Ahad, 30 Jun 2013

Lawatan Kali Ini!

Aku melawat Akhmal, hari ini. Kali ini lawatan cuma boleh dihadiri oleh 3 orang saja. Selain ibu_suri aku bawa bersama anak saudaraku - Ema.

Lawatan kali ini adalah lawatan istimewa. Lawatan sempena meraikan Hari IbuBapa. Jalinan Kasih, kata mereka. 

Kami dibawa masuk melalui pintu besar. Selepas semuanya masuk, pintu besar dikunci. Mangganya, nala punya besaq. Suasana agak gelap. Kami diperiksa menggunakan alat pengesan logam. Aku yang dah biasa di periksa oleh guard sebegini sebelum masuk ke lokasi kerja tidak seperti sesetengah ibubapa yang kelihatan canggung.

Bila pintu ke 2 dibuka dan kemudian melangkah masuk ke pintu ke 3, tiba-tiba bulu roma aku tegak berdiri. Aku membaca beberapa potong ayat Quran. Sergam di depan adalah khemah serta kerusi. Keliling adalah pagar dengan kawat bergulung di atasnya. Di sebelah pagar itu ada bilik-bilik berjeriji. Di sebelah kanannya tertulis ''insaf'. Di sebelah kirinya..... tak pasti kerana papantanda terlindung oleh tiang-tiang. Tapak tempat aku berdiri ini aku percaya adalah tempat mereka berhimpun, berkawad ataupun beraktiviti.

Akhmal dah sedia menunggu bersama rakan-rakan lain. Dia memakai sut merah. Mukanya agak berisi. Ada antara ibu yang memeluk anak mereka termasuk ibu_suri. Aku cuba buat bersahaja. Berjabat tangan   lalu bertanya khabar.

Majlis bermula seperti lazimnya majlis yang dirasmikan oleh Pengarah. Kemudian agenda ramah mesra para pegawai dengan ibubapa dengan memberi goodies sambil diiringi oleh lagu nyanyian dari kalangan mereka secara minus one. 

Memang ada antara ibubapa yang tidak dapat menahan takungan airmata bila diberi peluang berbual secara lansung dengan anak mereka. Ada antara mereka yang baru saja menjalani hukuman 10 rotan bila melihatkan cara jalannya  yang mengengkang. Ada yang terpaksa merengkok hingga 2020 kerana kes samun menggunakan parang. Malah ada yang baru sekali 2 terlibat dengan kes curi motor tapi tidak bernasib baik diberkas polis.

"Dia tu rajin mengaji Quran dan sembahyang. Dulu dia belajar pondok. Abang dia pun pernah jenis keluar masuk juga." terang Akhmal yang di sini juga dikenali dengan gelaran Apek seperti juga gelarannya di kalangan kawan-kawan di rumah.

Puas juga selama 3 jam bersama Akhmal. Majlis yang hanya terbatas dengan makan dan berbual sahaja ini sudah cukup meyakinkan aku bahawa layanan mereka kepada Akhmal boleh aku kira baik. 

Jam 11 majlis selesai. Aku memeluk Akhmal erat-erat sambil berbisik:

"Ayah hanya mengharapkan kamu menjadi manusia baik. Itu sudah cukup bagi ayah. Nanti, binalah hidup baru. Yang penting ialah bukan apa yang ada di luar tetapi ialah apa yang ada di dalam diri kamu. Jika kamu mahu berubah,insyaAllah... ayah akan bantu kamu."

Sebenarnya.... aku sendiri pun hampir tidak dapat menahan takungan airmata dari tertumpah. Sepertimana dulu juga; tatkala aku memandikan abah aku buat kali terakhir dulu...

Khamis, 27 Jun 2013

1G Tak cukup?

Sejak PRU13 hingga hari ini, aku bergelut dengan situasi dimana Celcom data 1G yang aku langgan telah habis guna walaupun baru 3/4 bulan. Sebelum ini tidak pernah berlaku. 1G dengan harga RM48 sebulan lebih dari mencukupi.

Tak tahu tang mana silapnya. Semalam saja aku dah minta tambahan 1G lagi yag bernilai RM15.Namun hari ini dia dah mula buat hal. Loading macam sipu. Aku perlu buat tambahan kerana nak guna untuk mengemaskini blog TKM1 setiap hari tanpa gagal.

Otak aku mula terfikir nak menukar kepada yang baru seperti U mobile atau DIGI. Cuma tak pasti samada taliannya cukup bagi tempat aku ini. Atau juga, adakah salam Celcom atau salah aku sendiri?

