"Ayah... Boleh buat bisnes, rendang ayah ni.!" ujar Akhmal yang belum sempat aku baca doa berbuka puasa sudah ngap... seketul ayam rendang aku.
Aku yang sibuk meletak periuk nasi dan lemang yang baru saja aku beli dari gerai Lemang Pak Teh di Tikam Batu terkocoh-kocoh duduk dan membacakan doa.
Memang ramai sangat orang beratur membeli lemang Pak Teh tadi. Hinggakan terpaksa diupah pasukan RELA untuk menjaga lalu lintas. Bahang api yang membakar deretan sepanjang 6 meter barisan lemang dan tersusun 4 baris sudah cukup memberitahu bahawa lemang Pak Teh ini amat terkenal. Sanggup aku memandu sejauh itu dan beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan lemangnya yang insyaAllah, confirm masak elok dan sedap.
"Abang rasa dalam banyak kali abang masak rendang, kali ini rasa paling puas," beritahuku pada ibu_suri semasa memandu balik dari Tikam Batu.
"Abang rasa puas sebab abang dapat rasakan resipi kali ini bukan resipi hentam keromo macam tahun-tahun dulu.." terangku sambil ketawa.
"Boleh la kita bagi kat besan kita, ya!"
"Ha.. ha.. boleh sokmo. Tadi abang beli lebih sebatang lemang tadi. Ingat nak bagi kat besan juga bersekali dengan rendang tu nanti."
Tersenyum panjang aku bila melihat Akhmal terkial-kial hendak membelah buluh lemang. Jarang dia mahu menolong dengan sendiri begini. Lapar le tu...
"Buluh lemang ni bukan macam buluh lemang yang Tok Amri buat dulu. Yang tok buat dulu memang dari buluh lemang betul. Buluh tu nipis, senang nak belah. Buluh yang ini agaknya buluh pagar. Keras sikit. Kena belah dari bontotnya..." sambil aku menterbalikkan lemang itu dan membelah.
Heran juga aku sebab suasana sepanjang jalan pulang, orang ramai membeli dan penggerai yang hendak balik memunggah gerai mereka ke dalam kenderaan seperti dah pasti akan Raya esok sedangkan Pemegang Mohor Besar Raja-Raja belum lagi buat pengumuman yang selalunya selepas berita tv.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan