Halaman

Ahad, 12 Jun 2016

Hangin


Ntah kenapa hari ini aku asyik nak marah-marah saja.

Dekat Akhmal tadi pun aku membebel sebab macam senang senang je ambil kipas angin dari dalam bilik dan bawa keluar rumah untuk bersama kawannya main karom. Kemudian bila dah selesai, bukannya nak letak semula di bilik sepertimana dia ambil tadi.

Lepas main, dia minta duit pula. Nak keluar, katanya. 

'Kamu ni... tak tahulah ayah macamana nanti jika ditakdirkan ayah dah 'tak ada'...'

Terhadap ibu_suri juga aku naik 'hangin' tadi. Isu nak beli cadar baru tu dah berminggu-minggu dia ulang ulang di telinga aku. Nak cadar design sama macam yang ada sekarang sedangkan ianya tak pun aku jumpa di kedai yang aku singgah.

Semasa aku singgah di bazar Ramadhan beli juadah makanan, aku belikan untuk 3 orang. Bila saja masuk ke dalam kereta baru dia beritahu Akhmal mungkin tak balik makan berbuka.

'Tadi abang tanya dia puasa tak, you kata dia 'mungkin' puasa. Jadi abang belilah untuk kita ber3. Sekarang, kalau dia tak balik makan... sapa nak makan banyak banyak ni?'

Kalau setakat kami ber2, moi yang diambil dari masjid dan beberapa ketul kuih tepung talam sudah memadai untuk berbuka.

Menggerutu aku sepanjang pemanduan. Itupun sebenarnya, tak keluar habis dari dalam dada. Aku kepung sebahagiaanya kerana aku tahu tak baik untuk marah marah di bulan puasa ni. Lagipun dia dah dalam keadaan kesihatan yang begitu... tak salah dia juga.

Dan lagipun, dia adalah istriku yang diamanahkan oleh Allah supaya dijaga sebaiknya. Bukan sebagai punching bag untuk melepas kemarahan yang tak tentu punca...

Astaghfirullahhil azim!

Apapun, ketat juga rasa dada ini menahan sebahagian dari marah yang tak  dikeluarkan...

Sabtu, 11 Jun 2016

Mimpi Abah

Arwah abah di hospital, seminggu sebelum pemergiannya

3 kali aku berjumpa abah semasa dalam tidur tadi.

Pertama, abah berjumpa aku untuk meminjam RM9. Ada keperluan katanya. 

Hatiku berdetik... apalah abah ni. Dengan anak sendiri pun nak kira pinjam. 

Aku bagi RM10. Abah menolak.

'Aku nak RM9 jer...'

Kali ke 2, aku berkereta dengan abah. Sampai di satu tempat, aku berhenti dan keluar dari kereta. Tak lama, abah pula keluar dan berdiri rapat dengan aku. Seolah bebisik, abah sekali lagi berkata...

'Abah nak pinjam RM9.'

Aku jadi heran. Takkan abah ni nyanyuk. Terlupa yang tadi dia dah minta RM9. Namun tangan ini bagi juga.

Kali ke 3, abah jumpa aku lagi. Kali ini dengan wajah resah, abah minta pinjam duit dengan jumlah yang sama... RM9. Aku bagi juga tapi dengan hati penuh kehairanan. Apasal dengan abah ni?

Tiba-tiba lalu kawanku Mukhtar (yang ni kawan sekerja aku dulu. Entah macam mana boleh ada dalam mimpi aku semasa hayat abah masih ada...).

'Tengok dia tu,' sambing bibir muncung ke arah abah...

'Dah terdesak macam ni baru nak pi tolong...'

Aku pun berjalan cepat-cepat ke arah yang dimuncungkan oleh Mokhtar. 

Atas bukit, apa yang aku nampak ialah Ayah Co dan Pak Cik Saba (abang dan adik abah). Aku melihat mereka dengan beberapa orang lain. Aku tak faham apa yang berlaku.

Kerana aku tiba-tiba tersedar dari lena...


p/s: Aku memang susah malah mungkin tak pernah bermimpikan abah sebelum ini. Tak mahu beranggapan apa-apa melainkan ianya cuma mainan tidur. Balik kampung nanti, isyaAllah, harap tak lupa nak ziarah pusara abah...

Khamis, 9 Jun 2016

Cadar Itu Kena Basuh


Terasa badan aku aku dihinggut. Sayup-sayup di cuping telinga aku terdengar...

'Abang... abang... nak pi pancoq...'

Aku cuma mendengus tanda ok tetapi mata masih terkatup.

'Abang... abang... tak tahan dah ni...' lalu terdengar bunyi detapan air ke atas tikar getah.

'Kena mandi ni, bang!'

Aku mendengus lagi. Dalam hati.... menggerutu sambil mata terus pejam.

Tak lama, terdengar bunyi desah nafas ibu_suri tercungap; kemudian katil berhenjut dek henyakkan tubuh ke katil. Lalu terdengar rungutan...

'Abang ni... orang panggil banyak kali... abangg.. abangg... tak mai pun. Tidoq mati ka!'

