Halaman

Jumaat, 29 November 2013

Re-union IKM KL

Rasa amat seronok kerana dapat mengumpulkan rakan-rakan lama semasa belajar di IKM KL tahun '81~'82 dulu. 5 orang semuanya. Berjumpa di kantin Masjid Seberang Jaya.

Ada yang dah berubah susuk badan tapi perangai masih sama macam dulu. Tak henti-henti ketawa kami berderai mengenang kisah lama.

Tapi yang pastinya, kalau yang dulu seorang playboy tapi kini ada yang dah jadi YDP sesuatu pertubuhan. Yang dulu dikatakan kaki surau namun hingga kini masih ditakuk lama.

Kami dulu sesama belajar di jurusan elektronik radio/tv di sana tapi aleh-aleh kerja ada yang jauh menyimpang dari apa yang dipelajari.

Aku masih ingat kata-kata Dr Mahathir satu ketika dulu bahawa mahasiswa jangan ingat bahawa kerja baru mesti yang berkaitan dengan pembelajaran dahulu. mahasiswa mesi bersedia menerima apa saja bentuk kerja setelah menjadi graduan.

Kami ber5 adalah Aku, Bukhori Ghazali, Abdul Rahim Romli, Mohd Salleh Osman dan Abdullah Halim. Kemudiannya aku diminta untuk menghubungi kawan-kawan lain. Kami bercadang untuk membuat re-union kali kedua.

Ya lah... yang tinggal cuma kenangan. Ianya tak akan dapat diputarkan kembali. kenangan itu walaupun semasa realitinya amat pahit tapi bila menjadi kenangan rupanya ia teramat manis...

Khamis, 28 November 2013

Ntah Dan Ntah Tidak...

Atas usaha Angah, akhirnya aku dapat memiliki sebuah Viva 1000 EZ (A) baru. Ia dikeluarkan atas nama menantuku - Ayu. Lapang sikit rasanya pemanduan yang selama ini agak stress jika menggunakan Kancilku yang kurang stabil sejak kemalangan di Tanah Liat tahun lalu.

Sebenarnya yang lebih perlu ialah untuk membawa ibu_suri ke hospital atau klinik dan juga untuk dia bersiar-siar. Selain itu mudah untuk balik ke kampung ziarah mak.

Aku masih ingat lagi akan hadis ini:

" Rasulullah s.a.w bersabda. Maksudnya;

Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa..."

Walaupun Along beriya menyarankan aku mengambil Saga kerana ia lebih relevan dengan saiz ibu_suri yang agak XXXL namun aku lebih suka pada kereta keluaran Perodua. Khidmat lepas jualannya bagi aku lebih praktikal, mudah dan mesra berbanding Proton.

Di usia begini, tiada apa lagi yang hendak aku hambatkan melainkan hanya memanafaatkan apa yang ada sahaja. Cita-cita hanya mahukan kesihatan yang baik, anak-anak yang menggembirakan dan jauh dari beban hutang.

Beban hutang? Hemmm.... Viva tu 9 tahun lagi baru nak habis. Ntah dan ntah tidak la...

Rabu, 27 November 2013

Habbatus Sauda

Seperti yang aku rancangkan; gaji hujung bulan ini aku akan mulai beli Habbatus Sauda sebagai makanan tambahan. Habbatus Sauda adalah penawar segala penyakit kecuali mati; begitu sabda nabi.

Aku singgah kat Ayam Ori, Kubang Semang. Mulanya aku ingatkan nak beli jenis yang sama seperti blogger JH biasa beli yakni dalam bentuk kotak. Memang ada tapi keluaran PharmaNiaga.

"Satu jenis saja ke?" Aku bertanya pada gadis yang jaga kedai yang sarat dengan pelbagai makanan kesihatan Halalan Toyyiba ini.

Segera dia keluarkan beberapa jenis botol. Ada yang kecil ada yang debab. Aku belek-belek jenamanya. Haa... Halagel. Terus aku tertarik.

