Halaman

Khamis, 31 Januari 2013

Berlebihan

Baru balik dari pusing-pusing Permatang Pauh, bawa ibu_suri jalan-jalan.

Sebelum itu aku hadir ke usrah mingguan di Taman Pelangi yang berada di dalam kawasan Auto City. Disamping tilawah Quran surah Al Baqarah: ayat 37 hingga ayat 43, kami juga menelaah teks Apa Erti Saya Menganut Agama Islam tulisan Fathi Yakan

Aku terjumpa potongan ayat ini dan ingin kongsikan bersama:

"Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebihan." (Surah Al A'raf: 31)

"Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam mengkut perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan."
(HR Ahmad)

Aku rasa cukup tidak selesa tatkala membawa Kancil tadi dan berkali-kali meminta izin ibu_suri untuk memendekkan perjalanan.

Somalia

Yang pastinya ini adalah akibat terlalu ikut naf su memakan mi kari berlebihan di rumah rakan usrah tadi. Aku seperti sukar bernafas. 

Mau saja rasanya aku berniat puasa sunat, esok!

Selasa, 29 Januari 2013

Rantai Untuk Marissa

Selesai saja program AQSA2GAZA, aku segera bawa ibu_suri memasuki kedai emas berdekatan. Memang dari mula lagi ibu_suri asyik memerhati kedai emas itu. Teringin benar dia nak belikan seutas rantai buat cucu kesayangannya.

"Marissa tu kecik lagi. Belum masanya lagi pakai rantai. Mana dia reti." 

"Ala... Abang mana tau hati perempuan!"

Aku berlapang dada dengan setiap kerenah ibu_suri. Memang dah biasa begini. Bagi aku, asalkan emosi dia stabil, tidak banyak mengganggu ketenangan dan kelancaran hidup aku, itu dah kira ok.  Modal untuk kesemua itu, aku perlu usahakan.

Memang aku masih ada menyimpan wang imbuhan pemberian majikanku sempena 30 tahun perkhidmatan. Ingatkan duit itu aku nak beli tablet. Tapi nampak gayanya, terpaksalah aku kuburkan hasrat itu!

Bukan main girang lagi. Sepanjang jalan asyik bernyanyi-nyanyi. 

"Aii... Ayah, kata nak beli tablet. Aleh-aleh beli yang ni?" Along ketawa sinis. 

Aku teringat kata-kata kawan Tablighku: sesuatu itu bukan tentu lagi rezeki kita sebelum ianya masuk ke dalam perut!

CATATAN 2 - A2G@Mydin

Selama 2 hari (bersamaan 6 jam) aku di sana. Bertemu dengan pelbagai kelompok fe'el dan ras fahaman manusia. Ianya buat aku merenung jauh bahawa sebenarnya kerja kita banyak. Tanggungjawap kita untuk memastikan negara kita terbaik untuk generasi akan datang adalah mencabar.

Satu:
Ada wanita yang ditemui begitu taksub dengan Presiden Syria Bashar Al Assad. Kononnya beliau adalah pemimpin Islam yang hebat. Jenuh juga rakanku cuba memperbetulkan perspektifnya yang silap itu. Sebenarnya, kalau nak dikatakan Hosni Mubarak itu zalim, Bashar Al Assad 2 kali ganda lebih zalim. Diceritakan sendiri oleh kawanku Abdul Wahab, salah seorang panel yang kami jemput untuk slot Talk Show. Abdul Wahab adalah salah seorang sukarelawan AQSA SYARIF yang pernah sampai ke GAZA dan sempadan SYRIA. Boleh baca di sini

Dua:
Seorang bekas tentera yang singgah ke gerai begitu teruja hingga memberitahu aku;

"Saya tak boleh dengar cerita kekejaman macam ni. Kalau ada seruan untuk pergi berperang ke sana, saya akan pergi."

Begitu geramnya dia hingga beberapa kali singgah ke gerai kami dan membaca streamer yang kami dirikan di kiri kanan gerai.

Tiga:
"Awak tahu  tentang apa yang berlaku di GAZA?"

"Tak tahu!"

"Tahu apa itu Palestin?"

"Tak tahu!" sambil tersipu lalu pergi.

Empat:
"Bro, boleh pi sana. Dia tu macam nak tanya sesuatu," cuit rakanku menunjuk ke arah seorang lelaki bukan Melayu.

Aku pun pergi mendapatkannya dan cuba menerangkan konsep gerai kami hari ini. Dia angguk tersenyum sambil menunjukkan ke arah mulutnya dan menggoyangkan tangannya. Bisu!


Bab menconteng memang mendapat sambutan dari pelbagai umur dan bangsa. Abdul Wahab berdiri di tengah.

Bersalaman dengan wakil pengurusan Mydin yang menyediakan cenderahati

Klip video

Apapun, kepuasan atas segala usaha yang telah dilaksanakan sukar di lakar dengan kata-kata. Bagi aku selaku Setiausaha dan JK alat siaraya, kesempurnaan kerjabuat aku selama 2 hari di Mydin ini atas sokongan belakang tirai dari ibu_suri juga. Jika dia tidak mengiznkan aku untuk berpergian, sukar juga aku.

Akan ada lagi siri-siri aktiviti seperti ini dimasa akan datang. IKRAM Seberang Perai Tengah bercadang untuk menjadi penyemarak dalam isu ini selagi mampu!

Isnin, 28 Januari 2013

CATATAN 1 - A2G@Mydin

Dah beberapa hari tidak menjengah blog. Rasa seperti tidak lengkap hidup sehari tanpa menulis sesuatu. Memang rindu!

Satunya - bila saja Along balik bercuti; ada saja ngomelan aku terhadap laptop kesayangan aku ini. Lembablah. Tak boleh nak convert video menjadi mp3 lah. Jadi, tak tidur malamlah kawan tu memomen laptop ayahnya ini.

Keduanya - seperti selalu di hujung minggu. Pagi 7.45, aku akan ke Tasik Mengkuang untuk riadah. Hampir tengahari baru aku balik rumah setelah beli akhbar, cuci serta periksa keadaan kereta dan beli lauk untuk makan tengahari.

Ketiganya - 2 hari ini aku ada tugasan besar bersama rakan-rakan IKRAM di Mydin, Bukit Jambul, Penang. Kami diberi peluang oleh pihak pengurusan Mydin supaya memanafaatkan foyer untuk mempromosikan kesedaran masyarakat terhadap isu sejagat - PENDERITAAN RAKYAT PALESTIN. Kami adakan jualan produk AQSA SYARIF, bacaan sajak, melukis, nasyid, Talk Show, kuiz dan pengedaran flyers. Kami namakan progrm 2 hari dari 3 hingga 6 petang ini sebagai AQSA2GAZA@Mydin

Gambar  aku semasa di sana tak banyak ada. Memang tak suka bergambar. Aku sedar, aku ni tak cukup kacak untuk beraksi!



