Rabu, 20 Disember 2017

Pergelutan



Aku masih lagi bergelut dengan usaha menurunkan paras gula dalam badan. Raut wajah doktor perempuan lewat temujanji hari itu tidak memberikan kelegaan di hati. Alahai doktor, awat tak kata...

'Paras gula awak nampak dah turun sikit. syabas!'

Ini tak... yang dia jawap bila aku bertanya;

'Selagi gula awak tak turun paras normal selagi itu awak tak ok...'

Macam bom baru meletup kat dada aku mendengarkannya.

Aku dah berjaya mengurangkan tabiat meminum kopi/teh 3in1. Malah mungkin ke tahap 100%. Bagi aku ini satu kejayaan besar dalam usaha ini. Bukan senang wooo nak buang habit 3in1 ni. Macam perokok tegar nak berhenti merokok ceritanya.

Setiap kali nak sarapan pagi mesti buka almari nak ambil kopi. Senang bancuh kan? Koyak saja sacet, tuang ke dalam cawan, masukkan air panas, kacau... dah siap dengan aroma dan rasanya yang sama seperti bancuhan semalam atau dudu-dulu.

Lainlah kalau ibu_suri yang bancuhkan kopi bila diminta. Tentunya airtangan ibu_suri lebih sedap dari bancuhan kopi mesin di kilang.

Justru itu hargailah kalian yang masih ada istri. Yang setia membancuhkan kopi setiap pagi. Aku dah lebih dari 10 tahun urus diri sendiri dalam segala hal rumahtangga. 

Jeles woo... bila lihat makanpakai kawan-kawan semuanya istri yang uruskan. Balik rumah saja, makanan dah terhidang. Baju dah dibasuh dan sterikakan. Dalam rumah bersih dan kemas.

Bab makan nasi sekali sehari dan setiap sekali itu pula sekadar sukatan satu bungkus nasi lemak... masih sukar der... Aku masih terikat dengan feel ibu_suri yang kerap tidak menghabiskan makanan kerana appetitenya yang berubah-ubah dengan cepat. Kekadang 90% makanan berbaki. Akulah yang terpaksa habiskan dari membazir...

Rabu, 13 Disember 2017

Mini re- Union

kiri: bob, halim, rahim dan aku (kanan)

Sekadar nak merakamkan sesi mini re-union aku dengan sahabat lama semasa belajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuala Lumpur 1981~1982 dulu.

Kami berjumpa di Restoran Subaidah, Seberang Jaya; tepi Lebuhraya PLUS arah Selatan tadi.

Tentulah seronok bila sesekali dapat jumpa kawan-kawan lama. Mengenang kisah lama zaman nakal dan hanya tahu seronok.

Bob bakal menjadi calon PAS bagi DUN Pinang Tunggal. Halim pula sedang studi untuk ambil phd dalam bisang Sains Politik. Cuma aku dan Rahim sahaja tiada cita-cita menarik.

Tak sangka kan, kawan yang dulu nakal dan kaki perempuan boleh berubah 360 darjah.

Aku juga yang stereotype macam dulu. Kekadang terbit juga rasa rendah diri semasa berbual.

Bila azan Maghrib aku minta diri untuk balik walaupun mereka beriya-iya ajak aku solat saja di situ bersama dan sambung berbual hingga Isyak.

Terima kasih Halim kerana belanja aku makan tandori. Aku jarang makan yang ini. Memang sedap!

Isnin, 11 Disember 2017

Temujanji Yang Menginsafkan


Pagi ini adalah temujanji aku dengan doktor di klinik Kubang Semang. Sementara menunggu nombor giliran dipanggil, berbagai-bagai perasaan berbaur di benak. Agaknya ini jugalah yang dirasakan oleh ibu_suri selama ini; yang kerap kali terpaksa aku tenangkan dengan pujukan kata-kata.

Isu dalam kesihatan aku yang paling ketara ialah gula yang tinggi. Termasuk juga kolestrol. Tekanan darah mungkin kurang membimbangkan.

Mereka yang pernah aku lihat kena potong jari, kaki berbalut kerana luka susah sembuh... bermain main di fikiran.

Mulalah aku memikirkan masa depan aku bukan lagi ketawa tapi penuh debar.

Namun, apapun yang berlaku tetaplah berlaku. Semalam takkan dapat diperbaiki sedangkan esok belum tentu akan dapat aku tempoh. Apa tindakan yang perlu aku perbuat next ialah:

Jaga pemakanan
Jaga peeasaan
Jaga senaman
Jaga ibadah
Berfikiran positif

Doktor tambahkan dos ubat (sesuatu yang aku cuba elakkan). Dia beri tempoh sebulan untuk temujanji akan datang.

Aku tidak mahu menjadi seseorang yang degil dalam menjaga kesihatan seperti yang pernah aku dengar dari penjaga pesakit seperti aku atau yang pernah aku lihat sendiri seperti birasku maupun bapa mertua..

Aku perlu tunjuk suatu kemajuan  akan tahap gulaku kepada doktor bulan depan. Aku mahu menjadi seorang yang positif.

Jika aku juga sakit, bertambah sukarlah nanti nak jaga ibu_suri. Nak harapkan anak anak... mereka juga ada kemelut hidup tersendiri!

Sabtu, 9 Disember 2017

Momen


Itu adalah foto aku bersama sahabat baik Rusli Hashim.  Beliau juga adalah blogger Jendela Hatiku.

Semalam dia datang kepada di meja kerja dan menunjukkan gambar yang rare ini.

'Wow... bila masa kita ambil gambar ni?'

Masing masing tak ingat.

Foto ini diambil menggunakan kamera polaroid. Selepas imej dirakam, kepingan slaid akan keluar secara otomatik. Kita ambil dan biarkan sebentar untuk dikeringkan. Setelah cukup kering imej wajah kita akan terpapar.

Yang pastinya, foto ini diambil semasa belum ada lagi kamera digital di tempat kerjaku dulu. Lencana kerja yang digunakan juga menunjukkan ianya di era sistem kedatangan menggunakan mesin punch card.

Apapun, memang tersenyum panjanglah bila mengenangkan momen beruniform lengan panjang dan rambut masih hitam ni...

Selasa, 28 November 2017

Lemah Lutut

Akhir akhir ini aku kerap perlu berhati hati bila hendak melangkah atau berjalan. Lutut terasa seperti longgar dan sesekali ngilu.

Aku agak aku akan mengalami masaalah berjalan di satu hari nanti sepertimana yang aku pernah lihat orang tua di kampung aku dulu berjalan... ngengkang.

Masih terlalu awal rasanya untuk aku menempuh kesukaran itu berbanding umur. Bukan mustahil bila lama kelamaan aku terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Tak seperti arwah abahku semasa hayatnya, bukan saja tak pernah dengar dia merungut kerana sakit kaki malah boleh mengangkat mesin rumput ke atas motor seorang diri untuk bekerja.

Aku? Hah, nak jinjing gula sekilogram pun dah terasa beratnya beban itu...

Khamis, 23 November 2017

Balik ke LUMUT

Aku ada menulis tentang keresahan hari semalam di sini: 


Sebenarnya ia berpunca dari Akhmal yang tiba-tiba sahaja balik ke rumah dengan sebundut pakaian. Masuk ke mesin basuh kemudian bertanya aku tentang sabun ketika aku sedang lena lena ayam di katil.

Aku menjawap acuh tak acuh. Bau badannya yang busuk memberi faham kepada aku bahawa dia dalam keadaan kusut masai.

Aku masih pura-pura lena tetapi memasang telinga akan perbualan dia dengan ibu_suri. Hati aku memang akan resah setiap kali bila dia balik. Memang begitu. Bukan benci dia tapi kurang senang dengan sikap dia dulu dan kini.

Aku akhirnya bangun kerana tidak mahu nanti di cop sebagai tidak peduli bila dia balik. Aku duduk di kerusi panjang. Aku lihat dia keluar masuk rumah yangmana di luar hujan sederhana lebat.

'Ayah hantar Akhmal esok kat stesyen bas, ya. Akhmal nak balik Lumut' ujarnya.

Aku diam. Kurang selesa juga bila mendengar nama LUMUT itu yang aku agak merujuk kepada rumah mak kandungnya. Ada yang tak kena dengan Akhmal ni, fikirku.

'Kamu okey ke ni?' soalku bila ntah keberapa kalinya dia masuk dan meracau-racau seolah kecilhati dengan aku yang layan tak layan akan baliknya dia ke rumah.

Membawa balik sebukut pakaian memberi makna dia seperti tidak akan balik ke rumah sewanya di Alma atau ada apa apa hal yang berlaku menyebabkan dia melarikan diri dari sesuatu.

Dia duduk di kerusi sebelahku. Tunduk memandang lantai.

'Akhmal nak balik Lumutlah. Kat rumah ni ayah pun macam tak suka je Akhmal balik. Ayah buat layan tak layan. Malaslah. Nanti kalau duduk sini ada barang hilang ke, ayah tuduh Akhmal.'

Dia kelihatan sebak. Kakinya yang kurus kering itu memijak antara satu sama lain. Tangannya menggigil seperti takut atau serba salah. Aku kenal anak aku. Dia tak ok ni...

Aku seluk kocek dan beri dia RM50.

'Cukup?'... 

Diam.

Aku hulur lagi RM50.

'Ayah dah tak ada duit simpan sekarang. Hidup ayah semata-mata mengharapkan gaji kerja ayah sekarang yang tak banyak macam dulu. Ayah tak boleh bagi kamu selalu. Gaji ayah yang ada ini pun kalau nak diikutkan tidak cukup untuk makan pakai ayah dengan ibu.' terangku walaupun agaki berat sebab boleh jangka respon negatifnya nanti.

Dia menolak duit tambahan RM50. Bangun dan terkocoh-kocoh mengeluarkan semula pakaiannya dari dalam mesin yang masih di dalam proses 'basuh'.

'Biarlah dia basuh habis dulu, nanti bila dah kering ayah sidaikan...' laungku.

'Takpa arrghh...'

Kemudian memikul beg plastik ke kereta kawannya yang sedang menunggu di luar.

Aku memerhati dari sisi pintu gelansarku sehingga hilang bunyi derum kereta di telan hujan malam.

Tidurku malam itu memang tidur yang tidak tenteramkan hingga diulit mimpi yang merapung parang sekeper......

Selasa, 21 November 2017

Sarapan

Pagi ini ibu_suri minta gorengkan mi. Nyeghongin aje dia bila ianya dah terhidang di depan mata.

Ini mi goreng segera telor goyang, ujarku ikut nyeghongin juga tapi yang dibuat-buat.

Namun sayangnya, bagai selalu. Dia jamah sedikit sahaja.

Tak sedap, katanya.

Sabar sahajalah, kan.

Maka aku jugalah yang menghabiskannya walaupun dah suntuk masa nak ke tempat kerja.


Jumaat, 20 Oktober 2017

Bujal


adik-adikku dengan majallah BUJAL

Cuma inilah satu-satunya gambar yang aku ada untuk membuktikan semasa sekolah rendah (atau menengah rendah) dulu aku adalah peminat tegar majallah Bujal. Tiap-tiap bulan memenag tak pernah miss membeli. Karektor Bujal seolah-olah hidup dalam seharianku dengan baju belangnya, kenakalannya mengusik Wak Segan. Sama macam cucu aku sekarang ini dengan watak Upin Ipin, agaknya...

Dari sini jugalah aku mendapat ramai sahabat pena dari serata negeri hingga ada yang nak bercinta, nak bertukar nota pelajaran dan juga ziarah semasa Hari Raya.

Kira, sampai posmen pun pernah tanya... ni artis mana dapat surat banyak sangat ni? 

Terutama bila time Hari Raya, aku akan mendapat puluhan kad ucapan. Memang tak pernah mengecewakan. Dan aku sendiri disamping membalas kad Hari Raya sahabat pena, juga rajin menghantar kad Raya kepada saudara mara. Kira, setiap kali raya aku akan menghantar lebih 100 keping kad.

'Bahagianya' kalau sesekali teringat zaman remaja. Rasa mau terjun kembali ke era itu....

Selasa, 17 Oktober 2017

Suara Angah Masa Kecil...

Tengah ralit punya dengar lagu-lagu dalam kaset Brothers, tiba terdengar suara Angah masa kecil dulu. Ni mesti kerja depa pi rakam sendiri. Pandai depa buat kerja masa aku tengah tidur dan ibu_suri pula tengah menjahit baju tempahan.

Aku agak rakaman ini dibuat sekitar hujung tahun 80an ketika masih tinggal menyewa di Bayan baru, Pulau Pinang.

Sesekali fikir bagus juga. Ada kenangan yang ditinggalkan oleh Angah semasa kecilnya dulu. 

Bukan main senyum simpul ibu_suri bila mendengar playback suara Angah. Jika dibandingkan dengan Along, Angah agak 'nakal' semasa kecil dan remajanya. Tapi dialah yang menjadi harapan aku sekarang ini...

* maaf, tak boleh muatnaik video di atas mungkin kerana saiz fail yang besar. tapi boleh tonton kat fbku di sinihttps://www.facebook.com/100019192818355/videos/140209386628821/ ....

Ini adalah klip video kedua...


Isnin, 9 Oktober 2017

Tu La Pasai...

Pagi ini aku ke Klinik Kesihatan Kubang Semang jumpa doktor seperti jadual temujanji.

Doktor semak laporan keputusan pemeriksaan darah yang dibuat sebelum ini.

'Awak ada ... 1, 2, 3... Jika awak tak jaga kesihatan awak boleh dapat 1, 2, 3, 4....'

Ala... Doktor ni. Cakaplah pelan pelan. Saikologi le sikit. Ada tekanan darah aku naik sikit kang jadi lagi tinggi.

Tu la pasai pa dulu aku malas nak check walaupun ramai kawan aku suruh pi.


Nampaknya aku kena bukak fail satu lagi selepas fail ibu_suri.

Langkah pertama aku ke arah temujanji baru 2 bulan lagi ialah... Kurangkan 3in1 sebanyak 75% dan ganti dengan air kosong.

Boleh ke tu? Ntah!

Jumaat, 6 Oktober 2017

Tanggungjawap


Rupanya dah 5 bulan aku bekerja di sini. Syarikat yang pada dasarnya ditubuhkan untuk menyokong aktiviti NGO yang aku dinaungi. Gajinya taklah banyak mana. Kalau nak diikutkan tak cukup pun untuk sara aku dan ibu_suri.

Untuk berjimat, aku terpaksa kekang bajet. Aku kawal beli makan aku sendiri. Yang lain-lain seperti bil letrik, minyak kereta, support kewangan adik yang jaga mak serta lain-lain terpaksa aku mengikut arus.

Tadi bos aku ( yang bila di luar adalah kawan sebenarnya ) menceritakan serba sedikit latarbelakang syarikat, masaalah titik bengik dan harapannya kepada aku yang pada kiraannya telah banyak membantu dalam menyusun sistem fail, kewangan dan kerja-kerja luar.

Tapi yang menegakkan bulu roma ialah bila dia mahu aku ambil aleh salah satu dari unit kecil di bawah syarikat ini untuk diurus sepenuhnya. Manalah aku reti jadi bos.

Fikir panjang juga aku sedari tadi hingga sekarang...

Untuk membolehkan aku memegang salah satu unit di bawah syarikat ini, tahap usrah aku perlu dinaikkan dari 02 kepada 03. Itu syarat yang ditetapkan oleh NGO aku jika mahu dipilih ke dalam kumpulan kepimpinan.

Usrah 03 bukan calang-calang. Sesiapa dalam usrah ini, semua ibadah yang sunat kena mantap dan dipantau setiap minggu. Solat, puasa, baca Quran, Mathurat dan lain-lain. Tak termasuk Mukhayyam, Daurah dan serba serbinya kena hadir.

Dengan tanggungjawap yang aku sedang pikul yakni menjaga ibu_suri dan sesekali masaalah Akhmal rasa macam mahu sahaja aku menolaknya.

Tetapi.... itulah!

Patutlah aritu bos bagi buku ni untuk dibaca. Baru habis 3 muka surat. Berat juga bahan di dalamnya...

Khamis, 5 Oktober 2017

Zaman Bernasyid


Foto yang menjadi hiasan header blog aku kali ini adalah semasa aku aktif dengan kumpulan nasyid Al Muhajir. Ianya bernaung di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Pulau Pinang ( kini dah dibubarkan ).

Melihatkan wajah bersih aku itu ( berdiri no 2 dari kanan ) tentulah ianya sekitar umur 30an. Bertenaga, bercita-cita, kreatif dan berinovasi.

Tak ingat program ini di mana dan untuk apa. Aku sebagai ketua kumpulan memang seronok menguruskan kumpulan ini yang komited berlatih tanpa meminta sesen pun duit poket malah keluar lagi ada untuk biaya pakaian, duit minyak, makan minum serta peralatan perkusi.

Zaman ini adalah zaman kegemilangan nasyid dan kumpulan NadaMurni adalah mentor kami ketika itu.

Sesekali teringat, amat serononk berada di zaman ini. Entah kemana sahabatku semua itu berada kini. Sebahagiaannya aku pun tak ingat nama dan siapa mereka.

Rabu, 4 Oktober 2017

Sempat ke?

Malam tadi tak semena-mena kaki aku terasa sejuk dari paras buku lali ke bawah. Agaknya rasa beginilah yang pernah mak dan mertua aku rungutkan dulu dan minta di picit-picit.

Siang ini badan aku rasa seram sejuk. Berkali-kali aku bertanya kepada Saiful Nizam, anak sahabatku blogger JH, tuan punya kedai fotostat di sebelah ofis aku bekerja ini.

' Kat luar tu panas je... ' jawab Saiful.

Ntah kenapa aku teringat masa-masa akhir Tok Ba ( tok tiri kepada ibu_suri yang berbangsa Pakistan ). Aku tidak arif sebenarnya. Beberapa hari sebelum dia 'pergi', aku sempat meraba kakinya... sejuk macam air batu.

Aku mula membayang yang bukan-bukan dengan sejuk kakiku ini.

