Halaman

Selasa, 28 Februari 2012

CT...1

Aku ambil cuti hari ini. Setelah membawa ibu_suri ke Klinik Kubang Semang untuk rawatan rutin hipertensi, aku terus ke Hospital Besar Pulau Pinang.

Sudah 5 hari CT - anak angkatku sebelum Akhmal - terlantar di hospital akibat kemalangan motor. Malam semalam, dari Hospital Besar Seberang Jaya CT dikejar ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk dirujuk ke pakar tulang bahagian kepala bilamana keadaan CT menjadi tak keruan. Sakit kepala yang bersangatan membuatkan CT meraung.

Melihat dari luar memang CT seperti tidak luka apa-apa namun kesakitan dalamannya Tuhan saja yang tahu. Tulang tengkorak CT di dapati retak dan berlubang. Tulang rahang CT juga di khuatiri begitu. Jika tidak ada apa-apa perkembangan positif, CT akan dirujuk semula ke Hospital Besar Seberang Jaya untuk pemeriksaan rahang.

CT ditenangkan oleh kawannya

Aku sebak bilamana melihat kondisi CT. Tambah sebak bila mengenangkan latarbelakang kehidupan CT selama ini. Bertambah-tambah sebak bila mengenangkan apa yang sedang berlaku di sekeliling CT.

Aku kagum pada kegigihan kakak iparku yang menjaga CT sejak mengetahui insiden yang berlaku. Makan dan tidurnya tidak menentu. Tapi yang lebih melelahkan ialah bila berada di wad seperti CT; melihat pesakit yang keluar masuk dengan pelbagai kes ngeri.

Aku amat berdoa muga CT pulih seperti sebelum ini.

Ahad, 26 Februari 2012

Kasih Ayah

Pagi semalam aku riadah lagi di Tasik Mengkuang. Kali ini aku ambil trek yang panjang, tidak di trek yang biasa aku lalui sebelum ini.Trek kali ini ada beberapa gon yang pastinya bagus untuk pemangkin peluh.

Sebenarnya matahari dah semakin tinggi bila aku sampai di sini. Hampir jam 9 pagi. Tapi masih ramai juga manusia datang dan pergi.

Telinga aku tiba-tiba menangkap perbualan seorang ayah dengan anak di hadapan dan kemudiannya di belakangku bila aku memotong.

"Ayah, kenapa orang tu bila mati sorang-sorang je dalam kubur."

"Memanglah kita mati nanti akan ditanam sorang-sorang je."

"Abah nanti mati ke?"

"Ya... semua kita akan mati."

"Pokok?"

"Juga akan mati."

"Burung?"

"Mati juga."

"Mmmm... Dinasour?"

"Mati juga."

"Upin Ipin?"

"Mati juga..."

Dan akhirnya soaljawap itu semakin hilang dari pendengaran. Ini menyegerakan ingatan aku kepada klip video ini:

Jumaat, 24 Februari 2012

Zikra Jumaat 7 - Harta Dunia

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”
 
Riwayat Ahmad

Khamis, 23 Februari 2012

Hari Esok

Menjaga Kancil ini persis menjaga pemiliknya juga - ibu_suri!

Beberapa hari ini aku sampai awal ke rumah dari tempat kerja. Jem di jambatan Pulau Pinang tak seteruk selalu. Kenapa..ntah.. aku pun tak tahu.

Bila awal sampai di rumah, yang paling girang ialah ibu_suri. Hari ini Marissa ada di rumah. Jadi;

"Marissa... tengok! Tok ayah balik awal la hari ini..."

Aku hanya menyungging senyum tawar. Terlihat Marissa sedang asyik menyusu di dada ibunya. Marissa sekarang sudah bertambah berat badan ke 4kg. Doktor menasihatkan agar dikurangkan susuan.

Berbual dengan blogger JH di dalam Unsernya sambil dihiasi lagu Kenangan Lalu nyanyian Flybaits tentang masa-masa akan bersara nanti membuat aku terasa amat sayu dan sesekali rasa takut. Sayu kerana merasakan terlalu cepat dunia ini berputar meninggalkan semua peristiwa yang aku lalui menjadi kenangan yang manis. Takut pula bila mengenangkan fizikalku yang tidak segagah dulu; melihat seorang demi seorang kawanku sakit atau pergi dulu menghadap Tuhan.

