Halaman

Sabtu, 31 Mac 2012

Jatuh Cinta

 
Aku  hantar kereta Viva Angah ke Perodua Seberang Jaya tadi. Servis pertama untuk 5000km. Harapan aku ialah untuk memandunya nanti ke PICC lewat konvo Along 14 April nanti.

Sebenarnya mendengar nama Putra Jaya aje dada aku dah rasa semak. Belum pergi lagi tu. Aku tak reti lansung jalan-jalan ke sana. Pasrah ajelah. Muga-muga Along banyak membantu nanti.

Aku dah suruh Along tempah hotel.

"Hotel tu mesti ada lif. Bilik airnya tak perlu naik tangga. Pendinginhawanya tip top dan ada tv" ujarku memberitahu spesifikasi bilik. Ini semua untuk memastikan ibu_suri selesa. Harga kira jatuh no 2.

"Along dah tempah Hotel Aman di Bangi. RM118." 

Huu..otomatik keningku terangkat bila mendengar itu. Tak pernah lagi aku sewa bilik hotel seharga itu. Selalunya aku sewa hotel budget dalam 6 ke 7 puluh saja.. Lagi, apa pasal pulak ambil hotel kat Bangi sedangkan aku hendak ke Putra Jaya? Pandai-pandai engkau lah Along... Ayah tak tahu.

Aku tak pernah memandu kereta auto. Mulanya kekok juga bila memandu Viva milik Angah. Macam nak ikat je kaki kiri aku ni. Rupanya betul kata orang: sekali kita dah mula bawa kereta auto, kita akan terus jatuh cinta!

Jumaat, 30 Mac 2012

Zikra Jumaat 9 - Sembahyang



أَقِمِ الصَّلاَةَ لِدُلُوكِ الشَّمۡسِ إِلَي غَسَقِ اللَّيۡلِ وَقُرۡآنَ الۡفَجۡرِ إِنَّ قُرۡآنَ الۡفَجۡرِ كَانَ مَشۡهُودً
Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang Subuh sesungguhnya sembahyang Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).
وَمِنَ اللَّيۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَي أَن يَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحۡمُودًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

( Al Isra' : 78 ~ 79 )

Khamis, 29 Mac 2012

Masih Bertatih

perjalanan hidup yang masih jauh

Angah dah seminggu berjinak-jinak berniaga nasi ayam di Ara Rendang, Pokok Sena. Seminggu juga dia tinggal di rumah aku supaya mudah berurusan ke sana ke mari.

Seminggu juga aku diminta mengambil Ayu balik kerja dari Kamdar, Bukit Mertajam. Kemudian mengambil anak mereka dari rumah penjaga di Kampung Tok Elong. Rumah tu…mak aiii…jauh masuk ke dalam. Disukarkan dengan jalan yang buruk dek projek landasan berkembar KTM.

Letih juga sementara nak biasa dengan jadual begini. Aku balik kerja pun dah jam 7.15 malam. Sedia dan makan ringan bersama ibu_suri. berMaghrib, mandi dan solat Isyak lalu bergegas keluar kerana Ayu habis kerja jam 9.30 malam. Aku faham, Ayu mesti tak sabar untuk mengambil Marissa.

Hinggakan bila begitu aku kesuntukan masa untuk ke ATM bagi membayar bil dan memasukkan duit Along dan hutang kawan.

Paling best, aku kena beli lauk untuk makan sekeluarga. Semalam aku ke Restoran Nasi Kandar Pelita dan beli 2 ketul ayam @ RM4.00 dan 2 ketul ikan goreng @ RM3.10….fuhh… RM14 kesemuanya.

Melentung-lenting aku bila masuk dalam kereta;

“Tak boleh tahan macam ni…… Lauk je RM14. Ni baru makan malam.”

Bulat mata ibu_suri bila melihatkan aku menggerutu begitu - ….Habisss...?

Terkendon pula marahku bila aku perasan wajah ibu_suri begitu. Bimbang pula aku kalau dia bercerita pada Angah. Terasa sesak di dada tak dapat dilepaskan sehabisnya.

Beginilah perasaan mak dan abahku satu ketika dulu dalam berhadapan dengan kerenah anak-anaknya, barangkali. Sebenarnya… jauh di dalam hatiku,  aku faham bahawa Angah sebenarnya sedang bertatih membina kehidupan dan pertanggungjawapan sebagai ketua keluarga. Aku selaku ayah dan telah melalui semua liku-liku itu selayaknya memberi sokongan moral pada Angah dan Ayu.

Selasa, 27 Mac 2012

Terkadang Itu


Rutinku setiap pagi hari bekerja ialah menyiapkan keperluan ibu_suri terlebih dahulu. Dek masa yang ada itu terlalu pendek, aku istilahkan ia sebagai masa untuk ‘bersilat’. Kena pantas. Kena luas berlapang dada dan tinggi kesabarannya.

Pertama, membantunya mandi. Lapkan bahagian badan yang tertentu dan sapukan ubat pada kulit yang kebelakangan ini gatal dijangkiti fungus. Kalaulah pula pagi itu ibu_suri terpaksa ke ‘bank’, lagi... hah….

Dalam masa yang sama sediakan makanan bijiran untuk dimakan bersama ubat hipertensi, diabetis dan mood-disorder. Memilih ubat juga satu hal. Terkadang tersilap sedia. Yang petang terbagi ke pagi. Bukan sikit pula tu!

Peralatan di rumah aku jenis special. Water dispenser aku beli kerana mudah bagi aku sediakan minumannya tanpa perlu jerang air. Memasang pendinginhawa supaya ibu_suri selesa sepanjang masa aku di tempat kerja. Katil jenis divan yang mampu menampung berat badan yang overweight. Kerusi ala sofa untuk tempat dia duduk selalu di depan tv.

Semasa menyapu ubat kayu putih ke belakang ibu_suri kerana sering berasa sakit pinggang tadi pagi;

"Saaayang kat abang. Susah nak cari suami macam abang. Sabar layan I. I ni macam babby, kan bang?”

Semalam tidur pukul 1.30 pagi. Layan ibu_suri siar-siar dengan Kancil. Aku tahu itu tanggungjawap aku sebagai suami yang diamanah untuk menjaganya. Cuma, maaf! Terkadang sebagai seorang insan, aku merampus juga bila rasa teramat jemu dan tepu. Sudah 4 tahun.. bukan 4 hari!

Ahad, 25 Mac 2012

Jangan Cipta Masalah

Foto ini diambil semalam

Hari ini hampir jem jalan di Kampung Petani dekat Jirat Cina. Tak tahulah depa sembahyang apa. Agaknya sembahyang untuk roh keluarga mereka. Aku tidak memperlecehkan jem yang disebabkan oleh banyaknya kereta mereka parkir di kiri kanan jalan. Itu hal agama mereka; kita perlu hormati. Sabar dan bertolak ansur sahajalah. Bukan lama pun. Sehari dua ni saja.

"Aku tidak pernah menyembah apa yang kalian sembah. Dan kalian tidak pernah menyembah apa yang aku sembah. Untuk kalian agama kalian dan untukku agamaku." - Al Kafirun.

Aku pun sejak akhir-akhir ni suka keluar sedikit lewat dari selalu ke Tasik Mengkuang untuk riadah. Riadah di bawah panas matahari akan membuat peluh keluar cepat sikit. Dan kulit pun akan mendapat khasiat vitamin  D.

Sambil sabar menghadapi jem dan sesekali beri laluan pada pelintas jalan,  teringat pesan aku pada Angah semalam bahawa hidup ini jangan mencipta masaalah.

"Ibarat bara api. Jangan pi tiup dia supaya menyala dan boleh membakar. Kalau boleh ambil tuala basah dan tutup diatasnya supaya bara itu padam dengan sendirinya. Begitu juga kita dengan adik beradik. Jangan dikorek isu kecil dan besarkan dia hingga kecoh satu dunia. Sebaliknya kalau ada isu besar tu pun kita kecilkan dan biar ia padam dengan sendiri."