Aku masih ingat bahawa pengasas Halagel dan HPA adalah sahabat baik. Mereka saling berusaha memartabatkan produk kegunaan Muslim.

Sebotol berkuantiti 60 biji berharga RM30 sementara kuantiti 120 biji berharga RM50. Fikir punya fikir aku ambil sebotol berkuantiti 6o biji.

"Cuba try dulu..." fikirku.

Aku pernah beritahu pada kawan-kawan secara berseloroh bahawa aku sekarang ini makan seperti orang kaya. Semuanya berharga mahal. Selepas habis oat bran yang aku makan sekarang ini aku bercadang nak beli BG22 pula. Kalau tak salah aku, yang ni lagi nala punya harga...

Ahad, 24 November 2013

Abang Beca

Aku baru balik dari kampung. Hadiri majlis perkahwinan anak sepupuku di RPT Sentang, Batu Gajah. Mahu pula  si Akhmal ikut bersama. Selalunya payah  untuk dia begitu.

Tak sangka, rupanya di sana aku bertemu dengan rakan-rakan sekampung. Bukan main rabungnya kami berbual kisah-kisah lama. Terlupa sekejap ibu_suri yang terkonteng-konteng makan bersaorang di meja sedang aku pula berbual di sudut lain sambil menjamah cendol S M Nor, aksesori selain nasi minyak yang amat sedap. Kemudian ibu_suri tak segan silu meminta aku tambah rendang daging ala-ala rendang tok yang memang terkenal di Perak.

Sambil DJ memainkan lagu-lagu mengiringi majlis, aku terpikat dengan satu suara yang aku kira dinyanyi oleh yang hadir secara karaoke. Lagu Abang Beca. Memang sedap patah-patah lirik yang dialunkan. Patutlah sedap alunan lagu itu. Rupanya yang menyanyi secara karaoke itu adalah M Rizal. Dah tua rupanya dia... Kening pun dah putih!

Selesai kenduri aku terus ke rumah mak. Adikku Mamat tengah sibuk membetulkan arial tv. Rupanya mak beli tv baru menggantikan tv lama yang dah rosak. Tv LED tu...

"Awak nak try dapatkan siarah TV Al Hijrah untuk mak." beritahu Mamat. Selain Duyah yang ditugaskan menjaga makan minum mak, Mamat juga orang kuat keluarga kami yang ambil berat hal-hal kebajikan mak seperti ke klinik atau bawa mak berjalan-jalan ziarah saudara mara. Aku memang salute  pada mereka berdua ini. Muga-muga Syurgalah buat mereka!

Seperti biasa, bila aku ziarah mak aku akan penuhi setiap masa aku dengan membersih dapur. Selalunya mak akan meminta aku membaiki mana-mana alatan eletrik yang tak berfungsi. Sedari dulu mak memang pandai mengambil hati anak-anaknya berdasarkan apa yang anak-anaknya mahir lakukan.

Seperti selalu juga aku cuma balik hari, tak bermalam di rumah mak. Kondisi ibu_suri yang tidak betah bermalam di tempat kecuali hotel atau rumah sendiri buatkan aku bersiap-siap balik selepas Maghrib. Aku harap mak faham dan tak berkecil hati!

Selasa, 19 November 2013

Izzack - Mahir Melapah dan Muay Thai

Bebaru ini sebuah klip video tentang seorang budak yang mahir melapah lembu korban bertebaran di FB. Anak itu bernama Mohd Izzack, anak saudara kepada ibu_suri yang tinggal selang beberapa rumah saja dari rumahku.


Tak heranlah bagaimana dia begitu tangkas melapah yang jika aku sendiri sebenarnya terkial-kial. Bapa dan bapa saudaranya mempunyai kandang lembu dan selalu mengambil upah menyembelih dan melapah. 

Bapanya yang aku  panggil Zam mempunyai lesen menyembelih. Dan Izzack adalah anak sulong dari 3 orang anak-anaknya yang kesemua adalah lelaki. Mereka selalu memanggil aku dengan panggilan Tok Ayah. 