Aku setidak-tidaknya sedikit bersyukur kerana anak-anakku sudah besar dan berdikari. Aku sedang merancang untuk mengurangkan segala kos sara hidup. Streamyx dan Astro mungkin akan aku tiadakan. Sedang mengintai mengalihkan Celcom kepada DIGI yang menawarkan pakej lebih murah. Juga membulatkan azam untuk bertahan dengan kenderaan Kancil. 

Bagi aku sebenarnya, gaya hidup yang simple lebih mendamaikan. Jaga kesihatan dan pertingkat amal kebajikan!

Rabu, 22 Februari 2012

Nasi Goreng Belacan

Aku bersama adik-adik dan anak jiran - 70an

Aku dan ibu_suri pergi sekali lagi ke Restoran Kak Wan di Kulim untuk makan malam. Aku tak mahu makan yang berat lalu bercadang memesan mi goreng saja. Tapi ibu_suri menggerutu dan seperti memaksa aku makan nasi.

Bila pelayan membentang senarai menu, mata aku liar mencari jenis nasi yang aku rasa serasi dengan kerongkong aku ni.

"Nasi goreng belacan dengan air suam."

Berkerut kening ibu_suri sambil mengorak senyum. Nasi goreng belacan?

"Itu makanan yang selalu abang makan masa kecil dulu. Sarapan orang miskin," terangku.

Aku teringat semasa aku kecil dan terpaksa menjaga adik-adikku seramai 6 orang bilamana emak terpaksa berpagi-pagi menoreh getah. Kalau tak goreng cekodok colek dengan sambal tumis atau masak lempeng yang digaul kelapa; goreng nasilah jawapnya. Oleh kerana terlalu kerap goreng nasi; untuk tidak terasa jemu maka kena kreatiflah. Samada goreng nasi dengan sambal, atau dengan halia atau dengan belacan.

"Tapi nasi goreng belacan sini tak sama macam yang abang masak dulu. Dia tak bubuh banyak bawang, ikan bilis dan cabai kering. Ni, nasi goreng belacan Kulim mali, agaknya.." ujarku sambil ketawa.

Seperti selalu, apa saja yang aku makan aku akan tinggalkan sedikit untuk dirasa bersama oleh ibu_suri. Hiba pula hati ini bila teringatkan zaman-zaman aku hidup susah bersama adik-adikku di sekitar tahun 60an.

Al Fatihah buat Latif Ibrahim; yang juga popular di zaman aku masih bersekolah dulu!

Isnin, 20 Februari 2012

Yang Baik-Baik Saja

Kita ini teramat kerdil berbanding lautan


Aku ambil mc leave hari ini. Lebih banyak lepak di rumah. Aku cuba lupakan hal-hal kerja. Biar esok sahaja aku fikirkan. Aku juga tak banyak makan. Cuma tengahari tadi makan biskut yang masih tersimpan dalam beg warna pink yang di beri oleh Angah semalam bersama teh o.

Langit pun muram sahaja membuatkan suasana di rumah lebih banyak sunyi. Aku buka laman facebook yang dah lama tak kemaskini. Aku juga menjengah blog-blog politik; tidak banyak berita baru yang menarik. Cerita penyelewengan PKFZ dan  NFC dah mula kendur.

Aku teringat perbualan aku semalam semasa balik dari hospital.

"Abang nak miliki hidup yang simple sahaja sekarang ini. Tak mahu fikir beli itu dan ini. Cukup dengan apa yang ada. Nak serius dalam membayar hutang yang masih ada."

"Nak fikir macammana nak kurangkan kos hidup yang semakin naik. Biarlah anak-anak bina dan bayar kos hidup mereka sendiri. Abang tak nampak depa akan biayai kos hidup kita bila abang dah tak kerja nanti. Kita kena berdiri sendiri."

Aku teringat bapa mertuaku yang selalu mengadu akan hal anak-anaknya. Ramainya yang tidak sependapat dalam banyak hal. Tidak mencari titik persamaan sebaliknya saling salah menyalah antara satu sama lain. yang jadi mangsa adalah emak dan bapa mertuaku yang memendam rasa.

