Memaparkan catatan dengan label Catatan Perjalanan ke KL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Perjalanan ke KL. Papar semua catatan

Rabu, 16 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...7 (akhir)

Bermula jam 2 petang dengan lagu Negaraku. Sudah lama aku tak menyanyikan lagu ini secara koir. Meremang bulu romaku lebih-lebih lagi setelah sudahnya disusuli dengan gegak gempita tepukan dan sorakan rakyat.

Hujan rintik-rintik. Tapi aku pasti sekiranya hujan lebat turun sekalipun, aku dan mereka akan tetap juga tidak berganjak.

Sempat beli ikat kepala berharga RM2

Ucapan oleh pemimpin  juzuk-juzuk kecil HKR seperti TANAH oleh Mazlan Aliman, JERIT, ORANG ASAL, ROYALTI dan banyak lagi. Aku tertarik juga dengan ucapan wakil dari Sabah dengan slogannya - INI KALILAH...TUKAR!

Ucapan di selangseli dengan lagu keramat ITO - Ubah Sekarang serta sajak Di Atas Padang Sejarah oleh Sasterawan Negara - A. SAMAD SAID. Sudah tentunya aku adalah peminat mereka berdua sejak lama dulu. Sejak aku mengenal dunai penulisan dan muzik. Aku selalu mengunjungi blog Hujan Pagi milik A Samad said. Aku kagum dengan susunan kata-katanya yang tajam. Malah blog puisiku Hujan Petang adalah terhasil dari inspirasi blog beliau.

Aku masih ingat kata-kata merendah diri A SAMAD SAID

"Saya tak buat apa-apa. Hanya baca puisi. tapi tidak sangka puisi saya amat ditakuti oleh penguasa."

Memang hebat sajak-sajak ciptaan beliau. Tidak heranlah kalau katanya:

"Sajak saya mahal harganya. Justeru itu saya cuma membaca hanya sebuah sahaja hari ini."

Dan punya hebatnya aura ITO hingga ketika lagu Khatulistiwanya mengujudkan OMBAK RAKYAT secara tanpa di suruh.

gelagat anak mencari mak yang 'hilang'

Ada maklumbalas yang mengatakan kehadiran kami ke sini dibayar dengan harga RM150. Mat Sabu bertanya kepada kami. Hah... bukan dibayar malah sebaliknya kami sendiri kena bayar sedikit seorang ke dalam tabung untuk membiayai sewaan stadium yang berharga RM100 ribu.

Ucapan-ucapan dari pemimpin PR memang sudah biasa aku dengar. Jadi aku cuma dengar gitu-gitu saja. Bagi aku yang utama bukan sangat mendengar ucaputama mereka tetapi menghadirkan diri kerana mahu menjadi salah seorang dari pelakar sejarah tersendiri di Stadium Merdeka ini.

Sekali lagi Azan berkumandang bermakna aku sudah berada di sini di antara 2 Azan. DSAI bijak bila mengusulkan supaya teriakan MERDEKA di laungkan sebanyak 7 kali persis laungan MERDEKA ketika Tuanku Abdul Rahman mengisytiharkannya pada 1957 dulu.

Jenamaku tiba-tiba laris...

Selesai semuanya aku dan Along berarak keluar stadium dengan segala kepuasan. Terasa dahaga aku minta Along belanja minum air kelapa laut afrika yang di jual. Nikmat rasanya walaupun sudah tidak sesejuk yang sepatutnya.

Sepanjang jalan keluar kami sempat melambai tangan dan menghadiahkan sebuah lagu kepada polis yang memerhati dari dalam pagar balai:

Polis! Polis! 
Terima kasih Polis.

Polis! Polis!
Kali ini polis baik!

Untuk mandi aku terpaksa ke KL Sentral dengan berjalan kaki. Tapak kaki mula terasa sakit. Selesai mandi Along bawa aku kembali ke Pudu Sentral dengan menaiki motor. Sekali lagi aku rasa teramat siksa membonceng.

Jam 9 aku menaiki bas Seasons. Ntah bila aku terlelap. Sedar-sedar dah berada di stesyen minyak Caltex. Angah menalipon bertanyakan aku di mana. Aku jawap... tak tahu.

Rupanya aku sudah melepasi Bukit Merah. Memang hebat pemandu bas ini. Namun lebih rasa syukur kerana aku selamat balik!

