Khamis, 5 Ogos 2010

Tiba-tiba Sunyi

Bergegas aku balik 1/2 jam awal dari waktu habis kerja. Risau aku bila mendengar suara ibu_suri merengek minta tolong di talipon.

"I terk****ng kat katil!"

Huh, sudah beberapa kali begini. Kekadang di atas karpet. Kekadang selangkah lagi nak masuk ke bilik air.

Terpaksa singgah di Petronas untuk isi tangki minyak yang semakin mengiri dan membeli nasi tomato (harap-harap ibu_suri berselera makan nanti) di gerai sebelah Masjid Kubang Semang membuatkan aku terpaksa membujuk hati ini supaya sabar untuk sampai ke rumah.

Sesampai di rumah, aku mandikan ibu_suri, lapkan badannya dan mencari pakaian baru. Selesai mengemas katil dan menterbalikkan tilam yang sudah kering dari kebasahan ( sedikit sahaja ), aku mengajak ibu_suri makan.

Harapan aku meleset bila ibu_suri cuma makan beberapa sudu. Dan dengan pujukan, aku menyuap beberapa cubit daging ayam goreng.

"Abang, kenapa I jadi macam ni? Apa salah I?"

Satu dari beberapa banyak soalan yang diulang-ulang, hingga aku sendiri tiada modal untuk menjawap. Lalu aku cuma diam. Pegun.

Memang aku faham betapa sukar ibu_suri menerima hakikat bahawa tiba-tiba sahaja dunia aktifnya direntap oleh penyakit yang dihidapinya kini. Dunia warna-warni dan hiruk pikuk tiba-tiba menjadi kelam dan sunyi sepi. Penuh murung dan kerisauan.

"Sabarlah. Dalam dunia tidak ada yang lebih hebat dari orang-orang yang sabar dan redha dengan ketentuan Tuhan." pujukku. Aku peluk ibu_suri yang mendepang tangan minta didakap. Aku elus belakang ibu_suri. Aku tahu dia perlukan kekuatan semangat dalaman.

Aku teringat anak-anakku yang di KL, Taiping dan di Bukit Tengah. Aku teringat Tadika Amal Rintis, Muhajjir, Silat Gayong, KRJ, PATT dan kelas Mingguan Dr Danial di Batu Uban.

Sabar dan redha sahaja adanya!

Foto kami berdua_serta rakan-rakan JIM di program lawatan Hospital Besar Pulau Pinang tahun 80an.

Rabu, 4 Ogos 2010

Antara Hambar Dan Manis

Sudah 3 minggu aku menghantar ibu_suri ke rumah kakaknya sementara aku bekerja. Bimbang dengan keadaan fizikal ibu_suri yang lemah; perlu ada sesaorang melihat-lihat dia. Tadi sepanjang jalan balik, ibu_suri asyik tidur. Khabarnya, rakan JIM ibu_suri; Miza dan seorang lagi ada datang ziarah. Aku amat hormati mereka kerana amat prihatin dengan kondisi ibu_suri.


Malam ini agak banyak ibu_suri makan berbanding sebelumnya. Aku sendiri agak musykil. Bukan sahaja nasi goreng malah mi goreng yang aku beli di Pasar Tani tadi pun dia sapu.

Selalunya dia cuma makan beberapa sudu. Paling banyak pun suku pinggan. Itupun setelah jenuh aku pujuk dan bodek. Pulak tu, sambil makan mi, ibu_suri menguntum senyum. Sudah lama aku tidak melihat senyuman ibu_suri. Tapi senyum yang ini kelihatannya agak lain. Antara ikhlas dan sindir. Antara hambar dan manis. Tidak dapat aku tafsirkan.

Aku dah mula ingat yang bukan-bukan. Sejak keceriaan ibu_suri menjunam, ibu_suri lansung tidak mahu keluar makan malam seperti selalu.

Dan seperti selalu itu jugalah, aku makan mi segera, biskut kering cecah teh tarik Ali Cafe atau pesan anak belikan burger.

Arakian malam ini nampak gayanya makan mi segera lagilah aku... Boleh botak dibuatnya kalau gini selalu!

Selasa, 3 Ogos 2010

Ziarahlah!

Semasa aku menguruskan rawatan susulan ibu_suri di Unit Psikiatri, Hospital Besar Pulau Pinang, Selasa lalu, aku sempat ambil foto-foto di bawah. Muga berguna untuk tatapan kalian yang ingin sihat dan dilihat sihat.



