Halaman

Sabtu, 10 Disember 2011

Tidak Gagak Menjadi Merak


Kancil aku baru siap semalam sejak di tarik oleh penunda ke Perodua Seberang Jaya, Jumaat lalu. Lega rasanya kerana memandu kereta sendiri lebih baik dari kereta orang lain walaupun orang lain itu adalah anakku. Laih atau kecil, ia tetap bukan pinjam tetapi hak sendiri.

Sesekali bila hati tidak tenteram aku duduk di kerusi yang menghadap keluar rumah melalui cermin pintu gelansar. Aku renung semula ke dalam diri; jujur dan dalam. Sedar, aku punyai banyak kelemahan dan kelalaian dalam melaksanakan amanah dan perintah Tuhan. Sedangkan usia kian banyak gugur seperti juga daun-daun pelam yang tegak berdiri di hadapanku. Itu pokok yang ditanam oleh arwah abahku. Kata orang, kalau tangan yang sejuk menanamnya, biar tak berjaga, pokok itu masih akan tumbuh subur dan mendatangkan hasil.

Kemudiannya aku akan menarik nafas panjang dan dalam. Aku tahu, itu satu cara untuk melapangkan ruang dada dari segala kesesakan. Aku bina semula semangat dari puing kerana aku tahu perjalanan ini perlu diteruskan. Mereka yang berada di pundak tetap wajib aku  pikuli walaupun patah tongkat hilang suluhan.

Aku adalah aku seperti hari ini. Tidak akan gagak boleh menjadi merak. Tidak akan kucing boleh menjadi harimau.

Syukur atas apa yang ada. Redhailah atas apa yang telah berlaku. Esok tetap akan datang tanpa aku boleh duga apa yang akan ku temu.

Namun aku percaya, Tuhan Maha Saksama, Kasih dan Mendengar isihati hambaNya kerana Dia yang menjadikan aku dan Dialah juga yang mengharapkan aku tunduk patuh pada perintahNya.

Kancil yang baru saja aku cuci kelihatan bersih di pandangan mataku membuatkan aku terasa senang walaupun hakikatnya pemanduannya sudah tidak lagi stabil akibat kemalangan lalu.

5 ulasan:

a.samad jaafar berkata...

hidup yang terbaik adalah hidup yang sederhana..

Deru Ombak berkata...

...dan merasa cukup dan syukur dengan apa saja yang diberiNYA...Insyaallah :)

hrusli61 berkata...

Tiada yang mustahil jika ada kemahuan. Burung Cenderawasih pun boleh dipikat jika tahu petuanya.

Keluhan jika ditukarkan sebagai cabaran membuahkan peluang dan peluang boleh menghasilkan kekuatan.

insan_marhaen berkata...

a. samad jaafar,
betul. sederhana lahir dan batin. tapi bukan dalam beribadah, ya!

deru ombak,
syukur dengan apa yang ada tapi teruslah berusaha menambahnya jika perlu.

hrusli61,
hu..hu.. cenderawasih.. burung di awan!

Kunang-Kunang berkata...

Assalamualaikum IM,

Bercerita tentang kereta lama kereta baru, teringat arwah bapak mertua saya, dia tak nak 'mencuba' memandu kereta baru yang anak-anak dia beli.

Dia kata "ayah tak nak bawak kereta baru nanti ayah benci kereta ayah sendiri."