Sabtu, 24 Mac 2012

Nasihat

Angah datang berbual dengan aku yang asyik menyalin lagu dari CD ke pendrive. Pendrive asal yang selalu aku guna di kereta teringgal pula di ofis. Seperti biasalah, bila masuk bab bermu'ayasyah dengan masyarakat ni, aku menasihatinya.

"Kita kena bijak dan selalu berpandangan jauh. Jangan mudah melatah dengan apa yang orang perbuat pada kita."

"Orang yang bijak ialah orang yang apabila melihat sesuatu yang tidak baik dilakukan oleh orang lain, dia mengambil itu sebagai iktibar pada dirinya."

"Ayah mahu kamu tidak mencari musuh. Sebaliknya berkawanlah dengan semua orang. Kalau orang itu baik, baiklah kamu dengannya. Kalau itu berniat serong, sekadar berkawan ala kadar sahajalah."

"Mendapat kepercayaan dari orang lain kepada kita memakan masa bertahun-tahun tetapi untuk merosakkan kepercayaan itu cukup dengan hanya sekali kesilapan."

Sebenarnya, kami berbincang tentang hal CT yang kini bernasur pulih tetapi saudara mara seperti menyimpan salah tanggapan terhadap wang CT yang Angah diamanahkan untuk menjaganya.

Sebenarnya Angah lebih banyak mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari aku berbanding Along.

Jumaat, 23 Mac 2012

Letih

Letih rasanya aku hari ini. Bertambah-tambah letih bila melihatkan mata Akhmal yang merah. Getusnya yang melenking buatkan ibu_suri bertanya; kenapa dengan dia tu? Aku cuma menjawap; biasalah dia. Sedangkan sebenarnya hati aku Tuhan saja yang tahu.

Tadi petang aku terima sms dari kakak ipar memberitahu bapa mertua ku diwadkan kerana paru-paru berair, jantung dan berkemungkinan kegagalan buah pinggang. Bapa mertuaku ini suka sangat minum air Coca Cola. Juga suka mengambil ubat dari kedai Cina bila sakit kaki atau sakit pinggang. Culas ke hospital.

Semalam pula aku mendapat sms dari kawan baikku minta aku lunaskan hutangku padanya. Bisnes pasar malamnya mutakhir ni slow. Hujung bulan ni roadtax kereta dan van mati. Tak tahu nak korek duit dari mana, katanya. Aku cuma berkata:  insyaAllah, akan diusaha membayarnya.

Sekejap tadi Along menalipon aku tentang konvo KLMUnya pada 14 April ini di PICC. Aku ni dengar kata nak pi KL pun dah gayat apatah lagi nak kena pi Putra Jaya. Lagi kelam mataku. Duit tu. Ratus juga!

Aku hantar sms pada Angah dengan harapan akan ada sedikit respon yang boleh menyejukkan perasaanku tapi hampa. Agaknya Angah sibuk dengan kedai Nasi Ayamnya yang baru mula operasi hari ini di Ara Rendang. Aku sendiri tak tahu kedainya di mana. Keputusannya untuk berniaga ini dibuat agak mengejutkan!

Khamis, 22 Mac 2012

Blog Picisan

Aku mula menulis blog sejak hujung 2008. Ketika mana ibu_suri disahkan menghidap bipolar disorder oleh pakar Psikiatrik Hospital Besar Pulau Pinang. Aku banyak menulis kisah hidupku sendiri. Walaupun nampaknya seperti membuka pekung di dada namun itulah aku.

Ramai kawan-kawan yang memberi respon samada positif mahupun negatif. Hingga ada yang meminta aku menukar nama INSAN MARHAEN kepada nama lain yang lebih ceria. Namun inilah aku. Tak reti untuk menulis yang berada di atas kulit tetapi lebih puas menulis tentang apa yang ada jauh di dalam hati.

Aku seperti yakin bahawa tulisan aku tidak dibaca oleh anak-anak mahupun adik beradikku bila melihatkan respon mereka yang hampir tidak ada. Biarlah begitu kerana begitu lebih menyenangkan aku untuk terus menulis. Cuma ada beberapa rakan akrabku yang membaca. Aku harap mereka habis setakat membaca dan tidak membawanya keluar dari alamaya.