Masa balik tengahari tadi aku setelah selesai uruskan makan tengahari ibu_suri, aku suruh dia meraba kaki aku samada sejuk atau normal.

' Tak boleh lah. I ada wudhu' '

Aku ter'ketawa' sahaja. Sempat ke nak tebus ku hutang aku pada Tuhan yang masih banyak ni?

Selasa, 3 Oktober 2017

Hati Tak Berapa Sedap...


Insiden tempoh demam yang panjang sejak Jumaat 24hb hingga hari ini buat aku ambil keputusan untuk memulakan siri pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik. Sepatutnya bagi orang seumur aku yang 3 tahun sahaja lagi memasuki gerbang warga emas.

'First time saya ambil darah kat sini,' ujarku pada staf klinik yang sedang mengikat lenganku dengan tali getah.

Maksud yang aku nak beritahu sebenarnya ialah.... aku takut jarum!

Aku kalih muka kelain, menggenggam kemas tangan sambil memejam mata bila terasa hujung jarum keras menancap urat lengan. Erkkss...

Munggu depan aku dijadual jumpa doktor. Sementara nak jumpa itu aku diminta ambil bacaan tekanan darah 2 kali seminggu.

Bacaan yang aku ambil semalam ialah 145/85.

'Tinggilah tu...' ujar doktor bila aku beritahunya purata bacaan yang selalu aku dapati bila sesekali periksa.

Hati aku tak berapa sedap...

Sabtu, 2 September 2017

Malam Yang 'Basah'

Terjaga dari tidur bila terasa nak buang air. Bangun.

Tapi tatkala tangan menekan tilam untuk menegakkan badan, terasa ada yang basah. Hmm...

Aku malas fikir. Dalam mamun aku turun dari katil dan mencari pintu bilik.

' Kencing... ' kedengaran perlahan suara ibu_suri. Suara ' takut kena marah '.

' Arghh... Esok aje lah! ' jawapan malas fikir dari aku.

Kerling jam di dinding. Baru 2.30 pagi. Rasa macam dah lama tidur.

Usai ke bilik air aku baring di kerusi panjang. Memang fe'el akulah tu. Berbaring di ruang tamu berasa lebih lapang dengan cukup sekadar kipas angin.

Tak lama...

'Abang... I nak mandilah. Basah habis baju ni...'

Aku hanya mengiya. Mata cuba untuk lelap semula. Rasa leceh berputar putar dalam benak. Nak marah tak guna pun.

Bila teringat bau hancing, aku paksa diri untuk bangun. Buka cadar yang baru saja aku tukar kelmarin sempena sambut Raya, sarung bantal, kain pelikat lapik tidur, sarung bantal malah alas kaki... aku tauk ke dalam mesin basuh tanpa sabun untuk basuhan pertama.

Tilam itu aku terbalikkan. Bau dah mula merayap di celah celah bulu hidung. Maklumlah, kumuhan orang tua...

Hal ini bukanlah pertama kali. Dah berkali kali hingga naik mangli. Aku harus terima dan tangani dengan sikap terbuka.

Bila ibu_suri dah selesai aku lapkan, aku kembali melabuh badan di kerusi panjang.

' Mai la tidur sini! '

' Takpalah. Abang tidur kat luar saja. Nak tengok tengok mesin basuh... ' aku berhelah.

Terdengar bunyi mesin basuh spin dan drain beberapa kali. Namun mata ini tak mahu picing.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk bancuh teh dan makan roti sambil teringat blog yang belum update.

Nasib baiklah esok masih bercuti...

Ahad, 27 Ogos 2017

Kepuasan Tanpa Perkataan...

Semalam, aku ziarah mertua. Perkara wajib yang selalu aku lakukan selain melihat keadaan mereka ialah membasuh bilik air.

Sebelum ini aku hanya menyiram dengan air kosong dengan memastikan rerambut, sesampah kecil dan memberus lantai. Entah macammana semalam terbit idea nak membasuh guna sabun sental. Hah... puas hati rasanya melihatkan bilik mandi mertua bersih dan berbau bersih ( taklah berbau hapak ).

Hari ini aku balik kampung. Kalau hanya aku dan ibu_suri sahaja di rumah mak ( tanpa ada adik beradik lain ), perkara wajib di sini pula ialah membersihkan sedari bilik mak hingga ke singki dapur.

Rumah mak ( rumah yang mungkin lebih tua dari usia aku sendiri ) dan usang. Kebanyakn papan dinding dah dimakan bubuk. Aku nak perbaiki semasa baru dapat duit pampasan hari tu tapi mak tak bagi. Katanya, rumah tu penuh dengan kenangan bersama abah. Dia tak mahu diusik walau sekeping papan sekalipun.

Berpeluh-peluh aku membersih peti ais, mop lantai, buang sampah dan lap almari serta meja. Peluh yang menitis memang memberi kepuasan yang terkatakan.

Disamping melayan kerenah ibu_suri yang lebih mahu tinggal di dalam kereta kerana berhawadingin ( maklumlah rumah mak beratap zing ) dan sesekali mahu aku membawanya keluar kampung membeli teh ais kemudian singgah ke masjid untuk buang air.

Semua itu memang meletihkan di usia aku yang semakin petang ini akan tetapi aku melakukannya dengan ikhlas kerana mahu menabur bakti kepada makku dan mertua.

Aku tak mahu adik beradik tahu pun. Cukup aku tahu sendiri.

Kekadang ibu_suri bersungut kerana kenapa aku sahaja yang bersusahpayah mahu mencuci semua itu. Aku cuma diam. memang susah nak memberi faham kepada ibu_suri kerana tahap pemikirannya bukan lagi senormal kita sebaliknya lebih dikawal oleh emosi yang tak menentu.

Bila dah balik semula ke rumah sendiri, tak sedar rumahnya aku terlena di kerusi panjang hingga dinihari....

Sabtu, 26 Ogos 2017

Kenduri Di Sungai Ara

Hari ini aku hadiri jemputan kenduri sepupu sepapat ibu_suri di Sungai Ara.
Sejak dah tak bekerja ni, jarang sekali aku datang ke sini. Banyak juga perubahan jalan dan bangunan baru ujud.

Penang memang tengah pesat membangun. Dah sendat dengan rumah dan bangunan perniagaan. Pantang ada tanah kosong pasti akan ada projek yang menunggu.

Biasalah kalau kenduri kat Penang. Khemahnya tengah jalan.

Macam biasa, ibu_suri cuma duduk dalam kereta. Aku dengan tebal muka ambilkan makanan dan minuman dari khemah ke kereta. Selesai sediakan untuk ibu_suri, aku kembali ke khemah berjumpa saudara mara ibu_suri.

Memang aku tak peduli. Buat muka hemoih, duduk bertanya khabar dan berbual dengan mereka. Sikap dan kemesraan keluarga ibu_suri ni lain sikit berbanding keluarga aku di kampung. Pada aku kemesraan orang Perak lebih lembut dan merendah diri sementara kemesraan orang Penang agak kasar dan kita kena kebal.

Yalah... Lain padang lain belalang. Ye ker... Aku tengok sama je belalang kat Perak dengan kat Penang, haha...

Takat ni jer lah. Talipon aku dah buat hal. Skrinnya bergoyang goyang. Sakit kepala pulak mengadap dia...

Bye...

Jumaat, 25 Ogos 2017

OPPO A57


Lama tak menulis. Tangan dan jiwa ini tetap gatal nak menaip sebenarnya tapi sejak hilangnya laptop merencat semuanya. Kekadang seperti kecewa dengan apa yang telah berlaku. Kekadang rasa seperti mahu merajuk sejauh-jauhnya.

Talipon yang aku ada sekarang- Alcatel Pixie4 dah mula rosak walaupun umurnya di tanganku baru setahun jagung. Asyik loading je... Skrin pun dah bergetar ikut suka dia. Belian harga murah, gitulah kesudahan gamaknya.

Along kata, spesifikasi talipon aku ni memang rendah - 1gb RAM dengan 8gb memori tidak boleh menampung apps dan gambar/video yang banyak. Processor juga agak out of date. Iklan kat tv segmen WOW punyalah hebat. Semasa aku beli dulu 'Along taklah berapa setuju', katanya. 'Tapi dah ayah tergedik-gedik nak juga, Along tak terkata apa...'

Aku mula berkira-kira nak beli yang lebih baik. Sejarah belian talipon aku memang tak lebih dari harga RM400. Habih pikir dah tu.

Kali ini aku rasa nak beli yang mahal sikit. Maksud aku talipon yang lebih  power . Aku dah mula mengintai OPPO A57 di AEON BIG, Seberang Jaya. Skrin 5.2". Nak beli yang skrin OPPO A77 skrin 5.5" mak aiii.... ribu-ribulah pulak harganya.

Tapi, 5.2" ni pun aku berfikir dah lebih seminggu. Harga dalam 7~8 ratus tu, gigil jugalah tangan aku nak keluar duit dari dompet. Lagi gigil ialah bila terkenang akan nasibnya kelak jika ditakdirkan Tuhan sama macam talipon aku sebelum sebelum ini yang hilang di gagau anak aku yang sorang tu.

Sejarah pemakaian talipon ni, dah puluh bijilah aku guna. Samada hilang atau yang banyaknya kena'curi'. Sebab itu aku fobia beli hat yang harga mahal ni. Harga murah kalau kena 'curi' pun taklah ralat sangat.

Habis, sampai bilalah aku nak guna yang sempoi sikit?

Along kata, 'ayah boleh beli yang murah sikit... ASUS Live. Skrin 5" . Ayah dah biasa guna ASUS sebelum ini. Mungkin sesuai dengan ayah...' ujar Along.

Aku suka OPPO sebab design luarannya yang rata, nipis dan ringan. ASUS Live juga begitu. Xiomi juga macam tu. Depa ni mula tiru design iPhone.

Mungkin trend design talipon sekarang ke arah itu...

Jadi, bila aku nak membelinya? Asyik bebel je. Duit di tangan dah mula keluar sekeping demi sekeping?

Ntahlah.... dok fikir... dok layan fobia tak habeh lagi ni! Harap kat Along suruh beli, dia suruh aku pi ushar kat kedai di sini dulu. Macamlah aku ni jenis eye shopping....

Hai lah anak... Tak boleh nak paham perasaan ayah ngko yang sorang ni!

Ahad, 30 Julai 2017

Di Bengkel



Aku berada di sini sejak semalam; mengendali fasiliti 'Bengkel Pengenalan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Untuk Taska Dan Tadika' anjuran IKRAM Seberang Perai Tengah
di Surau Taman Pauh Jaya.

Bengkel ini dibawa oleh Puan Jameeyah Sheriff dari Competency in Early Childhood Development (CECD).

Aku diberitahu, CECD adalah milik bangsa Cina. Beliau diberi gaji 5 angka. Wow...

Bila mengikuti sepanjang bengkel maka saya akui akan pengetahuan dan pengalamannya yang tinggi dan luas. Dan 5 angka itu memang selayaknya.

Hari ini aku rasa sedikit letih dan sakit kepala yang ringan. Perasan bahawa aku sudah tidak secergas dulu.

Balik, bukan dapat terus rehat malah akan ke dapur untuk sediakan makan ibu_suri, kemas dapur yang berselerak dan sediakan ubat.

Lepas Isyak, kena pula bawa ibu_suri jalan jalan hingga lewat malam. Wajib!

Agaknya fizikal+jiwa itu membuat tidak bermaya itu menambah...

Jumaat, 30 Jun 2017

Beraya Dengan Mertua?


Aku masih belum sempat untuk beraya di rumah mertua di Taman Buah Pala, Penang. Tahun ini, adik iparku membawa mereka ke Kulim 2 hari sebelum raya. 

'Tak mahu pi rumah adik ke, beraya dengan mak?' soal ibu_suri kelmarin.

Aku diam. Culas benar aku nak ke sana.

'Bila mak akan balik ke Bukit Gelugor?' soalku balik... saja nak mengendur ketegangan jika soalan ibu_suri tiada tindakbalas dariku.

'Ntah!'

'Kesian Along la. Nak beraya dengan nenek dan mak tok. Sabtu ni dia nak balik dah...'

'Tak tahu...' sambil aku mengorak langkah ke dapur. Membasuh pinggan mangkuk di singki. Kemudian memasukkan kain kotor dari dalam baldi ke mesin basuh, memasukkan sesukat sabun cair dan menekan punat 'basuh'.

'Angah?' tanyaku setelah kembali ke ruang tamu dan duduk di kerusi yang dulunya selalu diduduki oleh ibu_suri semasa masih gemar menonton tv. 

Kini kerusi dan tv itu menjadi sepi. Astro yang aku langgan semata-mata untuk dia lansung tak bersentuh disebabkan kesukaran ibu_suri memahami bagaimana nak menggunakan remote control yang baginya agak complicated. Akhirnya aku membatalkan langganan. Dekoder berwarna hitam itu kini berdebu.

Ibu_suri lebih banyak menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik. 

'Angah kerja la...'

Susah nak aku ceritakan perihal keluarga mertuaku ini. Anak-anak ramai tapi tak satu kepala. Kebanyakan mulut masing-masing 'tak ada insuran'. Dalam banyak hal tindakan aku lebih banyak berhati-hati. Tak mahu masuk campur jauh ke dalam.

Mungkinkah balik kerja hari ini aku boleh terus bawa ibu_suri dan Along ke rumah mertua. Mungkinkah pagi-pagi esok sahaja kerana pada petangnya pula Along terpaksa balik semula ke KL.

Atau mungkin juga kali ini Along tak dapat nak beraya dengan nenek dan mak toknya?

Satu hal pulak otak aku terpaksa kerja keras untuk memikirkan hal ini sepanjang hari...

Khamis, 29 Jun 2017

Senasib


Dah habis pun Raya. Cepatnya. Puasa 6 belum terasa nak mulakan. Sayang bila kenangkan hari-hari yang boleh singgah kedai minum di tepi masjid Kubang Semang atau cafe corner tempat kerja dengan blogger Jendela Hatiku...

Sambil minum kopi pak belalang tadi, sempat kami berdua bercerita tentang anak bongsu kami berdua. Kami ni boleh dikatakan senasib...

Dan ramai kawan mengatakan kami ini seperti kembar. Tinggal berdekatan. Tempat kerja yang sama. Sesama minat bernasyid, bersilat, outdoor venture dan aktif dengan aktiviti kemasyarakatan...

Mengorat istri pun di tempat yang sama. Nama istri hampir serupa. Dapat anak pun hampir sebaya. 

Sekarang ini, lepas ambil vss, dapat kerja baru pun di bangunan yang sama. Bezanya, dia tokeh, aku kuli jer... Bezanya, dia dapat pingat PJM dari Gabenor, aku tengok gambar dia jer.

Tak mengapalah tu. Aktiviti sekadar mengisi masa tua. Ntah siapa pergi dulu menghadap Tuhan agaknya.

Dia baru sahaja mendapat cucu, beberapa hari sebelum Raya. Nasib kurang baik, cucunya demam tak kebah. Dah hampir seminggu berulang alik ke Hospital Seberang Jaya.

Berkongsi kisah anak bongsu kami yang 'nakal' itu tadi sambil hirup kopi. 

'Baru aku tahu apa maksud kata-kata kamu dulu... semak perut.' ujarnya...

'Sabar ajelah Li. Nak buat macam mana...'

'Mungkin ada dosa kita pada mak abah dulu yang Tuhan kifaratkan kepada kita hari ini, agaknya...' keluhnya.

Aku teringat semasa balik kampung baru-baru ni. Aku peluk mak sambil minta ampun pada apa sahaja silapku yang telah lepas.

'Eh, mak dah ampunkan awal-awal semua dosa anak-anak mak...' jelas makku yang hanya boleh mengesot akibat ahmar yang melumpuhkan bahagian kiri badan.

'Mana tahu mak. Kot macam kisah nabi nak bakar seorang anak yang sukar menghembuskan nafas aterakhir sebab maknya masih menyimpan rasa terkilan terhadap kesalahan anaknya itu walaupun di mulut maknya mengatakan dia sudah memaafkan anaknya...'

Ntahlah... Kita hanya boleh berdoa dan berharap keampunan Allah. Selebihnya... kita usaha dan sabar sahaja!

Sabtu, 24 Jun 2017

Hari Melemang Di Kampung


Kali ini aku balik kampung awal sehari. Kalau dalam bahasa kampung aku ni, hari melemang.

Sejak anak anak dah besar, rasanya aku amat jarang balik awal melainkan raya kedua. Semuanya sebab nak raikan anak anak yang mahu beraya di rumah sendiri dengan kawan kawan.

Untungnya tinggal di Penang dan balik ke kampung di Ipoh ialah tak perlu bergelut dengan perjalanan yang jem. Perjalanan aku ke sini tadi seperti hari hari lain balik kampung, 3 jam dah sampai.

Raya kali ini juga bezanya aku berada di sini selama 2 malam. Dulu, semalam je sebab tak mampu nak sewa bilik hotel atau ibu_suri yang enggan.

Bilik hotel yang sesuai dari sudut jarak berjalan, prasarana dan keluasan agak mahal sikit berbanding bilik lain.

Pun hari ini entah silap aku atau memang dah takdirNya, bilik yang aku dapat rupanya jauh dari lif. Kesian melihatkan ibu_suri melangkah. Tercungap cungap sampai terbongkok bongkok menahan berat badan. Berbagai bagai kenapa dan mengapa keluar dari mulutnya menjadikan seronokku balik kampung bertukar hambar. Tampak sangat kekecewaannya atas apa yang berlaku.

Dia ambil keputusan untuk tinggal saja di bilik. Serik nak keluar hotel.

Namun aku bernasib baik dia benarkan aku berbuka dengan mak dan adik beradik di rumah. Dia bersedia ditinggalkan sendirian dengan hanya berbekalkan botol air mineral habuan berbuka.

"Nanti abang bawakan lemang dan rendang untuk you." Janji yang aku pun tak pasti tertunainya. Aku tebalkan hati melangkah keluar, mengunci pintu bilik dan turun melalui lif.

Di rumah kampung, anak anak sedaralah yang ramai memasak. Lelaki memasak lemang. Perempuan memasak lauk pauk.