Aku harap anak-anakku tidak begitu. Sudahlah cuma 3 orang. Jika hanya 3 begini tidak pula sehaluan, tidak amanlah aku di dalam kubur nanti. Yang baik-baik sahaja yang selalu aku doakan setiap kali lepas sembahyangku.

Ahad, 19 Februari 2012

Aula

Aku memang tak sedap badan sedari semalam. Tengkuk rasa sakit terutama bila nak beri salam kiri dan kanan selepas sujud akhir sembahyang. 

Aku paksa diri aku untuk bersiap-siap ke Tasik Mengkuang. Aku nak rehatkan minda dan perasaan aku. Bertalu-talu sms datang mengingatkan aku bahawa petang ini ada Majlis Pertemuan JKP IKRAM dengan ahli di RECSAM, Pulau Pinang. Aku tak pasti boleh hadir atau tidak walaupun aku tahu dan faham bahawa kehadiran aku itu perlu. Respon dari ibu_suri bila aku beritahu semalam agak negatif. Aku akan melihat yangmana lebih aula. Memanglah tarbiyah aku menyatakan jamaah lebih utama tetapi adakalanya untuk menjaga jamaah, keluarga perlu didahulukan.

Aku tahu, ibu sedikit emosi bila dapat tahu Marissa terpaksa di rujuk ke doktor pakar jantung. Beriya-iya ibu_suri tanya kenapa tapi aku dan Angah hanya menjawap: tunggu doktor kata apa. Sedangkan sebenarnya doktor khuatir Marissa mengalami jantung berlubang atau ada saluran darah yang terganggu.

"Itu cuma jangkaan doktor. Tak ada apa-apa kut!" pujuk aku kepada Angah.

Kesian aku melihat Ayu yang seharian menunggu Marissa. Dahlah dia sendiri masih dalam pantang, terpaksa pula bersekang mata menunggu Marissa di katil wad yang pastinya amat tidak selesa. Begitulah pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Aku dapat lihat airmatanya jatuh walaupun Ayu selalu cuba menyorok. Mereka terlalu muda untuk kenal erti jerih perih menjaga anak.

Aku berpesan pada Angah bahawa yang paling utama suami kena kuat semangat kerana isteri bergantung pada semangat suami. Dan isteri pula kerana kuat dan tabah kerana anak bergantung semangat dari ibunya pula. Begitu kitaran saikologi hidup. Tapi aku dapat rasakan Ayu sebenarnya tidak cukup kuat. Tak seperti mak aku yang menjadi idolaku hingga sekarang bila setiap kali ditimpa ujian Tuhan.

Ada biskut, cokelat dan juga Makallah 1su Mutiara

"Kenapa tak mahu makan cokelat ni?" Tanya aku pada Angah bila dia memberi aku beg berwarna pink yang dihadiahkan oleh sekumpulan orang yang membuat ziarah ke pesakit hospital ini pagi semalam. Angah geleng kepala.

"Orang bagi, kita ambillah."

Lepas makan pagi di restoran Sri Semarak dengan Radix O dan roti canai, aku singgah di Masjid Mengkuang untuk solat Dhuha. Ada sekumpulan pelajar; agaknya membuat program Qiamullail. Beberapa orang dari mereka sedang 'berdakwah' kepada beberapa orang remaja di bawah tempat letak motor. Aku memerhati dengan senyum!

Sabtu, 18 Februari 2012

Marissa - hobinya..tidur!

Marissa - hobinya..tidur!

Dhiya Marissa demam. Sejak semalam. Angah bergegas mengejarnya ke Hospital Seberang Jaya jam 5 pagi bila mendengar nafas Marissa turun naik agak kasar. Doktor mengesahkan dalam saluran nafas Marissa ada gelema.

"Bukan gelama!" tegasku dalam seloroh bila ibu_suri masih tidak faham apa yang telah terjadi kepada Marissa. Nak beritahu pada ibu_suri ini pun satu hal juga. Maklumlah, sayang sangat ibu_suri ini pada Marissa hinggakan kekadang aku buka blog aku lantas lagu dari singingbox aku berbunyi; ibu_suri beliakkan mata;

"Pelan sikit la komputer tu. Marissa tidur!"

