Selasa, 28 Februari 2012

CT...1

Aku ambil cuti hari ini. Setelah membawa ibu_suri ke Klinik Kubang Semang untuk rawatan rutin hipertensi, aku terus ke Hospital Besar Pulau Pinang.

Sudah 5 hari CT - anak angkatku sebelum Akhmal - terlantar di hospital akibat kemalangan motor. Malam semalam, dari Hospital Besar Seberang Jaya CT dikejar ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk dirujuk ke pakar tulang bahagian kepala bilamana keadaan CT menjadi tak keruan. Sakit kepala yang bersangatan membuatkan CT meraung.

Melihat dari luar memang CT seperti tidak luka apa-apa namun kesakitan dalamannya Tuhan saja yang tahu. Tulang tengkorak CT di dapati retak dan berlubang. Tulang rahang CT juga di khuatiri begitu. Jika tidak ada apa-apa perkembangan positif, CT akan dirujuk semula ke Hospital Besar Seberang Jaya untuk pemeriksaan rahang.

CT ditenangkan oleh kawannya

Aku sebak bilamana melihat kondisi CT. Tambah sebak bila mengenangkan latarbelakang kehidupan CT selama ini. Bertambah-tambah sebak bila mengenangkan apa yang sedang berlaku di sekeliling CT.

Aku kagum pada kegigihan kakak iparku yang menjaga CT sejak mengetahui insiden yang berlaku. Makan dan tidurnya tidak menentu. Tapi yang lebih melelahkan ialah bila berada di wad seperti CT; melihat pesakit yang keluar masuk dengan pelbagai kes ngeri.

Aku amat berdoa muga CT pulih seperti sebelum ini.

Ahad, 26 Februari 2012

Kasih Ayah

Pagi semalam aku riadah lagi di Tasik Mengkuang. Kali ini aku ambil trek yang panjang, tidak di trek yang biasa aku lalui sebelum ini.Trek kali ini ada beberapa gon yang pastinya bagus untuk pemangkin peluh.

Sebenarnya matahari dah semakin tinggi bila aku sampai di sini. Hampir jam 9 pagi. Tapi masih ramai juga manusia datang dan pergi.

Telinga aku tiba-tiba menangkap perbualan seorang ayah dengan anak di hadapan dan kemudiannya di belakangku bila aku memotong.

"Ayah, kenapa orang tu bila mati sorang-sorang je dalam kubur."

"Memanglah kita mati nanti akan ditanam sorang-sorang je."

"Abah nanti mati ke?"

"Ya... semua kita akan mati."

"Pokok?"

"Juga akan mati."

"Burung?"

"Mati juga."

"Mmmm... Dinasour?"

"Mati juga."

"Upin Ipin?"

"Mati juga..."

Dan akhirnya soaljawap itu semakin hilang dari pendengaran. Ini menyegerakan ingatan aku kepada klip video ini:

Jumaat, 24 Februari 2012

Zikra Jumaat 7 - Harta Dunia

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”
 
Riwayat Ahmad

Khamis, 23 Februari 2012

Hari Esok

Menjaga Kancil ini persis menjaga pemiliknya juga - ibu_suri!

Beberapa hari ini aku sampai awal ke rumah dari tempat kerja. Jem di jambatan Pulau Pinang tak seteruk selalu. Kenapa..ntah.. aku pun tak tahu.

Bila awal sampai di rumah, yang paling girang ialah ibu_suri. Hari ini Marissa ada di rumah. Jadi;

"Marissa... tengok! Tok ayah balik awal la hari ini..."

Aku hanya menyungging senyum tawar. Terlihat Marissa sedang asyik menyusu di dada ibunya. Marissa sekarang sudah bertambah berat badan ke 4kg. Doktor menasihatkan agar dikurangkan susuan.

Berbual dengan blogger JH di dalam Unsernya sambil dihiasi lagu Kenangan Lalu nyanyian Flybaits tentang masa-masa akan bersara nanti membuat aku terasa amat sayu dan sesekali rasa takut. Sayu kerana merasakan terlalu cepat dunia ini berputar meninggalkan semua peristiwa yang aku lalui menjadi kenangan yang manis. Takut pula bila mengenangkan fizikalku yang tidak segagah dulu; melihat seorang demi seorang kawanku sakit atau pergi dulu menghadap Tuhan.

Aku setidak-tidaknya sedikit bersyukur kerana anak-anakku sudah besar dan berdikari. Aku sedang merancang untuk mengurangkan segala kos sara hidup. Streamyx dan Astro mungkin akan aku tiadakan. Sedang mengintai mengalihkan Celcom kepada DIGI yang menawarkan pakej lebih murah. Juga membulatkan azam untuk bertahan dengan kenderaan Kancil. 

Bagi aku sebenarnya, gaya hidup yang simple lebih mendamaikan. Jaga kesihatan dan pertingkat amal kebajikan!

Rabu, 22 Februari 2012

Nasi Goreng Belacan

Aku bersama adik-adik dan anak jiran - 70an

Aku dan ibu_suri pergi sekali lagi ke Restoran Kak Wan di Kulim untuk makan malam. Aku tak mahu makan yang berat lalu bercadang memesan mi goreng saja. Tapi ibu_suri menggerutu dan seperti memaksa aku makan nasi.

Bila pelayan membentang senarai menu, mata aku liar mencari jenis nasi yang aku rasa serasi dengan kerongkong aku ni.

"Nasi goreng belacan dengan air suam."

Berkerut kening ibu_suri sambil mengorak senyum. Nasi goreng belacan?

"Itu makanan yang selalu abang makan masa kecil dulu. Sarapan orang miskin," terangku.

Aku teringat semasa aku kecil dan terpaksa menjaga adik-adikku seramai 6 orang bilamana emak terpaksa berpagi-pagi menoreh getah. Kalau tak goreng cekodok colek dengan sambal tumis atau masak lempeng yang digaul kelapa; goreng nasilah jawapnya. Oleh kerana terlalu kerap goreng nasi; untuk tidak terasa jemu maka kena kreatiflah. Samada goreng nasi dengan sambal, atau dengan halia atau dengan belacan.

"Tapi nasi goreng belacan sini tak sama macam yang abang masak dulu. Dia tak bubuh banyak bawang, ikan bilis dan cabai kering. Ni, nasi goreng belacan Kulim mali, agaknya.." ujarku sambil ketawa.

Seperti selalu, apa saja yang aku makan aku akan tinggalkan sedikit untuk dirasa bersama oleh ibu_suri. Hiba pula hati ini bila teringatkan zaman-zaman aku hidup susah bersama adik-adikku di sekitar tahun 60an.

Al Fatihah buat Latif Ibrahim; yang juga popular di zaman aku masih bersekolah dulu!