Khamis, 12 September 2013

Pelam Dan Bunga Kertas

Rupanya di atas bumbung rumah aku dah penuh dengan daun kering yang luruh dari pokok pelam tepi rumah. 

Bila hujan lebat yang panjang gini, baru aku perasan. Rupanya air yang menimpa atap rumah tidak dapat mengalir turun ke cucur atap seperti mana fitrah. Sebaliknya telah melawan hukum graviti dengan naik ke atas lalu tumpah melalui siling  ke dalam rumah.

'Oo.. rupanya selama ini lantai sini basah sebab air dari atap inilah...' getus hatiku, baru perasan.

Aku pun menjengah bumbung rumah. Rupanya, dahan pokok pelam yang memang sedang lebat berbuah dan rimbun daunnya seperti berbaring rehat di atas zing. 

Aku tak pernah perasan hal ini. Tak pernah kisah dan ambil kisah. Bila balik kerja, terus masuk rumah. Keluar rumah terus masuk kereta. 

Aku hantar sms pada Angah:

'Ahad ni tolong ayah takek dahan pelam depan rumah kita, boleh tak?'

Nak buat seorang diri tak berani. Mana tau, kalau terjatuh nanti tak ada siapa yang membantu. Aku pun bukan kuat sangat. Nak memanjat tinggi-tinggi, gayat!

Pokok pelam depan rumah aku ini di tanam oleh arwah abah. Aku tak pernah ambil pusing pun pasal tumbesarannya. Tak pernah siram. Tak pernah baja. Ia berdikari tumbuh dan berbuah dengan lebat. Ramai jiran-jiran suka ambil buahnya untuk cicahan. Kata mereka buahnya sedap dan rapuh. Aku jarang makan pelam ini sebab tak suka benda-benda masam.

rumahku di kampung

Abah aku dulu bekerja sebagai tukang kebun. Kata orang, tangan abah sejuk. Setiap apa yang ditanam mudah tumbuh dan berbunga.

Abah, semasa aku kecil dulu suka tanam pokok bunga di keliling rumah. Hatta pokok bunga anggerik yang sukar untuk berbunga itu pun berwarna warni bergantungan pasunya di alang beranda. Paling banyak di rumah aku ketika itu ialah pokok bunga kertas. Kekadang tampak seperti bongsai gergasi.

Pernah satu ketika dulu, Majlis Bandaran Ipoh bercita-cita mahu jadikan Ipoh sebagai Bandar Bunga Kertas. Tapi... cita-cita itu seperti tidak kesampaian!

5 ulasan:

Kamsiah yusoff berkata...

hehe..sayangnya saya tak tau dimana rumah IM..kalau tak,leh la terjah..

Tanpa Nama berkata...

saya kalau buat kerja-kerja rencam kat rumah memang takde masalah kecuali dua perkara ni, repair atap dan electrical.

cantik rumah, saya suka suasana macam ni.

ada sesetengah kes, kalau orang yang tanam pokok tu dah tak ada, pokok tu macam dah segan nak hidup. tak rimbun, kurang berbuah. kurang berbunga.

hrusli61 berkata...

Potong dahan sikit-sikit saja tau. Jangan tebang habis. Kurang-kurangnya ada buah tangan dari Abah IM. JH pun boleh tumpang rasa buah mempelam itu lagi.

ANIM berkata...

eh..tak kesampaian ke? tahun lepas saya p Iph, banyak pokok bunga kertas kat bandar dia..

insan marhaen berkata...

kamsiah,
rumah IM kat Taman Guar Perahu... area Penanti off Permatang Pauh.

smbotak,
pokok hat ni, walaupun tuannya dah takada ia masih tetap berbuah lebat.

hrusli61,
tapi rasanya satu hari nanti akan kena tebang juga.

anim,
mungkin ada tapi tak seperti mana yang IM bayangkan...