Isnin, 9 Disember 2019

Jagalah Kesihatan


Semalam ibu_suri terjatuh semasa bangun melangkah dari kerusi roda ke katil dalam bilik. Lantai yang basah kerana baki air mandi ibu_suri yang masih ada di kerusi menitik ke lantai menyebabkan ibu_suri tergelincir lalu tersepuk ke lantai. 

Malam sebelum Raya Haji dah pernah jatuh di bilik air. Aku terpaksa panggil Angah untuk sama-sama mengangkat ibu_suri. Apa yang kami buat ialah dengan membentang cadar katil ( yang kuat kainnya ), suruh ibu_suri bergolek lalu baring di atasnya lantas kami seret dari bilik mandi hingga ke dalam bilik.

Sebelum itu juga ibu_suri pernah jatuh di bilik air semasa melangkah masuk hendak mandi. Masa itu Akhmal dan kawan-kawannya ada. Merekalah yang berusaha mengangkat ibu_suri. Harapkan tenaga aku yang renta ini, tak dapat berbuat apa-apa.

Kali pertama ibu_suri pernah jatuh ialah semasa turun ke tanah dari kaki lima restoran nasi kandar. Silap jangkaan meletak kaki ke tanah dari kaki lima. Aku meminta bantuan dari beberapa orang yang sedang makan di situ. Melayu dan Cina sama-sama membantu mengangkat ibu_suri naik ke kerusi kereta.

Urutan dari semua itulah sekarang ini aku tak benarkan lagi ibu_suri ke bilik air maupun tandas. Hendak berak atau kencing, aku suruh sahaja lepaskan ke dalam lampin lupus.  Jadinya, bertambah pula kos membeli lampin dalam penjagaan kebajikan ibu_suri. Sehari 2~3 helai lampin diperlukan. Bayangkan kalau seminggu... kalau sebulan.

Bila mandi, aku sorong dengan kerusi roda dan mandi di dapur sahaja. Mesin basuh ni usah kiralah, sehari tu memang 2~3 kali membasuh. Kali pertama, basuh kain atau tuala yang kena najis atau kencing tanpa sabun. Kemudian baru basuh menggunakan sabun. Tuala dan kain basuh secara berasingan.

Makanya, bilamana ibu_suri banyak menghabiskan masanya di katil, berat badan ibu_suri aku dapat rasanya telah bertambah. Dia sedikit susah untuk mengesot jauh sekali untuk bangun. Lututnya mula terasa sakit. Banyak masa di katil menyebabkan dia merasa boring, otak tepu dan rimas. Sebab itu, setiap malam lepas balik kerja aku mesti membawanya berjalan-jalan dengan kereta hingga tengahmalam. Kalau tidak untuk makan-makan atau tiada tujuan pun, dia akan suruh bawa aku pusing-pusing sahaja.

Baju juga kekadang aku yang pilihkan bila dia tidak tahu nak buat pilihan. Makan pun adakalanya aku yang terpaksa bagi idea apa yang dibeli dan kemudian suapkan bilamana perasaan murungnya itu tiba. 

Sejak Akhmal tidak lagi ada di rumah, ibu_suri makin murung. Asyik memikir dan bertanyakan bila Akhmal akan dibebaskan. Dah 3~4 hari dia tidak lalu makan. Banyak kali makanan yang aku belikan untuk dia, dia cuma makan sedikit. Akhirnya makanan dia banyak yang terbazir.

Memang kena banyak bersabar, memahami dan berlapang dada dalam menjaga dia. Dah lah susah bergerak ditambah dengan kesan minor strok di saraf-saraf otaknya menyebabkan dia tidak boleh berfikir cepat atau bagaimana hendak melalukan sesuatu. Hatta memakai baju pun aku yang kena betulkan arah baju dipakai. Mana yang patutnya di depan dan di belakang. Selalunya aku yang sarungkna ke kepala dan masukkan ke tangan.

Muga apa yang berlaku kepada ibu_suri dan apa yang telah aku lakukan dalam menjaga kebaikan dia menjadi tauladan, panduan dan contoh buat kalian semua.

Jagalah kesihatan terutama yang menghidapi darah tinggi. Jangan menjadi seperti ibu_suri yang culas ke klinik dan makan ubat seperti arahan doktor, tiba-tiba sahaja di satu pagi ibu_suri menjadi seperti anak-anak tadika yang sukar bertutur, memahami dan berfikir.

Peringatan untuk aku juga...