Sebenarnya, mereka yang rajin membaca tulisanku akan lebih tahu tentang apa yang berlaku dalam diriku. Di lua,r aku lebih mahu dilihat seperti tiada keruh dan gelora.

Blog adalah satu-satunya kaunselor yang terbaik setakat ini. Biarpun ramai rakan-rakan blog yang seangkatan denganku diketika 2008 dahulu mula mengalih kepada Facebook, aku masih tetap dengan blog picisan ini dan amat menyenanginya!

Rabu, 21 Mac 2012

Ruzaili's - Gerai Burger

Kalau ingat nak beli burger, memang kat sinilah aku selalu membeli. Ntah kenapa. Nak kata sedap, aku jarang makan sebaliknya beli untuk anak-anak atau ibu_suri je. Aku kurang gemar makan yang ceng gini.


Pernah aku bertanya; Tak takut ke berniaga hingga jauh malam di depan jirat Cina ni?

"Dah biasa. Buat masa ni belum pernah jadi apa-apa."

Rasanya aku kenal dia ni sejak dari belum kahwin hingga sekarang dah ada 3 anak. Gerai burgernya tak jauh dari simpang ke Pekan Penanti dan Kubang Ulu memang buka selalu kecuali hari Isnin; tutup kerana ada Pasar Malam. Mungkin itu hari rehatnya bersama keluarga.

Pernah aku terfikir untuk suruh Akhmal berniaga burger sahaja. Aku keluarkan modal dan mulakan perniagaan bersama Akhmal. Kemudian bila agak sudah boleh dipercayai, aku biarkan dia urus sendiri. Pada aku, jika benar-benar rajin dan pandai berurusniaga, huihh.. boleh hidup senang juga.

Walaupun dah mulai banyak gerai burger tumbuh di keliling pekan Penanti ini, aku perhatikan gerai ini tetap ramai pembelinya. Dalam pada tekun dengan perniagaan, ibadah pada Tuhan jangan pula diabaikan.

Isnin, 19 Mac 2012

Aii... Pak Cik nih!

Balik dari riadah di Tasik Mengkuang Sabtu lalu aku ternampak pak cik ini ketika menunggu lampu merah.


Memang kerap aku jumpa beliau terutama di pekan Penanti. Selalu berpakaian hitam lengan panjang. Songkok hitam. Kasut hitam. Reben hitam. Tampak kemas.

Sayangnya, di bibir beliau tidak pernah lekang dengan batang rokok. Dan di dalam porch bag yang terikat di pinggangnya tidak pernah kosong dengan lebih dari sekotak rokok.

Terfikir olehku, orang lain semua sibuk dengan aktiviti kebajikan untuk mengelokkan masyarakat, pak cik ini masih ada masa berlegar ke sana ke mari dengan gaya yang tersendiri.

Ahad, 18 Mac 2012

Melayu di Pulau Pinang

Meratus sepanjang hari. Sakit pinggang, getus ibu_suri. Apa yang aku boleh buat hanya gosokkan minyak kayu putih di pinggang ibu_suri. Kemudian aku ajak ibu_suri bersiar-siar. Aku tahu, dia jemu memerap di rumah sebenarnya.

Malam, aku melewaq ke Mini Uptown di Bandar Perda. Ramai orang Melayu berniaga. Sendat, sibuk dan hiruk pikuk. Teringin nak makan nugget, ujar ibu_suri. Aku faham tu. Aku ambil 4 cucuk pelbagai saiz yang mungkin pelbagai rasa. RM4.

Kemudian aku meluncur pula ke arah Perai. Lalu di depan Dewan Abdullah Ahmad Badawi. Ramai orang berkerumun. Ooo.. Rupanya ada konsert Rock di padang. Ramainya orang Melayu juga. Di skrin besar terpampang wajah Nash dengan lagu Debunga Wangi. Melayu juga.

