Makin besar Along ni, bisik hatiku bila melihat dia memasuki Steyen Keretapi Bukit Mertajam. Gaya jalan, makan dan raut muka memang mirip aku.
Along |
Cuti Hari Wesak yang sama diraikan oleh Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang buatkan mudah untuk dia balik ke taman (tiada lagi istilah balik kampung).
Selama 3 hari itulah aku bawa dia balik ke rumah opahnya di Kampung Kepayang dan berjumpa mak toknya di Taman Buah Pala.
Malangnya, bila setiap kali dia ke rumah opah maupun ke rumah mak tok, dia pasti akan disogok dengan soalan;
"Hang bila lagi, Along? Tak dak marka lagi ka?"
Aku selalunya berbuat seperti tidak dengar. Malah memang tak mahu dengar. Aku tak sanggup berkongsi perasaannya bila diasak dengan soalan sama setiap kali balik. Walaupun wajahnya bersahaja tetapi aku tahu dia sembunyikan di dalam hati. Along seorang yang penyimpan. Apa yang ada di dalam hatinya sukar digali. Tidak sama dengan Angah yang boleh dibaca dari raut wajahnya.
Aku kenal anak aku. Aku tahu sejauhmana perasaan dan persiapan dirinya dalam meniti umur 20an. Bagi aku, jika ditakdirkan ada jodohnya, adalah gerak dari Tuhan. Tidak boleh samakan dia dengan Angah.
Walaupun ladang tempat mereka ditumbuhkan itu sama, tapi mungkin musim dan bajanya berlainan. Ditakdirkan tumbesaran mereka itu sedikit berbeda.