Sabtu, 27 Ogos 2011

Sebelum Rendang Di Masak

Ramai pula yang datang berjumpa aku di ofis semalam. Ingat mereka aku akan bercuti panjang. Tak kira Cina, India apatah lagi Melayu. Tak kira lelaki  mahupun perempuan. Yang sebaya atau yang muda belia. Menghulur salam dan ada yang memberi ucapan dan berdoa yang panjang. Lelaki tak mengapalah tetapi yang perempuan belum Islam... terkial-kial juga aku samada nak menyambut tangan yang dihulurkannya atau tidak.

Bila saja chime berbunyi tanda waktu kerja tamatlah sudah. Seperti selalunya aku switch off  lampu ofis dalam otakku dan switch on lampu rumah pula. Hujung minggu ini pastinya masa-masa yang paling sibuk. Kena fikir kuih Raya yang walaupun sudah dipesan melalui kawan-kawan tapi masih belum nampak di meja. Air apa yang perlu aku sediakan jika tetamu sudi berziarah. Kena cari dan basuh bekas hidangan kuih. Basuh langsir dan tukar sarung kusyen.




Rendang ayam - kreditnya di sini
Juga terpaksa fikirkan pakaian anak-anak yang masih belum berbeli. Keadaan rumah yang masih berselerak tidak berkemas. Mana ada masa kalau hari-hari kerja dihabis dengan memasak dan mengemas dapur, satu-satunya bahagian rumah yang paling aktif. Ruang tamu yang tak di lap dan bersapu apatah lagi hujan sesaja sepanjang dua tiga hari ini.

Water dispenser, paip singki, hos mesin basuh dan tangki besar di bilik mandi pun time-time beginilah baru nak bocor. Semakin dibiar semakin serius pula.

Tadi ibu_suri mula memasang angan untuk memasak rendang ayam. Akulah nanti yang terpaksa membeli ayam. Bukan dia ingat sangat apa perencah yang perlu dibeli melainkan akulah nanti yang perlu memikirkan dan membelinya. Aku harap bila Along balik esok, dia yang akan memasaknya. Kalau dia pun culas.... huuu... akulah yang terpaksa bersilat di dapur.

Aku pesan siap-siap kat ibu_suri. Kalau nak masak rendang tu biar awal-awal. Tak mahu nanti jadi macam dulu-dulu. Sibuk menjahit baju tempahan orang hingga baju sendiri tak siap. Sudahnya menjahit hingga ke pagi Raya. Orang lain seronok bergaya dengan tempahan baju raya yang ibu_suri jahit sedangkan bajunya sendiri tinggal tanpa diusik.

Apalah erti Hari Raya jikalau pun dapat banyak upah atau demi mahu menjaga hati saudara mara dan rakan-rakan namun nikmat Hari Raya tidak dapat dikecap. Aku saja sendirian solat sunat di Masjid dan ziarah jiran maupun saudara mara terdekat sedangkan ibu_suri terbaring di katil. Baru terasa letih dan lenguh.

Raya ini aku ingin lebihkan ziarah. Aku sudah ada menantu dan besan. Meriah juga rasanya. Raya kedua baru balik kampung ziarah mak. Begitulah aturcara ku selalunya sejak anak-anak sudah besar!

7 ulasan:

iBu...gUru berkata...

salam Im..... terkesan tentang jahit tempahan baju raya. alhamdulillah tahun ini dah settle. baju melayu my bujang2 & my laling dah siap. arini ni dah boleh jahit baju sendiri.....

DIKESEMPATAN INI SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA ADIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN ........ MOGA BAHGIA DI HARI YANG MULIA INI

zul permatang badak berkata...

IM, rajin didapur dan pandai pula memasak....
itulah kelebihannya......
saya..?, hanya pandai masak air....itupun kadang2 terlalai,sedar2 air hampir kering..........

Citarasa Rinduan berkata...

Bila baca entry ini.. buatkan ayu terfikir, setiap tindakan ayu tutup perniagaan awal adalah y terbaik..
bukan mahu kejar kekayaan.. tapi bersederhana..
lebaran wajib disambut kerana itu tuntutannya

IMANSHAH berkata...

Sebelas bulan kita kejar dunia,
Kita turuti nafsu angkara.
Sebulan penuh kita berpuasa,
Kita bakar segala dosa.
Sebelas bulan kita sebar dengki dan prasangka,
Sebulan penuh kita tebar kasih sayang sesama.
Dua belas bulan kita berinteraksi penuh salah dan khilaf,
Di Hari suci nan fitri ini, Kita cuci hati, Kita buka pintu maaf.
Selamat Hari Raya Idul Fitri, mohon maaf Zahir dan batin...

Imanshah, Ipoh-Tumpat, 26 Ramadhan 1432 H

hrusli61 berkata...

Samale kite Yop, mesin di kilang cepat kite repair tetapi alatan di rumah selalunye ditangguh-tangguh.

Selamat Hari Raye ye!

Sehabat blogger sekelain jangan tinggal solat sunat Raya tau. Datang dengar khutbah walaupun 'cuti'. Makan sekit dahulu, pergi jalan lain dan balik jalan lain.

Satu lagi jangan lupa zakat Fitrah.

Kunang-Kunang berkata...

Assalamualaikum IM,

Itu sudah lumrah pada yang bernama 'tukang'. Kata orang tukang rumah, rumah sendiri tak terbuat, asyik buat rumah orang dan begitu jugalah 'tukang2' yang lain.

Selamat hari raya IM sekeluarga.

insan_marhaen berkata...

ibuguru,
lama tak datang komen. baju raya IM dulu-dulu ibu_suri yang jahitkan. cuma yang terbaru ni IM beli sendiri. ibu_suri dah hilang reti untuk menjahit.

zul,
adat lelaki kalau gitu caranya dapat markah E le..

CR,
IM fkir itu yang terbaik. sepatutnya budget raya dirancang dari awal. rai ramadhan dan raya lebih dahulu!

IMANSHAH,
Wah.. awal cuti yer.. Ipoh ke Tumpat.. boleh tahan jauhnya tu.

rusli,
insyaAllah.. akan beres yang tu semua.

kunag-kunang,
tak sepatutnya tukang bersikap macam tu. kena ubag persepsi ni..