Aku beralih ke Penang Sentral. Stesyen bas sementara setelah peristiwa jeti runtuh 1988 dulu. Lamanya peristiwa itu hingga kini jeti baru belum juga siap-siap. Teringin nak makan jeruk, pinta ibu_suri. Kat sini Jeruk Madu Pak Ali memang terkenal. Kalau siapa datang sini mesti beli. Rasanya manis dan rapuh. Hmmm... Kat sini pun aku tengok ramai Melayu juga.

Habis, macam mana statistik yang mengatakan orang Melayu di Pulau Pinang terpinggir? Agaknya terpinggir sebab mereka meriah cuma di tepi jalan sedangkan bangsa lain meriah di longue, hotel atau pasaraya besar.

Kalau di industri, Melayu cuma takat jadi operator tapi boss ramainya bangsa lain. Orang Melayu ramainya jadi penagih dadah atau pembeli CD cetak rompak sedangkan bangsa lain adalah penjual dan pengedar. Orang Melayu cuma nelayan di laut sedangkan taukeh yang membeli dan menjual di bandar adalah bangsa lain.

Errr... bukan semua Melayu Pulau Pinang gitu. Pak Ali contohnya... amat membanggakan kerana jeruk keluarannya memang hebat!

Jumaat, 16 Mac 2012

Pengorbanan

Najmi dan Qida

Membawa ibu_suri bersiar-siar seperti selalunya seusai rehat dari balik kerja agak mententeramkan. Riak ibu_suri yang tampak ceria buat aku selesa membawa kereta. Nak makan KFC, boleh? 

Aku angguk saja walaupun sebenarnya dalam kocekku cuma ada beberapa ringgit sahaja selepas memberi kepada Akhmal yang kononnya mau menukar rantai dan sproket motor yang haus.

Sekarang ini, setelah bertahun-tahun aku melalui pelbagai liku-liku hidup yang begitu perit, aku menjadi seperti mangli. Sekarang ini, walau apapun berita, kesukaran dan kekurangan yang aku sedang hadapi, aku akan bersikap biasa sahaja. Tangkap rileks. Tak mahu tampak serabut.

Duit dalam poket dah nak habis? Tak apa. Adalah nanti rezeki Tuhan bagi dari mana-mana sumber! 

Di kampung baru-baru ini pun sama. Walaupun ibu_suri sebenarnya membuat ragam, namun aku bersahaja dalam berhadapan dengan situasi itu. Bayangkan, kalau ibu_suri dan mak aku seperti tidak ngam. Orang lain tak perasan tapi aku tahu dan menyimpannya.

Hari Sabtu aku sampai di kampung. Majlis berendoi Marissa lepas waktu Zohor dan esoknya majlis walimah Qida - adik bongsuku dengan Najmi. Malamnya aku bergegas balik semula ke Penang. Tinggallah kendara setelah tamat kenduri yang pastinya terpaksa diuruskan oleh adik-adikku yang lain.

Seperti terasa adik-adikku bersungut dan berkata;

"Apa le Yeop ni. Kendara tak selesai dah kelam kabut nak balik."

Hurrmmm... Kalau begitu sangkaan kalian, sebenarnya kalian silap. Yeop sebetulnya tidak mahu perkara yang tidak elok berlaku. Justeru, Yeop korbankan kesemua kepentingan Yeop demi menjaga keharmonian keluarga; keluarga Yeop dan keluarga adik-adik Yeop.
 
Harap kalian faham. Dan doa Yeop agar kalian tidak menerima ujian seperti yang Yeop alami kerana Yeop tak pasti samada kalian akan tahan atau tidak sepertimana Yeop masih bertahan hingga hari ini!

Rabu, 14 Mac 2012

Bukan Selamanya Menungkat Langit

Hari-hari yang aku bilang ini sesekali kurasakan terlalu perlahan berlalu. Tapi kekadang pula aku merasakan ianya terlalu cepat meninggalkan aku dengan peristiwa yang berbagai warna dan rasa.

Mak
Di majlis walimah adikku Qida Ahad lalu memaparkan pertemuan bapa dan mak saudaraku yang kini sudah uzur. Saling berpelukan mereka dengan tangis mengenangkan kenyataan kini mereka yang sudah tidak bertenaga. Mak aku berkerusi roda. Abang kepada abahku mata sudah rabun benar. Berkali-kali dia bertanyakan aku ini siapa. Yang seorang lagi pula tercapik-capik langkahnya.