Izzack, disamping pandai melapah juga pandai dalam seni Muay Thai. Boleh ikuti FB Izzack di sini.

Izzack (kanan) dan adiknya

Ziarah Blogger Warna-Nostalgia

Bila dapat tahu blogger Warna-Nostalgia di wadkan di Hospital Pantai Bayan baru, aku segera mengajak blogger Jendela Hatiku menziarahi. Khabarnya dia mengalami sakit lutut yang teramat hingga terpaksa berkejaran ke sana.

Seronok bila dapat bertemu dengan rakan seperjuangan yang dah lama tak bersua empat mata. Sekadar hanya membaca di FB dan blog sahaja.

Kami dulu sesama aktif menubuhkan kumpulan nasyid Muhajjir. Blogger WN adalah pemain bonggo dan pencipta lagu. Dia juga sesekali menjadi vokalis. Sementara aku menulis lirik dan bersama blogger JH sekadar menjadi suara harmoni.

Bercerita tentang kenangan masa lalu memang mengujakan. Seperti mahu kembali semula ke zaman silam dan menikmati detik-detik kembara kami membuat persembahan ke serata tempat sedari Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Kiri: blogger WN dan JH

Sempat kami mengingat semula nasyid pertama kami: WARNA KEHIDUPAN ciptaan blogger WN dan lirik oleh aku sendiri yang masa itu mengguna nama samaran - hafinah. Nasyid ini menceritakan tentang jenis remaja yang suka membuang masa berpeleseran. Ilhamnya aku dapat ketika menunggu dalam kereta sementara ibu_suri shopping kat Kamdar, Pekan Baru, Ipoh.

Kemudian teringat lagu KU POHON HIDAYAHMU yang liriknya aku tulis sempena vokalis kedua kami dimasa itu - Mohd Radzi terlantar di hospital.

Di bawah ini adalah nyanyian semula oleh blogger WN yang aku ambil dari FB beliau. Lagu ini bertajuk IBU ciptaan blogger WN sementara liriknya oleh vokalis ke 3 kami - Azim.


Didoakan muga blogger WN segera sembuh dan kembali menjalani kehidupan dunia bagai sediakala....

Ahad, 17 November 2013

Usaha Bilisku...

Seperti biasa, riadah di Mengkuang Dam tadi. Mulanya, ingat tak mahu berlari sebaliknya jogging sahaja. Sakit pergelangan kaki dan lutut mungkin disebabkan itu agaknya. Akan tetapi, bila dah terasa dalam badan mulai panas dan ringan, jogging juga akhirnya. Banyak peluh keluar baru berasa puas.

Bulan lepas aku timbang badan, berat dah turun dari 77.7kg ke 75kg. Tak pasti sejauhmana tepatnya alat timbang di klinik ofis aku tu. Namun ia masih jauh dari sasaran yang di sarankan oleh pakar pemakanan yakni 65kg sesuai dengan BMIku yang sepatutnya.

Aku memakai kemeja T hitam dengan gambar PRAY FOR PALESTIN. Sebolehnya aku mahu selalu memakai kemeja T macam tu sebagai usaha bilisku mengingatkan mereka yang memandang akan kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara seIslam kita. Sayangnya, aku cuma da sehelai tu saja.

Sementara riadah itu aku teringat bahawa kempen untuk Palestin lagi dah sejuk sekarang ini. Agaknya, bila Israel menyerang Palestin dan ramai terbunuh, barulah kempen itu panas kembali.

Aku perasan, semasa melalui jalan masuk ke trek jogging ada beberapa orang Cina sedang memegang poster dan tabung. Sekilas pandang, mungkin kutipan itu untuk mangsa bencana taufan Haiyan.

"Good morning. You are collecting for Philipines?"

"Yes..."

"Aha...  No wonder. Why no wording in Bahasa Malaysia. Mainly Chinese dan a little bit English only.." tegurku sambil pergi ke tabung.

Beriya-iya terima kasih dari mereka yang aku kira mewakili NGO. Aku pasti mereka juga perasan akan kemeja T yang aku pakai. Boleh kira, kita ini teman seperjuangan... agaknya begitu bisik hati mereka.

