Halaman

Jumaat, 31 Ogos 2012

Episod baru

sumber foto

Walaupun sebenarnya aku agak kantuk namun kemahuan membaca blog dan bercit-cat dengan seorang rakan FBku - MM, buat aku gagahi juga mengetuk biji-biji keyboard ini.

Aku cuba menyelami hati terkini MM dan memberinya serba sedikit nasihat dan peransang untuk dia terus positif dalam mengharungi hari-hari hadapannya. Aku memang suka berkongsi pengalaman dan nasihat dengan orang lain selagi mana aku rasa dia sudi mendengar walaupun aku tahu aku pun tidaklah setara mana sempurnanya.

Ntahlah... Sesekali fikir ada lebih baiknya hidup aku ini beramuankan dengan ujian hidup dari Tuhan. Yang dengan itu akan membuatkan aku selalu mengingati dan mengharap kepedulianNya. Jika aku selalu diberi kemewahan dan senanghati pastinya aku akan lupa diri dan lupa Tuhan.

Tips yang disarankan oleh blogger Jendela Hatiku agar aku selalu melakukan solat Hajat begitu bermakna buat aku. Aku berazam untuk melaksanakannya berpasangan dengan solat Dhuhaku setiap pagi.

Aku adalah aku dan cuba berbuat semampu mungkin untuk memperbaiki diri. Walaupun kerap juga terjatuh, aku akan cuba bangun dan meneruskan perjalanan ini.

Sekarang ini aku sudah mula berjinak-jinak dengan masjid yang kalau dulunya aku memberi alasan kekangan dari anak dan isteri untuk tidak selalu menjejaki rumah Tuhan ini.

Aku beli kopiah baru dan berkualiti; aku beli kain baru dan berkualiti; dan aku sarong semula baju Melayu buatan tangan ibu_suri yang masih ada di dalam almariku. Aku dengan penuh rasa keinsafan ingin memulakan episod baru dalam hidupku. Aku ingin pinggirkan kisah-kisah lama yang kelabu dan ingin isi diari hidupku dengan aktiviti baru yang lebih menggembirakan aku. Doakan....

Rabu, 29 Ogos 2012

5S

sumber foto

Aku masih baloq (malas) untuk mengemas rumah lepas Raya ini. Seluruh pemikiran tertumpu pada odit TS19649 yang akan dijalankan pada Isnin hingga Khamis minggu depan. Di ofis aku saja para auditor akan odit hampir setengah hari. Bagai nak demam pun ada.

Kekadang terfikir pula; ini baru odit oleh SIRIM di dunia. Bagaimana pula kalau odit oleh Munkar dan Nakir di alam Barzakh nanti? Dan lebih dasyatnya di Padang Mahsyar kelak?

Odit SIRIM sudah diberitahu bila tarikhnya sedangkan odit oleh Tuhan tak tahu bila. Boleh jadi esok. Boleh jadi lusa. Kalau sekadar odit oleh SIRIM dah rasa nak deman entah macammana pulak bila tiba-tiba ternampak malaikatul maut di tepi katil yang menanti saat terbaik untuk mencabut nyawa.

Telah banyak ujian Allah aku tempuh. Malah hingga pernah ke tahap aku tidak boleh lagi berfikir yang akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidur di masjid selepas sembahyang sunat dan doa panjang semasa sujud terakhir. Dengan harapan bila bangun nanti Tuhan akan beri aku gerak hati ke arah jalan mana yang didorongiNya.

Aku percaya pada pertolongan Tuhan. Aku percaya pada ketinggian tawakkal akan memberi kita kekuatan untuk terus mendepani segala permaalahan hidup.

Aku harap anak-anak aku akan sekuat semangat aku bila menempuhi apa saja ombak dan badai yang menerjah kehidupan mereka yang masih baru ini.

Apapun, odit minggu depan ini tetap pasti aku hadapi. Selepas selesai odit ini; kalau apa jenis OFI atau CAR yang aku akan dapat, aku kena terima. Pun, aku masih mengharapkan keajaiban dari Tuhan untuk menjadikan semua proses odit berjalan sebaiknya.