Bersama pengarah program Roesli (kiri) dan Rusli (kanan)













Bersama Tarmizi -Timbalan Pengarah program


Gambar-gambar lain boleh lihat di facebook IKRAM Seberang Perai Tengah di sini dan di sini.

Jumaat, 25 Januari 2013

LENJUN BERSAMA...

Boleh dikira udah sebulan jugalah aku tidak pergi riadah di Tasik Mengkuang. Walau hujan rintik, aku bawa juga kereta ke sana. Aku sengaja memakai kemeja T Palestin. Sesiapa yang terpandang nanti akan terhimbau semula ingatan mereka kepada kesengsaraan rakyat Palestin yang mulai sejuk isunya di persada media negara. 

Selesai riadah, aku singgah beli Harakah dan bercadang untuk minum di warkop tepi Masjid Kubang Semang. Sayangnya, cuti Maulid Nabi, warkop itu tutup. 

Teringat pesan ibu_suri supaya tengahari ini aku masakkan dia nasi lemak.

"Lauk semalam ada lagi. Ayu buat ayam masak pedas," terang ibu_suri. 

Aku membelok kereta ke kedai HB untuk membeli kelapa parut. Bagi aku, untuk buat nasi lemak lebih sedap menggunakan santan perahan berbanding santan dari dalam kotak. Beli sedikit halia sebagai perencah. Belakang rumah memang ada rumpun pandan. Ambil 2 helai untuk dimasukkan ke dalam periuk nanti. Ianya baik untuk buang angin dari dalam badan. Pesan adikku Duyah - kalau nak nasi lemak itu dalamm bentuk sebiji sebiji dan berminyak, campur sikit minyak masak.


















"Abang, sat lagi jemput makan di sana ya. Kenduri sempena Maulud nabi hari ni." Tiba-tiba seseorang memegang bahu dan berbisik.

Aku ambil nasi sikit saja. Tak mahu makan banyak. Duduk di meja bersama 3 orang lain. 

"Sapa buat kenduri ni?" tanyaku.

"Taukeh tu..." Sambil menjuih mulut ke arah kedai HB.

Owhhh.... Aku pasti, yang mencedok lauk untuk aku tadi selepas mengambil nasi adalah anak-anaknya. Sejuk hatiku kalaulah anak-anakku ini seperti anak-anak taukeh kedai HB. Yang perempuannya bertudung labuh. Yang lelaki berkopiah sambil memakai baju T - Kami orang muda sokong ulama'.

Di rumah, aku mulalah memasak walaupun badan seperti tak bermaya. Aku memang macam tu; riadah tak tara mana. Kalau boleh nak tidur sekejap. Tapi tiba-tiba ibu_suri terpacul dari ruang tamu;

"Abang, I nak mandi?".... Arrrgghhh.....

Dah sudah pastinya, memandikan ibu_suri yang bersaiz XXXL ini akan membuatkan aku lenjun sama!

Khamis, 24 Januari 2013

Nasi Minyak Bangla

Tumpang Marissa ada di rumah, aku tak perlulah terkocoh-kocoh balik sebaik selesai usrah di Surau Taman Pelangi. Bolehlah aku ambil sedikit ruang bersama-sama dengan rakan-rakan. Berbual sambil menjamu selera dengan masakan nasi minyak berlaukkan daging ayam kampung yang dimasak oleh jamaah Bangla.

Memang sedap masakan mereka. Ayam itu mereka sembelih sendiri. Makan dalam satu talam, walaupun seperti banyak tapi habis juga. Itulah keberkatan berjamaah.

















Sambil makan sempat berbual tentang komuniti Melayu Islam di sini yang agak dingin dalam mengimarahkan surau. Hatta jika mahu mengadakan kuliah atau ceramah terpaksa di buat di waktu malam yangmana sambutannya barulah dikira boleh tahan.

Lewat itu, rakan seusrah aku yang rata-ratanya AJK surau jamek ini, membenarkan pendatang Bangla di sini memasak dan bermalam. Kebanyakannya  adalah sikit sikit ala Jamaah Tabligh. Mereka membuat kelas pengajian Quran dan Taalim berpenghantaraan bahasa mereka. Bila aku kira, selain kami sekitar 10 orang, bangsa Bangla itu 2 kali ganda jumlah kami. Entah apa yang depa perbual aku lansung tak faham.

Tapi mereka cukup rajin. Selain memasak, mereka juga membasuh dan menyelenggara surau dengan kemas. Tenteram rasanya selama aku berusrah di sini sejak sebulan lalu.

Pernah dengar nama Taman Pelangi yang menjadi isu besar sekejap di media TV dan akhbar arus perdana?

Boleh baca di sini jika mahu meninjau di sudut kanan dan baca disini jika mahu meninjau dari sudut kiri.

Memang tepat firasatku bilamana pulang ke rumah, ibu_suri sedang asyik bermain dengan Marissa. Marissa kini bertambah cerdik dan manis senyuman serta tajam renungannya. Dia semakin mahu bermain dengan ibu_suri berbanding dulu yang akan menangis bila di dukungi!

Rabu, 23 Januari 2013

Gelang Untuk Marissa

Baru saja selesai mengendali mesyuarat untuk program AQSA2GAZA@MYDIN yang dirancang bermula pada 26 ~ 27 Disember ini di foyer Pasaraya Mydin, Bukit Jambul. Aku ajak ibu_suri ikut sama supaya dia tahu apa sebenarnya yang aku buat bila kata nak pergi meeting. Tidaklah nanti dia akan bersangka buruk dan berkata; 

" You pergi meeting ke atau jumpa sapa?".. marah!  Pada aku itu bukan perkataan yang boleh dibuat mainan. Pedih rasa hati jika kejujuran kita dipertikai sesuka hati.

Selama 2 jam mesyuarat itu berlansung maknanya selama 2 jam jugalah ibu_suri terpaksa duduk bersimpuh tak bergerak. Kesian juga dia. 

Selain alasan di atas, aku membujuk ibu-suri agar ikut bersama ialah kerana aku tidak mahu dia kesunyian di rumah. Bila sunyi nanti dia akan asyik teringatkan cucunya yang sudah 2 hari tidak berada di rumah kerana giliran bermalam di Bukit Tengah. 

Aku memang selalu berpesan pada Angah supaya berkhidmat samarata antara keluarga dia dan keluarga isterinya. Dia perlu menganggap ibubapa Ayu adalah ibubapanya juga sepertimana Ayu perlu menganggap aku dan ibu_suri adalah ibubapanya juga.