Inilah kitaran hidup yang mau tidak mahu akan kita lalui. Yang baru akan jadi lama. Yang cantik akan menjadi buruk. Yang segar akan bertukar layu. Usah dibangga dengan kehebatan yang ada pada diri kita sekarang ini kerana ia sebenarnya bukan milik mutlak kita. Hanya secara kebetulan Tuhan memberikannya kepada kita. Akan tiba satu hari nanti ianya akan hilang. Syukur dan tawaduklah.

Berkali-kali juga aku beritahu anak-anakku. Hormatilah saudara mara kita walaupun bagaimanapun keadaan mereka. Terimalah mereka seadanya! Kita bukan selamanya hidup menungkat langit.

Selagi masih ada usia dan nafas ini, gunakanlah sebaik untuk diri sendiri dan masyarakat. Jangan biarkan umur berlalu tanpa ada sedikit jasa kepada masyarakat. Jangan terlalu nafsi nafsi!

Isnin, 12 Mac 2012

Aku Nikahkan Dikau...

Semalam adalah majlis walimah adik bongsuku – Qida. Majlis akad nikah dilansungkan di Masjid Kampung Kepayang, kampung tempat kami dibesarkan.

Aku sebagai wali paling kanan selepas arwah abah dipertanggungjawapkan oleh mak untuk berada di barisan hadapan. Bergetar juga jantungku dalam memikul tanggungjawap ini sebenarnya.

Naib Kadi memanggil aku dan saksi nikah menemui pengantin perempuan – Qida, yang duduk di saf wanita - belakang sedikit. Naib Kadi bertanya beberapa soalan tentang kesahihan dan persetujuan secara lisan dari Qida tentang bakal suaminya. Aku yang duduk di sisi berusaha meletakkan jiwa dan peribadiku sebagai seorang lelaki yang berada di dalam majlis yang rasmi; bukannya santai seperti selalu.

Selepas Qida menurun tandatangan di borang persetujuan nikah, Naib Kadi memaling soalan kepada aku pula;

“Ini abang Syukrida?”

“Ya!”

“Nanti awak yang membuat akad nikah untuk adik awak?”

“Err…. Saya wakilkan kepada Tok Naib untuk mengakadkannya”

“Elok kalau waris Syukrida yang mengakadkannya sendiri. Lebih afdhal. Boleh? Jangan bimbang. Nanti saya ajar awak.”

Aku antara angguk dan tidak. Hati aku bercampur antara mahu dengan tidak sanggup. Memang aku pernah menghantar emel kepada Qida beberapa tahun lalu bahawa aku berhajat untuk menjadi jurunikahnya bilamana sampai masa dia berkahwin nanti. Tapi bila tiba hari ini, jantungku yang sedang bergetar ini semakin kuat getarannya.

Saat pertanyaan yang diajukan oleh Naib Kadi memaksa aku membuat dan memberi keputusan yang cepat dan tidak menyesalkan diri sendiri.

“Ya… InsyaAllah!” Aku cuba teguh dengan jawapan itu.

Dan kami pun kembali ke hadapan mimbar di mana pengantin lelaki siaga duduk bersila. Aku pandang sekali lalu setiap ahli rombongan lelaki yang hadir. Itu adalah pandangan terakhirku dan selepas itu aku tidak mahu pandang mereka lagi. Sebaliknya menumpukan barisan ayat akan aku ucapkan disamping berdoa pada Tuhan muga-muga diberkati tindakanku ini.

“Lama pula Naib Kadi ni beri khutbah.” Bisik hati bila aku mula berasa seram sejuk. Pengantin lelaki tampak relaks je. Aku pula yang rasa tak sedap perut ni.

Akhirnya;

“Mohd Najmi bin Menhat. Aku nikahkan dikau dengan adikku Nuur Syukrida Munira bt Amri dengan mas kahwinnya 500 ringgit tunaiii…”

“Aku terima nikahnya Nuur Syukrida bt Murnira dengan mas kahwinnya 500 ringgit, tunai!”