Aku harap Marissa akan segera sembuh. Kasihan dia, belum pun cukup usia sebulan, sudah terpaksa diwadkan.

Aku sendiripun belum sempat ziarah Marissa. Hari ini dan esok jadual aku cukup padat. Pagi terpaksa pergi kerja untuk selesaikan tugasan yang berlambak. Petang, ada kenduri kesyukuran di rumah blogger JH sempena pemergian anaknya belajar ke Yaman.

Esok pagi aku akan pastikan beriadah di Tasik Mengkuang. Dan petang tak pasti samada aku akan dapat menghadiri sesi pertemuan antara Jawatankuasa Pusat IKRAM dengan ahli-ahli IKRAM Pulau Pinang. Aku belum pernah bersua dengan mereka sebelum ini.

Khamis, 16 Februari 2012

Kambing Hitam

Foto Ulu Paip ihsan dari malaysiabest
 
Aku ajak ibu_suri makan malam di Restoran Kak Wan, Kulim. Nak cuba tempat makan baru. Selalu makan di tempat yang sama, cemus juga. Pesan makanan juga, yang lain dari kami biasa makan. Aku pesan mi + bihun sup sementara ibu_suri pesan mi hailam.

"Tak mau try mi kung fu?"

"Tak mau. Pelik aje bunyinya."

Aku pun tak tahu macam mana rupa mi kung fu. Tapi yang pastinya boleh dimakan. Kalau tidak, takkan dijual.

Tiba-tiba, seorang anak mongel datang ke meja meletakkan kertas iklan 'KAYUHAN AMAL GAZA' ; 17 Mac 2012 bermula 7.30 pagi dari UniKL ke Hutan Lipur Ulu Paip. Anjuran BAKUN singkatan Bakti Kebajikan Nun.

Aku masih ingat semasa anak-anakku masih kecil selalu bawa mereka mandi manda di Hutan Lipur Ulu Paip ini. Masa itu Ulu Paip masih belum terusik. Damai dengan bunyi air sungai dan unggas. Tidak dalam dan memang sesuai untuk keluarga berkelah dan mandi manda.

"You senyum kat sapa?" tiba-tiba ibu_suri memecah lamunan.

"Jaga-jaga. Jangan senyum sembarangannn..." sambil jari telunjuknya bergoyang-goyang di depan hidung aku.

"Senyum kat kambing tak pa, kan!"

Lalu, ketawalah ibu_suri dengan tawa yang jelas kebudak-budakan. Beberapa hari ini ibu_suri suka sangat menyebut istilah kambing hitam. Ia merujuk kepada isu-isu dalam politik masa kini.

Memang terkadang, aku amat rindu pada zaman anak-anakku masa kecil!

Rabu, 15 Februari 2012

Pisau Tumpul

Blogger PT
follower ke 83
Gembira sekali bila dapat tahu, kawan ofisku kini udah mula mengorak langkah menulis blog. Ini bermula bila aku mendengar ceritanya tentang kisah Atuk dengan Cucunya. 

"Man, Hang ada banyak pengalaman baik yang aku rasa boleh dikongsi bersama. Alangkah baiknya kalau hang dapat rakam dia ke dalam blog. Aku dah masuk 4 tahun menulis blog. Aku rasa blog adalah podium paling baik untuk berdakwah."

"Berdakwah bukan semestinya bercakap hal-hal agama. Berdakwah boleh juga melalui sajak, melalui buku, melalui facebook dan melalui blog. Boleh cerita tentang pengalaman baik yang kita tempuh. Boleh juga cerita tentang pengalaman orang untuk perkongsian."

Begitu galakan aku pada dia. Memang aku berharap sangat dia mengambil ruang yang ada ini. Sementelah pula dia aktif dengan surau.

Akhirnya tadi dia meng'sms' aku akan alamat blognya. Dan cerita Atuk dengan Cucunya menjadi entri ke 2 nya. Boleh baca di sini.

"Awat pelik nama blog hang ni. Macam mana nak berdakwah kalau nama blog pun buat aku tergelak!" sambil ketawa aku meluahkan pandangan aku pagi tadi.

"Nama tu memang dah sinonim dengan aku sejak aku sekolah lagi."