Rabu, 4 Disember 2019

Kucing

Depan rumah memang tempat kucing-kucing jiran suka lepak. ntah apa syoknya di sini.

Ada juga yang mengiau-ngiau, yang mungkin meminta makanan atau dalam sakit. apa yang boleh aku katakan selain aku tidak ada makanan yang sesuai untuk diberikan.

Pernah seekor itu mati di depan pintu gelansar rumah. dek depan rumah tidak ada tanah yang dalam akhirnya aku kuburkan di dalam hutan kecil jalan keluar taman.

Kucing Lorong - Alleycats
Tapi yang paling tak tahan ialah bila bunyi bising kucing berlari di atas siling bilik tidur waktu tengah malam sebabnya mungkin sedang mengejar tikus. Bimbang siling rumah jatuh sepertimana yang telah berlaku di ruang tamu.

Dan juga bunyi kucing biang di tengah malam di belakang rumah. Kekadang macam bunyi anak meragam kekadang bunyi makhluk halus menyakat.

Aku pernah terlanggar kucing betul-betul di depan rumah. Kucing itu sebenarnya dah pun melintas tatkala aku hampir nak memakir kereta akan tetapi entah kenapa dia berpatah semula melintas jalan dan tak sempat aku membrek lalu kaboom.

Kesihatan melihat dia menggeletek kesakitan, nazak dan akhirnya kembali ke alam baqa'.

Paling rare, aku pernah terlanggar anjing. Fenomena yang sama juga. Dah melintas ke seberang jalan tapi entah mengapa dia berpatah semula. Juga aku tak sempat menekan pedal brek. Melengking lengking bunyinya sambil meluru ke semak atas bukit. Tampak garis merah di kepalanya yang aku agak ialah luka. Bukan itu saja, bumper Kancil aku juga kemek dan terpaksa di perbetulkan di bengkel.

Entah kenapa sekarang ini aku tak suka memelihara ataupun bermain dengan kucing walaupun semasa kecil di kampung dulu aku memang suka dengan kucing malah memiliki beberapa ekor disamping arnab dan ayam, ayam belanda, itik termasuk itik serati...

Isnin, 2 Disember 2019

Resah Di Belakang Mahkamah

Pagi ini aku ke Mahkamah Bukit Mertajam entah untuk keberapa kali. Pagi yang mendung dan berangin. Aku putar cd penyanyi kesukaanku sang maestro - Ebiet G Ade... Tembang Slow Vol 2 sambil menaip catatan ini di atas skrin talipon bimbit. Memang selalunya begitu. Bila resah antara yang aku lakukan untuk melampiaskan ialah dengan mendengar lagu-lagu Ebiet G Ade yang banyak bicara tentang ketuhanan dan kemanusiaan.

Maaflah kalau ejaannya banyak kesilapan. Aku memang tidak selesa menaip di skrin yang kecil dan terbatas ini berbanding menulis menggunakan laptop. Tapi apakan dia, bukan sedikit laptop aku yang aku beli tetapi kemudiannya hilang. Aku percaya, itu juga angkara dia.

Aku baru saja turun dari bilik mahkamah. Akmal yang sebelum ini ditangkap dan di tahan di Penjara Pulau Pinang hampir 2 bulan, hari ini bakal dijatuhkan hukuman.

Sewaktu aku ternampak dia menaiki melalui tangga dari bilik tahanan di tingkat bawah mahkamah hati aku tiba-tiba terasa amat luluh. Tangkai jantung seperti disiat-siat.

Tangannya digari secara berantai dengan 4-5 orang OKT yang lain. Wajahnya yang malap menggambarkan apa yang ada di hatinya... bimbang dan resah. Aku tahu itu tapi itulah yang kamu cari.

Bila giliran namanya disebut, polis wanita yang ditugaskan melaporkan kepada hakim bahawa keputusan urine belum lagi diperoleh lalu meminta penangguhan bicara. Mahkamah memberi tarikh pada Jumaat ini - 6hb.

Yang aku nak ceritakan di sini bukan sangat perihal dia tetapi tentang keresahan hati ini.

Umurnya dan menjangkau 26 tahun. Bukan anak kecil lagi. Sepupu yang lebih kurang sebaya dia sorang demi sorang akan berkahwin. Dia? Usahkan nak tanggung anak orang, diri sendiri pun bergantung sepenuhnya dengan aku.

parkir di belakang mahkamah


Pagi ini memang resah menggigit tangkai jantung ini. Ngilu!

Aku tahu semua ini kesilapanku dari awal kehidupan. Dan aku ini banyak berdosa dengan Tuhan.