Aku ingin mulakan hidup baru. Hidup yang lebih ke arah mendekati Tuhan. Anak-anak sudah besar dan punyai hidup sendiri. Emosi ibu_suri juga sudah lebih stabil sekarang ini berbanding 2 ~ 3 tahun dulu. Walaupun letih jasmani kerana melayani kehendak dan menjaga kebajikannya, itu sudah jauh lebih baik dari awal sakitnya dulu.

Tuhan..... aku ingin memperbetulkan segala dokumentasi hidupku yang berselerak. Aku ingin 5Skan semula hidupku ini. Beriku peluang untuk hidup 1000 tahun lagi!

Sabtu, 25 Ogos 2012

Silent Reader


Sempat tadi menghadiri majlis perkahwinan pasangan Nadia/Ruzaini, anak kepada jiran setamanku Hasan/Melorwati di Dewan Kondominium Mutiara, Perda. Di situ jugalah sebenarnya lokasi majlis perkahwinan Angah dan Ayu pada 2011 lalu. Dewan ini memang selesa kerana punyai banyak bilik air, luas ruang dewan dan parkir serta ada bilik untuk rehat. Tapi sewaannya pun boleh tahan juga -  RM800.

"I memang kenal kat isteri dia tu." beritahu ibu_suri. Itu cerita-cerita masa ibu_suri masih sihat dan aktif dengan agenda politik semasa.

Tentang isterinya itu adalah salah seorang silent reader blog aku ini tidak pula aku beritahu pada ibu_suri. Takut nanti banyak pula seghongehnya. Susah aku nak jangka.

Menjaga orang seperti ibu_suri ini memang kena bijak mengurus mood dan perasaannya. Semasa bertolak ke Perda ini pun aku pastikan semua keselesaan dan ubatnya disediakan terlebih dulu. Di sepanjang pemanduan, suasana ceria perlu sentiasa di ujudkan walaupun sebenarnya di dalam hatiku berbagai perkara berkecamuk dan menyempit.

Talipon dari Siti tadi pagi masih terngiang-ngiang di telinga;

"Ayah, Akhmal suruh Siti bagitahu ayah. Akhmal nak pergi jumpa mak dia di Setiawan. Dia suruh ayah bawakkan dia ke sana." 

Hati kecil berasa seperti ada sesuatu yang kurang enak. Ufffssss....

Selasa, 21 Ogos 2012

Raya Ke Dua

sumber

Hari ini aku tak beraya ke mana-mana pun selain ke rumah besan di Permatang Rawa. Besan memanggil aku, abang dan ibu_suri sebagai kakak kerana kami lebih tua umur berbanding mereka. Rumah mereka tak jauh dari kilang Allagapa, Bukit Tengah. 

Selain itu aku lebih banyak di rumah. Along dan Angah balik ke Ipoh ziarah mak aku yakni opah mereka. Memang aku selalu pesan supaya selalu ziarah opah atau mak tok mereka. Pesan yang sama mak aku selalu sebutkan kepada aku semasa aku diusia mereka.

Aku ambil kesempatan yang lapang ini untuk solat di masjid yang tak jauh dari rumah di setiap waktu. Terasa amat tenang dan damai bila bersolat bersama jamaah yang aku kira ramai juga - 3 saf. Lebih membanggakan ada ramai generasi muda.

Bagi aku jika kita selalu mengunjungi masjid hati kita mudah menjadi lembut. Dengan selalu mendekati masjid kehidupan kita akan diberkati.

Sayangnya aku tak dapat membawa ibu_suri bersama. Kekadang terasa terkilan juga bila melihat orang lain berpasangan ke masjid sedangkan aku terpaksa meninggalkan ibu_suri bersolat sendirian di rumah.