Aku buat tak dengar. Mata memang tak boleh buka. Perlahan-lahan suara bebelan ibu_suri hilang dari cuping telinga.

Tapi tak lama bila aku terdengar pula esakan ibu_suri. Aku buka sebelah mata. Kelihatan dia mengesat airmata di pipi sambil baring merenung siling. Tensentot sekejap perasaan halus ini. Mataku melirik ke jam di dinding. 

'Baru 4.30!' detik hati ini.... 'Ada lagi 15 minit untuk bersiap sahur.'

Aku sambung pejaman mata. Namun tak dapat lena bila masih terdengar desas nafas ibu_suri menahan tangis.

Akhirnya aku bangun, duduk sekejap sambil mata masih aku buat-buat tertutup. Perlahan-lahan aku ke dapur dan menjenguk nasi yang aku masak sejak jam 2 pagi semalam.

Aku capai bungkusan plastik berisi gulai lemak labu, ikan dan telor goreng yang aku beli dari kedai makan simpang Permatang Tok Elong. Capai mangkuk dan letak atas talam. Tak lupa ambilkan ubat makan pagi sebanyak 9 biji dari pelbagai jenama dan bentuk... untuk diabetis, hipertensi dan psikiatrik.

Semuanya memakan masa 15 minit juga.

Usai itu, aku angkat talam ke dalam bilik. Makan di katillah seperti selalunya... 

Aku capai kerusi dan letakk menghampiri birai katil. Semasa hendak duduk... pop... kaki aku terkena tepi talam. Terpercik keluar kuah gulai dan tumpah ke atas cadar.

'Ni la yang malas makan kat katil ni. Susah. Nasihat orang tak mahu dengar...' getus hatiku.

Aku menarik nafas panjang dan dalam lalu meneruskan juga sahur.

'Cadar ni nanti abang kena bukak dan basuh' ujar ibu_suri.

Aku diam sahaja membendung kegalauan. Memang begitu sikapku bila dalam keadaan terlalu marah atau terlalu serabut!

Selasa, 7 Jun 2016

Berbuka Awai

menjaga abah di hospital Lam Wah Ee

'Abanggg...'

Lembut saja suara ibu_suri memanggil dari dalam bilik. 

Aku mengangkat badan dari kerusi. Terasa berat. 

Menyelak langsir bilik. Tersunggin senyum keanakan dari bibir ibu_suri. 

'Kenapa?'

'La ni solat Asar ke Zohor?'

Aku mengerut dahi. Memandang jam untuk kepastian. Jam dalam bilik ni pun bukan boleh percaya juga. Cepat dari waktu sepatutnya.

'Zohor lah. Kan baru tengahari ni. Awat... nak berbuka awai ka....!' 

Aku cuba berjenaka sambil melepaskan langsir pintu. Ada sedikit kehairanan. Jarang dia was-was tentang waktu solat. Sebaliknya, aku yang sering bertanyakan dia.

'Hu... kena solat balik la!' ujarnya diiringi ketawa halus kedengaran dari dalam bilik.

'Kalau dah tersalah niat memanglah kena buat balik. Solat tadi tak sah,' bisik hatiku.

Aku kembali melabuhkan punggung di kerusi meneruskan catatan di komputer riba.

Kembali


Terbit satu perasaan lain bila saja 1 Ramadhan tiba, kelmarin. Perasaan itu buat aku berfikir dan menilai semula apa yang telah aku buat sebelum ini.

Aku meminati seni lagu. Dari dulu lagi. Mungkin sebab ayah aku juga yang meminati lagu.

Semasa aku di belajar di IKM, Kuala Lumpur aku terdedah kepada lagu-lagu Ebiet G Ade. Aku mula menjadi peminat dan pengumpul (masa itu kaset) beliau. Selain itu aku meminati Kembara, Sohaimi Mior Hassan dan beberapa lagu puisi.

Bilamana terjun ke medan dakwaah dan menyertai NGO Islam, aku mula menukar selera kepada lagu nasyid. Tentunya masa itu... NadaMurni adalah kegemaran saya. Keluar sahaja albumnya aku beli. Hingg ke tahap aku tubuhkan kumpulan nasyid atas nama NGO itu.

Bila aku bersara hampir 2 tahun lalu, aku mula hanyut semula ke lagu-lagu kontemporari. Aku cari dan beli semula album seperti M Nasir, Kopratasa dan lebih terlajak ialah Alleycats, Jamal Abdillah...

Kelmarin, aku merasakan bilamana terlalu banyak mendengar lagu-lagu lagho ini, hati jadi keras dan tidak mententeramkan. Aku imbas semula masa-masa laluku berbanding hari ini seperti dah banyak beza.

Aku belek-belek semula almari yang menyimpan puluhan khazanah kaset dan cdku. Termanggu sekejap memikirkan...

'Memang, lagu dah menjadi sebahagian dari halwa kehidupanku sejak remaja. Dan untuk itu aku perlu kembali kepada lagu yang lebih mendekatkan diriku kepada Tuhan. Kepada realiti kehidupan. Kepada jalan menuju akhirat.'