'Untung mak sebab ada anak ramai. Maka ramailah cucunya memeriahkan suasana.'

Aku cuma ada anak 3 orang. Itupun lelaki. Itupun sorang di Kepong, sorang di rumah sendiri dan sorang lagi entah kemana menghilang diri sejak Mac lalu.

Jauh firasat di hati ini dia ada di 'dalam'. Jika benar itu mungkin lebih baik untuk dia dan bagi aku.

Tak mahu terlalu memikirkan sesuatu yang tak tercapai dek tangan hingga memberatkan kepala.

Dan... bersama keluarga di kampung, aku ingin mengambil sikap banyak diam sahaja. Biarlah isu yang berlaku dalam fasa fasa hidupku ini hanya aku sahaja yang tahu...

Khamis, 8 Jun 2017

Berbuka Dan Bersahur Kami...

Salam,

Ramadhan ini aku sedikit tewas. Samada dalam beribadah malam mahupun rajin mengemas rumah. 

Balik kerja terus singgah di Bazar Ramadhan. Lepas Isyak, perlu bawa ibu_suri bersiar. Balik rumah terus sahaja tidur. Jam 5, bangun untuk sediakan juadah sahur. Mengemas dapur. Tidur sekejap lepas usai solat Subuh. Bangun jam 7.45 untuk ke tempat kerja.

Rutin yang stereotype.

Namun di sudut bagusnya, menu berbuka dan bersahur sepanjang bulan ini begitu menjimatkan. Cukup dengan membeli beberapa ketul kuih dan satu mata juadah sederhana berat samada mi atau bihun goreng.

Sahur pula sekadar memakan biskut atau roti sapuan planta dengan semug kopi. 

Ada juga hari yang berlaku membeli terlebih atau ibu_suri tidak berselera dengan apa yang aku beli membuatkan aku terpaksa lebih makan. Akhirnya aku akan seperti 'ular sawa kekenyangan'. Makanya, selepas itu aku menjadi tidak selesa, malas dan mengantuk...

Sepanjang Ramadhan ini kami cuma berdua berbuka dan bersahur. Ada sekali aku menyertai Iftar Perdana anjuran Sekolah Amal Rintis. Masa itu Angah dan keluarga menemani ibu_suri berbuka.

Akhmal lansung tak balik. Entah-entah dia dah masuk 'dalam'. Bila terdengar sahaja bunyi motor di luar rumah atau kelibat anak remaja di kedai makan, ibu_suri akan mula bercakap tentang kerinduannya terhadap Akhmal. Serta merta aku akan kelencongkan perbualan. Tak mahu nanti dia berhamburan airmata.

Tapi tak dapat dinafikan, jauh dalam lubuk hatiku juga tertanya-tanya perihal makan minum, tidur dan kesihatan Akhmal. Entah bagaimana... 

Rabu, 24 Mei 2017

Demam


Kasihan Marissa, cucu sulongku. Tinggi suhu badannya mencecah 40 deg C hingga menyebabkan matanya menjadi merah. Suram wajahnya. Tak lalu makan.

Semalam, Angah merujuknya sekali lagi ke Hospital Seberang Jaya. Seperti kali pertama, doktor cuma ambil sampel darah, bagi ubat dan suruh berehat di rumah.

Sudah 3 harilah juga dia tak ke tadika. Hanya berbaring dan merengek dek tidak selesa.

Yang aku bimbang, bila badan terlalu panas bagi kanak-kanak seumur dia ialah kekejangan otot atau 'tarik'. Justru itu aku agak kecewa juga bila doktor tidak mengarahkan Marissa supaya diwadkan. Mungkin kerana katil wad untuk kanak-kanak dah penuh. Atau mungkin juga setakat demam, tidaklah menjadi isu kecemasan seperti kes lain yang kritikal yang mereka hadapi sekarang.

Apapun, aku selaku orang tua berperanan menjadi penenteram suasana kepada Angah, Ayu, ibu_suri malah Marissa sendiri. Aku selalu suarakan perkataan positif seperti... 

'tak mengapa. nanti baiklah dia.'

'letak tuala basah sejuk di kepala jika badannya panas nanti.'

'jangan lupa bagi ubat ikut jadual. habiskan antibiotik.'

Tapi dalam hati sebenarnya aku tetap juga bimbang. Dan berdoa muga tidak ada ujian yang lebih berat dari sekadar demam yangmana itu adalah lumrah bagi kanak-kanak yang sedang membesar...

Isnin, 22 Mei 2017

Bingung

Aku takada topik khusus untuk menulis kali ini. Ikut sahajalah jari-jari ini mengetuk mana mana sahaja huruf di papan kekunci melalui gerak hati.

Cucuku Marissa demam sudah 2 hari. Kata Angah, panas badannya masih turun naik; belum nampak kebah. Aku suruh dia rujuk ke hospital sekali lagi.

Malangnya, Angah pula tak bekerja hari ini kerana sakit pinggang, katanya. Beberapa hari lepas dia terjatuh semasa hendak menyelenggara lori mixernya. Hendak bergerak pun sakit teramat.

Bingung pula aku memikirkan hal-hal ini. Ekonomi keluarga Angah tidaklah sestabil mana walaupun aku sudah usahakan dia untuk memiliki lori mixer sendiri dengan harapan pendapatan dari lori itu dapat 100% ke tangannya; bukan lagi stail makan gaji.

Aku masih lagi perlu membantunya dalam bentuk wang ringgit hingga wang ringgit simpanan aku sendiri semakin susut. Ini pun merisaukan aku juga.

Isu Marissa, Angah ditambah dengan ibu_suri yang semakin kerap rengeknya kerana rindukan Akhmal dan kerisauan aku sendiri yang tertanya-tanya akan nasib makan minum dan tidur Akhmal sekarang ini kian membebani dadaku.

Termemnung sendiri mengenang ini semua. Tak habis-habis dan seakan tiada cahaya di penghujungnya.

Sendirian menanggung tanpa ada teman berkongsi mencari jalan penyelesaian. Bingung juga aku.

Di mana silap aku sebagai ketua rumahtangga, sebagai bapa dan sebagai suami? Juga mungkin sebagai anak?

Khamis, 18 Mei 2017

Tak Balik

Sejak seminggu dua ini ibu_suri dah mula bercakap tentang Akhmal. Hingga terbawa dalam mimpi.

Memang Akhmal dah lama tak balik. Mungkin dah dua bulan malah mungkin lebih. Tidak ada tanda-tanda dia balik ke rumah. 

Aku cuba curi curi jenguk akaun FB dia atau FB Nadia, girlfriend dia tapi tiada status terbaru. 

Bukan ibu_suri saja yang tertanya, aku juga. Bagaimana makan minum dia? Tidurnya di mana?

Bila ada bunyi motor lalu di depan rumah waktu petang atau malam, ibu_suri nanti pasang telinga. Aku pula yang berdebar-debar dada. Dalam pada aku teringat dan bimbang makan minum dan tidurnya, tapi jauh di sudut hati aku lebih selesa seperti sekarang; tiada dia di rumah. Lebih tenang, tak serabut dengan kerenah dia bersama kawan-kawan dia.

Tak tahu berapa lama keadaan Akhmal tidak lansung balik ke rumah ini dapat diterima oleh ibu_suri. Setiap kali dia merengek minta aku carikan dia, aku beralasan tak perlu risau sebab dia lelaki dan dah besar panjang.

Aku berserah sahaja kepada Tuhan. Tak mahu memikirkan sesuatu yang tak tercapai tangan. Kekadang terbit rasa bersalah kerana gagal menjadikan dia sebagai manusia yang baik.

Kekadang juga aku seperti masih  menyimpan marah atas kedegilan ibu_suri yang tetap mahu mengambil Akhmal sebagai anak angkat sekalipun aku membantah dan melarang.

Aku sebenarnya rindukan sebuah keluarga yang sederhana tanpa masaalah besar. Cemburu juga melihatkan kawan kawan.

Tahap rindu ibu_suri kepada belum lagi ke tahap mengeluarkan airmata. Namun aku rasa satu hari nanti akan berderai juga...

Selasa, 16 Mei 2017

Pelupa

Sekarang ini aku kerap terlupa rakaat dalam sembahyang. Ini menyebabkan aku selalu terpaksa melakukan sujud sahwi.

Lebih parah, setelah melangkau beberapa waktu sembahyang, baru perasan sujud sahwi pada sembahyang yang sebelum sebelum ini pun aku terlupa buat. Maknanya, dahlah ragu-ragu dalam rakaat sembahyang; sujud sahwi yang sepatutnya dibuat bagi menampung keterlupaan itu pun terlupa dibuat.

Huu... Teruknya!

Bimbang juga kalau kalau ini tanda tanda awal aku akan menghidapi Alzheimer ( nak sebut pun tak berapa reti... ).

Teringat kisah orang tua yang tak tahu jalan balik ke rumah sendiri setelah pergi berjalan-jalan. Akhirnya tersadai di balai polis atau di masjid setelah dikutip oleh orang yang bersimpati.

Baru berumur 57, bukannya 90 atau 100 tahun. 