Tadi, aku terjumpa klip video ini dalam FB. Juga boleh baca catatan di sini. Baik untuk dijadikan iktibar. 



Jumaat, 15 November 2013

Sateh

Aku rasa, disiplin aku dalam menjaga pemakanan dah mula kendur. Tak boleh jadi ni... Aku perlu set back dan buat pembetulan.

Aku perlu kawal kegemaran memakan cucur yang kekadang berminyak disamping kawal memakan makanan bersantan/kelapa.

Tadi, beriya-iya ibu_suri suruh aku belikan sateh. Arghhh.... penyumbang kolestrol juga ni.

"Hari ni hari jadi Angah. Kita beli sateh dan makan sama-sama..."

Bab tarikh hari lahir ni, ibu_suri memang seorang pengingat. Aku sendiri tak pernah ambil tahu. 

"Angah beli sorang 10 cucuk. Ayah punya tak payah la..." ujarku.

Iye ke aku tak mahu makan sateh ni?

Khamis, 14 November 2013

Laaa...

Ntah kenapa, aku asyik ingatkan hari ini hari Jumaat je. 

Pergi kerja aku memilih memakai kemeja T merah berbanding seragam kerja. Di tempat kerja, aku menyusun tugasan kerja seolah-olah akan keluar awal tengahari kerana nak pergi ke masjid. Balik pula aku suruh ibu_suri kejutkan aku jika terlajak tidur esok pagi untuk pergi riadah.

"Eh, pasai apa abang nak pi jogging. Bukan kerja ka esok....?" Laaa....

Alhamdulillah, aku mampu berpuasa Isnin dan 2 hari Asyura. Hari pertama dan kedua terasa perit juga tapi hari ini terasa okay saja. Malah, badan terasa ringan dan seronok bekerja.

Aku masih teringatkan adikku Napi. Cadangan dari kalian semalam amat aku hargai. Akan aku rundingkan dengan adik-beradikku yang lain. Terima kasih untuk itu.

Tadi juga aku berpeluang berbual dan memberi pandangan pada kawan sekerja yang anaknya menghidap Autisme. Dia begitu gabra dan terasa seperti seorang yang begitu malang. Aku tepuk belakangnya dan berkata bahawa setiap dugaan yang Allah turunkan pada kita itu mempunyai hikmah yang hanya kita akan nampak setelah melaluinya dengan sabar dan tawakkal.

Sebenarnya, semakin ramai generasi baru menghidapi masaalah pembelajaran atau learning disability. Kerajaan pula pada pandangan aku terlalu lambat membuat sesuatu untuk menyediakan prasarana khusus untuk anak-anak yang bermasaalah sebegini. 

Rabu, 13 November 2013

Santau?

Aku bukan kepalang terkejut bila mendapat tahu adik lelakiku - Napi, kemungkinan besar disantau.

"Saya batuk darah. Bila rujuk hospital, doktor kata saya sihat. Tak ada apa-apa masalah." terang Napi.

Nampaknya ahli keluargaku sekarang ini mulai mengalami gangguan kesihatan atau lebih tepat dugaan Tuhan seorang demi seorang.

Bermula isteriku di serang stroke yang membawa kepada gangguan emosi/mental, emakku pula lumpuh sebelah kiri badan. Kemudian adikku Darul yang tinggal di Kulim kemalangan yang membawa kepada keadaan tidak stabil pada fizikal diri. Kemudian adik perempuanku Niza disahkan menghidap kanser usus yangmana sekarang dalam proses kimoterapi.

Kini Napi pula seakan tidak percaya aku, berkemungkinan besar disantau. Kata Napi, santau itu dah lama mengena dirinya cuma baru sekarang ini terasa.

Tadi sewaktu menaliponnya, dia memendekkan perbualan kerana katanya dia terasa lemah dan mahu baring.

