Sabtu, 31 Disember 2016

Azam

Semasa memandu ke kedai makan Nasi Malam kat Pongsu Seribu, ibu_suri sempat bertanya...

'Apa azam baru abang?'

Hah.... aku memang geli geleman bila ada orang bertanya pasal azam baru setiapkali menjelang tahun baru. Tak tahu kenapa...

Aku hanya menjawap...tak tahu.

Memang aku tak simpan azam pun. Sejak pencen ni, hasrat aku cuma nak menghabiskan sisa waktu yang ada dengan menjaga apa yang ada di sekelilingku, menambahbaik amal, menziarahi mereka yang lebih tua dari aku dan menjaga kesihatanku.

'I nak jadi isteri yang solehah...' ujar ibu_suri.

Aku hanya ukir senyum tawar. Pada aku, itu adalah ucapan yang biasa. 

Sudah 56 tahun aku hidup. Dah tahu sangat ragam sesetengah manusia. Hanya cantik di atas kertas. Namun bila waktu berlalu dengan pelbagai dugaan melanda, azam cuma tinggal nama. 

Macam aku juga...

Aku teringat mak yang tua dan hanya boleh mengesut di kampung. Kini aku semakin faham isihati, nasihat dan sikap diam mereka bila melihat sesuatu tindakan aku yang mungkin tidak selari dengan penelitian mereka dahulu.

Sekarang aku juga bersikap begitu terhadap anak dan istriku...

Jumaat, 30 Disember 2016

Susahnya...

Nasib baik aku masih simpan talipon lama NOKIA yang dibeli semasa masih bekerja dulu... 2014. 

Aku ke kedai telekomunikasi dekat rumah. Beli kad sim baru XOX. Aku pilih jenama ini kerana tempoh hayatnya yang lama - 2 tahun.

Talipon pintar ASUS aku yang diambil Akhmal itu rasanya dah jadi arwah la. Kalau ikut cara, dia tak balik hampir seminggu, talipon itu dia jual untuk mendapatkan duit poket. Kalau tak, macammana dia nak sara hidupnya yang sebelum ini bergantung duit poket dari aku.

Dulu masa laptop aku hilang pun macam nilah keadaannya. Dia hilang tanpa berita hampir sebulan. Bila datang semula mengendeng tepi rumah, aku fahamlah bahawa dia dah punya apa-apa untuk sara hidup.

Aku cuma tunggu dan lihat!

Nampaknya, memang aku tak boleh mempunyai harta bernilai di rumah ini. Dah tak boleh lagilah berwassup. Kembali semula kepada gaya hidup lama. 

Malah untuk ada laptop baru (yang aku minta Along carikan di jualan terpakai kat KL) inipun mungkin aku terpaksa minta Angah simpankan dan aku ambil bila betul betul nak guna. Payah kan?

Aku pernah katakan kepada Angah bahawa jika ayah dan ibunya ini laku di pasaran, mungkin kami pun akan dijual. 

Susah bila punyai anak yang seolah olah tak punya perasaan dan istri yang tak ketentuan emosi. Aku seorang kena hadapi mereka berdua ini saban hari.

Huu... kalau tak kuat semangat, memang boleh lari malam!

Khamis, 29 Disember 2016

Bezanya Ayah

Along dah balik semula ke KL setelah 5 hari balik bercuti. Selama 5 hari itu juga Akhmal tak balik ke rumah. Dan selama itulah aku tak pegang talipon sendiri kerana diambil oleh Akhmal yang konon asalnya nak pinjam sekejap untuk main game tapi akhirnya ghaib macam tu sahaja.

Paling bising ialah ibu_suri. Along pun berkali-kali mengatakan aku terlalu lembut dengan Akhmal hinggakan talipon ayahnya sendiri dibuat seperti harta sendiri.

Aku diam sahaja. Susah nak menjawap semua itu.

Bila tak ada talipon sendiri di tangan, dunia jadi sunyi. Nasib baiklah Along ada bawa balik laptop cokia' ni. Walaupun melayari internetnya macam kura-kura disebabkan spec laptop ini dah ketinggalan zaman namun boleh digagahi untuk sekadar membaca facebook dan menulis blog.

Aku tahu kenapa Akhmal tak balik-balik. Dia dengan Along tak berapa ngam. Tak sama antara Akhmal dengan Angah. Masih boleh bertemu dan bersembang.

Along memang agak tegas dengan Akhmal. Mereka berdua pernah bertumbuk dan berterajang semata-mata bila Akhmal dengan mudah memarahi ibu_suri atas sesatu sebab.

Bila Along dan ibu_suri merungut kasihan melihatkan aku tak ada talipon, aku cuma berkata...

'Ala... rileks ler. Abang tak gaduh pun bila tak ada talipon. Hangpa yang dok kalut.'

'Abang tu memang la. asyik asyik... rileks.'

Aku pun lalu ketawa yang sengaja aku buat. Mulut aku sahaja yang berkata begitu tapi jauh dalam hati...siapalah yang tahu. Itulah bezanya perasaan seorang ayah berbanding perasaan seorang ibu terhadap anak... agaknya.