Kagum pabila melihatkan Prof Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir dan TG Nik Abdul Aziz yang bukan sahaja tak nampak sikap pelupa atau nyanyuk tapi sebaliknya boleh berpidato dengan baik, boleh bergerak ke sana ke mari dengan sempurna malah masih boleh mengeluarkan idea yang bernas.

Muga Allah jauhkan aku dari sifat pelupa yang kronik. Aku masih ada tanggungjawap yang perlu dipikul. Bukan sebaliknya orang lain terpaksa bertanggungjawap terhadap aku yang sudah mula terlupa jalan balik...

Rabu, 26 April 2017

Hari Yang Panjang

Pagi ini pergi kerja dengan hati yang agak tenang. Jalan Permatang Nibong pula terasa lapang. Tak banyak kereta seperti selalunya.

Sepanjang pemanduan aku teringat ibu_suri yang tinggal di rumah... sendirian. Selalunya dia hanya memerap di dalam bilik. Mengharap aku balik segera.

Tapi di ofis terasa jam lambat sangat berputar. Hari terasa panjang. Bos pula silih berganti pelanggan datang berjumpa. Aku sedikit rimas.

Aku teringat Akhmal. Dah sebulan tak nampak batang hidungnya.

Tapi sebenarnya aku dah tukar semua kunci pintu depan dan belakang rumah. Terpaksa buat begitu bila setiap kali dia balik dan aku tiada, ada sahaja barang berharga di rumah yang hilang. Laptop, scanner, wang tunai, tong gas malah geran motor dia pun hilang dari fail.

Mau tak mau aku terpaksa akur akan saranan Along dan Angah supaya tukar kunci pintu kepada yang baru.

Sejak aku takada laptop, mood menulis pun tumpul.

Entahlah... Aku harap Allah akan pelihara Akhmal. Dia dah memasuki umur 24 tahun. Bukan kecil anak lagi dah.

Khabar paling baru yang bertiup ke telinga aku ialah semakin banyak berhutang dengan kawan kawannya. Paling sedih, dia terjebak dengan perjudian.

Fengan cerita cerita negatif tentang pergaduhan, pertikaman malah pembunuhan oleh generasi sekarang... aku terus bimbang.

Namun kebimbangan ini terpaksa aku tidak kongsikan dengan ibu_suri. Simpan sendiri...

Isnin, 24 April 2017

Turun 3 Kilogram

Sempena cuti 3 hari Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad ke V sebagai Yang Di Petyuan Agong ke XV ini.  Along ada balik. Susut sikit badannya.

Mulanya aku tak perasan sehinggalah dia bagi tahu sendiri.

"Alang skip makan nasi malam. Selalunya makan sebelum pukul 8. Lewat malam kalau lapar, makan yang ringan ringan."

Kata Along berat badannya dah turun 3 kilogram.

"Itulah... Kalau diri sendiri mahu, tak pikir makan ubat itu atau ini semata nak kuruskan badan" ujarku mengenen ibu_suri...

Tadi Along dah balik semula ke Kepong. Sekarang ini dia suka balik naik bas 2 tingkat. Lupa pulak syarikat bas yang dia naik tadi.

Hari ini Penang Sentral tak sibuk seperti selalu bila hujung cuti panjang.

"Bila nak balik lagi jenguk ibu?" omel ibu_suri bila setiap kali anak anaknya kembali semula ke habitat mereka dan meninggalkan kami berdua.

Aku tersengih sahaja...

Sabtu, 15 April 2017

Anak

Sekarang ini aku berada di Perodua Seberang Jaya. Hantar kereta Angah untuk servis.

Badan berasa letih dan mengantuk. Memang ketara kesan usia tua ini membelenggu kecergasan diri.

Ditambah lagi dengan kerja yang terpaksa bergegas pergi dan balik waktu tengahari untuk ambil pulang cucu dari tadika dan mengurus makan tengahari ibu_suri dengan mengharung jalan yang hangat dan padat.

Nasib baiklah bos tempat kerja memahami permasaalahan keluargaku. Dia adalah kawan aku juga. Kawan dalam jamaah.

Aku selalu menyatakannpada ibu_suri bahawa aku tidak mahu sangat 'memanjakan' anak anakku dengan selalu sangat menolong mereka. Aku mahi mereka urus keluarga mereka sendiri dan tangani apa jua masaalah tanpa perlu bergantung pada ibubapa.

' Abang dulu pun, bila mula saja kerja hingga sekarang amat jarang mengadu apatah lagi minta tolong bila abang bermasaalah. Abang pikul sendiri, ' terangku pada ibu_suri.

Semalam Akhmal balik semasa aku keluar bawa ibu_suri keluar makan malam. Dia masuk dari pintu belakang sebab pintu depan aku baru saja tukar mangga. Memang dah agak, ada saja barang berharga dalam rumah aku di'curi'nya untuk survival dia hidup di luar.

Semalam, ditempat kerja beberapa kali sahabatku Rusli Hashim yang kebetulan ada memainkan lagu Anak nyanyian Freddie Aguilar ( bahasa Tagalog ) kemudian oleh Carefree. Aku yang sedang membuat kerja sedikit 'terganggu' perasan. Sayu dan pilu!

Khamis, 13 April 2017

Masanya Untuk Bekerja

Esok aku akan mula kerja. Ya... Kerja!

Dah lebih 2 tahun aku pencen dan menganggur, mau tak mau dah tiba masa untuk aku mencari uang demi kelansungan hidup jika ditakdirkan umur ada untuk seribu tahun lagi.

Macam mana aku akan hadapi suasana kerja dan suasana ibu_suri yang akan ditinggalkan seharian, aku pun tak pasti. Redah dulu. Yang tentunya, langkah pertama mesti dilakukan.

Sepatutnya aku terus bekerja sebaik saja pencen dari kerja lama tapi tidak begitu. Hinggalah bila aku melihat simpana mulai corot. barulah tergedik gedik cari kerja untuk tampung kehidupan.

Kira macam cerita Kasim Selamat dengan Sabariah lah aku ni...

Apapun, harap kalian bantu doakan aku agar mampu laksanakan tugas sebagaibketua keluarga dengan sebaiknya.

Dan ibu_suri yang akan tinggal seharian dan sendirian di rumah, aku serahkan kepada Allah dan ( bak kata Aiman Tino ), para malaikat untuk menjaganya.

Rabu, 12 April 2017

Jaga Pemakanan

Pagi ini sampai masa untuk ambil stok baru ubatan ibu_suri dari farmasi Hospital Bikit Mertajam.

Sementara menunggu nombor giliran dipanggil, aku duduk di kerusi panjang. Sebelah aku ialah perempuan Cina sementara di sebelah dia pula seorang lelaki Cina yang berbalut kakinya disamping kesan parut panjang dan lebar di betis hinga ke lutut.

Perempuan Cina tadi merungut tentang suaminya yang degil untuk berpantang makan. Luka di kaki dan pinggangnya yang bernanah dan susah baik.  Sedang dirawat oleh staf dalam bilik dressing.

'Kena banyak sabar... ' ujarku.

Aku teringat akan penjagaan aku terhadap ibu_suri dan bapa mertua. Memang bukan mudah.  Disamping kedegilan mereka menjaga makan,  ragam mereka juga membuat kita stress yang bukan kepalang.

'Susah lo...  Kulit tak boleh luka sikit. Nanti nanah.  Kena cuci.  Susah baik lo... ' rungut perempuan Cina itu lagi.

'Tak boleh makan sayur hijau.  Ada gula. Makan sayur merah. Tengok wa punya kaki.  Doktor sudah mau potong lo tapi wa cakap jangan... tunggu dulu... '

Keadaan itu semua buat aku jadi 'takut'. Sementara kesihatan aku ini masih baik semestinya aku jaga pemakanan, senaman dan cara fikir.

Aku perlu sihat dan cergas demi untuk dapat terus menjaga ibu_suri dan menjaga amal ibadahku.

Kemudian nombor giliran aku dipanggil...  2101

Jumaat, 24 Mac 2017

SURAT BERANAK

Akhmal tiba tiba saja muncul di pintu.

"Kawan Akhmal ada mai rumah? "

"Tak ada"

"Kencing la tu... "

Aku diam saja terus ke bilik sterika baju.

Dia kemudiannya...  boom di katil. Dengar bunyi dia godek godek talipon.

Lebih setengah jam kemudian dia bangun.  Ke dapur,  buka peti ais dan togok air dingin dari dalam botol.

"Mandilah Akhmal.  Serabut je ayah tengok kamu ni... "

Mundar mandir dia ke bilik dannke dapur.

"Ayah, minta 5 ringgit. "

Seluk poket,  ada rm4 sahaja. Walaupun di bawahnya ada rm10 aku tak boleh bagi.  Bagi berapa pun dia ni akan habis...

"Kamu kena berubah Akhmal.  Sampai bila nak jadi macam ni.  Carilah kerja. Kamu dah besar... "

Ambil duit dan menolak motor keluar pintu.

"Nah kunci rumah.  Nanti kalau kawan Akhmal pulangkan motor,  bagi surat beranak Akhmal kat dia."

Tersentap juga aku seketika. Marah tu. Lain macam bunyinya.

"Surat beranak kamu mana ada.  Hilang."

