Isnin, 2 Disember 2019

Resah Di Belakang Mahkamah

Pagi ini aku ke Mahkamah Bukit Mertajam entah untuk keberapa kali. Pagi yang mendung dan berangin. Aku putar cd penyanyi kesukaanku sang maestro - Ebiet G Ade... Tembang Slow Vol 2 sambil menaip catatan ini di atas skrin talipon bimbit. Memang selalunya begitu. Bila resah antara yang aku lakukan untuk melampiaskan ialah dengan mendengar lagu-lagu Ebiet G Ade yang banyak bicara tentang ketuhanan dan kemanusiaan.

Maaflah kalau ejaannya banyak kesilapan. Aku memang tidak selesa menaip di skrin yang kecil dan terbatas ini berbanding menulis menggunakan laptop. Tapi apakan dia, bukan sedikit laptop aku yang aku beli tetapi kemudiannya hilang. Aku percaya, itu juga angkara dia.

Aku baru saja turun dari bilik mahkamah. Akmal yang sebelum ini ditangkap dan di tahan di Penjara Pulau Pinang hampir 2 bulan, hari ini bakal dijatuhkan hukuman.

Sewaktu aku ternampak dia menaiki melalui tangga dari bilik tahanan di tingkat bawah mahkamah hati aku tiba-tiba terasa amat luluh. Tangkai jantung seperti disiat-siat.

Tangannya digari secara berantai dengan 4-5 orang OKT yang lain. Wajahnya yang malap menggambarkan apa yang ada di hatinya... bimbang dan resah. Aku tahu itu tapi itulah yang kamu cari.

Bila giliran namanya disebut, polis wanita yang ditugaskan melaporkan kepada hakim bahawa keputusan urine belum lagi diperoleh lalu meminta penangguhan bicara. Mahkamah memberi tarikh pada Jumaat ini - 6hb.

Yang aku nak ceritakan di sini bukan sangat perihal dia tetapi tentang keresahan hati ini.

Umurnya dan menjangkau 26 tahun. Bukan anak kecil lagi. Sepupu yang lebih kurang sebaya dia sorang demi sorang akan berkahwin. Dia? Usahkan nak tanggung anak orang, diri sendiri pun bergantung sepenuhnya dengan aku.

parkir di belakang mahkamah


Pagi ini memang resah menggigit tangkai jantung ini. Ngilu!

Aku tahu semua ini kesilapanku dari awal kehidupan. Dan aku ini banyak berdosa dengan Tuhan. 

6 ulasan:

PeRdU cINta berkata...

Allahu.Moga semuanya dipermudahkan.

Suria Amanda berkata...

Semoga allah permudahkan...

Nor Azimah Ali berkata...

Semoga slp ni dia sedar kesilapannya.

Warisan Petani berkata...

Berat mata memandang
berat lagi bahu memikulnya

Umialya berkata...

Maaf IM, tak berani nak.menunding jari. sayapun ada anak, mungkin akan ada pewaris lain suatu hari nanti..

Im bersabar ya, faham naluri seorang ayah..

Takutnya dengan situasi sekarang.. 🙄

Umi Nazrah berkata...

Allahu semoga dipermudahkan segala urusan :(