Aku tidak mahu ada di antara anak-anaku yang tidak reti menghormati orang tua mereka sendiri. Aku katakan pada Angah;


"Jika kamu mahu anak kamu menghormati kamu bila kamu tua, kamu hormatilah kedua ibubapa kamu tatkala mereka sudah tua. jika mereka sudah tiada, hormati dan ziarahi keluarga mereka. Jika keluarga mereka juga tiada, hormati dan ziarahilah kawan-kawan baik mereka."


Sewaktu minum-minum di Restoran Cahaya Al Amin depan Hotel Summit, ibu_suri buat entah keberapa kalinya menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan gelang tangan untuk cucunya - Marissa.

"La... kan dia masih kecik sangat lagi. Mana dia reti pakai rantai.." aku mengelak.

"Emmmhhh... You memang kedekut. Kedekut soiihhhh....." sambil menjuih bibir. Aku tertawa saja...

Selasa, 22 Januari 2013

Makhlok Halus Itu

Masa aku menyertai kelompok KL112 bulan lepas, aku diberitahu bahawa kakak ipar yang mengasuh cucuku - Marissa diserang angin Ahmar. Ketika mereka sekeluarga makan di gerai, anak sulongnya perasan mulut mama mereka senget dan air minuman meleleh jatuh di sudut bibir.

Mereka segera kejarkan mama mereka ke Hospital Seberang Jaya. Mama mereka di tahan di wad dan disahkan sebahagian saraf otaknya mengalami blood clot. 2 hari selepas itu dia dibenarkan balik kerumah dan aku sempat menjenguk. Memang, perubahan sikapnya akibat mild stroke persis ibu-suri juga - kebudakbudakkan.

"Mudah sungguh manusia ni dapat stroke," bisik hatiku. Betapa rapuhnya manusia ini. Tapi itupun masih ramai yang melupakan tanggungjawap mereka terhadap Tuhan.

Memang kecoh sekejap Angah dan Ayu kerana tiada siapa yang boleh menjaga Marissa. Terpaksa mereka ambil cuti. Masa itu ragam ibu_suri juga bukan kepalang. Dia mahu menjaga Marissa yang kononnya lebih berhak. Aku terpaksa memainkan peranan secara halus dalam menangani situasi ini.

Sekali lagi aku berpesan pada Angah yang mula nampak hilang punca; "Masa inilah yang selalu ayah pesan - menarik rambut dari tepung; rambut jangan putus, tepung jangan tupah. Ini baru sebahagian kecil dari permasaalahan hidup yang perlu kau pikul."

Geleng kepala juga aku bila birasku yang memang aku tahu suka sangat berjumpa bomoh; di malam itu juga mereka pergi berjumpa Pak Su. Kononnya Pak Su berjaya menangkap makhlok halus itu dan memenjarakannya ke dalam botol. Ditunjukkan kepada aku gambar makhluk halus itu di ketika sambutan Hari lahir Marissa baru-baru ini. Kepercayaan aku?   Ah.... cuma 50-50.

Namun aku berpandangan rawatannya selepas itu dengan Al Jabbar di Tanah Liat itu lebih munasabah. Boleh nampak banyak perubahan kesihatannya berdasarkan karektornya yang semakin normal.

Semua fenomena ini memberi pengajaran dan renungan terbaik buat aku. Aku memang selalu begitu - suka melihat apa yang terjadi kepada orang lain dan membandingkan dengan diriku sendiri.

Aku mesti terus menjaga kesihatan ibu_suri sebaiknya dari serangan angin Ahmar yang ke 2. Tidak ketinggalan kesihatan diriku sendiri, adanya. Aku amat berharap agar Allah mengasihani diriku yang kerdil lagi marhaen ini! 

Ahad, 20 Januari 2013

Rehal

Aku sendirian sahaja di rumah. Sedari malam tadi hingga sekarang ini, ibu_suri masih tidur. Dah lebih dari 12 jam. Sengaja aku biarkan. Memang tunggang terbalik jadual tidur ibu_suri ni. Aku sendiri susah nak kawal. Sebelum ini 2 hari dia tak tidur. 

Dah banyak hari aku tidak menulis. Bahan ada banyak dalam kepala tapi mood untuk meletakkan ia ke dalam blog itu tidak ada. Rasa jemu dan bosan melayani kerenah ibu_suri itu seperti menumpulkan keghairahan menulis. Masuk 2013 ini dah 5 musim!

Hari ini juga genap usia Marissa 1 tahun. Dah pandai berjalan. Dah pandai memunggah.

"Mak Ayu beriya-iya nak buatkan majlis hari jadi Marissa." beritahu Angah semasa aku tengah kalut menggoreng keropok untuk makan petang. 

"Tak ngapalah," pujukku, "Kena railah niat mak kamu tu. Lagipun bukannya salah apa-apa pun.. Cuma ianya ikutan budaya Mat Saleh. Marissa pun cucu dia."

Aku memang tidak pernah membudayakan sambutan hari jadi ahli keluarga. Kalau ada pun sekadar mahu meraikan perasaan ibu_suri. Tapi tidak pula aku mengatakan tidak kepada mereka yang memanggil aku ke majlis harijadi mereka. Berlapang dada dengan perkara-perkara furu (cabang) itu bukankah lebih baik!

Angkat ke riba lebih jelas daripada letak di rehal...

Semalam aku hadiri Qiamuallai - salah satu dari wasail tarbiyah IKRAM di Surau Haji Mat Perai, Permatang Janggus. Seronok berada bersama sahabat dalam majlis yang jarang aku dapat bersama sejak 5 musim itu.

Malam ini ada kuliah Maghrib di Masjid yang khabarnya akan di isi oleh Bob Lokman. Sebenarnya rehal hidup kita tidak boleh tidak ialah mencari keredhaan Allah. Agaknya, itulah hasrat beliau dalam proses mahu berubah ini!

Khamis, 17 Januari 2013

Perginya Muhajjirku!

Aku amat terkesan dengan pemergian sahabatku Mokhtar bin Mahmud yang telah pergi mengadap Ilahi. Panggilan dari sahabatku - Blogger Warna Nostalgia tengahari tadi buat aku terpana

Aku mengesahkan sekali lagi dengan seorang lagi sahabatku - Mohd Radzi. Ya... Memang tidak salah lagi. Jasadnya segera dibawa ke hospital dari tempat kejadian namun jika begitu janji Tuhan, sedetik pun tidak dapat ditangguhkan. 

Kemalangan berlaku berhampiran Masjid Sungai Ara

Beliau adalah seorang yang baik. Blogger Jendela Hati memberitahu aku bahawa acapkali dia pergi ke Masjid Al Huda, arwah selalu di temui di sana.