Kalau ada mendengar sahabat atau saudara mara sakit, segeralah ziarah. Tapi ingatlah adab berziarah:

Elakkan:

1. ziarah terlalu lama
2 datang dengan kumpulan yang ramai. Cukup 2-3 orang.
3. terlalu banyak ketawa atau berjenaka
4. bercerita kisah yang sedih
5. terlalu banyak mencecer konon menasihati

Banyakkan:

6. berdoa kebahagiaan dan kesembuhannya
7. bertanya keperluannya. bantulah dengan ikhlas dan segera jika dia memerlukan.
8. beri harapan bahawa dia akan sembuh
9. ingatkan dia ( dengan berhemah ) jangan tinggal solat dan doa.

Muga hidup bermasyarakat kita lebih sentosa dengan perbanyakkan ziarah kerana Allah!

Ahad, 1 Ogos 2010

Hujan Malam

Entah kenapa
hujan malam
seperti malu-malu
menyapa hatiku
yang resah
menanti matahari esok
entah terang
entah suram cahayanya.

Entah kenapa
jeritan kodok
seperti bungkam
seakan turut resah
menanti hari esok
entah ribut
entah kemarau.

Malam,
sinarilah cahaya
Tuhan,
kasihanilah hamba.

Aku ingin hidup 1000 tahun lagi!

( IM & ibu_suri - bulan madu di Batu Berangkai, Kampar, Perak: 1985)

Terima Anugerah BW1

Tiba-tiba aku diberitahu dapat Anugerah BW. Udah lama aku tidak dianugerahkan. Malah, anugerah yang dulu-dulu itu pun entah kemana tiadanya. Aduh, boleh dicap tidak menghargai pemberian orang ke aku nih?


Tapi dulu aku dapat anugerah kerana menjadi pembaca setia blogger tersebut. Lain pula kali ini aku dianugerah kerana menjadi pengikut terbaru LamaN KaseH ImaN. Mmmm... kira sempoi juga tu.

Kalau dulu aku terima anugerah tanpa syarat. Pun, kali ini perlu jawap beberapa soalan pulak. Kalau tak jawap camna? Kira tak aci ke?

Alakullihal, soalannya kira ok la.Cuma malam ni entah kenapa otak aku pasif pulak. Tak berapa umphh berfikir walaupun jenuh perah.

Q&A :
Q1. Dimanakah anda selalu BW?
- Di alam siber le. Mana ada alam lain lagi. Aku klik blog A kemudian klik mana-mana blog di sidebar blog A. Menjadi follower blog B dan komen sikit di cat box blog B tu.

Aku mau meramaikan blogger lelaki di sidebar blog aku ni. Asyik perempuan je, lain macam pulak rasanya.

Q2. Kenape anda suke klaw b'BW?
- Sejak ibu_suri diserang Ahmar, aku lebih banyak memerap di rumah. Aktiviti bersama NGO aku semakin kurangkan. Makanya, aku punya lebih masa tetapi terasa sunyi dan kehilangan ukhuwwah persahabatan. Aku pula memang suka menulis sejak dari bangku sekolah menengah.

Jadi menulis blog seperti mencandu hidupku. Demi untuk memeriahkan blog aku, BW adalah antara caranya. Lagipun, aku bukanlah popular sangat macam RPK atau Che Det. Kalau aku tak hemoih cari kawan, macam mana depa nak kenai aku, kan!

Q3. Ape yg anda dapat klaw BW?
- Dapat info baru, teknik menghias blog, ragam blogger menulis dan kalau ada tuah depa jatuh cinta kat blog aku, aku akan dapat rakan blogger baru. Lagipun, aku ini cuma insan biasa ciptaan Tuhan. INSAN MARHAEN yang idak punya apa-apa dan tidak pandai dalam apa-apa!


Q4. Macam mane perasaan orang yg d'BW anda?
- Entah le. Tak dapat le teman selami perasaan mereka. Tapi apa yang pasti, blogger yang bagi anugerah ni kat aku, aku pautkan blognya kat sidebar aku tanda Kaseh..eh...penghargaan. Samada dia suka pada tulisan aku atau sekadar suka gitu-gitu je, itu Tuhan yang Maha Esa saja yang terlebih maklum.


Terima kasih Ummi Iman atas anugerah. Aku tidak berhajat untuk memanjangkan penganugerahan ini. Sebabnya? Bak kata Mr Os, bukannya maleh. Cuma tak kose.....heh..heh..

Maaf!