Haah.... Aku akui. Dulu aku suka nama UNDUL dan hampir menamakan blog aku dengan nama itu. Tapi bila aku mencari makna perkataan UNDUL itu tak berjumpa, aku padamkan saja niatku. 

Aku harap sangat sahabat baikku yang pernah sesama berjaya mendaki Gunung Tahan ini akan terus komited berdakwah melalui blog. Aku pernah berpesan kepada dia bahawa kalau pun bukan semua orang akan suka pada blog kita tapi tidak mustahil seorang dua pasti mengikuti dan mendapat manafaat dari tulisan kita itu.

Itu sudah cukup untuk memberitahu bahawa kita telah mencapai matlamat baik untuk menulis blog. Menulis blog ini ada adabnya, pesanku lagi. Percayalah, kita akan puas bila mengetahui blog kita mendapat perhatian orang. Tulislah cara kita. Jangan terikut-ikut dengan gaya orang lain. Kita tulis dari idea kita sendiri. Misi kita ialah menyampaikan mesej yang baik. Itulah DAKWAH!

Selasa, 14 Februari 2012

Sibuk

Foto semasa aktif dalam Perguruan Silat gayong
bersama arwah cikgu Man.

Beberapa hari ke hadapan ini aku akan disibuk dan diresahkan dengan odit dalaman mahupun luaran. Udah 30 tahun aku bekerja; beginilah rutinnya. Tidak habis-habis dengan permasaalahan kerja. Kekadang aku fikir, kerja macam abah aku dulu lagi baik. Pagi, kerja dengan Majlis Bandaran Ipoh. Balik tidur sekejap kemudian petang bawa mesin rumput dan pergi ke bandar Ipoh untuk ambil upah potong rumput. Dapatlah RM5 untuk satu laman kecil. Tolak makan tinggallah RM3. Tak perlu perah kepala. Perah tenaga sahaja.

Malam pergi masjid. Balik rumah tidur semula dan esok pagi-pagi lagi akan hantar aku ke sekolah kemudiannya ke tempat kerjanya. Sempurna dia membiayai kami 9 beradik dengan kerja yang begitu.

Mak pula ambil upah toreh getah waktu pagi. Petang pula mendulang bijih timah. Duit-duit itulah yang menyara makan minum kami.

Bila saat-saat tertekan dengan kerja begini, semua kenangan itu menjadi motivasi buat aku yang walaupun sekadar menyara 3 orang anak dan seorang isteri tapi perihnya dirasa seperti lebih hebat dari apa yang ditanggung oleh mak dan abah.

Sekarang aku cuma perlu lalui beberapa tahun sahaja lagi untuk akhirnya bersara dari semua beban kerja ini. Namun, masaalah juga bila tidak bekerja lagi, nak buat apa pula?

Bak kata kawanku: hidup ini kalau nak dihambat dunia ini, tak terhambatkan. Kita terima sahajalah apa yang ada dan mendatangi kita. Kita buat apa yang terdaya. Selebihnya itu serah pada Allah. Yang penting.... hati mau baik be!

Ahad, 12 Februari 2012

Terisi

Melawan panah matahari dengan kamera talipon bimbit

Aku tak jadi pergi kerja hari ini. Selepas Qiamullail malam tadi di mana aku dipertanggungjawap menguruskan logistik dan makan pagi, aku ke Tasik Mengkuang; seperti selalunya hujung minggu... riadah. Aku rasa puas. Untuk esok, aku fikir esok sahajalah. Workload ini kalau nak dihiraukan, sampai bila pun takkan habis.

Walaupun baru jam 8 lebih tapi cahaya matahari tajam menikam kulit. Pijarnya begitu lit lit! Semakin ramai orang-orang Melayu beriadah sejak akhir-akhir ini berbanding beberapa tahun lalu trek di sini kebanyakannya di monopoli oleh bangsa Cina.

Angah dan keluarga ada di rumah. Sengaja aku 'arah'kan Angah balik bawa Marissa, cucunda sebagai 'umpan' ibu_suri agar tak bersungut kerana ketiadaan aku di rumah malam dan pagi ini. Kalau ada Marissa, ibu_suri sanggup seharian tak keluar rumah. Asyik mengagah dia saja walaupun Marissa lebih banyak tidur dari jaga.