Kami ( blogger WN, blogger JH dan Mohd Radzi ) adalah antara pendokong utama kumpulan nasyid Al Muhajjir sekitar tahun 1990an dulu. Kami selalu membuat persembahan bersama di merata tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Walaupun beliau sudah tiada lagi namun kenangan bersama itu memang teramat manis untuk di kenang. Muga kenangan itu tidak akan hilang dari ingatanku ini yang semakin di mamah usia.

Sewaktu melangkah kaki ke surau sebaik saja mendengar berita pemergian sahabatku itu, terdetik di dalam hati ini bahawa sebenarnya pemergian Mokhtar memberi satu isyarat bahawa giliran aku juga sebenarnya semakin hampir. Aku sudah tidak punya banyak masa lagi untuk mengampoi bekalan.

Berdiri kiri: Zamri, Mohd radzi, Mokhtar, Blogger JH
Duduk kiri: Azim, Azmi, aku

Mokhtar, 

Damailah kamu dalam kenangan. Damailah kamu dalam kasih sayang Tuhan. Sesungguhnya kita semua sama sahaja noktahnya. Ke sisiNya jua destinasi kita!


Lagu ini aku dedikasikan buatmu, sahabatku!
(off LAGU KENANGAN di sidebar)
Al Fatehah



Nota:
Catatan oleh blogger Warna Nostalgia boleh baca di: 

Rabu, 16 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...7 (akhir)

Bermula jam 2 petang dengan lagu Negaraku. Sudah lama aku tak menyanyikan lagu ini secara koir. Meremang bulu romaku lebih-lebih lagi setelah sudahnya disusuli dengan gegak gempita tepukan dan sorakan rakyat.

Hujan rintik-rintik. Tapi aku pasti sekiranya hujan lebat turun sekalipun, aku dan mereka akan tetap juga tidak berganjak.

Sempat beli ikat kepala berharga RM2

Ucapan oleh pemimpin  juzuk-juzuk kecil HKR seperti TANAH oleh Mazlan Aliman, JERIT, ORANG ASAL, ROYALTI dan banyak lagi. Aku tertarik juga dengan ucapan wakil dari Sabah dengan slogannya - INI KALILAH...TUKAR!

Ucapan di selangseli dengan lagu keramat ITO - Ubah Sekarang serta sajak Di Atas Padang Sejarah oleh Sasterawan Negara - A. SAMAD SAID. Sudah tentunya aku adalah peminat mereka berdua sejak lama dulu. Sejak aku mengenal dunai penulisan dan muzik. Aku selalu mengunjungi blog Hujan Pagi milik A Samad said. Aku kagum dengan susunan kata-katanya yang tajam. Malah blog puisiku Hujan Petang adalah terhasil dari inspirasi blog beliau.

Aku masih ingat kata-kata merendah diri A SAMAD SAID

"Saya tak buat apa-apa. Hanya baca puisi. tapi tidak sangka puisi saya amat ditakuti oleh penguasa."

Memang hebat sajak-sajak ciptaan beliau. Tidak heranlah kalau katanya:

"Sajak saya mahal harganya. Justeru itu saya cuma membaca hanya sebuah sahaja hari ini."

Dan punya hebatnya aura ITO hingga ketika lagu Khatulistiwanya mengujudkan OMBAK RAKYAT secara tanpa di suruh.

gelagat anak mencari mak yang 'hilang'

Ada maklumbalas yang mengatakan kehadiran kami ke sini dibayar dengan harga RM150. Mat Sabu bertanya kepada kami. Hah... bukan dibayar malah sebaliknya kami sendiri kena bayar sedikit seorang ke dalam tabung untuk membiayai sewaan stadium yang berharga RM100 ribu.

Ucapan-ucapan dari pemimpin PR memang sudah biasa aku dengar. Jadi aku cuma dengar gitu-gitu saja. Bagi aku yang utama bukan sangat mendengar ucaputama mereka tetapi menghadirkan diri kerana mahu menjadi salah seorang dari pelakar sejarah tersendiri di Stadium Merdeka ini.

Sekali lagi Azan berkumandang bermakna aku sudah berada di sini di antara 2 Azan. DSAI bijak bila mengusulkan supaya teriakan MERDEKA di laungkan sebanyak 7 kali persis laungan MERDEKA ketika Tuanku Abdul Rahman mengisytiharkannya pada 1957 dulu.

Jenamaku tiba-tiba laris...

Selesai semuanya aku dan Along berarak keluar stadium dengan segala kepuasan. Terasa dahaga aku minta Along belanja minum air kelapa laut afrika yang di jual. Nikmat rasanya walaupun sudah tidak sesejuk yang sepatutnya.

Sepanjang jalan keluar kami sempat melambai tangan dan menghadiahkan sebuah lagu kepada polis yang memerhati dari dalam pagar balai:

Polis! Polis! 
Terima kasih Polis.

Polis! Polis!
Kali ini polis baik!

Untuk mandi aku terpaksa ke KL Sentral dengan berjalan kaki. Tapak kaki mula terasa sakit. Selesai mandi Along bawa aku kembali ke Pudu Sentral dengan menaiki motor. Sekali lagi aku rasa teramat siksa membonceng.

Jam 9 aku menaiki bas Seasons. Ntah bila aku terlelap. Sedar-sedar dah berada di stesyen minyak Caltex. Angah menalipon bertanyakan aku di mana. Aku jawap... tak tahu.

Rupanya aku sudah melepasi Bukit Merah. Memang hebat pemandu bas ini. Namun lebih rasa syukur kerana aku selamat balik!

Selasa, 15 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...6

Aku hanya berjalan mengikut arus membontoti kumpulan memakai baju jingga. Dihimpit oleh bermacam saiz tubuh manusia yang berbagai ragam dan bau.

Aku dan Along tidak berminat memakai baju warna mana-mana juzuk dalam HKR - kuning (BERSIH), merah (ROYALTI), hijau (LYNAS) dan oren (FELDA). Tapi kalau ditanya aku sebenarnya lebih mirip kepada grup mana, aku akan jawap - BERSIH.

Aku lebih selesa memakai rompi yang aku beli semasa aktif dalam Kelab Remaja JIM dulu. Pada rompi itu aku jahit lencana kain Gunung Tahan tanda aku pernah mendakinya sewaktu masih bertunang dengan ibu_suri sekitar 1984.

Rupanya perarakan ini menuju ke arah Stadium Merdeka. Aku bertanya Along tatkala ternampak sepasukan polis menghadang jalan dengan blok warna merah.

"Itu jalan ke Dataran Merdeka!" jawap Along menuding ke arah papan tanda.

"Kenapa pula blok jalan ke Dataran Merdeka?"

Soalan yang tiada jawapan.