Selasa, 27 Disember 2016

Nasib

Lama tak menulis. Ketiadaan laptop buatkan aku jadi malas walaupun rindu.

Along balik sejak kelmarin sempena majlis walimah anak kepada adikku - Matun di Lahad, Perak. Aku suruh dia bawa netbook yang dia dapat lama semasa dia masih belajar dulu.

Bila malam ini aku tak boleh picing mata, tergerak hati untuk menulis.

Aku ajak Along temankan aku ke kedai komputer, esok. Aku nak beli juga laptop baru untuk kemudahan aku berinternet.

'Macam mana kalau hilang lagi laptop ni?' soal Along merujuk kepada 3 atau 4 biji laptop aku yang dah hilang.

"Ayah tawakkal je lah. Ini mungkin kali terakhir ayah beli. Kalau 'dia' curi juga, putih matalah ayah...'

Aku bercadang nak cari yang murah sahaja. Boleh buka blog dan facebook dah cukup. 

Kali ini aku akan jaga sebaik mungkin. 

Susah juga ya... bila kita rasa tak selamat di dalam rumah sendiri. 

Selalu juga aku rasa jealous dengan kawan atau adik beradik lain yang hepi dengan keluarga sendiri. Ke sana ke mari tanpa ada kekangan seperti aku ini.

Hurm....tak tahulah. Mungkin Allah mengatakan keadaan begini lebih baik bagi aku dari hidup hepi seperti orang lain.

Atau mungkin juga Allah menyatakan bahawa ini adalah akibat kesilapan aku di masa lalu.

Terima sahajalah nasib ini yang mungkin lebih beruntung berbanding orang lain yang lebih malang dari aku.

Contohnya, adikku Napi. Tiba-tiba sahaja di serang sakit misteri bulan lepas. Bila ke hospital, doktor kata tidak ada sakit apa-apa namun badannya susut secara mendadak dan yang lebih sadis ialah selalu muntah darah kekadang hampir segelas penuh.

Pertanda apa itu?

Aku pula yang turun memberi nasihat dan semangat agar dia kuat dan tabah menghadapi semua ujian ini.

Selasa, 6 Disember 2016

Hari Ke 2...



Ini malam kedua.

Semasa aku minta izin balik kira kira jam 7, dah mula kelihatan wajah ibu_suri tak ceria. Dia mengadu lenguh dan sakit kaki, minta aku urut.

Aku layan sahaja. Dia kata asyik kentut je dari tadi pertanda dia ada rasa nak buang air besar. Memang masaalah nanti ni dengan keadaan beliau yang tak mampu turn naik katil wad yang tinggi apatah berjalan jauh ke tandaa. itu belum lagi jika dia melihat tandas hospital yang daif.  Maklum, hospital lama.

Misi menasihat aku belikan lampin di HospiMart. Aku ikut sahajalah nasihat misi itu. Macam mana misi akan urus jika benar ibu_suri nak membuang bila aku dah balik.... aku tak.mahu fikir. Aku anggap misi udah ada pengalaman menangani masaalah ini.

Aku agak kalau esok pun ibu_suri tak dibenarkan balik, aku akan makin pusing untuk mengurai emosi beliau. Ntahlah...

Doktor kata jantung ibu_suri lemah sebab itu air terkumpul dalam darah tidak dapat diurai dengan baik.

Satu lagi masaalah ibu_suri ialah dia tak mahu orang lain tahu dia ada di hoapital hatta adik beradiknya sendiri. Mana boleh gitu kan....

Paling lekeh pun mak abah dia mesti tahu. Maka bila mak abahnya tahu, otomatik adik beradiknya akan tahu.

Aku engkari itu dan beritahu keluarga dia, keluarga aku dan rakan baij kami. Selepas itu... nasiblah aku akan dileteri yang bagaimana.

Aku rasa terhuyung hayang sebab tak cukup tidur semalam. Tapi bila balik  lihat rumah lintang pukang.... uruskan dulu.

Terasa rumah ini amat kosong dan sunyi. Aku pasang tv kuat kuat. Kebetulan TV2 cerita Labu Labi.

Aku mandi dan bersembahyang...

Ntah bagaimanalah hidup aku nanti.jika ditakdirkan ibu_suri 'pergi' lebih dulu dari aku ke alam baqa?

Isnin, 5 Disember 2016

Akhirnya Di Wad...

Akhirnya malam tadi ibu_suri masuk wad bila mengadu semula sesak nafas.

Memang banyak seghongeh dia bila aku pujuk untuk diwadkan.

Alhamdulillah, bila aku tunjukkan kad OKU kepada misi bertugas...

'Shizo... shizo...' ujarnya pada misi.

Bergegas mereka dapatkan katil khas dan tempatkan di bilik 4 orang depan meja mereka.

Agak selesa lokasi ini dan aku percaya dapat memberi keselesaan sekaligus beri emosi positif pada ibu_suri.