Tapi tak mengapa. Aku tahu Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat aku sekeluarga. Di setiap sujud terakhir solatku aku selalu bermunajat pada Allah agar aku diberi kekuatan mengharungi keseluruhan ujian hidup ini dengan tabah dan sabar.

Ahad, 19 Ogos 2012

Pagi Raya

Setakat ini, Rayaku berlalu seperti yang dirancang. Sayangnya, saudaramara atau sahabat handai tidak ada yang datang. Yang ramai cuma anak-anak jiran. Memang selalu begitu. Sesekali fikir, bagi keluarga seperti aku, budaya anak-anak datang beRaya dari rumah ke rumah ini sesuatu yang bagus juga. Paling tidak, dapat juga mengisi kemeriahan rumahku.

Aku hadkan kepada 30 ~ 40 orang anak-anak saja. Lepas tu aku terpaksa membuat dasar tutup pintu. Tak tahan juga melayani mereka yang kebanyakannya datang hanya nak minta duit Raya.

"Mai rumah pak cik ni kena masuk dulu. Makan atau minum sikit. Barulah beRaya namanya. Tak bagus kalau datang nak duit raya jer."....

Selepas agak-agak mereka dah habis makan minum baru aku bersalaman dengan mereka dan menghulur duit raya.

Khutbah solat sunat Aidil Fitri di Masjid Saidina Abu Bakar tak jauh dari rumahku ini begitu bermakna dan mengesankan. Sejak Pakatan Rakyat ambil aleh pentadbiran Negeri Pulau Pinang, aku perasan yang kebanyakan masjid begitu meriah dengan pengisian agama. Tazkirah, ceramah malah khutbah juga begitu bertenaga dan kontemporari. Namun begitu, menurut pengerusi qariah tadi, masih ada segelintir ahli qariah yang komplen kerana masjid ini mempunyai terlalu banyak kuliah agama.

Masjid Saidina Abu Bakar s Siddiq. Kontraversinya boleh baca di sini

Isi khutbah di masjid tadi, hampir 80%  berkisar tentang wajibnya kita menziarahi, mentaati dan mengenang jasa ibu. Aku sendiri hampir-hampir menitiskan airmata pabila dibawa oleh khatib mengenang jasa makku di kampung. Sebenarnya, apa yang aku alami sekarang ini bersama ibu-suri sama juga seperti yang pernah makku alami bersama abah yang juga menghidap Skizofrenia.

Muga-muga Mak dan arwah abah sentiasa berada dalam rahmat Allah selamanya. Ameeennn....

Sabtu, 18 Ogos 2012

Sebelum Esok Raya

Hari terakhir Ramadhan. Terasa cepat berlalu dan akan terasa rindu pada suasana berbuka dan bersahur yang hanya akan ditemui setahun lagi. 

Along baru balik tadi dan sekarang masih tidur. Angah dan Ayu masih perlu pergi kerja. Akhmal...hurrmmmm....

Nampaknya aku sajalah yang akan mengemas rumah ini. Baru hari ini aku ada masa penuh. Sebelum ini sibuk dengan kerja dan bila malam berTerawih kemudian bawa ibu_suri jalan-jalan hingga tengah malam.

Dari hujung dapur ke hujang pagar depan rumah perlu aku kemaskan. Ini semua aku buat supaya anak-anak dan isteriku dapat merasakan suasana Hari Raya yang lebih selesa. Bila rasa selesa tentu kegembiraan lebih terasa. Bila mereka rasa gembira, aku tumpang tenteram.

Seperti Raya selalunya, ibu_suri beriya-iya mahu buat rendang. Aku ikut sahaja. Sekarang ini aku lebih begitu kerana aku tahu ibu_suri mahu dan rindu pada suasana dia semasa masih sihat dulu. Masak ayam golek atau rendang adalah kemestiannya di pagi Raya. Isteri, begitulah sepatutnya. Dan aku yang bernama suami sepatutnya menyokong selagimana itu untuk kebaikan bersama. Seperti hari-hari begini aku amat terasa betapa bersyukurnya jika mempunyai seorang isteri yang begitu bertanggungjawap terhadap rumahtangga.