Selasa, 15 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...6

Aku hanya berjalan mengikut arus membontoti kumpulan memakai baju jingga. Dihimpit oleh bermacam saiz tubuh manusia yang berbagai ragam dan bau.

Aku dan Along tidak berminat memakai baju warna mana-mana juzuk dalam HKR - kuning (BERSIH), merah (ROYALTI), hijau (LYNAS) dan oren (FELDA). Tapi kalau ditanya aku sebenarnya lebih mirip kepada grup mana, aku akan jawap - BERSIH.

Aku lebih selesa memakai rompi yang aku beli semasa aktif dalam Kelab Remaja JIM dulu. Pada rompi itu aku jahit lencana kain Gunung Tahan tanda aku pernah mendakinya sewaktu masih bertunang dengan ibu_suri sekitar 1984.

Rupanya perarakan ini menuju ke arah Stadium Merdeka. Aku bertanya Along tatkala ternampak sepasukan polis menghadang jalan dengan blok warna merah.

"Itu jalan ke Dataran Merdeka!" jawap Along menuding ke arah papan tanda.

"Kenapa pula blok jalan ke Dataran Merdeka?"

Soalan yang tiada jawapan.

Aku menarik tangan Along menuju ke pintu masuk stadium di bahagian belakang. Bukan apa, semasa BERSIH 3.0 dulu, aku dan Along terpisah di celah-celah keributan menyelamatkan diri dari terjahan gas pemedih mata. Walaupun aku selepas itu dah kembali ke KL Sentral menunggu bas untuk kembali ke Penang, Along memberitahu aku bahawa dia masih bermain kejar-kejar dengan FRU di kawasan Masjid India. Entah macammana dia terlepas ke sana, aku pun tak sedar. Walaupun aku sedikit gusar akan keselamatannya tapi aku percaya; biarlah dia merasai susah payah pejuang dulu bertempur dengan penjajah demi kemerdekaan negara.

Kelihatan helikpter di awangan

Helikopter berlegar di udara. Aku memilih padang berbanding tangga kambing kerana ingin menikmati denyut nadi perhimpunan dengan lebih dekat. Azan berkumandang menandakan masuk waktu Zohor. Tegak bulu roma aku dalam menghayati bilah-bilah alunan azan yang keluar dari corong pembesar suara yang pastinya juga menerjah ke telinga kaum lain: India, Cina, Benggali dan Mat Saleh.

"Sembahyang sekarang?" Soalku bila melihat beberapa anak muda bergilir menuang air dari botol ke tapak tangan. Mereka angguk. Wah... Ini pertama kali aku akan merasai bagaimana auranya bersembahyang di tengah stadium berbaur hiruk pikuk manusia. Aku pernah belajar erti uzlah jika berada di tengah-tengah kesibukan. Aku tiada halangan untuk begitu sekarang.

Aku mengambil botol  air. Berwuduk ringkas tapi sempurna hanya menggunakan tidak sampai separuh dari kuantiti air dalam botol. Pengalaman semasa bermukhayyam dengan rakan-rakan JIM dulu rupanya amat relevan di sini. Aku pernah dengar sahabat OKUku  Rizal yang mengambil wudhu di Mekah hanya dengan secawan air mutlak.

Aku pun membentang rompiku di atas rumput yang berbecak untuk  melakar satu lagi sejarah dalam hidupku. Di sebelah kananku bersedia seorang makmum yang akan menunaikan sembahyang cara duduk. Di sebelah kanannya pula seorang lelaki berkaki satu. Lalu, kami pun bersama-sama....... Allahu Akbar!

Isnin, 14 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...5

Aku menyalin kemeja T hitam lukisan GAZA kepada kemeja T logo Tok Guru. Aku amat jarang memakai baju ini. Bukannya berani sangat.

Naik Putra LRT. Kekok nak beli token dan nak imbas token. Semasa di Jepun 20 tahun dulu, mereka menggunakan tiket kertas. Dimasukkan ke dalam mesin dan bila kita keluar, tiket itu akan keluar di mesin sebelah sana.

Putra LRT sesak dengan penumpang. Aku terpaksa ambil tren ke 2. Along membawa aku ke kawasan Masjid Jamek. Senang cari makan dan sembahyang bila masuk Zohor nanti.

"Kita makan kat sini, ok ayah?" sambil menunjukkan Restoran Dapur Kampung. Namanya saja sudah cukup membuat perut aku berkeriut tanda setuju.