Aku menarik tangan Along menuju ke pintu masuk stadium di bahagian belakang. Bukan apa, semasa BERSIH 3.0 dulu, aku dan Along terpisah di celah-celah keributan menyelamatkan diri dari terjahan gas pemedih mata. Walaupun aku selepas itu dah kembali ke KL Sentral menunggu bas untuk kembali ke Penang, Along memberitahu aku bahawa dia masih bermain kejar-kejar dengan FRU di kawasan Masjid India. Entah macammana dia terlepas ke sana, aku pun tak sedar. Walaupun aku sedikit gusar akan keselamatannya tapi aku percaya; biarlah dia merasai susah payah pejuang dulu bertempur dengan penjajah demi kemerdekaan negara.

Kelihatan helikpter di awangan

Helikopter berlegar di udara. Aku memilih padang berbanding tangga kambing kerana ingin menikmati denyut nadi perhimpunan dengan lebih dekat. Azan berkumandang menandakan masuk waktu Zohor. Tegak bulu roma aku dalam menghayati bilah-bilah alunan azan yang keluar dari corong pembesar suara yang pastinya juga menerjah ke telinga kaum lain: India, Cina, Benggali dan Mat Saleh.

"Sembahyang sekarang?" Soalku bila melihat beberapa anak muda bergilir menuang air dari botol ke tapak tangan. Mereka angguk. Wah... Ini pertama kali aku akan merasai bagaimana auranya bersembahyang di tengah stadium berbaur hiruk pikuk manusia. Aku pernah belajar erti uzlah jika berada di tengah-tengah kesibukan. Aku tiada halangan untuk begitu sekarang.

Aku mengambil botol  air. Berwuduk ringkas tapi sempurna hanya menggunakan tidak sampai separuh dari kuantiti air dalam botol. Pengalaman semasa bermukhayyam dengan rakan-rakan JIM dulu rupanya amat relevan di sini. Aku pernah dengar sahabat OKUku  Rizal yang mengambil wudhu di Mekah hanya dengan secawan air mutlak.

Aku pun membentang rompiku di atas rumput yang berbecak untuk  melakar satu lagi sejarah dalam hidupku. Di sebelah kananku bersedia seorang makmum yang akan menunaikan sembahyang cara duduk. Di sebelah kanannya pula seorang lelaki berkaki satu. Lalu, kami pun bersama-sama....... Allahu Akbar!

Isnin, 14 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...5

Aku menyalin kemeja T hitam lukisan GAZA kepada kemeja T logo Tok Guru. Aku amat jarang memakai baju ini. Bukannya berani sangat.

Naik Putra LRT. Kekok nak beli token dan nak imbas token. Semasa di Jepun 20 tahun dulu, mereka menggunakan tiket kertas. Dimasukkan ke dalam mesin dan bila kita keluar, tiket itu akan keluar di mesin sebelah sana.

Putra LRT sesak dengan penumpang. Aku terpaksa ambil tren ke 2. Along membawa aku ke kawasan Masjid Jamek. Senang cari makan dan sembahyang bila masuk Zohor nanti.

"Kita makan kat sini, ok ayah?" sambil menunjukkan Restoran Dapur Kampung. Namanya saja sudah cukup membuat perut aku berkeriut tanda setuju.


Aku makan ala kadar saja. Jika perut penuh susah nak lari nanti macam masa kat BERSIH 3.0 dulu. Ok juga makan di sini. Ikan kembung masak lemak cili padi + terung tumis kegemaranku bersama nasi setengah sukatan - RM6.00 sahaja. Memang sikap aku jika makan mesti hingga 'licin'. Kita tidak tahu keberkatan rezeki itu di mana. 

Dan mutakhir ini aku cuba menukar kebiasaan makan dengan camca dan garfu kepada makan dengan tangan bilamana di restoran. Ikut sunnah nabi walau dimana kita berada; dapat pahala... aku masih ingat pesan kawan Tablighku - Osman M di tempat kerja.

Selesai makan, aku dan Along keluar melihat suasana di jalanraya. Aku meninjau-ninjau kut-kut ada jualan sebagai kenangan. Ada banyak jualan kemeja T HKR, BERSIH, mafla, butang dan pelbagai lagi tapi aku tak minat dengan jenama begitu. Kalau membeli biar yang boleh dipakai selalu.

Aku memilih 2 helai kemeja T - GAZA. Satu untuk diri aku sendiri dan satu untuk sahabat baikku - blogger JH. Aku percaya, kemeja T ini akan selalu kami gunakan untuk program GAZA nanti!

Catatan Perjalanan ke KL...4

Along menalipon aku dan menasihati supaya membuat tempahan tiket balik. Takut nanti tiket habis, katanya. Bukan aku tak terfikir hal itu tadi tapi aku masih teraba-raba nak balik bila dan dengan apa.

Akhirnya aku tetapkan pendirian mendengar nasihat Along. Ambil keputusan balik juga dengan bas sepertimana datang tadi. Selesa untuk tidur, bisik hatiku.

Namun masalah lainnya pula ialah nak naik bas apa dan pukul berapa? Agak lama juga aku duduk di kerusi memandang kaunter bas yang berderetan hingga rambang mata. Program dijangka tamat jam 5. Aku perlu ada waktu saku untuk makan, mandi dan sembahyang. Akhirnya aku  memilih waktu bertolak jam 9 malam. Aku mendapatkan tiket bas Seasons dan akan menunggu di platform 7. Risau pun ada.

Sesampainya Along, perkara pertama yang ditanya ialah;

"Ayah nak buat apa dulu?"

"Mandi dan makan!"

Entah kenapa aku tiba-tiba teringat Restoran Anuja sewaktu menaiki tangga ke kaunter tiket tadi. Nama Anuja sendiri meragukan aku tapi herannya ramai yang berketayap dan memakai mafla hijau putih duduk makan dengan selamba. Tak nampak pun tanda halal malah tulisan Tamil terang-terang ada di papantanda.


"Kalau nak mandi, di KL Sentral lebih mudah," seru Along. Pelik aku dengan nama Sentral ni. Apa punya tatabahasa da... 

Along tak tahu agaknya yang aku ni dah puluhan tahun tak naik motor. Tambah pula membonceng melalui celah-celah lori dan bas. Sekejap selekoh tajam sekejap melompat ke atas bonggol jalan. Gayat rasanya. Bahu Along dan beg galas aku pegang kemas.

Sesampai di KL Sentral aku mencari bilik mandi berbayar. Aku tak biasa dengan budaya musafir di kotaraya begini. Kalau bermusafir dalam hutan aku biasalah. 

Memang banyak perkara baru yang aku belajar semasa di sini. Panjang deretan orang menunggu giliran. Pasti mereka ini bertujuan sama seperti aku, bisik hati. Hari ini taukeh bilik mandi tentu senyum panjang sebab bisnes ada untung!