Raya pertama aku di rumah sendiri dan petangnya akan ke rumah besan di Permatang Rawa. Raya ke dua baru ziarah mak abah ibu_suri di Taman Buah Pala, Bukit Gelugor. Raya ke tiga baru balik ke Ipoh. Walaupun aku tahu mak aku mengharapkan aku balik seawalnya tapi aku terpaksa terima hakikat bahawa carahidup aku sekarang ini tak sama seperti masa aku dahulu. 

Aku mohon pada Allah muga mak dan adik-adikku memahami kekangan yang aku depani sekarang ini. Memang tidak semua permasaalahanku mereka tahu. seperti juga tidak semua permasaalahan mereka, aku tahu.

Kenangan Raya 2008. Aku tak balik kampung kerana ibu_suri
 baru 2 minggu diserang angin Ahmar

Selasa, 14 Ogos 2012

Baitul Rahmat

sumber

Terasa nak makan nasi minyak. Aku ajak ibu_suri ke Restoran Kasim Mustafa, Seberang Jaya. Berbuka tadi kami cuma makan beberapa ketul kuih saja. Aku lewat sampai rumah dari tempat kerja.

Dan bagai selalu ibu_suri cepat menghabiskan makan berbanding aku yang suka makan perlahan-lahan.

"Rasa cepat sungguh bulan puasa ni dah nak habis, ya..bang!" bual ibu_suri sambil membetulkan kacamata. Aku lihat seperti ada airmata yang bergenang.

"Masa tetap berlalu. Cuma kita saja yang perlu tangkas mengisinya. Sekarang ini masa-masa terbaik untuk melipatgandakan ibadat." jawapku pula sambil menyuap.

"Kalau boleh you solat Dhuha lepas tengok Marissa pagi-pagi tu. Solat Dhuha adalah mustajab untuk kemurahan rezeki. Lagi satu... doa dalam waktu Dhuha lebih afdhal. Berdoalah supaya anak-anak kita selamat dan dirahmati Allah terutama Akhmal." 

Dalam hatiku tetiba rasa sayu. Teringat mak sejak dari petang tadi. Malah sejak beberapa hari lalu. Drama Baitul Rahmat di TV1 yang sering aku tonton sementara menunggu waktu berbuka benar-benar menyentuh perasaanku.

Isnin, 13 Ogos 2012

Harapan


Aku cuba bertahan dengan apa yang aku harungi sekarang ini. Tuhan, bantulah aku. Aku terlalu lemah...

Tuhan, kasihanilah aku. Hidup ini seperti terlalu payah. Aku tersepit di antara segalanya!

Aku rindukan hidup yang damai dan murni. Ampunilah diriku ini yang kerdil ini!

Sabtu, 11 Ogos 2012

Ramadhan Kali Ini

sumber

Raya lagi seminggu. Tapi masih lagi merasakan seperti lambat lagi. Pagi pergi kerja. Malam baru balik. Kalut-kalut cari juadah berbuka. Solat Terawih kemudian bawa ibu_suri jalan-jalan. Lewat malam baru balik.

Esok jam 5 pagi bangun untuk sediakan juadah sahur. Akhir-akhir ini menantu aku lambat bangun sahur. Bila dah siap semuanya baru aku kejutkan mereka. Aku faham, dia juga letih. Balik kerja jam 10 malam. Tak sepeti pekerja Kamdar lain yang balik jam 9.30, dia adalah orang terakhir yang keluar.

Kerja di ofis aku semakin banyak. Bulan 8 adalah bulan yang paling banyak menerima perkakasan untuk di kalibrasi. Bulan depan pula adalah musim odit SIRIM TS19649. Persediaan awal mesti bermula di bulan ini.

Akhmal juga sejak beransur baik dari kecederaan kaki, langkahnya mula panjang. Balik jauh malam. Entah kemana dia merayap dengan kengkawannya, aku pun tak tahu.

