Isnin, 9 Jun 2014

Ombak

Blog, 

Maafkan aku kerana lama menyepi. Bukan kerana rajuk. Bukan  juga malas. Tidak juga dek tandus ilham. Hakikat kehidupan yang walaupun pahit terpaksa juga berhadapan.

Ketiadaan laptop yang aku sayang buat aku seperti kesaorangan. Ada pun desktop, dah lama anakku ambil dan letak di bilik bujangnya. Biarpun dah beberapa kali aku minta untuk letak semula di meja ruang tamu supaya boleh diguna bersama; dan dia berkata.." Ya!".... Cuma  'ya' yang tiada titik.

Hari ini aku ambil cuti kerja separuh hari. Tak siapa tahu sekalipun ibu_suri. Aku ingin sendirian. Ntah kenapa aku terasa amat hiba mengenang pantai hidup yang tak henti-henti dihempas ombak. Sepi dan sakit. Imbauan pandangan ke laut lepas seperti tidak pernah bertepi. RnR Juru itulah tempat aku mencari damai. Sambil baca Harakah, sambil minum Radix dan makan karipap gergasi kegemaran. Kemudiannya aku menulis sesuatu di dalam buku nota merah, buku nota kesayanganku itu.

Masa ini aku menulis di cc Forty4.com, tak jauh dari Mini Uptown, Perda. Tak tahu bila pula aku dapat menulis lagi. Tak tahu bila... hinggalah laptop itu dapat aku tebus dan letak semula dimeja cermin, posisi selalu aku mengetuk biji-biji huruf, memintal perasaan menjadi perkataan.

Letihnya aku menjaga kerenah anak-anak dan ibu-suri buatkan aku kekadang seperti mahu menangis.

Semalam, mak aku datang dari kampung. Kesian mak... Bila perlu ke bilik air, mengesot-ngesot mengheret sebelah lagi tubuhnya yang lumpuh. Aku dan adikku - Darul lah membersihkan tubuh keringnya dari najis. Memakaikan semula baju dan seluarnya. Terasa begitu bertuahnya aku kerana dapat menyarung baju ke badan mak, saling tak tumpah seperti mak menyarung baju ke badan aku semasa aku kecil. Kalau tidak kerana lelaki, sudah lama airmata ini gugur ke pipi.

Blog, 

Aku juga sudah lama tidak menulis puisi sepertimana ketika aku remaja dulu yang begitu prolifik. Sesekali mak bertanya, kamu tak menulis lagi, Toha? (Itu nama timanganku di kampung). Aku cuma diam. Diam kerana jawapannya sudah ama lenyap dicelah-celah ombak yang menghempas pantai tanpa henti itu.

Kekadang terasa amat malu. Di usia separuh abad ini masih tak henti-henti mengeluh tentang pantai. Tentang ombak. Akan tetapi kekadang aku juga bersyukur kerana pantai dan ombak itulah yang telah banyak menyedar dan memahamkan aku tentang Tuhan dan kehidupan maknawi!

Pantai dan ombak itulah sebenarnya yang membentuk aku menjadi seorang lelaki yang bernama ayah dan suami!




9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tertanya2 jugak ke mana abang IM menghilang. mungkin perlu bercuti sendiri kot, untuk relax fikiran... :-)

Tanpa Nama berkata...

Sebak dgn apa yg IM lalui..
Ya Allah ..engkau pemudahkan urusan hidup IM di dunia dan akhirat..

Kamsiah yusoff berkata...

dugaan hidup menjadikan IM begitu kreatif dan puitis menyusun kata..

pakar motivasi kata,letak pc ditempat terbuka supaya senang kita memantau apa yg dilihat oleh anak2...

ANIM berkata...

patutlah lama menyepi.
sabar IM, hanya itu yang mampu ditaip saat ini.
TOHA...sedap juga nama itu...
kena panggil Toha kot ni..tak perlu berIM lagi...
semalam waktu layan ceramah ustaz fawwaz kat youtube, ada juga dia sebut masa masak nasi, baca surah Toha (Taha) ayat 1-5 utk lembutkan hati anak.
saya baru nak cuba...

AZNI BINTI MAT ISA berkata...

salam im,
dalam kehidupan seseorang terpaksa jadi begitu. jangankan IM, saya juga kerap terkesima dengan bahagian yang sepatut milik saya akhirnya di "kebas' anak. beli lap top baru,"lesap"...ura2 nak ganti kamera tua ku, akhirnya bahagian yang di ketepi perlahan2.."lebur" untuk beli kamera ke 2 anak yang belajar. teringat zaman belajar, pandai2 lah nak hidup dan berjaya. dalam darah ku yang mengalir sebagai panggilan keramat cikgu, tertanya2,.apa sudah jadi dengan generasi kini, generasi baru yang "kebendaan", kerana keperluan apakah? sabo je la IM, mudah untuk ku berkata, "faham sangat" dengan keperluan lap top kerana "kesaratan jiwa" dapat di labuhkan di situ. pelan2 cari lap top 2nd, ada...walau tak serupa yang lama. ia akan membantu mengubat "luka".percayalah :-)

faizah berkata...

Menitis air mata membacanya...Bila ternampak seseorang dgn secawan kopi senaskah akhbar, kita melihatnya sedang berehat santai sambil meneliti berita... tetapi hakikatnya yang kita tidak ketahui.. mungkin dia sedang berbuat sesuatu yang lebih dari itu.

Toha.. nama yg baik. Teringat Ustaz Toha.. anak kepada Datuk Hassan Azahari.

faizah berkata...

"Terasa begitu bertuahnya aku kerana dapat menyarung baju ke badan mak, saling tak tumpah seperti mak menyarung baju ke badan aku semasa aku kecil."

....

Nor Azimah Ali berkata...

terasa beratnya apa yang dipendam dalam hati IM, saratnya memendam rasa, hanya mampu dicurahkan di dada laptop yea, tapi ada yang lebih Mendengar dan lebih Memahami, ujianNya tanda kasih-sayangNya...

Kakcik Seroja berkata...

Hanya Allah jua yang maha tahu apa yang bersarang di jiwa kita...