Isnin, 7 Mac 2016

Petak 23

Berhati-hati aku menolak kerusi roda di celah lorong mencari petak 23. Berat badan ibu_suri yang terpaksa ditanggung oleh roda bergaris pusat 6 inci itu menuntut sepenuh tenaga menolaknya.

Akhmal dah sedia menunggu dengan baju berwarna merah. Berjiran dengan petak 23 ada yang berbangsa Cina dan berbangsa India.

Tatkala mendaftar masuk tadi, seorang India merayu minta dibenarkan melawat suami isteri yang sama-sama ke 'dalam'.

"Saya kena jumpa dia orang hari ini tuan. Dia orang punya anak ada sama saya..." Dia merayu apabila pegawai bertugas tetap memintanya datang pada hari esok. Belas juga rasa hati ini.

Aku tidak banyak bercakap jauh sekali membebel dengan Akhmal seperti sebelum ini. Entah kenapa, hati ini tidak berapa seronok.

Aku beri gagang talipon kepada ibu_suri setelah beberapa minit perbualan. Pendek wayar gagang menyebabkan aku memapah ibu_suri bangun dari kerusi roda ke bangku yang dikhaskan. Melihat kesukaran itu, beberapa orang India dan Melayu datang membantu.

"Tak mengapa..." ujarku, "dah biasa macam ni."

Aku biarkan saja ibu_suri bercakap... bercerita apa yang berlaku di rumah dan pada adik beradik selama Akhmal di 'dalam'. 

"Ayah, nanti bayar duit kat kaunter, ya!" pinta Akhmal setelah 15 minit lebih bercakap. Walaupun masa diberi selama 45 minit tetapi 15 itu pun dah terasa lama. Kekadang, rasa seperti tak berbaloi jika dibanding dengan masa dan kos yang diambil untuk datang.

"Nak berapa?"

"RM60"

"Eh, bukan kamu nak balik tak lama lagi. Yang ada tu tak cukup ke?" 

Bulan lepas saja dia minta RM100 untuk beli perkakasan mandi, makan dan pakaian dalaman.

Setelah pamit, aku menolak ibu_suri keluar. Pegawai penjara memang baik dan amat membantu.

Berbanding penjara Sungai Petani dan Pulau Pinang, kawalan keselamtan di sini lebih ketat.

Akan tetapi, sistem mendaftar untuk kebenaran masuk adalah paling lambat dan ketinggalan zaman!

6 ulasan:

iryantyismail berkata...

moga kali ini akhmal benar2 insaf

Omong Mak Long..... berkata...

Marilah kita doakan agar Akhmal berubah ke arah tujuan hidup yang baik untuk dirinya dan keluarga. Bukan mudah baginya untuk memulakan hidup baru yang penuh cabaran. Begitu juga bukan mudah bagi keluarga menanggung beban.

Kakcik Seroja berkata...

Semoga Akhmal akan benar2 berubah menjadi insan yang menghargai kehidupannya selepas ini.

Aamiin.

hrusli61 berkata...

Semoga apa-apa kepayahan ini membuahkan hasil yang positif buat Akhmal dan keluarga Abu dan Ibu_Suri.

Berkata Imam Ghazali, barangsiapa ketika mengalami kesusahan dan menghadapi berbagai masalah maka hendaklah memperbanyak membaca, “Ya Hayyu Ya Qoyyum Birohmatika Astaghisu” – Maksudnya “Wahai Zat Yang Maha Hidup dan Yang Maha Berdiri Sendiri, dengan segala rahmat Engkaulah aku memohon bantuan”.

Kakzakie Purvit berkata...

Oh... duduk dalam pun kena bayar ye IM?
Habis kalau yg tak ada keluarga nak bayar macamana agaknya ye.
Tabahnya IM menghadapi semua ini. Allahuakbar!

saniahibrahim berkata...

Semoga dengan perhatian yg diberi dari keluarga dapat beri keinsafan pada Akhmal.