"Kamu nak buat apa dengan surat beranak tu? "

Sambil otak aku ligat berlegar... berfikir akan logiknya keperluan urusan yang memerlukan surat beranak berbanding memadai dengan kad pengenalan sahaja.

Dia menyentak motor dengan keras.

"Nah kunci rumah" lalu meletakkan di bibir pintu.

"Sat lagi bagi surat beranak tu... " sambil menderam pergi.

Aku jadi resah...

Sabtu, 18 Mac 2017

Oh Singkiku!


Piping untuk singki di belakang dapur memang dah lama bocor sebenarnya. Bil air pun perlahan lahan naik dari rm9 ke rm12. Sikap bertangguh itu sememangnya tak bagus!

Hari ini barulah situkang paip itu senang untuk datang membaiki. Dia tinggal kat Perda.  Melihat kepada nama, kulit dan wajahnya mungkin seorang mamak.

'Seronok tengok orang kita buat kerja sendiri,' ujarku ketika melihat dia memunggah perkakasan dari lori.

Asalnya aku cuma nak minta dia perbaiki paip yang bocor dan ubahsuai pili kat singki. Tapi sudahnya aku juga minta dia gantikan tangki pam tandas, baiki dinding bilik mandi yang berlubang lubang dan ubah suai paip depan porch.

'piping rumah ni rasanya dah lebih 10 tahun dah...' ujarku lagi.

Aku teringat dahulu,  balik sahaja dari kerja aku terlihat ibu_suri bertukang di dapur.  Bila aku menjengah,  ibu_suri bertanya aku sambil di tangannya memegang mertol...

'Tadaaa... Macam mana abang.  I nak buat lain para singki ni'

Aku tepuk dahi dan beristighfar beberapa kali melihatkan para singki tinggi suku bahagian.  Yang  lainnya pecah berderai menyembah lantai.

Lantai tandas pula dah tinggal sekerat. Mangkuk tandas retak...

Jumaat, 17 Mac 2017

Walimah Ke 3

Rusli Hashim dan Rahidah Saad

Hari ini,  sahabat akrabku Rusli Hashim, blogger Jendela Hati bakal menerima menantunya yang ke 3. Majliss pernikahan akan diadakan di jazirah bakal menantu - Bagan Datok.

Anak - Saiful Nizam


Aku mendoakan semuga kesemua perancangan dan perjalanan mereka pergibalik selamat dan diberkati Allah.

Majlis walimah akan di adakan pada 25hb ini di halaman rumahnya.

Aku dipertanggunjawapkan untuk membantu dj majlis sepanjang hari itu.

Sayangnya,  aku dah tak punya laptoplaptop. Terkilan sedikit sebab tak dapat nak susun lagu lagu baru untuk siaran di majlis itu nanti.

Khamis, 16 Mac 2017

Teh Cina


Kelmarim aku terbaca satu artikel yang menyatakan bahawa cara meminum teh hijau atau teh Cina ialah ketika masih panas.  Ketika itu khasiat teh berada dalam keadaan optimum.

Jadi selama ini aku tersilap la.  Aku memanaskan teh ke dalam teko.  Setelah teh suam aku masukkan ke dalam peti ais.  Meminumnya apabila terasa dahaga sahaja.

Mr Zheng pernah beri aku sebuku teh Puerh Tea bila dia ketahui ibu_suri mengalami obesiti. Sayangnya ibu_suri ttak suka minum sebab tawar bila tanpa gula.  Selera ibu_suri ni memang payah sikit nak dilayan.

Jadi akulah yang perabis.  Dah hampir 2 tahun aku amalkan meminumnya namun rupanya dalam cara yang tidak betul.

Aku ada banyak stok teh jenis tanpa gula ini pemberian anak saudara dan kawan.

Mulanya memanglah tak sedap minum tehbtanpa gula ni tapi bila dah biasa rasa ok jer.

Setahu aku,  amalan minum teh di Cina dan Jepun juga tanpa gula.  Aku tonton dalam kebamyakan filem mereka,  mereka minum sikit sikit dalam mangkuk kecil.  Mungkin kerana itu tak ramai dari mereka yang obes macam kat Malaysia ni...

Sabtu, 25 Februari 2017

Bila Dia Terjaga...



Bila terjaga sahaja ibu_suri dari tidur ertinya bermulalah tugas rutin aku yang menuntut ketabahan.

Pagi ini aku mati idea nak sediakan sarapan apa. Silapnya malam tadi aku tak singgah kedai bakery untuk mencari roti.

Nak keluar membeli hanya kerana sebungkus nasi lemak teramatlah malas.

Selera aku boleh dengan hanya mengunyah 2 keping roti wholemeal setiap pagi beserta secawan teh cina tapi tidak bagi ibu_suri. Tekaknya begitu choosy...

Teringat masih ada stok mi maggie. Ada perisa seafood,  cili hijau dan kari. Aku ambil bungkus mi kari. Yang ini pun belum tentu dia akan habis memakannya apatahlagi perasa seafood atau cili hijau yang memang jarang dia makan.

Oleh kerana tong gas kat dapur aku dah kena curi bulan lepas,  aku masak guna periuk nasi letrik sahaja.

Bila dah siap, aku aturkan ke atas talam beserta semug milo dan 2 bekas ubat untuk pagi dan malam.

Bawa masuk ke dalam bilik beserta dengan sekuntum senyuman mancing mood yang baik.

"Makanlah... Pagi ini menu special. " ujarku dengan harapan ini bertepatan dengan seleranya.

Aku kembali ke dapur mengekap meja yang berselerak.

Tak sampai seminit, kedengaran suara ibu_suri.

Ah... Tau dah!


Khamis, 23 Februari 2017

Citarasa Yang Tak Terbendung...


Habit yang tidak boleh aku bendung dari muda hinggalah ke tua begini ialah meneguk minuman 3in1. Sekiranya aku bercerita kepada orang apatah lagi doktor tentulah berkati kati nasihat mereka. Sebab itulah aku diamkan dari bercerita.

Aku paling suka minum teh tarik Alitea. Sayangnya,  ia cuma mudah dibeli di pasaraya dan tidak di kedai kedai sekitar tamanku.

Ini semua adalah gara gara kebiasaan sejak bekerja.  Bila membeli teh atau kopi dari kafetaria, rasa teh atau kopi itu tak menentu.  Kekadang pedak kekadang ceroi. Kena beratur yang kekadang itu agak lama.

Maka cara paling cepat ialah dengan memasukkan syiling ke slot vending machine dan tekan punat mana mana jenis minuman yang serasi dengan citarasa.

Dipalit pula dengan kesibukan ibu_suri yang ditugaskan untuk menjaga tadika yang baru sahaja diresmikan pembukaannya.  Menambah jarak rajin dia yang memang tak berapa minat ke dapur...

Jadinya,  makan kami anak beranak selalunya nasi bungkus atau lansung di restoran sahaja.

Tahun 2007, ibu_suri di serang mild stroke.  Maka kebergantungan sarapan beli kedai atau segera siap semakin menjadi kebiasaan.

Hendaknya jika ada tawaran mug istimewa pada pack minuman yang dijual,  ianya semakin menarik minat aku untuk membeli jenama itu.

Nak kata minat sangat kumpul mug,  tidak jugak.  Tapi tak banyak sikit ada la...

Selasa, 21 Februari 2017

@dik



Alhamdulillah,  rezeki Allah beri dapat bertemu @dik yang datang dari Shah Alam ke Penang atas urusan kerja.

Dia juga seorang pengikut jamaah Tabligh. Sudah tentulah dia gembira bila aku ajak dia bersembahyang di Masjid Kapitan Keling.

"Kamu ingat tak,  kita pernah datang dan tidur di sini sekitar tahun '77 dulu?"

@dik cuma geleng kepala.  Benar benar dia tidak ingat rupanya.

Usai Isyak aku ajak dia isi perut di kedai makan Line Clear.  Nak panggil ia sebagai restoran aku pun tak pasti lewat cirinya yang bukan di dalam bangunan sebaliknya cuma berasal di lorong antara 2 bangunan.

@dik agak menjaga pemakanan.  Dia cuma minta nasi setengah cedokan, sedikit lauk dan teh o ais.

Aku pula terlupa bawa duit di poket jadi nampaknya @diklah yang belanja semua termasuk sebungkus untuk ibu_suri yang aku tinggalkan di rumah sendirian.

Tentulah seronok dapat berjumpa dengan @dik yang jarang jarang berkesempatan ketemu.

Esok ada perjumpaan dengan wakil cawangan Pharmaniaga seluruh Utara di Hotel Royal Bintang.  Dia adalah wakil dari HQ.


Aku hantar dia balik ke hotel bila jam 11 malam.  Katanya dia perlu tidur awal sebab rasa kurang sihat.

Sebelum aku balik ke rumah,  seperti biasa aku transit dulu di kedai makan tepi masjid Kubang Semang.  Semdirian sekejap sambil minum kopi.

Sempat berwhatsapp sekejap dengan @dik...

Isnin, 20 Februari 2017

Bila Bisikan Itu Berbisik...

Akhir akhir ini jiwa aku tidak tenteram. Risau pada masa depan.  Jemu pada rutin hidup yang stereotaip setiap hari.

