Ahad, 30 November 2014

Rabun


Awat kabur je tulisan kat latop ni. Jenuh jegil.

La... silap ambil spec rupanya...

Akibat letak cermin mata bersebelahan atas kabinet tv.

Aku rabun dekat, sidia pulak rabun jauh... Elok le tu...

Kalau sidia tahu, ngekek le dia ketawakan aku... acha...

Hari ini Angah ajak makan di rumah dia. Ayu masak apom, katanya...

Aku bukan minat sangat makan apom ni tapi kira orait lah... Nak jadi mertua yang disenangi, kenalah bersikap 'tak banyak ragam'... betulkan?

Ini baru satu menantu, insyaAllah.. ada lagi 2 jika diizinkanNya jodoh mereka. Belum tahu lagi warna apa pulak tu nanti....

Sabtu, 29 November 2014

Habis Juga


Hari ini aku tak buat apa sangat. Lepas riadah kat Kompleks MPSP, aku bersihkan laman rumah. Rutin ini aku buat 2 hari sekali. Buang batu-batu dalam longkang besar. 

Juga buang sampah di satu sudut simpang tak jauh dari rumah. Ada pula si polan yang senang-senang buang plastik, bekas minuman dan sisa makanan kat situ. Sepatutnya dia faham sendirilah, sampah gitu buanglah dalam plastik dan letak di belakang rumah supaya nanti dikutip oleh lori MPSP.

Selesai itu semua aku ke dapur pula, satu-satunya unit dalam rumah yang tak pernah habis kerja yang kena dibuat. Tak masak sebab dah makan kat kedai tepi Masjid Kubang Semang tadi. Cuma basuh baju, refill botol sabun kain, sabun pinggan dan sabun tangan yang dah kosong. Catit dalam note hanphone, apa-apa yang dah habis dan perlu beli.

Angah tiba-tiba tersembul dari muka pintu. Tak kerja agaknya, hari ini.

"Ayah, tak ada plan nak cari kerja ke?"

"Hmmm... Tahun depanlah agaknya. Tak boleh pun rileks macam ni sebab badan masih sihat untuk kerja. Duit ni tinggi mana pun kalau dicangkul, habis juga. Tak boleh harap anak-anak ayah nak bantu ayah. Ayah kena cari rezeki sendirilah nampaknya selagi boleh."

Aku segera teringat abah. Dia terus bekerja hingga akhir hayatnya walaupun masa itu umurnya 75 tahun.

Jumaat, 28 November 2014

Toing


Bila diberitahu Jumaat tadi bahawa j/k qariah masjid akan menganjurkan program konvoi untuk anak-anak remaja yang gemar berpeleseran di taman aku ini, mungkin akulah di antara bapa yang gembira mendengarnya. Aku bayangkan akan cuba membujuk Akhmal untuk join program ini. Program konvoi, tentulah depa suka. Malah aku pun cadang nak join sama.

Namun bila kemudiannya, khatib mempericikan aturcara program antaranya menziarahi pondok Tuan Hj Musa di Sikh, harapan aku tiba-tiba jadi... toing..toing..toing..

"Macam ni kalu, yang ikut cuma anak-anak yang memang dah baik. Yang haru biru macam  Akhmal, dengaq nama pondok aje, depa pangkah awai..."

Aku teringat masa aku jadi j/k perkhemahan remaja di Hutan Lipur Bukit Panchor, Nibong Tebal dulu. Antara peserta yang turut sertai ialah remaja penagih rokok. Bila pemudahcara perkhemahan dapat tahu dia hisap rokok di balik pokok, jenuh remaja tu kena 'tazkirah'.

Sekarang ini bila aku fikirkan semula, rupanya pendekatan itu satu kesilapan. Memanglah remaja yang sebegini kita nak perbetulkan. Tapi perbetulkan mereka bukan dengan sekali program ibadah atau sekali tazkirah. Kita perlu dekati mereka secara halus dan hikmah. Dia nak datang ke program macam ini dalam keadaan memakai tudung pun dah kira cukup bagus.

Jadinya, tak dapatlah aku nak lihat Akhmal join program masjid ini kelak. Mungkin lain kalilah agaknya.

Khamis, 27 November 2014

Beban


Resah dengan sikap Akhmal buat aku tak banyak cakap... kelmarin, semalam maupun hari ini. Bila ibu_suri bertanya:

"Kenapa dengan Akhmal tu? Cakap bukan-bukan, hempas pintu, lempar barang sana sini.."

Aku malas nak jawap. Bukan kerana tak ada jawapan tapi tak mahu jika jawapan itu ada di telinga ibu_suri akan disusuli dengan soalan-soalan lain yang terpacul. Yangmana semua itu akan lebih menyesakkan dada yang sememang sudah lama keriput dan letih.

Dulu... benar. Paling membebankan pundak aku ialah tekanan kerja serta tekanan mengurus ibu_suri yang tegar dengan sindrom bipolar dis-order. Tapi bla dah berhenti kerja dalam keadaan yang mana ibu_suri juga sudah boleh dikira ok dan emosi mudah diurus, aku terpaksa menungkah tindak tanduk mazmumah anakku yang seorang ini pula. Tanya Along, tanya Angah... apa yang ayah perlu buat... mereka juga bungkam.

Agaknya kerana ibadah aku yang masih compang camping inikah? Atau lewat dosa-dosa aku yang lalu?

Lepas catatan ini selesai ditulis, aku bercadang untuk mandi sebersih-bersihnya, memakai pakaian terbaik, baca semuka Al Quran kemudian bawa ibu_suri jalan-jalan. Mungkin ziarah mak di Bukit Gelugor.

Tuhan.... Ampunilah dosaku. Bantulah aku!

Selasa, 25 November 2014

Senja Begini


Itu adalah gambar adik. Kalau dalam keluarga, dia ranking ke 2. Kini tinggal di Shah Alam. Punyai anak 4 orang - 2 lelaki 2 perempuan yang masih belajar. Dia seorang yang sederhana. Masa mudanya pernah bersama-sama dengan jamaah Tabligh. 

Dia berkahwin lewat. Kata orang: jodohnya payah. Tapi di sebalik semua itu ada hikmahnya. Akhirnya dia bertemu dengan seorang isteri yang aku kira solehah. Lemah lembut dan baik pekerti.

Senja-senja begini aku teringat dia. Rasanya, antara ramai-ramai adikku, dialah yang akrab. Kami sama-sama lalui zaman hidup yang susah semasa kecil. Semasa abah jatuh sakit memaksa mak mengambil aleh tanggungjawap mencari rezeki buat kami.

Kami berdua sama-sama lalui zaman kongsi bekal ke sekolah. Beli aiskrim Malaysia berharga 5 sen dan kerat 2 untuk makan bersama. Berkongsi tanggungjawap - aku menjaga adik-adik lain di rumah sementara dia menolong mak menoreh getah. Dan sama-sama menolong abah mesin rumput di rumah taukeh Cina di Jalan Bulan dan Jalan Matahari.

Sekali lagi, ntah kenapa senja-senja begini aku teringat dia. Kalau terjembong di kampung, aku selalu teringin nak ajak dia minum-minum berdua di Restoran Bunga Raya, tempat yang penuh nostalgia bersama abah dulu. Sayangnya, ibu_suri yang tidak boleh berenggang dengan aku membantutkan keinginan itu.

Kalau tidak kerana rumahnya terletak di tingkat 3 yangmana hampir mustahil ibu_suri mampu mendakinya, aku teringin sekali ziarah dia.