Sepanjang malam tak tidur melayan ibu_suri yang tak selesa bila doktor masukkan tiub ke dalam anunya untuk memudahkan air dari dalam badan keluar ke dalam beg tanpa perlu ke tandas.

Corong gas yang dipekupkan ke mulut n hidunh ibu_suri juga merimaskan. Gas tersebut dihidu untuk memaksa air lebihan yangvada dalam paru parubibu_suri keluar.

Satu berita baru yang kurang sedap di dengar ialah jantung ibu_suri mengalami bengkak.

Tapi aku tidak menunjukkan kerisauan itu di mukaku sebaliknya kau buat muka biasa dan layan berswmbang seperti tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Pernah duku ibu_suri tegur aku kerana selalu bersikap relaks dan berkata no problem bila mana ada masaalah berlaku.

Aku katakan padanya.... kalau ketua keluarga pun sama ikut kelam kabut dan susah hati  macam mana dia nak jaga anak buahnya...

Sebenarnya, ketenangan luaran itu sikit sebanyak membantu menenangkan kecamuk dalam dada.

Doakan kesihatan dan keselesaan ibu_suri...


Sabtu, 3 Disember 2016

Di Wad Kecemasan


Baru balik dari Hospital Besar Bukit Mertajam.

Semalaman tadi ibu_suri tak dapat tidur. Susah bernafas dan batuk batuk. Sebelum ini pun begitu. Dah sebotol lebih ubat batuk cap Ibu dan Anak dia minum. Vicks dan inhaler menjadi 'teman' seharian.

Bila dia tak selesa begitu, akulah yang jadi 'mangsa'. Kena urut belakang dia, sapukan vicks malam mendengar rengekannya.

Jam 1 malam tadi dia berkeras suruh bawa ke hospital... maka aku ikut saja.

Berbagai soalan doktor bertanya sebab dia tidak ada sejarah asma. Cuma diabetes, hipertensi dan psikiatrik.

Di wad kecemasan, doktor lelaki Cina itu menekan muka kaki ibu_suri.

'Ada air dalam badan'... ujarnya.

'Memang dari dulu macam tu  doc' terang aku.

Susah payah aku dan beberapa staf wad membantu ibu_suri turun dari kerusi roda untuk berbaring di katil.

Aku di arah keluar.

Lebih 3 jam aku menunggu. Lama betul dengan sejuk angin malam dan suasana yang mulai sunyi kerana pelanggan lain dah mula balik.

Bila doktor memanggil semula ke dalam wad kecemasan  aku perhatikan ibu_suri yang sedikit cerah wajahnya di tekupiboleh corong gas.

'Istri awak mengalami paru paru berair. Sebab itu dia susah bernafas dan batuk batuk.

Saya dah masukkan gas. Gas itu memaksa air dalam paru parunya keluar.

Tapi itubtidak cukup. Dia perlu di masukkan ke wad biasa untuk rawatan lanjut.

Tapi istri kamu tak mahu.'

Aku cuba memujuk ibu_suri. Bukan mudah juga. Silap haribulan dia ingat aku memang suka dia masuj wad. Lebih malang kalau dia menyangka dia dah nak mati.

Memang ibu_suri tak mahu. Geleng kepala tak henti henti bila aku cuba memujuk.

'Awak kena sain surat ini kalau mahu keluar. Tapi saya bagi nasihat  bahaya jika tak dirawat segera. '

Aku angguk. Ini bukan kali pertama aku sain surat begini.

Kali pertama aku sain semasa ibu_suei mula mula di serang stroke. Doktor di BM Specialist Center suruh sambung rawatan tapi ibu_suri mahu balik kerana dia menyangka dia dah sihat.

Kali ke 2 dan ke 3 semasa rawatan biasa di klinik. Tekana darah ibu_suri tinggi dan doktor nasihat masuk wad. Aku ambil risiko sain surat kerana keengganan ibu_suri.

Aku minta doktor tulis sedikit nota supaya bila aku berjaya pujuk ibu_suri masuk wad nanti mudahlah aku merujuknya di hospital.

Menangani pesakit seperti ibu_suri memang kena perlahan, sabar dan penuh diplomasi.

Semasa di rawat di wad kecemasan tadi yang rata rata stafnya adalah lelaki tak dapatlah aku nak jaga aurat ibu_suri sepenuhnya.

Terpaksa jugalah biarkan mereka terpandang atau menyentuh ibu_suri.

Merungut juga ibu_suri. Aku cuma katakan bahawa inilah hakikatnya hospital kita.

Selesai solat Subuh tadi, aku suruh ibu_suri tidur. Batuk dan susah bernafasnya sudah tiada lagi.

Hari ini aku belajar satu lagi perkara baru. Batuk dan susah bernafas yang panjang kekadang bukan disebabkan oleh penyakit kebiasaan tetapi mungkin ada kaitan dengan organ dalaman.

Serta merta aku merasakan bahawa aku juga mesti menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan berkala dari hospital.

Umur aku dah menghampiri lewat 50an. Tentunya perkakasan dalam tubuhnya banyak yang dah uzur...