Bagai terasa diri ini mahu terbang ke kampung bagi melihat keadaan diri Napi yang sebenar. Aku kira, napi tak boleh dibiarkan lama dan mesti dirawat segera. Bagaimana....? Aku tak tahu. Dalam bab santau-mantau ini aku terlalu baru.

Aku teringat blogger Warna-Nostalgia yang pernah mengalami keadaan ini lewat isterinya yang meninggal dunia juga dipercayai kerana santau. Akan cuba minta pandangan beliau.

Aku harap aku dapat berbuat sesuatu untuk adikku! Doakan untuk kami... ya!

Selasa, 12 November 2013

Coolent Oh Coolent!

Betul ke bahawa radiator kereta sepatutnya diisi 100% dengan coolent bukan sebaliknya dicampur dengan air biasa?

Aku ke stesyen Mobil dekat Kubang Semang untuk isi minyak Kancil tadi. Seorang pekerja di situ meminta aku membuka bonet kerana nak memeriksa enjin.

"Pak cik, air radiator pakcik dah mati. Nak kami flush untuk pak cik?"

"OK juga." sementara dalam hatiku berkata... memang dah lama tak tukar air radiator ni.

Di satu sudut mereka pun membuka penutup radiator dan menyedut air keluar. Sambil seorang lagi membawa 2 tin coolent dari dalam dalam bilik kaunter.

Setin demi setin dituangkan coolent itu ke radiator. Lansung tidak dicampur dengan air biasa. Tak cukup lagi ditambah setin demi setin hingga akhirnya berjumlah 8 tin. Satu tin berharga RM18. Aku naik rimas. Setahu aku selama ini aku cuma masukkan setin coolent dan selebihnya air biasa.

"Dah siap pak cik. Nanti, kalau coolent dalam tangki simpanan ni kurang pakcik topup dengan air mineral atau air bateri. Jangan guna air paip ya!"

Terkial-kial aku menyeluk kocek kiri dan kanan, depan dan belakang. Tak sangka, habis duit tunai yang ada di tanganku. Ntah dimanalah dosaku hari ini hinggakan Tuhan kifarah ia dengan harga coolent Kancilku!

Isnin, 11 November 2013

Antara 2 Cinta

Aku berpuasa sunat hari ini. Percaya bahawa berpuasa juga salah satu cara terbaik menjaga kesihatan. Lagipun, di usia perak sebegini, ibadah sunnah seperti ini udah sepatutnya menjadi rutin sejak lama.

Khabarnya, Rabu dan Khamis ini (9 dan 10 Muharam) elok juga berpuasa sunat. Aku harap aku mampu melaksanakannya.

Janganlah ketawa kat aku ya... Aku tahulah, puasa sunat pada kalian adalah kebiasaan. Tapi pada aku tadi, ditempat kerja, terasa cukup perit nak mempertahankannya hingga waktu berbuka. Kebiasaan minum sementara menunggu chime masuk kerja berbunyi dan kebiasaan turun minum di kafetaria sebelum tunai solat Asar bagai menyentap-nyentap nafsu.

Aku teringat esok ada usrah di Suaru Taman Pelangi. Aku harap ibu_suri tak menghalang untuk aku pergi. Minggu lepas kan... aku ditugaskan oleh naqib untuk bagi tazkirah. Nak tahu apa tajuk tazkirah yang aku sediakan hari tu? Antara 2 cinta... 


Ya... Aku bernasyid di depan mereka. Dalam surau tu. Nasib baik lah tak datang taufan Haiyan...!

Ahad, 10 November 2013

Padi Djarum

Tak semena-mena saja Ct datang terkocoh-kocoh.

"Awat hang ni? Dari mana?" heran ibu_suri bila melihatkan Ct menggendong sesuatu.

"Ini untuk ayah. Ini untuk ibu. Yang ini untuk makan. Sedap kek ni?" ujar Ct.


Aku memegang bungkusan yang Ct beri. Terorak senyum yang spontan. Hati berasa senang.

"t beli kat Indon. Baru balik ni. Mamu yang ajak t pi sana. Tak plan pun." terang Ct sambil bergegas keluar ke pintu. Ada kereta persis Sportage menunggu depan pagar rumah. Kemudian berlalu dipandu Ct.