Ramadhan kali sebenarnya benar-benar mencabar kekuatan jiwa dan ketahanan mental aku. Tadi aku melampiaskan sedikit kemarahan dan kekecewaanku pada ibu_suri bila dia bersungut panjang kerana aku asyik pergi kerja saja walaupun Sabtu dan Ahad sepatutnya aku membawa dia berjalan-jalan.

Esok aku perlu pergi kerja untuk menyiapkan schedule dan laporan odit. Tapi esok juga ibu_suri seperti mengugut aku membawanya ke Sungai Petani untuk mencari kuih raya di kedai Fatimah Bakery kegemarannya itu.

Uffffsssss........ Macam tak ada keberkatan jer Ramadhan aku tahun ini!...

Khamis, 9 Ogos 2012

Odit



Sebenarnya ini kali pertama aku menjadi auditor. Menjelang audit oleh SIRIM yang dijadualkan pada bulan 9  untuk akreditasi ISO9001/TS16949, aku perlu menyelesaikan pengoditan terhadap vendor-vendor yang berkaitan dengan perkakasan yang digunakan di tempat kerjaku.

Hari ini aku pergi untuk mengodit vendor ISO Dynamique dan GAOTEC bertempat di Sungai Ara, Pulau Pinang bersama dengan rakanku Mustadza yang sudah biasa dengan odit luaran. Aku perlu belajar dari pengalamannya.

Dan sesuatu yang aku pelajari ialah;

  • Bila pergi melawat pelanggan, kita perlu berpakaian kemas dan segak sedangkan aku hanya berselipar dan uniform aku adalah uniform lama yang lusuh.

  • Bila membuat odit kita perlu menonjolkan sikap yakin dan izzah sedangkan aku memang masih tergagap-gagap dan terpinga-pinga.

  • Sebelum mengodit kita perlu membuat studi terhadap apa yang kita nak odit dan apa yang perlu kita dapatkan daripadanya.

  • Bila odit kita perlu merasakan bahawa kita ini adalah pelanggan dia dan dia perlu melayani semua kehendak kita sesuai dengan slogan 'customer comes first'.

  • Bila odit kita perlu bersikap mesra dan tenang. 

  • Bila kita odit kita perlu banyak bertanya dan bersikap seperti banyak tahu berbanding aku yang lebih banyak diam kerana memang aku ini tak reti bercakap banyak.

Hari ini aku belajar sesuatu. Hari iniku rupanya lebih baik dari hari kelmarin. Dapat gaji nanti aku nak beli kasut kulit dan juga pencuci muka. Aku tenyeh muka aku supaya hilang bintik-bintik hitam sekaligus jadi putih melepak dan awet muda.

Rabu, 8 Ogos 2012

Dangai

sumber

Aku ternampak kuih dangai ini sewaktu lalu di kafetaria ketika balik kerja.

'Hmm... elok juga kalau beli kuih ini untuk berbuka puasa nanti. Tentu dapat mengimbas kembali kenangan lama ibu_suri', bisik hati kecilku.

Ketika azan Maghrib semakin hampir, bagai selalunya aku hidangkan juadah berbuka puasa di atas meja di depan ibu_suri.

"Jeng..jeng.. special for you. Cuba teka kuih apa!"

"Eh... ini kuih...errr.... apa dia ha?... I tahu kuih ni. Mak cik selalu buat untuk jualan. Kuih apa... alaaa.... kuih tuu...!"

Aku hanya tertawa membiarkan dia mencari jawapan sendiri. Doktor pernah beritahu aku dulu bahawa mereka yang pernah mengalami stroke akan kehilangan sebahagian dari daya ingatan dan juga akan sukar menuturkan apa yang dia katakan.

"Awak mesti latih isteri awak supaya boleh mengingat semula perkara-perkara atau perkataan-perkataan yang biasa dia sebut dahulu. Awak kena sabar mengajar sepertimana kita mengajar anak-anak kecil bercakap."

Dek kerana kasihan melihat ibu_suri terkial-kial cuba mengingatkan nama kuih ini maka aku pun menyebut:

"Dangai..."