Dan Naib Kadi pun membacakan doa tanda selamat sudah majlis yang penuh erti buat adikku ini. Aku pula segera teringat akan pusara abahku yang tidak jauh dari tempat Qida dan Najmi diijabkabulkan!

Jumaat, 9 Mac 2012

Zikra Jumaat 8 - Hak Muslim

Dari Abu Hurairah Radhiyallaahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Hak seorang muslim terhadap sesama muslim ada enam, yaitu bila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam; bila ia memanggilmu penuhilah; bila dia meminta nasehat kepadamu nasehatilah; bila dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah bacalah yarhamukallah (artinya - semoga Allah memberikan rahmat kepadamu); bila dia sakit jenguklah; dan bila dia meninggal dunia hantarkanlah (jenazahnya)".

HR:  Muslim

Khamis, 8 Mac 2012

Terima Kasih!

Tidak ada apa yang lebih membahagiakan selain dari melakukan apa yang kita suka dan fikirkan baik untuk diri kita sendiri.

Berkali-kali aku memberitahu anak dan rakan-rakanku bahawa sebolah-bolehnya aku tidak mahu lagi menyambung kerjaku sekarang ini sebaliknya mahu bersara bila sampai waktunya. Aku ingin tumpukan kepada menjaga kebajikan ibu_suri disamping menambahbaik amal ibadahku disamping berbuat kerja-kerja kebajikan yang memang aku gemari sejak dari dulu.

Aku sudah letih dengan tekanan kerja bersekali dengan tungkahan dugaan hidup yang silih berganti. Seolahnya aku ini ditakdirkan hidup untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran sedari dari kecil hingga sekarang ini.

Apapun aku akui, jika tidak dengan dugaan itu aku tidak akan menjadi setabah ini. Semasa aku remaja, aku tergolong dalam kelompok individu yang mempunyai inferiority complex. Pun, pengalaman dan pemikiran yang positif membuat aku berdaya merubah sikap.

Aku ingin berterima kasih kepada alam yang banyak membentuk aku hingga menjadi seperti sekarang ini!

Rabu, 7 Mac 2012

CT...4

Alhamdulillah, CT discaj dari Hospital Bukit Mertajam tadi petang. Sempat dia ke rumah aku dan berbincang bersama Angah tentang apa yang perlu dibuat selepas ini. Walaupun CT sudah boleh berjalan, tetapi khabarnya masih menggunakan lampin lupus. Ini untuk memudahkannya supaya tidak perlu kerap ke tandas. Pergerakan kepala CT juga seperti berat.

Discajnya CT bukan bermakna selesai tanggungjawap aku. Ini baru fasa 1. 

Fasa 2 ialah membuat repot polis, mengambil motornya yang tersadai di balai dan memikirkan bagaimana boleh memasuki rumah sewanya. Kuncinya hilang semasa kemalangan.

CT juga tidak dapat ingat apa yang berlaku sebenarnya. Dia sendiri pun berasa heran kenapa tiba-tiba dia berada di hospital.

Semasa dia minta diri hendak balik ke rumah kak ipar, dia salam dan cium tangan aku juga ibu_suri. Rasanya, masih panjang lagi perjalanan pemulihan CT ini sebelum dia kembali ketahap kesihatan yang asal.

Selasa, 6 Mac 2012

Lebah

Baru hari ini aku terasa letih. Mengurus hal CT satu bab. Melayani ragam ibu_suri dan Akhmal satu bab yang lain pula. Walaupun Angah banyak membantu namun tidak benar-benar dapat  menyejukkan naluriku.

Di dalam facebook aku banyak menulis tentang mencari titik pertemuan berbanding titik perbezaan sesama kita. Tulisan itu berdasarkan atas apa yang aku lalui beberapa minggu ini.