Aku makan ala kadar saja. Jika perut penuh susah nak lari nanti macam masa kat BERSIH 3.0 dulu. Ok juga makan di sini. Ikan kembung masak lemak cili padi + terung tumis kegemaranku bersama nasi setengah sukatan - RM6.00 sahaja. Memang sikap aku jika makan mesti hingga 'licin'. Kita tidak tahu keberkatan rezeki itu di mana. 

Dan mutakhir ini aku cuba menukar kebiasaan makan dengan camca dan garfu kepada makan dengan tangan bilamana di restoran. Ikut sunnah nabi walau dimana kita berada; dapat pahala... aku masih ingat pesan kawan Tablighku - Osman M di tempat kerja.

Selesai makan, aku dan Along keluar melihat suasana di jalanraya. Aku meninjau-ninjau kut-kut ada jualan sebagai kenangan. Ada banyak jualan kemeja T HKR, BERSIH, mafla, butang dan pelbagai lagi tapi aku tak minat dengan jenama begitu. Kalau membeli biar yang boleh dipakai selalu.

Aku memilih 2 helai kemeja T - GAZA. Satu untuk diri aku sendiri dan satu untuk sahabat baikku - blogger JH. Aku percaya, kemeja T ini akan selalu kami gunakan untuk program GAZA nanti!

Catatan Perjalanan ke KL...4

Along menalipon aku dan menasihati supaya membuat tempahan tiket balik. Takut nanti tiket habis, katanya. Bukan aku tak terfikir hal itu tadi tapi aku masih teraba-raba nak balik bila dan dengan apa.

Akhirnya aku tetapkan pendirian mendengar nasihat Along. Ambil keputusan balik juga dengan bas sepertimana datang tadi. Selesa untuk tidur, bisik hatiku.

Namun masalah lainnya pula ialah nak naik bas apa dan pukul berapa? Agak lama juga aku duduk di kerusi memandang kaunter bas yang berderetan hingga rambang mata. Program dijangka tamat jam 5. Aku perlu ada waktu saku untuk makan, mandi dan sembahyang. Akhirnya aku  memilih waktu bertolak jam 9 malam. Aku mendapatkan tiket bas Seasons dan akan menunggu di platform 7. Risau pun ada.

Sesampainya Along, perkara pertama yang ditanya ialah;

"Ayah nak buat apa dulu?"

"Mandi dan makan!"

Entah kenapa aku tiba-tiba teringat Restoran Anuja sewaktu menaiki tangga ke kaunter tiket tadi. Nama Anuja sendiri meragukan aku tapi herannya ramai yang berketayap dan memakai mafla hijau putih duduk makan dengan selamba. Tak nampak pun tanda halal malah tulisan Tamil terang-terang ada di papantanda.


"Kalau nak mandi, di KL Sentral lebih mudah," seru Along. Pelik aku dengan nama Sentral ni. Apa punya tatabahasa da... 

Along tak tahu agaknya yang aku ni dah puluhan tahun tak naik motor. Tambah pula membonceng melalui celah-celah lori dan bas. Sekejap selekoh tajam sekejap melompat ke atas bonggol jalan. Gayat rasanya. Bahu Along dan beg galas aku pegang kemas.

Sesampai di KL Sentral aku mencari bilik mandi berbayar. Aku tak biasa dengan budaya musafir di kotaraya begini. Kalau bermusafir dalam hutan aku biasalah. 

Memang banyak perkara baru yang aku belajar semasa di sini. Panjang deretan orang menunggu giliran. Pasti mereka ini bertujuan sama seperti aku, bisik hati. Hari ini taukeh bilik mandi tentu senyum panjang sebab bisnes ada untung!

Sambil mandi aku terdengar suara di luar yang deras bertanyakan kawannya dimana rokok yang dipinjam tadi. Ciss... apa punya turrr.... Konon berhimpun untuk menuntut keadilan dan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan tapi keadilan dan kebersihan diri sendiri dan keluarga buat tak peduli. Kan rokok itu salah satu agenda Yahudi untuk melemahkan jatidiri rakyat dan negara yang dijajahi?

Ahad, 13 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...3

"Puduraya...Puduraya..." teriak pemandu bas. Aku meninjau ke luar tingkap. Wajah Puduraya tidak lagi  seperti mana yang aku kenal ketika belajar di Institut Kemahiran MARA dulu. Teramat asing.