"Haaa.........ya..ya.. kuih dangai. Laaa.... pelupa betul I ni!"

Dua ketul dangai yang aku beli tadi akhirnya hilang ke dalam mulut ibu_suri.

Selasa, 7 Ogos 2012

Doktor Itu


"Awak suami dia?" tanya doktor sebaik aku menguak pintu bilik 102, Hospital Besar Pulau Pinang. Aku mengiyakan.

"Kenapa dia tak datang?" Soalan yang memang sudah aku jangka akan diaju.

"Ubat dia dah habis. Saya terlupa akan temujanji yang sepatutnya pada bulan 6 sudah. Jadi hari ini saya datang nak ambil perkripsi yang baru saja." Terasa berbelit lidah aku nak menyusun perkataan supaya nampak cantik di dengar oleh doktor wanita yang masih muda ini.

"Selama hari ini dia tak makan ubat sebab dah habis?" soal doktor sambil terus menulis sesuatu di atas kad rawatan ibu-suri tanpa sedikit pun memanggung muka merenung aku. Aku seperti hampir terperangkap dengan soalan itu.

"Dia masih makan ubat. Cuma saya terpaksa control ubat itu."

"Kenapa awak lalai dengan temujanji ini. Awak mahu isteri awak sakit balik macam dulu?" Tajamnya terjahan doktor itu bagai menikam jantungku.

"Saya tahu saya silap." Aku merendahkan diri.

"Faham saja tak cukup. Saya cuma menasihatkan awak sahaja. Sebagai suami awak bertanggungjawap sepenuhnya dalam menjaga isteri awak!" Sambil doktor mengoyak perkripsi yang sudah siap ditulis senarai ubat untuk tempoh 3 bulan sehingga September. Ubat dan dos yang sama.

"Temujanji akan datang jangan lupa bawa isteri awak!" tegas saja suara doktor itu. Sedikit pun tidak senyum namun disebabkan wajahnya memang manis tidaklah sangat ketara ke'seriusan'nya itu.

Di dalam hati, aku menggerutu sendirian menyesali akan kealpaanku dalam memastikan ubat psikiatri ibu_suri sentiasa ada secukupnya. Kisah hitam di masa-masa ibu_suri masih baru mengidap bipolar disoder seperti menyiat-nyiat sanubariku!

Electrocardiogram

sumber

Dah banyak hari ibu_suri mengadu sakit dada sebelah kiri. Aku mula berfikir yang bukan-bukan. 

Aku ajak ibu_suri pergi rujuk ke Hospital Bukit Mertajam.

"Tak mau. Takut nanti kena tahan di wad."

"Kalau tak ada apa-apa takkan depa nak tahan. Tapi kalau betul-betul ada masalah, nak buat macam nana. Lebih baik duduk di hospital dari duduk di rumah. Abang bukan doktor. Boleh buat apa kalau you asyik mengadu sakit dada."

Lepas berbuka tadi akhirnya ibu_suri setuju untuk dibawa ke Klinik Utama. Ini adalah klinik panel. Hampir seluruh keluargaku selalu ke klinik ini jika tak sihat. Semua staf dan doktor di sini aku kenal belaka.

Tapi malam ini dokotor dan staf yang merawat ibu_suri adalah baru. Tak pasti samada depa tahu latar belakang ibu_suri yang OKU.

Bila doktor suruh masuk ke dalam bilik supaya pemeriksaan menggunakan alat Electrocardiogram, ibu_suri tiba-tiba menyoal;

"Ha..? Siapa nak check I?"

"Saya!" ujar staf perempuan.

Doktor itu seperti memahami beredar keluar dari bilik. Aku yang duduk menunggu di luar sempat lena beberapa kali dek lamanya menunggu.

Ahad, 5 Ogos 2012

Lekir

Masjid ini tak jauh dari rumah mak Akhmal
 (sumber)

 Apabila Akhmal berkata...."Ayah, Raya ni kita pi Setiawan, ya!" 