Alangkah bahagianya jika sesama kita manusia; apatah lagi sesama Islam; apatah lagi sesama keluarga; mudah menemui kata sepakat bilamana berhadapan dengan sesuatu permasalahan. Kalau hendak dicari kesalahan, memang semua kita bukan tidak pernah berbuat salah. Tetapi janganlah salah itu yang dicari sebaliknya carilah kebaikan. Carilah kelebihan yang boleh dimanafaatkan untuk kebaikan bersama.

Kita jangan lupa, tatkala satu jari kita menuding pada kesilapan orang lain dan yang satu lagi berkecuali, ada 3 jari lagi menuding ke arah kita. Akan letih kita jika hanya bercakap tentang silap orang sedangkan itu tidak menyelesaikan apa-apa.

Kita ini biarlah hidup seperti lebah yang walaupun menghurung sampah tetap madu yang dicarinya. Jangan jadi seperti lalat yang walaupun menghinggapi seorang puteri raja, kudis juga yang diperhati!

Ahad, 4 Mac 2012

CT...3

Jam 1 malam tadi CT dikejarkan ke hospital selepas dilihat muntah bila sebelum itu dirujuk ke klinik Joe Fernandez, Kulim.

Di hospital, doktor sarankan CT diwadkan. Tapi tanpa di duga CT tidak mahu. Puas aku, iparku Kak Ona dan birasku Mael memujuk. Akhirnya setelah dijanjikan bahawa buat malam ini CT tidak akan di cucuk untuk mendapat darah buat pemeriksaan, akhirnya dia setuju walaupun tampak berat.

Sekali lagi kak Ona mengorbankan masa dan tenaganya untuk menjaga CT.

Baru dapat sms tadi kak Ona minta aku beritahu abah CT supaya datang ziarah CT sebelum terlambat. CT malam tadi muntah hijau. Doktor bergegas membawanya untuk di scan.

Tuhan... kurniakan yang terbaik untuk CTku!

Jumaat, 2 Mac 2012

CT...2

tempoh lawatan cuma sejam

Dari Hospital Besar Pulau Pinang, CT dikejar ke Hospital Besar Bukit Mertajam bilamana doktor pakar tulang bahagian kepala mengatakan bahawa sakit kepala yang CT alami bukan kerana keretakan pada tulang tapi mungkin telah berlaku sebelum ini.

"Doktor tanya, CT pernah kena sawan ke atau jatuh sebelum ini," ujar Kak Ona yang menjaga CT sejak dari mula CT terlantar di hospital.

"Mana kita tahu!" balasku.

Berbanding Hospital Pulau Pinang, Hospital Bukit Mertajam lebih selesa suasananya. Lagipun, ia lebih dekat dengan rumah kami.

Di dalam ambulan yang membawa CT merentasi jambatan Pulau Pinang dalam keadaan jalan yang jem dan hujan teramat lebat sekitar jam 6 petang, sakit kepala membuatkan CT menggelupur. Bila aku tahu begitu aku masih mengatakan bahawa CT masih dalam keadaan belum sembuh. Doktor masih tercari-cari puncanya.

Kesian aku pada Kak Ona. Dia sendiripun bukannya sihat benar. Bersamanya di hospital, ada secekak ubat-ubatan yang berbagai. Anaknya, Iffah masuk hari ini sudah 4 hari tidak ke sekolah. Makan minum Iffah juga terabai.

Aku pun tak faham kenapa adik beradik lain di pihak Kak Ona yakni kakak pada ibu_suri tidak ada yang mahu menawar diri untuk bergilir menjaga CT. Sudahlah CT ibarat sebatang kara lantaran mak dan abahnya bermasalah rumahtangga, ada saudaramara yang lain seperti asing buat CT. Kerap ibu_suri menawar diri untuk menjaga CT tapi mana bisa. Diri sendiri ibu_suri pun aku yang terpaksa pedulikan.

Semalam aku bayarkan bil Hospital Pulau Pinang berjumlah RM102. Nasib baik abah CT ada sikit simpanan. Selepas ini akan melihat ke bil Hospital Seberang Jaya pula yang aku agak 2 kali ganda.

Jika masih panjang rawatan CT di hospital, tentu kos meningkat. Ada ura-ura CT dibawa berubat cara kampung jika rawatan hospital ini buntu!