Sambil mandi aku terdengar suara di luar yang deras bertanyakan kawannya dimana rokok yang dipinjam tadi. Ciss... apa punya turrr.... Konon berhimpun untuk menuntut keadilan dan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan tapi keadilan dan kebersihan diri sendiri dan keluarga buat tak peduli. Kan rokok itu salah satu agenda Yahudi untuk melemahkan jatidiri rakyat dan negara yang dijajahi?

Ahad, 13 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...3

"Puduraya...Puduraya..." teriak pemandu bas. Aku meninjau ke luar tingkap. Wajah Puduraya tidak lagi  seperti mana yang aku kenal ketika belajar di Institut Kemahiran MARA dulu. Teramat asing.

Aku memang dah lama tidak memakai jam tangan. Jadi, jam di taliponlah sebagai rujukan. Melepasi 5 pagi. Akan tetapi suasana sekeliling ramai; tidak sehening Pekan Penanti. Bangla dan Mat Saleh berimpang siur.

Aku terpacak di atas dataran di tengah-tengah persimpangan lampu trafik. Persis rusa masuk kampung. Tak tahu ke mana hendak mula. Makan? Kebanyakan kedai yang aku perhati, keMuslimannya seperti tidak meyakinkan. Maaf!

Alangkah bagusnya jikalau berada di kotaraya metropolitan ini aku mulai dengan bersembahyang tahajjud. Aku cuba menjengah menara Masjid atau kelibat surau. Tidak kelihatan. Cuba menalipon Along, tak ada jawaban. Cuba pula menalipon Rizal, kawan sekerja yang khabarnya turut hadir sama menaiki bas sewa. Juga bungkam.

Aku ambil keputusan untuk melangkah ke Restoran Syukran. Dah namanya agak Islamik, aku cuba meyakinkan diri. Tapi keluar semula. Ramai dan hawanya berbahang. Beralih ke Bistro Tomyam. Duduk di kerusi sambil menimbang.. nak makan atau minum saja? Bila melihatkan pelayannya semua berkulit gelap akhirnya... selera aku untuk makan jadi hambar.

Bistro Tomyam

Menunggu memang terasa lama. Akhirnya setelah bertanya, aku memanjat tangga Pudu Sentral ketemu Surau Al - Hidayah. Memang ada kelas surau jamek ini. Aku tunaikan sembahyang Subuh. Kemudian lepak di bahagian belakang. Orang memang ramai. Generasi tua kebanyakan berbual atau berbaring. Generasi muda kebanyakan membuka ipad atau paling tidak talipon pintar mereka. Ada sekelompok yang menelaah buku ala-ala majlis taalim oleh Jamaah Tabligh. Anehnya, tak seorang pun dari ramai-ramai itu ada yang aku kenal samada rakan IKRAM, rakan sekerja atau rakan setaman.

Cemburu melihat kelompok itu, aku teringat buku DAIE SEJUTA Umat yang sengaja aku bawa. Aku baca helai demi helai namun mata ini...aduhai...

Catatan Perjalanan Ke KL...2

Aku bertolak jam 1 pagi menaiki bas Shamisa Holidays. Seronok juga di permulaan perjalanan ini. Dah terlalu lama tak naik bas ekspress. Dan duduk di kerusi single ini adalah satu pengalaman baru. 


Perut terasa lapar. Coco pie yang aku beli 2 bungkus tadi aku makan diiringi dengan air minuman botol. Teringat pesan blogger JH: jika berada di dalam suasana perhimpunan yang getir; jika tiada kurma, coklat adalah makanan terbaik kerana bisa mengembalikan tenaga yang hilang.

Aku tak lupa membekali diri dengan sedikit garam, sebotol kecil air minuman dan sehelai tuala kecil. Walaupun ada jaminan bahawa himpunan ini nanti akan berlansung dengan aman, pengalaman lalu perlu dijadikan iktibar. Dan 3 elemen ini amat diperlukan sebagai penawar kepedihan asap lemparan kanister.

Entah bila aku tertidur. Terjaga saja sedar-sedar dah berada di kawasan Ipoh. Kilang simen milik YTL tersergam di kiri bas. Aku pun hairan bagaimana tiba-tiba kilang simen ini bertukar nama. Setahu aku dulu namanya Perak Hanjung.

Penumpang di sekeliling mendengkur sedangkan aku terkebil-kebil!

Jumaat, 11 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...1

Tak banyak perkara yang perlu aku siapkan. Ini bukannya kali pertama sebaliknya dah masuk kali ketiga.  Angah akan menghantar aku yang dijadualkan menaiki bas 1 pagi di Penang Sentral. Along akan menunggu aku di Pudu Sentral pada 6 paginya pula. Sesekali fikir, ada untungnya juga punyai satu anak di sini dan satu lagi di sana.


Khabarnya KL semakin sendat. Aku merasa beruntung kerana menjadi salah seorang di antara mereka. Doaku cuma satu - agar Allah tetapkan keikhlasan di dalam diri ini.

Di rumah, ibu_suri telah ada yang menjaga. Di sana, aku serahkan semuanya pada yang Esa!

Cempera

Memang kelam kabut sikit jadinya, Angah. Bercempera segala jadual harian. Kena ambil cuti hampir berhari -hari untuk menjaga anaknya - Marissa.

Kak Ona, kakak kepada ibu-suri yang mengasuh Marissa tiba-tiba saja dikejarkan ke hospital. Tekanan darahnya mencanak naik hingga melepasi paras 200. Anak-anaknya perasan hal ini bila mereka melihat bibir Kak Ona senget dan air liur jatuh di celah tepi bibir ketika mereka singgah makan di gerai.

Kata suaminya - Abang Mail; doktor baru saja membuat imbasan di bahagian kepala kak Ona.

"Kenapa di bahagian kepala?" soalku.

"Doktor kata, pergerakan kaki dan tangannya, ok. Jadi doktor nak sahkan keadaan saraf kat bahagian saraf otak pulak." terang Abang Mail.

Sebenarnya aku faham proses ini. Semasa ibu-suri di BM Specialist Center 5 tahun dulu pun sama. Doktor sahkan banyak dari saraf-saraf otak ibu_suri mengalami blood clot. Itu yang akhirnya menyebabkan oksigen  tidak sampai ke sel-sel otak hingga menyebabkan sebahagiannya mati dan ibu_suri mengalami komplikasi emosi dan sebahagian daya percakapan.

Mungkinkah kak Ona akan mengulangi sindrom yang sama seperti adiknya - ibu-suri? Dan macam mana pula Angah hendak mengatasi masaalah penjagaan anaknya sementara dia dan Ayu bekerja? Memang kusut bila difikir.

Tapi seperti selalunya aku nasihati Angah: Usah fikir perkara yang belum berlaku. Fikirkan apa perlu dibuat hari ini dan esok sahaja dahulu.