Aku jadi tak terkata apa-apa.

"Kita pi, ya ayah...!?" dicampur sedikit nada 'paksa' kepada jawapan ya. Aku cuma angguk yang mungkin kurang ikhlas.

Sebenarnya di situlah Akhmal dilahirkan sebelum 3 hari ia diambil oleh ibu_suri, adik ipar dan bapa mertuaku walaupun sebenarnya sebelum itu aku tidak bersetuju. 

Pastinya hendaknya ke Lekir, Setiawan itu untuk berjumpa dengan Mak dan adik beradiknya yang sudah lama tak bertemu. Lama sejak Akhmal mula terlibat keluar masuk lokap.

Bukan membawanya ke Setiawan itu yang memasaalahkan aku akan tetapi apa yang akan berlaku apabila dia bertemu dengan maknya itu yang aku tak dapat nak jangka.

Mak Akhmal bernama Zaiton. Akhmal adalah hasil perkongsian hidupnya dengan suami yang aku tak pasti yang ke berapa. 

Mazlan adalah nama bapa Akhmal. Khabarnya seorang pilot. Tak pasti! Sementara tok Akhmal adalah seorang ketua kampung atau lazim dipanggil Tok Sidang.

Dan aku masih resah memikirkan hal ini sementara daun-daun Ramadhan tetap gugur dan semakin banyak gugur!

Khamis, 2 Ogos 2012

Kenapa?

sumber

Sesekali aku bagaikan asyik melihatkan cucuku Marissa bangun dan merangkak mendapatkan barang permainan di hadapannya. Bangun kemudian jatuh. Bangun lagi dan setapak ke hadapan kemudian tertiarap semula.

Semulajadi Allah ilhamkan kesungguhan anak seperti Marissa untuk belajar merangkak tanpa putus asa. Setelah beberapa kali cubaan dia semakin cekap lalu seterusnya belajar berdiri dan berjalan pula.

Aku yang sudah dewasa ini kenapa susah sangat untuk berusaha memperbaiki diri, memperbaiki amal dan memperbaiki sikap?

Sesekali aku mengalih pandangan kepada ibu_suri. Tak pernah aku menduga beliau akan menjadi seperti hari ini. Dulu dia seorang yang akif dengan Tadika, aktivis JIM dan aktivis politik. Namun dengan sekelip mata dia tiba-tiba bertukar menjadi seorang yang tidak mampu berbuat apa-apa melainkan duduk di rumah menonton tv dan melayan kerenah cucu. Sahabat handai yang dahulu mengelilinginya kini sudah tiada.

Tidak mustahilkah aku akan menjadi seperti ibu_suri? Dan pabila telah jadi seperti dia baru teringat nak beramal soleh?

Mana kita tahu nasib kita seminit selepas ini!

Rabu, 1 Ogos 2012

Kelansungan Hidup



Sambil memegang stereng kereta menuju ke Restoran Cahaya Al Amin, Bukit Mertajam, aku memberitahu ibu_suri;

"Abang dah letih untuk terus bekerja. Saban hari mengharung sesak di jambatan. Saban hari terpaksa berdepan dengan tugasan yang tak pernah selesai. Abang nak berihat dan membuat kerja amal kesukaan abang."

Pun aku tetiba teringat pada pesan mak tatkala balik ziarahi beliau beberapa bulan lalu;

"IM, kalau boleh lagi kamu tu bekerja, kerjalah. Hidup kita ni perlu duit untuk menyambung rezeki."

Aku tahu pesan mak itu berlandaskan pengalaman beliau selama hidup lebih 60 tahun. Aku juga tahu bahawa anak-anak belum tentu akan membantu menyara makanpakaiku jika aku sudah tiada berpendapatan.

Hurmmm..... Walaupun rezeki itu pemberian Tuhan, kita masih perlu mencari kemana ia di lambakkan. 

Tuhan, pelihara dan berkatilah kelansungan hidupku ini bersama ibu_suri!