada sebab aku adalah di antara beberapa orang yang asyik merungut di kaunter pendaftaran tadi sebab perlahannya proses mendapatkan kebenaran masuk.

Gaya penjara sini tak sama seperti di penjara Pulau Pinang mahupun di Sungai Petani. Memang kawalan ketat. Siap dengan pemeriksaan tubuh badan, alat pengesan, cctv dan terowong yang memang jauh masuk ke dalam.

Akhmal berbaju merah dengan vest kuning pantul cahaya.

Sekejap sahaja aku berbual dengan dia. Kesukaran pada ibu_suri hendak memegang gagang talipon dan berbual kerana ruang kerusi roda tidak ada.

Akhmal meminta RM100 untuk membeli kelengkapan pakai mandi dan sedikit stok makanan. Lebih banyak yang dia selalu minta semasa di penjara Pulau Pinang.

Bila aku dah keluar, lama sikit menunggu, barulah mekanik dari Perodua tiba membawa bateri. Tau berapa? RM250... Campur untuk Akhmal tadi.. dah RM350 terbang. Tak berkat agaknya duit aku ni, detak hati.

Apapun, syukurlah kerana tepat jangkaan mereka yang membantu aku menolak kereta tadi... kemungkinan masalah bateri. Walhal dry cell itu tak sampai setahun pun diguna. 

Aku terpaksa kensel temujanji dengan Hamzah untuk berjumpa di masjid. Minta tunjukajar cara-cara mengemaskini maklumat aktiviti masjid melalui komputer yang dipancar terus ke tv.

Dalam kereta, aku cuba mententeramkan hati, melapangkan fikiran dah melupakan seketika kekusutan tadi. Aku memandu sambil memasang cd Alleycats; lagu kegemaran ibu_suri.  Aku mahu ibu_suri rasa selesa. 

"Mungkin kita bernasib baik. Tuhan beri kereta kita rosak semasa ada di penjara. Ramai orang boleh tolong. Kalaulah rosak di tengah highway dan tengah malam buta pulak tu, lagi haru kan...." ujarku pada ibu_suri sambil teringat yang kebiasaan aku bawa ibu_suri jalan-jalan di waktu malam.

Aku beristighfar beberapa kali. Sebenarnya Allah sayang kepada kita melalui ujian yang dia beri. Cuma bagaimana cara kita melihatnya sahaja...

9 ulasan:

JR berkata...

Dugaan bertimpa-timpa kan? Apa nak buat itu takdir Tuhan. Kereta saya pernah rosak di highway di tengah malam. Jenuh juga panggil team PlusRonda untuk bantuan.

Nor Azimah Ali berkata...

Saidina Ali sehari tak diuji, dia resah sbb dia rasa Allah lupakan dia..

Kamsiah yusoff berkata...

semoga ujian ALLAH ni menambah lagi rasa ketakwaan kita padaNYA..

Tanpa Nama berkata...

Haah kan, tiap kali ditimpa masalah kita patutnya bersyukur. Sambil memandang worse case yang boleh berlaku, kita dikira beruntung.

"Panas lit lit" tu maksudnya "panas terik" ke? Saya kadang2 sebut "panas berdenting" sebab bahang tu berbunyi sampai telinga. Hehehe...

Kakzakie Purvit berkata...

Itu dikatakan org yg panjang akal dan iman pemikirannya tak sama IM
Kalau singkat fikir mesti asyik ke arah negetif.
Kakak memang salute melihat cara IM dan yg pasti kakak tak mampu.

Kakcik Seroja berkata...

Di sebalik setiap dugaan yang datang, kita kena cari hikmah yang tersembunyi di sebaliknya...

Sebenarnya awal tahun ini, pelbagai dugaan yang datang dalam kehidupan keluarga kami - semuanya berkaitan dengan keperluan mengeluarkan ringgit, tapi kakcik tetap positif - mungkin Allah uji untuk berikan yang lebih baik sekiranya kita redho...

insan marhaen berkata...

smbotak,
betul la tu... panas yang terik yang memaksa kita mengecilkan kelopak mata...

myliferia berkata...

Betul, Allah memang sayang kita. Setiap dugaan pasti didatangkan sekali dengan penyelesaian. Hanya apabila kita sabar dan redha, maka darjat kita akan dinaikkan.

hrusli61 berkata...

Saya rasa terkilan sedikit kerana tidak dapat membantu. Lain kali jika ada masalah yang sebegini atau yang seumpamanya telipon aje mana tahu jika ada peluang menolong. Jika saya ada di persekitarannya in shaa Allah boleh diusahakan sesuatu.