Benar sangat kata rakan blogger sekalian bahawa bila ada cucu nanti tentu kesunyian ibu_suri terisi. Aku?... he..he.. Selalu ibu_suri tanya; kenapa tak mahu dukung Marissa? Aku jawap; tunggu bila dia boleh berjalan nanti. Kita tengok... dia manja Opah ke atau Tok Ayah!

Sayangnya, Marissa itu cucunda perempuan. Kalau lelaki tentu aku boleh ajak pergi masjid, mengajar silat dan bernasyid. Besar sikit boleh ajar macammana nak setup p.a system di atas stage dan tak lupa ajar tulis blog!

Sabtu, 11 Februari 2012

Beriku Kekuatan!

antara koleksi KEROPPI kegemarannya satu masa dulu

Pagi nanti aku terpaksa pergi kerja untuk sudahkan tugasan yang terbengkalai. Walaupun ibu_suri merengek-rengek tapi aku terpaksa cekalkan hati. Aku perlu atasi keresahan aku ini dengan memastikan semua beban yang aku pikul, aku ringankan.

Malam nanti aku perlu pula menunaikan amanah oleh naqibku supaya menyediakan tempat untuk program qiamullail. Sediakan makan pagi juga. Inipun satu tugasan yang berat. Beratnya ialah bagaimana aku perlu memberitahu ibu_suri akan amanah yang aku terpaksa buat ini dan sekali lagi akan meninggalkan dia tidur sendirian di rumah yang pastinya dia tidak suka begini.

Ahad, sekali lagi aku perlu malah mesti pergi kerja untuk siapkan presentation material pada hari Selasa kelak!

Muga Tuhan berikan aku kekuatan dalam istiqamah, ikhlas dan lembut dalam menjaga ibu_suri. Sebenarnya semua ini tidak semudah yang dilihat orang!

Jumaat, 10 Februari 2012

Zikra Jumaat 6 - Sombong

 Sultan yang menghormati rakyatnya

وَلَا تُصَعِّرۡ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمۡشِ فِي الۡأَرۡضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالٍ فَخُور


'Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.' - Surah Luqman ayat 18.

Rabu, 8 Februari 2012

Kasih Ayah

Anak-anakku,

Ayah telah cuba sedaya upaya untuk mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada kamu agar menjadi orang yang baik dan dihormati bila telah dewasa nanti. Ayah korbankan seluruh masa, tenaga, pemikiran, keselesaan dan kepentingan diri demi memastikan kamu bahagia, ketawa dan sempurna.


Sayangnya,

Tidak semudah yang disangka. Kata orang, dalam setandan pisang tidak semua masak dalam satu ketika. Kamu terus merintis jalan hidup kamu sendiri yang ada antaranya tidak seperti yang ayah harap dan jangka. Walaupun terkadang ayah rasa terkilan namun ayah simpan sahaja di dalam hati. Ayah perlu mengakui akan hak-hak kamu menentukan jalan hidup sendiri.


Uh,

Hampir letih ayah memantau dan memintas pertumbuhan hidup kamu semua. Teringin benar ayah hendak berihat dan ketawa seperti rakan-rakan ayah lainnya.


Sayangnya,

Tidak semudah itu. Selagi masih bernama AYAH. ayah tetap perlu dan bertanggungjawap menjaga dan melihat kehidupan kamu walaupun apa dan bagaimana kehidupan kamu kini.


Ah,

Benar sangat kata orang tua; kasih ibu sepanjang hayat, kasih ayah sepanjang jalan!

Isnin, 6 Februari 2012

KARPENTER

Sabtu lalu aku sempat ke Markas PAS Sungai Tiram, Bayan Lepas untuk bersama-sama dengan rakan-rakan untuk menyambut kedatangan Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang ke Pulau Pinang sempena KARPENTER (Karnival Penerangan Terkini) yang sedang berlansung.

Menggunakan kamera talipon bimbit aku, berikut adalah foto-foto yang sempat diambil untuk perkongsian bersama. Masih takut-takut untuk kedepan mengambil gambar.