"Pandai pulak dia pilih kaler ini..." kataku pada ibu_suri. Hah... kaler hijau tua. Walaupun sebenarnya aku kurang minat kaler itu tapi sebab ianya pemberian ikhlas Ct, aku senang hati menerimanya. Terasa berbalas segala penat lelahku yang pernah menjaga Ct samada ketika dia masih kecil dulu mahupun ketika di hospital dulu.

Begitu mudahnya lembut hati seorang tua seperti aku ini!

Catatan Pagi Ini...

Walaupun hujan rintik-rintik, aku tetap pasrah memandu ke Tasik Mengkuang untuk rutin riadah mingguan. Aku mesti berdisplin dalam menjaga kesihatan diri.

Masih ada ramai orang yang kebanyakannya Melayu dan Cina. Aku ambil trek yang pendek. Hari ini aku rasa cukup fit untuk berjogging.

Sambil jogging, aku teringat ajakan adik beradik supaya mengikuti mereka ke Johor Bharu sempena majlis perkahwinan saudara abah mertua bulan depan. Semalam aku rasa setuju untuk pergi demi mahu menggembirakan hati mertuaku. Tapi pagi ini aku berfikir dari sudut lain pula - mana betah ibu_suri duduk dalam bas begitu lama. Kemudiannya tidur dan ke bilik air yang ntah bagaimana rupa kemudahannya itu kelak. Sedangkan balik ke rumah aku dikampung pun mutakhir ini hanya balik hari kerana ketidakselesaan dalam serba serbi. Hurrmmm...


Habis riadah aku singgah tunaikan Dhuha di Masjid Kubang Semang lansung singgah isi perut dengan Radix, cucur kodok kegemaranku sejak kecil dan baca akhbar di kedai bersebelahan.

Terasa betapa berharganya kehidupan yang masih berbaki ini. Akan aku cuba penuhi ia dengan segala yang baik tanpa perlu menghambat kemewahan dunia.

Tiba-tiba teringat sahabat yang pastinya sudah pun berada di Serdang. Khabarnya ada pertemuan dengan sekalian Ahli Teras IKRAM.  Aku rindu pada itu semua sebenarnya!

Tengahari ini nak beli kari kepala ikan dan ulam-ulam sahaja untuk makan tengahari. Balik nanti cuma tanak nasi saja bercampur daun pandan. Pasti wangi!

Sabtu, 9 November 2013

Dunia Ini Bulat

Ada kat rumah mertua di Taman Buah Pala sekarang ini. Ziarah mingguan adalah hampir mesti kerana aku dapat rasakan betapa mereka amat menanti-nanti kehadiran kami mengisi kesunyian jiwa dan rumah mereka. Selalunya bila bersalaman dengan bapa mertua, dia akan mengalirkan air mata dan sebek.


Akan begitu jugalah aku satu hari nanti. Dunia ini bulat. Usah sombong dengan sihat dan segar kita hari ini. 

Seperti juga (kini dinamakan) Taman Buah Pala ini. Dulu hanya berupa perumahan di satu lorong jalan yang rumahnya amat buruk dan bocor sana sini bila hujan. Takkan ada harga jika mahu dijual. 

Hari ini, mereka persis orang kaya. Rumah gantian 2 tingkat dapat secara percuma ini, kini harga semasa menghampiri 1 juta. Kalau dulu mereka tampak miskin, kini mereka bagai orang kaya. Dan ramai pula anak-anak dan saudara mereka selalu bertandang.

Jika Aku Terkesut

Jika diizin Allah, dalam seminggu dua lagi aku akan dapat kereta baru. Angah yang uruskan pembeliannya. Aku cuma bayar bulan-bulan.

Aku ambil Viva model lama walaupun Angah dan Along suruh ambil Saga. 

"Viva murah sikit. Lagipun ayah bukan nak pi mana sangat. Sekadar nak bawa ibu pi klinik dan jalan-jalan saja. Ayah pun dah tua. Kalau boleh tak mahu hutang sana sini dah," terangku.

