Ahad, 14 Julai 2013

Akan Tiba Giliranku


memakai cepiau logo 1 Malaysia menerima kunci rumah baru

Aku tidak pasti sejauhmana penerimaan pembacaku terhadap tulisan aku yang selalunya berkisar sekitar penceritaan aku dan ibu_suri sahaja. Kalau pun ada kisah yang di luar kotak,  hanya sesekali.

Tapi itulah realitinya kehidupan seharianku. Dan aku tidak reti menulis selain dari apa yang aku lalui setiap hari. Pengalaman dan pemerhatian aku sendiri tanpa ada unsur hipokrit.

Hari ini ibu_suri tidur panjang dari malam tadi hingga menjelang petang. Dan kesempatan masa-masa lengang itu aku guna untuk meng-update blog TKM1 yang terbengkalai sejak 2 hari lalu. Rasa bersalah pula kerana mengabaikan tanggungjawap yang diamanahkan. Apa pun, aku hanya manusia biasa. Cuba buat sedaya upaya.

Jam 4 petang, aku gerak ibu_suri bangun. Sepatutnya satu lagi tugasan perlu dilaksanakan - ziarah mertua di Taman Buah Pala. Aku tahu, mertuaku ini pasti tertunggu-tunggu kedatangan kami bagai selalunya di hujung minggu. Kasihan mereka kerana kini sudah terlalu tua; tidak terdaya untuk berjalan jauh dan kesepian walaupun tinggal di rumah besar 2 tingkat yang diperolehi percuma melalui usaha dari Kerajaan Negeri. Rumah itu khabar kini mencecah harga RM700 ribu. Setiap kali bila aku datang dan mencium tangannya tanda hormat, mertuaku akan sebik lantas mengalirkan airmata.

Aku amat memahami kesepian dan keresahannya dalam melalui hari-hari terakhir sebagai seorang insan kamil di bumi Tuhan ini. Walaupun dulunya dia seorang lelaki yang hebat (maklumlah.. bekas AC) hingga mampu membina syarikat sendiri yang beroperasi sebagai pemunggah barangan dari kapal ke lori pengangkutan namun lumrah alam... yang kuat tidak akan kekal. Lambat laun akan lemah dan memerlukan bantuan.

Mertuaku selalu memuji aku atas keselaluan menziarahinya dan kekadang membawanya berjalan-jalan memberi barangan keperluan tanpa banyak kerenah. Sebenarnya jauh di sudut hati kecilku memegang prinsip bahawa apa yang aku perbuat ini adalah kerana aku tahu satu hari nanti aku juga akan menjadi seperti mereka - tua dan lemah. Selama menjaga ibu_suri telah banyak melatih aku tentang sabar dan redha akan apa jua dugaan yang mendatang.

Akan tiba giliran aku pula untuk mengharapkan bantuan dari anak-anakku untuk menjaga kebajikan aku bila giliran tua dan lemah aku tiba. Usah sombonglah dengan kegagahan hari ini kerana ianya bukan hakmilik kekal!

5 ulasan:

Kamsiah yusoff berkata...

apa yg kita buat terhadap ibubapa skrg...in shaa ALLAH akan dilakukan jugak oleh anak menantu kita kelak..

Kakzakie Purvit berkata...

Betul IM... sesungguhnya apa yg kita lakukan kini menjadi cermin pada anak-anak kita. Gagah mana pun satu hari kudrat kita akan lenyap dan perlukan bantuan juga.

ahmad humairi berkata...

Assalamualakum,

Moga menjadi tua dan lemah yang tidak menyusahkan sesiapa!

Selamat menjalani ibadah puasa.

faizah berkata...

Celik mata, reset minda - kata prof muhaya. Cipta dunia dalaman yang bahagia, akan lahir dunia luaran yang bahagia. Bahagia membahagiakan. Tanya apa kita boleh beri, bukan apa kita boleh dapat. Mungkin jika kelapangan IM boleh ulas tentang kata2 motivasi di atas. Sekadar berkongsi.

Aida Ali berkata...

Semoga anak-anak kita akan menjaga kebajikan kita bila tiba masa kita nanti...