Tambah menegangkan suasana bila ibu_suri beria-ia mahu menjaga Marissa bagi menggantikan Kak Ona. Kononnya dia boleh jaga cucunya itu sedangkan hakikatnya dia terlupa; dirinya sendiri pun orang lain yang menjaganya. Dia ingat Marissa tu masih berumur 1 hari sedangkan sebenarnya usia Marissa lagi 1 bulan akan genap 1 tahun. Tengah lincah berlari, memunggah dan memanjat segala kerusi.

Khamis, 10 Januari 2013

Peluang

Beberapa hari ini masa tidur aku menjadi semakin pendek. Sejak aku mula membuat comeback bersama rakan seperjuangan di medan dakwah di bawah naungan jamaah IKRAM; aku mengorban banyak dari masa senanglenangku.

Tadi selepas usrah di Taman Pelangi, mantan naqibku - Isa minta aku meluangkan masa singgah di PELITA untuk berbincang tentang Tadika Amal Rintis. Ada cadangan untuk mempelawa aku menjadi Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

Aku meminta kepada beliau supaya membenarkan aku kembali secara perlahan ke dalam apa juga aktivisma IKRAM. Tidak mahu terjun secara mendadak kerana aku perlu megambilkira tanggungjawap yang aku ada sekarang.

"Anta cuma ada 2 tahun saja lagi dalam mencapai usia persaraan. Kami offer anta peluang ini"

Aku pernah bercakap dengan sahabatbaikku - blogger JH tentang hasrat aku pabila mencecah umur persaraan nanti, aku ingin berbuat sesuatu kerja yang aku minat disamping mampu menjana saraan hidup dan kerja itu  pula memberi manafaat kepada masyarakat banyak. Kira-kira 3 in 1 lah!


Gimanapun, aku tak perlu buru-buru. Aku tahu aku masih ada ibu-suri yang mesti aku ambilpedulikan; ada Akmal yang masih samar masa depannya. Dan masih ada Along yang belum ada tanda-tanda mahu kahwin!

Rabu, 9 Januari 2013

Mamak Supi

Penghormatan terakhir aku berikan kepada  Allahyarham Mamak Supi - bapa saudara ibu_suri yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital besar Pulau Pinang pada usia 76 tahun.

Jenazah disembayhangkan di rumah pangsa Tanjung Tokong dan dibawa ke Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya untuk di sempurnakan.


Sesungguhnya kehidupan ini hanya sementara. Segala kesenangan akhirnya akan ditinggalkan. yang dibawa bersama ke alam berzakh hanyalah 3 : Amal, sedekah  dan doa anak dari anak yang soleh.

Balik ke rumah, aku minta izin dari ibu-suri untuk tidor sekejap kerana rasa badan terawang-awang. Bila bangun, teringat pula nak ziarah kakak ipar yang khabarnya hampir diserang stroke semalam. Mujur cepat-cepat di bawa ke hospital.

Semua ini menginsafkan aku agar betapa kerdilnya diri ini dan betapa singkatnya masa yang masih aku ada. Dan semua ini juga membuatkan aku terasa amat sayang pada diri dan amat menghargai pada sekalian insan yang ada di sekeliling:  ibu_suri, anak-anak, mak dan adik-adik!

Selasa, 8 Januari 2013

Catatan Dinihari Selasa...

Tadi adalah mesyuarat ke 2 program Aqsa2Gaza@Mydin di Pejabat IKRAM, Seberang Jaya. Kali ini aku terpaksa bawa ibu_suri bersama kerana merasakan itu lebih baik demi keselesaan aku bermesyuarat. Pengarah program beritahu dia lewat datang datang sebab otw dari KL. Minta aku selaku S/U mulakan mesyuarat.

Tidak mudah bagi insan seberat 120kg menaiki tangga bangunan hingga ke tingkat 3. Nak turun pula satu hal lagi. Aku dapat agak balik nanti tentu ibu_suri mengadu sakit lutut.

Ramai yang gembira melihat ibu_suri datang. Memang sudah lama ibu-suri tidak bersama dalam mesyuarat aktiviti seperti ini. Lamanya sejak 5 tahun lalu di mana ibu_suri di serang minor stroke ketika berehat di katil wad BM Specialist Center.

Kemas bilik mesyuarat sebelum balik

Sudah pastinya selepas selesai mesyuarat, orang lain mungkin boleh terus balik dan tidur tetapi aku terpaksa menimbal balas kesudian ibu_suri menemani aku ke mesyuarat dengan membawanya berjalan-jalan malah hingga ke Kepala batas.

Selesai mesyuarat jam 11 malam tapi aku tiba di rumah dari bawa ibu_suri jalan-jalan bilamana jam 2 pagi. Alah begitu!

Buka laptop. Baca sepintas lalu emel, facebook dan seterusnya membuat catatan ke dalam blog yang aku sayangi ini.

Esok aku berkemungkinan ambil cuti separuh hari. Dapat berita terbaru, bapa saudara ibu_suri baru sahaja menghadap Ilahi. Di katil sekarang ini, aku tahu ibu_suri sedang bersedih. Sesekali kelihatan dia menyeka airmata...

Isnin, 7 Januari 2013

Wow... Nasi Arab!

Aku tak pernah makan Nasi Arab sebelum ini. Apatah lagi berlaukkan daging kambing. Ada sikit-sikit terpengaruh dengan cerita bahawa daging kambing berbahaya bagi pesakit darah tinggi. Makanya, jika aku makan ibu-suri mesti mahu juga. Itu yang cuba aku elakkan.

Tapi semasa aku menghadiri PPN Khas Jamaah Islah Malaysia bebaru ini di sini, makan tengahari kami dihidangkan dengan Nasi Arab.

Woww... Rupanya memang sedap nasi ini. Daging kambingnya juga lembut dan halus. Saiz nasinya yang panjang buat aku benar-benar terpikat.

Minggu lepas, aku bawa ibu_suri makan di Sungai Dua berhampiran Nasi Kandar Seven Star. Ternampak gerai menjual nasi Arab. Hurrmmm....

Sudah pastinya aku senyap-senyap cedok daging kambing masak kurma. Tak berani nak uar-uarkan kat ibu_suri. Biar aku test dulu untuk kali kedua. Mana tau...kot-kot ada rasa pening lalat.

Rupanya daging kambing ini banyak khasiatnya seperti catatan di sini. Malah ianya juga adalah makanan istimewa para nabi seperti di sini

Ahad, 6 Januari 2013

Manisnya Panen Itu...

Akhirnya berjaya juga meloloskan diri untuk menghadiri Mesyuarat Aqsa2Gaza@Mydin di Pejabat IKRAM, Seberang Jaya malam tadi.

Alhamdulillah, disamping menjadi Setiausaha, juga dilantik memegang JK Siaraya - antara bidang yang memang menjadi minat aku sejak aktif dalam JIM lagi.