Kekadang rasa beruntung juga bila dapat anak yang memahami dan sanggup bersusahpayah untuk ayahnya. Bila tidak ada mereka sesekali, terasa sunyi.

Aku teringat mak di kampung. Pastinya mak lebih lagi sunyi sebab abah sudah tiada lagi untuk menemani. Tapi mak masih boleh berbangga kerana punyai 8 orang anak yang aku kira tidak lari dari tanggungjawap menjaga mak. Jiran-jiran sekampung juga berpendapat begitu.

Cuma sunyi mak selain tanpa abah pastinya kerana pergerakan yang terbatas. Hanya mengesut dalam kawasan bilik. Tapi mak seorang yang cekal. Berdikari dalam mengurus diri walaupun serba payah. Masuk hari ini aku agak dah 3 tahun mak mengalami lumpuh sebelah kanan.

Aku harap aku tidak begitu. Tak dapat kubayangkan bagaimana penjagaan terhadap ibu_suri jika aku pula yang terkesut-kesut. Mak adalah idolaku sejak dulu!

Khamis, 7 November 2013

Cinta Pertama

Dalam perjalanan balik kerja, aku sempat dengar ruangan ADILA di Radio Klasik. Satu kisah dari pengirim tentang kenangan cinta pertamanya buat aku senyum sendirian.

"Benarlah kata orang, tempat jatuh lagi dikenang," ujarku pada blogger JH yang tekun mengemudi stereng Unsernya. Dalam hatiku menyambung hakikat bahawa walaupun beberapa kali kita jatuh cinta, cinta yang pertama akan tetap diingati.

Tak ketinggalan juga aku. Tapi tak dapat nak kutulis sekarang ini sebab waktu dah lewat. Lagipun suasana sekeliling aku tak meransang aku untuk mengarang semula kenangan lama itu.

Aku mengantuk. Semasa memandu balik dari klinik 1 Malaysia di Perda tadi pun beberapa kali ibu_suri menegur aku yang seperti mahu pejam.

Barang diingat, aku ke klinik1 Malaysia tadi bukan kerana bawa ibu_suri pergi rawatan tapi sebaliknya untuk periksa tahap tekanan darah tinggi aku. Doktor mengarah aku membuat pemeriksaan 2 kali seminggu untuk selama 1 bulan!

Wi Fi

Nampaknya, aku boleh ucap bye..bye.. kat Celcom brodband yang dah aku langgan sekian lama ini. Cuti panjang Deepavali baru ni Along langgan Streamyx Wi Fi. Haa... Satu rumah boleh layari internet dalam bilik masing-masing.

"Ayah... Udahnya, Angah dengan Ayu tak sembang. Dok layan talipon je..." Ujar Angah tadi.

"Haaa... Sikit hari Marissa pun join sama. Hangpa cit cat dalam Facebook jer walaupun dok dalam satu bilik.." balasku.

Streamyx itu sebenarnya milik Along. Dia langgan semasa masih student dulu dengan pakej student untuk RM68 sebulan unlimitted. Susah payah dia pindahkan alamat Streamyx itu dari KL ke rumah aku ini. Dia nak tukar ke U-Mobile sebab mudah di bawa berjalan.

"Kalau on modem 24 jam pun tak apa, kan ayah....?" Tanya Angah.

"Ye la.. tu. Habis bil letrik?" Tanyaku pula, "Silap haribulan masa kita tak ada di rumah dan tinggal ibu sorang-sorang... berasap modem tu, sapa yang nak tengok?"

Apa yang kurang enak pula ialah, Akhmal dah mula panggil kawan-kawan dok depan pc sama. Inilah yang susahnya dengan anak aku yang sorang ni. Aku bimbang, kelak.. semakin ramai kawan-kawannya berlunggok di rumah aku semaa-mata kerana mahu tumpang sekaki wi fi aku nih!

Bukan kedekut... Masaalahnya nanti ialah hilang privacy aku terutama ibu_suri...