Ahad, 5 Jun 2016

Sebelum Ramadhan...


Sebelum semalam, aku menghantar abah mertua ke hospital untuk pemeriksaan ultrasound ginjal. Ramai pulak kat sana. Menunggu parkir kosong teramatlah lama. Kesian abah menunggu. Sabar sahaja dia...

Apa rumusan pemeriksaan itu, tidaklah aku tahu. Tulisan staff yang memeriksan di borang... macam cacing. Tak reti lah aku membacanya.

Tapi biasalah abah... bila ditanya:

'Buah pinggang abah ok jer... Cuma doktor kata tak boleh minum ayaq banyak-banyak... Alaa... buah pinggang dah tua...'

Setelah selesai urusan abah, aku balik semula ke rumah dengan ibu_suri. Tak menunggu hingga malam seperti selalunya. Letih menguruskan majlis pertunangan anak Matun aritu masih belum habis.

Semalam pula, aku hadiri majlis walimah anak sepupuku - Lina di Kampung Setul bersebelah Mydin. Lebih kurang setengah jam memandu dari rumah. Agak setengah hari juga aku bersama mereka samada di rumah kenduri maupun di homestay mereka di Taman Pauh Jaya.

Diusia begini dah tiba giliran aku untuk selalu meraikan jemputan yang datang. Tidak boleh lagi seperti dulu. Selalu mengatakan sibuk dengan kerja atau urusan anak isteri sebagai alasan untuk tidak hadir.

Untungnya, sepupu-sepupuku semua amat menghormati aku sebagai saudara yang tua. Aku juga menghormati mereka. Segala kisah kelabu semasa kami masih anak-anak kami lupakan. Itu semua telah berlalu...

Muga Allah ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah lalu. Sementelah Ramadhan pun tak lama lagi!

Jumaat, 3 Jun 2016

Semalam



Ini kali pertama aku diamanahkan untuk menjadi wakil keluarga ke majlis peminangan. Anak kepada adik perempuanku - Alimatun pertama kali bakal mendapat menantu.

Aku mengambil pendirian tidak mahu ada sikap tolak menolak dalam apapun permintaan yang baik dari orang lain yang memerlukan. Itu adalah hasil dari tarbiyah selama ini semasa berada dalam usrah.

Lagipun, aku sedar... aku sudah tua. Sudah sepatutnya mengambil aleh tugas orang-orang tua sebelum aku.

Pandai sangat... tidak. Pengalaman aku menjadi wakil menerima pinangan untuk adik perempuanku beberapa tahun lalu menjadi pengajaran dan panduan.

Bakal menantu adik aku tu orang Bota Kiri. Haa... itu tempat nostalgia aku smenjalani latihan dalam loji semasa menuntut di IKM. Ia menambah lagi keyakinan aku untuk 'berbalas pantun' dengan bakal besan Alimatun. Orang-orang di sana aku kira baik dan merendah diri.

Aku redah aje. Yang aku pastikan, perbincangan kelak mesti ada kepala (kata-kata aluan sebagai tetamu dan pengenalan keluarga), isi (hajat datang) serta ekor (merumuskan hasil perbincangan, kata-kata penutup seperti meminta maaf pada kekurangan, terima kasih dan doa).

Alhamdulillah, aku rasa semuanya berjalan lancar. Aku akui bahawa inilah sebenarnya budaya Melayu yang diakui lembut dan santun di dalam melaksanakan sesuatu urusan..

Ini baru anak saudaraku yang pertama. Ada berbelas-belas lagi yang sedang menunggu; yang rasanya selepas ini tak ada orang lainlah yang akan mewakili mereka dalam urusan pertunangan nanti...

Inilah kisahku sebenarnya.... semalam!

Rabu, 1 Jun 2016

Rindu Usrah


Entah kenapa, sejak semalam dan bangun Subuh tadi, aku teringat kepada usrah. Agak lama ianya pasif.

Terasa roh persaudaraan semakin menjauh dari sahabat yang dulu seperjuangan. Tidak lagi merasai keindahan berjaulah bersama. Bermesyuarat bersama apatah lagi beraktiviti.

Tidak salahkan mereka. Aku sendiri yang menarik brek spontan bila saja Allah uji dengan ahmar yang menyerang ibu_suri secara tiba-tiba. 

Tatkala itu aku berasa dunia amat kosong dan hening. Terasa amat kesaorangan dalam berhadapan dengan situasi yang tak pernah terlintas di benakku sebelum itu.

Hinggalah sekarang ini aku sebenarnya masih berasa terkontang kanting sendirian. Sahabat dahulu terus memacu ke hadapan sedangkan aku rasanya seperti mundur ke belakang.

Aku sanjungi Ustaz Rozee yang bertanggungjawap menarik aku kembali ke bilik bilik usrah sebaik saja dia melihat (mungkin) aku sudah reda sedikit dengan gemuruh permasaalahan hidup.

Aku berharap dapat akan kembali berusrah selepas Ramadhan nanti. Lujnah Tarbiyah aku harap dapat melihat aku yang malu tapi rindu ini.