Markas PAS Sungai Tiram

Tuan Guru baru tiba

Tuan Guru memberi amanat

Berangkat ke KOMTAR,  bertemu dengan
pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Sebagai insan yang ingin melihat perubahan ke arah kerajaan yang lebih baik dan berwibawa, aku cuba juga melibatkan diri di celah-celah kemelut hidup, mengambil tahu hal-hal yang berlaku di luar keluargaku. Aku tahu, aku tidak boleh sekadar merintih melihat keruntuhan akhlak masyarakat dan negara tanpa berbuat apa-apa.

Walaupun aku hanya seekor burung pipit yang kecil paruhnya, setitis air yang kukutip dari danau mungkin akan mampu menyumbang ke arah meghilangkan dahaga bumiku.

Aku percaya jalanku ini benar dan lurus. Aku percaya ujian yang Allah bentangkan di hadapanku adalah kecil berbanding mereka-mereka yang terdahulu.

Aku adalah aku. Berusaha sedaya upayaku untuk diriku, keluarga dan masyarakat. Terlalu rugi rasanya hidup ini jika hanya berpeluk tubuh melihat rakan-rakan lain berhempas pulas memperbetulkan kehidupan anak cucu kita nanti. Terlalu ralat rasanya kalau hanya mengkritik kebejatan yang berlaku dalam masyarakat tanpa turun padang bersama melakukan sesuatu. Terlalu rugi rasanya kalau tidak sama-sama memberi saham di dunia untuk mengutip labanya di akhirat kelak. Terlalu malu rasanya bila selesa duduk di kerusi empuk sedangkan rakan lain berpanas hujan untuk menungkah arus.

Sabtu, 4 Februari 2012

Peluang



Sebenarnya ada rasa 'jealous' jauh di lubuk hati bila dapat tahu blogger JH telah pun mendaftar ke Tabung Haji untuk pergi menunaikan Rukun Islam ke5. Walaupun mengikut pendaftaran awalnya itu, dia cuma layak mendapat giliran bilamana berumur 84 tahun, namun setidak-tidaknya niat dan usahanya itu sudah ada. Berbanding aku, masih tolak habuk.

Tapi bila tiba-tiba, semasa aku berbual dengan rakan kerja di kafetaria, aku diberitahu bahawa Tabung Haji sekarang ini memberi peluang kepada pemegang akaun 1 KWSP untuk mendaftar diri menunaikan Haji, aku tiba-tiba rasa.... WOW!

Minggu depan aku akan pergi ke Tabung Haji untuk bertanya lebih lanjut. Dan jika benar berita ini benar.... Wow.... gumbiranya aku.

Bukan saja aku mungkin berpeluang untuk ke Mekah semasa aku masih berupaya, tetapi ianya juga akan memberi motivasi yang lebih untuk mempertingkatkan amal ibadah mulai hari ini.

Sudah pasti aku akan bawa ibu_suri bersama nanti. Bagaimana boleh ibu_suri menjalani rukun-rukun Haji dengan keadaan fizikal dan mentalnya sekarang ini,  berbincang kemudian dengan pegawai berkenaan bila ketika itu tiba. Aku percaya, cara bagaimana itu tetap ada jika Allah mengizinkan. Lebih penting ialah menunaikan Rukun Islam ke 5 ini selagi ada ruang dan peluang. Title datuk dah dapat dah. Tinggal yang ni saja lagi.

Namun seperti selalunya politik aku dalam menangani emosi ibu_suri; aku takkan memaklum berita gembira ini terus selagi aku tidak mendapat pengesahan yang tulin dari LUTH. Mana tahu, entah tiba-tiba berita ini rupanya tidak tepat. Akan susah juga aku nanti hendak menutralkan perasaan ibu_suri yang sebelumnya pasti gembira tetapi bertukar menjadi hampa!

Jumaat, 3 Februari 2012

Zikra Jumaat 5 - Lalai



"Akan di campakkan ke dalam neraka Jahanam daripada golongan-golongan jin dan manusia yang mempunyai hati tidak memerhati, yang mempunyai mata tidak melihat, yang mempunyai pendengaran tidak mendengar, mereka itu adalah seperti binatang, malahan lebih hina daripadanya dan mereka lah termasuk daripada orang-orang yang lalai"

(Surah Al-A’araf ayat 179)