Aku memang dah lama tidak memakai jam tangan. Jadi, jam di taliponlah sebagai rujukan. Melepasi 5 pagi. Akan tetapi suasana sekeliling ramai; tidak sehening Pekan Penanti. Bangla dan Mat Saleh berimpang siur.

Aku terpacak di atas dataran di tengah-tengah persimpangan lampu trafik. Persis rusa masuk kampung. Tak tahu ke mana hendak mula. Makan? Kebanyakan kedai yang aku perhati, keMuslimannya seperti tidak meyakinkan. Maaf!

Alangkah bagusnya jikalau berada di kotaraya metropolitan ini aku mulai dengan bersembahyang tahajjud. Aku cuba menjengah menara Masjid atau kelibat surau. Tidak kelihatan. Cuba menalipon Along, tak ada jawaban. Cuba pula menalipon Rizal, kawan sekerja yang khabarnya turut hadir sama menaiki bas sewa. Juga bungkam.

Aku ambil keputusan untuk melangkah ke Restoran Syukran. Dah namanya agak Islamik, aku cuba meyakinkan diri. Tapi keluar semula. Ramai dan hawanya berbahang. Beralih ke Bistro Tomyam. Duduk di kerusi sambil menimbang.. nak makan atau minum saja? Bila melihatkan pelayannya semua berkulit gelap akhirnya... selera aku untuk makan jadi hambar.

Bistro Tomyam

Menunggu memang terasa lama. Akhirnya setelah bertanya, aku memanjat tangga Pudu Sentral ketemu Surau Al - Hidayah. Memang ada kelas surau jamek ini. Aku tunaikan sembahyang Subuh. Kemudian lepak di bahagian belakang. Orang memang ramai. Generasi tua kebanyakan berbual atau berbaring. Generasi muda kebanyakan membuka ipad atau paling tidak talipon pintar mereka. Ada sekelompok yang menelaah buku ala-ala majlis taalim oleh Jamaah Tabligh. Anehnya, tak seorang pun dari ramai-ramai itu ada yang aku kenal samada rakan IKRAM, rakan sekerja atau rakan setaman.

Cemburu melihat kelompok itu, aku teringat buku DAIE SEJUTA Umat yang sengaja aku bawa. Aku baca helai demi helai namun mata ini...aduhai...

Catatan Perjalanan Ke KL...2

Aku bertolak jam 1 pagi menaiki bas Shamisa Holidays. Seronok juga di permulaan perjalanan ini. Dah terlalu lama tak naik bas ekspress. Dan duduk di kerusi single ini adalah satu pengalaman baru. 


Perut terasa lapar. Coco pie yang aku beli 2 bungkus tadi aku makan diiringi dengan air minuman botol. Teringat pesan blogger JH: jika berada di dalam suasana perhimpunan yang getir; jika tiada kurma, coklat adalah makanan terbaik kerana bisa mengembalikan tenaga yang hilang.

Aku tak lupa membekali diri dengan sedikit garam, sebotol kecil air minuman dan sehelai tuala kecil. Walaupun ada jaminan bahawa himpunan ini nanti akan berlansung dengan aman, pengalaman lalu perlu dijadikan iktibar. Dan 3 elemen ini amat diperlukan sebagai penawar kepedihan asap lemparan kanister.

Entah bila aku tertidur. Terjaga saja sedar-sedar dah berada di kawasan Ipoh. Kilang simen milik YTL tersergam di kiri bas. Aku pun hairan bagaimana tiba-tiba kilang simen ini bertukar nama. Setahu aku dulu namanya Perak Hanjung.

Penumpang di sekeliling mendengkur sedangkan aku terkebil-kebil!

Jumaat, 11 Januari 2013

Catatan Perjalanan Ke KL...1

Tak banyak perkara yang perlu aku siapkan. Ini bukannya kali pertama sebaliknya dah masuk kali ketiga.  Angah akan menghantar aku yang dijadualkan menaiki bas 1 pagi di Penang Sentral. Along akan menunggu aku di Pudu Sentral pada 6 paginya pula. Sesekali fikir, ada untungnya juga punyai satu anak di sini dan satu lagi di sana.


Khabarnya KL semakin sendat. Aku merasa beruntung kerana menjadi salah seorang di antara mereka. Doaku cuma satu - agar Allah tetapkan keikhlasan di dalam diri ini.

Di rumah, ibu_suri telah ada yang menjaga. Di sana, aku serahkan semuanya pada yang Esa!