Fizikal juga berasa semakin tidak kuat. Lutut kekadang ngilu bila memanjat tangga.  Kaki terasa kebas terutama bila tidur dalam hawadingin hingga memaksa aku memakai stokin.

Sesekali rindu menyelinap ke hati terhadap kawan seperjuangan dan masa masa belajar. Alangkah indahnya masa masa itu. Cergas dan penuh cita cita. Sibuk dengan usrah dan usaha dakwah.

Aku memiliki keluarga yang kecil sahaja. Udahlah kecil,  bermasaalah pula.  Rasa cemburu selalu membakteria jiwaku bila melihatkan kawan kawanku yang lain boleh ke sana kemari tanpa terikat dengan isteri. Tanpa perlu memikirkan makanan pakaian kerana semuanya diurus isteri.

Jahatnya bisikan perasaan sebegini.

Ahad, 19 Februari 2017

Kerinduan

Sambil memicit-micit kakinya yang selalu mengadu sakit-sakit, ibu_suri memberitahu bahawa sekali lagi dia bermimpi Akhmal balik ke rumah.

Taulah aku bahawa kerinduan seorang ibu walaupun sekadar ibu angkat itu sedang memuncak.

Namun sebenarnya aku perasan, Akhmal ada balik ke rumah hampir setiap hujung minggu.  Dia balik ketika kami tiada di rumah waktu malam.

Aku tahu itu pabila mendapati beberapa stok makanan ringan serta paket minuman 3in1 telah berkurangan di kabinet dapur.

Jumaat, 20 Januari 2017

Akaun FB Baharu...

Aku ada membuka akaun Facebook yang baharu berkonsepkan blog aku ini. Aku hanya akan menerima friend yang aku kenal dan yang memang pengikut blog ini. Akaun fb yang lama masih juga valid cuma kurang aktif.

Sebentar tadi aku ada mengunfriend beberapa friend yang aku tak pasti. Juga beberapa individu yang aku hold permintaan mereka untuk menjadi friend.

Nak tahu masih friend atau tidak, senang sahaja. Beberapa hari ini aku akan post status baru di timeline. Jika kalian tidak menerimanya bermakna kalian yang dimaksudkan tidak lagi menjadi friendku.

Boleh request friend semula dan pm tepi untuk menyatakan bahawa kalian adalah pengikut blog aku. Termasuk juga kepada mereka yang mungkin dah request tetapi aku hold buat sementara. 

Akaun Facebookku yang baharu : Insan Marhaen

Bukan apa. Cuma nak pastikan Facebook aku kali ini bersih dan aman.

Aku mengalu-alukan kesudian kalian sebagai friend kepada akaun baharuku...

Khamis, 19 Januari 2017

Antara Blogger

Bearcat
Aku perasan, blog Cerita Bearcat telah meminggirkan diri dari dibaca oleh pelayar blog seperti aku. Samada disengaja atau ada masaalah teknikal sesawang, aku tak pasti.

Blogger Bearcat adalah antara rakan blogger senior yang telah mengikuti penulisan blogku sejak lama. Beliau pernah ternampak aku yang semasa itu memandu kereta Kancil yang dipenuhi dengan gantungan patung Keroppi di cermin tingkap. Lawak juga bila sesekali membaca tulisannya itu...

Semakin ramai blogger seangkatan aku yang berhenti menulis blog. Blogger Maiyah, Mama Moden, Cikgu Humairi, JR, Nyanyi Sunyi, Pangkin4rest, LadyBird, Habuna Trading... sekadar menyebut nama-nama yang masih aku teringat. Tinggal beberapa kerat sahaja blogger senior yang masih aktif. Itupun khabarnya ada yang dah mula kekeringan idea.

Aku pun sebenarnya kekadang terasa tawar semangat juga nak menulis. Tapi pabila dikenang-kenangkan terasa rugi juga jika pencen awal dari menjadi penulis 'syok sendiri' ni.

Minat aku untuk menulis dan keinginan aku mengabadikan perjalanan hidupku dengan biji-biji huruf ini memang timbul sejak azali. Akan menyesallah aku nanti jika ini aku abaikan. 

Seperti kekesalan aku menghapuskan tulisan-tulisan awal aku di sekitar 2008; yang banyak menukilkan kisah 'kesengsaraan' aku tatkala pertamakali berhadapan dengan kerenah ibu_suri yang menghidap angin ahmar. Terpinga-pinga. Tenggelam punca.

Aku harap... seperti Kakcik Seroja, Warna Nostalgia, Jendela Hati, Abu Zorief, Kak Zakie dan lain-lainnya akan terus menulis dan bersama menyemarakkan dunia blog aku ini.

Aku teringat kepada blogger Kassim Selamat. Beliau telah pergi menemui Ilahi di kala blognyalah antara yang paling suka aku singgah. Termasuk juga blogger Al Manar. Innalillah...kepada mereka berdua!


Nota:
Aku ada bina akaun facebook ke 2. Tujuan untuk berkongsi tentang lagu, cd/kaset, puisi, hobi masa sekolah seperti menyimpan setem, lencana dan keychain, catatan blog atau kata mutiara. Kalau sudi nak friend... klik  sini

Ahad, 15 Januari 2017

Jantungku...

Aku datang lewat sikit ke hospital hari ini. Pertama sekali yang aku buat bila saja sampai ke katil 4-1 ialah mengamati raut wajah ibu_suri - ceria atau sebaliknya.

'Doktor kata, esok boleh balik...'

'Ye ke?'

'Kenapa lambat datang?' 

Heh... ini memang spot question yang berlegar-legar di tempurung kepala sejak memandu tadi. Jawapannya kalau jujur takut nanti kena serapah. Nak menipu, tak elok pulak rasanya sebab dia adalah yang bernama istri.

'Bangun lambat. Basuh baju, sidai baju. Basuh pinggan mangkuk... Hmm... dah makan?'

Hah... penghujung ayat itu adalah lencongan dari soalan balas (jika ada)... 'kenapa lambat bangun?'

'Tak lalu...'

Aku membelek beg air kencing ibu_suri yang tergantung di birai katil. Terkejut juga aku sebab warna airnya merah. Selalunya kuning coklat.

Tapi aku diam saja seperti tak ada apa-apa. Kalau ibu_suri tahu nanti akan banyak bimbangnya. Bila banyak bimbangnya akan banyak soalan, akan banyak omelan.... 

'Berak tak malam tadi?'

'Tak!'

Hum... Macam mana nak berak kalau makan pun tak berapa mahu. Risau juga aku sebab setiap pagi dan petang dia akan memakan ubat. Jika dengan perut kosong tentulah sedikit sebanyak memudaratkan perut.

Aku amat mengharapkan agar Angah dapat datang dan membawa anak-anaknya melawat ibu_suri. Dengan kehadiran cucu tentunya menceriakan sedikit kejemuan ibu_suri terperap di wad.

Badan ibu_suri juga dah mula berbau jika dihidu dari dekat. Maklumlah, cuma lap muka, tangan dan kaki sahaja sepanjang 2 hari ini. Terlupa pula aku untuk membawa peralatan memberus gigi. Esok sahajalah...

Ramai pula kawan-kawan sekerja yang aku terserempak lansung mereka pun mahu melihat ibu_suri hari ini. Mereka pun ke hospital kerana ziarah saudara-mara juga. Ada seorang itu pernah bekerja sezaman dengan ibu_suri semasa tempat kerja aku bernama Hitachi. Lama dah tu... sekitar hujung 80an...

Bila berkali-kali ibu_suri menyatakan gembira akan balik esok, aku cuba memujuk dia untuk tidak menggantung harap pada berita itu. 

'Apa? You tak suka I balik cepat ke?' 

Rasanya, diam lebih baik!

'Betul ke istri saya boleh balik esok?' Soal aku pada misi di kaunter selepas aku maklumkan beg air kencing ibu_suri berwarna merah.

Misi tak menjawap sebaliknya membelek-belek fail yang menimbun di depannya.

'Air kencing merah itu mungkin disebabkan dia kurang minum. Doktor ada bagitau supaya dia cuma boleh minum dalam 600ml sehari sahaja, kan?'

Aku angguk. 

Ntahlah... aku pasrah sahaja kepada Tuhan.

'Jantung istri awak lemah dan ada rosak sedikit. Justru itu, ianya tak mampu mengepam darah secara normal ke paru-paru dimana mengakibatkan darah tak boleh diproses untuk pengambilan Oksigen. Akibatnya, bebanan air terletak di paru-paru dan merencatkan peratusan Oksigen.'

Lebihkurang begitulah terang misi. Aku pun dah lupa tentang sistem pengaliran darah dalam badan. Belajar masa Tingkatan 5 tahun '77. Pupus dah dari sel memori.

Patutlah doktor menasihatkan aku supaya membawa ibu_suri selepas ini ke Klinik Kesihatan Seberang Jaya untuk pemeriksaan jantung.


Nota:
Aku ada bina akaun facebook ke 2. Tujuan untuk berkongsi tentang lagu, cd/kaset, puisi, hobi masa sekolah seperti menyimpan setem, lencana dan keychain, catatan blog atau kata mutiara. Kalau sudi nak friend... klik  sini