Syahdu rasanya kerana dapat  bersama dengan rakan seperjuangan demi meneruskan aktivisma dakwah walaupun kini dalam relung yang berbeda.

Aku khabarkan hal ini pada ibu_suri tatkala membawanya bersiar-siar seusai mesyuarat  akan tetapi;

"Abang niii... Asyik-asyik mesyuarat. Asyik-asyik.. usrah. I macam mana?"

"Aduhai....Abang bukanya buat benda yang tak baik. Kalau you sayang kat abang you izinkan abang join program ni okay. Lepas tu you nak pi bulan ke pi bintang ke, abang boleh bawakkan.."

Terkadang aku merasa amat bertuah kerana berjaya mengharungi sekalian ujian hidup ini dengan segala keupayaan yang ada.

Hari ini, nikmat dari panen itu terlalu manis. Dan terlalu manisnya itu membuatkan aku menjadi semakin sayang kepada yang bernama isteriku ini atas nama kebertanggungjawaban!

Sabtu, 5 Januari 2013

Antara Radix dengan Hi-Goat

Udah beli baru aku perasan rupanya pencuci muka yang aku beli ini adalah antara yang tersenarai sebagai barangan yang wajib kita boikot. Keupayaan ingatan otak aku ni sekadar 4G je. Jadi, bukan semua produk kena boikot itu mampu aku ingat.


Puncanya, aku ingin mencari pencuci muka yang khas untuk lelaki serta mempunyai logo HALAL. Tak jumpa produk Muslim. Jadinya, pilih punya pilih aku ternampak pencuci muka jenama Garnier ini. Tak apalah, lain kali aku berbelian kat kedai Haalalan Toyyiban ajelah!

Dari dulu lagi sebenarnya ibu_suri menegur akan muka aku yang nampak berminyak. Aku tak pernah ambil kisah. Cuma kebelakangan ini saja; bila anak-anak sudah dewasa, aku mula memikirkan tentang penjagaan kesihatan luar dan dalam diri.  

Memanglah kalau nak bandingkan kulit aku dengan kulit ibu_suri persis antara kopi Radix dengan susu Hi-goat adanya. Ntah apalah istimewanya aku ni di mata ibu_suri hingga sanggup menerima aku sebagai suami, tak tahulah...

Khamis, 3 Januari 2013

Surau Taman Pelangi

Mulanya aku rasa amat berat untuk menerima ajakan beberapa kali oleh Ustaz Rozee ke halaqah mingguan grup Taman pelangi Juru. Kata Ust Rozee, mereka ni kebanyakan AJK surau. Mendengarkan itu segera aku merasakan diri aku kerdil.


Tapi dek kerana siqah dan sami'na yang tinggi terhadap jamaah aku langkahkan juga kaki ini dengan kepercayaan bahawa jika Allah izinkan, akan berjalan dengan baiklah semuanya itu nanti. Jika idak pun,aku terima saja.

Namun, bila dah tiba di sana kira-kira jam 9.30 malam, sangkaan aku tadi melest. AJK surau itu rupa seperti aku juga. Biasa-biasa saja. Mahu mencari ilmu untuk memperbaiki diri.

Satu yang istimewanya di surau ini ialah ramai orang Bangla datang berjamaah. Ada juga yang membuat kumpulan kecil mengajar atau tilawah Al Quran.

Surau ini juga rupanya surau yang dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat.

"Boleh dipanggil dengan nama surau jamek nih!" gurauku kepada pengerusinya sambil bersalaman sebelum melangkah balik ke rumah!

Pintu-Pintu Syurga

Memang aku akui, bukan calang-calang orang akan mampu menjaga isterinya yang bermasaalah seperti ibu-suri. 

Di hari aku diberitahu oleh doktor bahawa ibu_suri mengalami blood clot pada banyak saraf di otaknya, aku merasakan dunia ini persis kosong dan sunyi.  Hidup terasa hambar.

5 tahun aku puah-paih menjaga ibu_suri. Seperti merasakan bagai tidak ada orang lain yang lebih sengsara hidupnya kecuali aku. 

Namun hari ini aku perlahan-lahan menerima hakikat takdir yang menimpa diriku. Aku perlahan-lahan terasa beruntung kerana kesabaran dan tekad aku untuk menjaga ibu-suri, setia dan jujur terhadapnya bertahan hingga ke hari ini.

Lebih menyuntik semangat dan rasa syukur bila kebetulan membaca kisah Salim yang tinggal di Kota Almah (baca kisahnya di sini) dan Abil Fikri Ahmad yang tinggal di Negeri Sembilan (baca di sini). Masing-masing dengan setia menjaga isteri mereka yang lumpuh dengan baik.

Kalau nak dikira aku lebih bernasib baik kerana ibu_suri hanya lumpuh sebahagian daya ingatan dan respon kepada alam.

Syukurlah kepada Allah yang walaupun sesekali ibu_suri naik angin dan tinggi ragamnya; yang walaupun aku sesekali terasa amat jemu dan marah tak tertahan; aku masih juga bertahan dan insyaAllah terus bertahan hingga akhir hayat.

Tapi..eh!..eh!...Kalaulah seorang isteri iu jika setia kepada Tuhan dan kepada suaminya, akan memasuki Syurga dari mana-mana pintu yang dia sukai, tiadakah peluang itu untuk aku, untuk Salim dan untuk abil?

Selasa, 1 Januari 2013

Anak Melayu Kita

Ahad lepas, jiran buat majlis doa selamat sempena pernikahan anak perempuannya. Aku berseorangan pergi menunaikan jemputan sementara ibu_suri ditemani anak saudara.

Aku  makan di satu meja. Di sisiku seorang guru yang mengajar di SM High School, Bukit Mertajam.

"Heran juga sebab sekarang ini pelajar senang-senang dapat banyak A. Anak saudara saya dikampung dapat 6A. Macam tak percaya!" ujarku.

"Kementerian sebenarnya menurunkan geraf supaya anak Melayu kita ramai yang dapat keputusan bagus." jawapnya yang akan bersara awal pada 31 Disember ini.

"Kalau macam tu dimana letaknya kualiti pembelajaran anak-anak kita? Saya perasan sekolah seperti STAR, Izzudin Shah, St Michael, King George .... kini dah tak sehebat dulu. Malah sekolah saya dulu - Anderson juga dah tidak gah samada dalam pelajaran maupun dalam sukan. Dimana silapnya?"


Tambahan pula sekarang ini makin ramai pelajar yang menghidap sindom LD (masaalah pembelajaran). Akhmal adalah salah satu contohnya. Sedangkan aku tidak nampak komitmen kerajaan dalam mengatasi masaalah ini.

Sejak dari akhmal di tahun 5 hingga usianya mencecah 20 tahun kini, aku sebagai orang awam tidak nampak!