Untuk bil internet dan talipon saja setiap bulan sekitar RM140. Bil letrik RM180. Aduhh.... Macam manalah nak berehat dari bekerja tatkala umur 55 kalau macam inilah kos sara hidup aku saban bulan?

Tu belum kira duit minyak kereta, makan minum dan bawa ibu_suri ronda-ronda hujung minggu. Kalau ikut apa yang aku perhatikan kehidupan mak dan abah dulu, mau tak mau aku kena berdikari sendiri mencari rezeki hingga hujung hayat.

Jangan harap sangat orang lain akan bantu hatta anak sendiri.

Syaaban Yang Berseri

Malam Nisfu Syaaban bebaru ini memberi peluang kepada aku melihat bulan penuh yang besar dan indah tergantung di dada langit.

Hebatnya ciptaan Tuhan yang tak terjangkau oleh pemikiran aku yang cetek ini.

Berada di bulan Syaaban memberi tanda bahawa Ramadhan semakin hampir hadirnya. Bulan yang penuh keberkatan ini pastinya akan menyajikan kesibukan aku mengejar waktu untuk diisi dengan rutin-rutin ibadah yang wajib dan sunat itu.

Tak pasti samada Akhmal akan keluar dari 'sana' dan boleh berpuasa dan berhari raya bersama. Mungkin juga dia akan berpuasa dan berhari raya bersama 'mereka' dengan persekitaran yang asing.

Angah juga akan melalui Ramadhan ini buat pertama kalinya dengan tanggungjawap sendiri. Kalau dulu dia banyak bergantung kepada aku dalam urusan bersahur dan berbuka puasa; kali ini dia dan Ayulah yang akan mengendalikan juadah mereka sendiri.

Aku ingin mengharungi Ramadahan dan Syawal kali ini dan akan datang dengan sebaiknya. Aku tahu, peluang yang masih ada diberi oleh Allah tinggal sedikit cuma. Aku tidak mahu tercicir sebaliknya mahu hari-hari mendatangku cerah dan berseri seperti cahaya bulan Nisfu Syaaban itu!

Tidak mahu persiakan ia....

Rabu, 26 Jun 2013

Sayang Anak Tangan-Tangankan!

Bilamana melihatkan cucuku semakin nakal dan seperti tak boleh ditegur, aku mula menasihati Angah agar jangan terlalu memanjakan Marissa. Anak sulong katakan...

Pengalaman aku menjaga 3 orang anak termasuk Angah sebagai anak ke 2 banyak memberitahu aku bahawa ketika masih kecil inilah kita masih boleh memukul jika kita rasakan anak itu berbuat silap. 

"Angah tak samapai hati nak pukul."

"Bukannya pukul dengan rotan samapi bengkak bengkil. Cuma tampar sekadar nak beritahu dia bahawa apa yang dia perbuat tadi adalah salah.

Anak perempuan jika kasar perangainya, agak buruk dipandang orang.

"Nanti bila Marissa umur 4 tahun, hantar dia ke Tadika Amal Rintis sana. Itu tadika IKRAM. InsyaAllah, didikan mereka adalah Islamik dan professional." saramku pada Angah.

Tapi ibu_suri  menjuih bibir tanda kurang setuju. Walaupun dulu, ibu_suri adalah tenaga pengajar di situ sebelum di serang Ahmar, tapi kesan dari komplikasi itu membuatkan dia seperti berpatah arang dengan sebarang nama TAR.


Isnin, 24 Jun 2013

Tersadai Di Tepi Lebuhraya...

Dalam perjalanan pergi kerja tadi, rakan se'carpool' ku - JH tiba-tiba beritahu keretanya 'overheat'. minta pandangan aku hendak berhenti atau tidak. Waktu itu aku tahu bahawa aku kena menggantikan tempatnya untuk berbuat keputusan yang waras. Dia tentunya berada dalam kebimbangan dan perlu sokongan pandangan.

Jalan Seberang Jaya di waktu puncak ini memang terlalu sendat dengan kenderaan. Bunyi pin dan pon silih berganti. Tak tahu siapa yang ditegur atau dimarahi - motor atau kereta kami...

"Selalunya kita tengok orang lain yang rosak kereta dan tersadai di tepi jalan. hari ini giliran kita pula..." ujarku pada JH. JH yang sibuk memeriksa air dalam tangki simpanan radiator dan minyak enjin hanya ketawa.

Aku tahu saat-saat begini sokongan moral amat perlu. Walaupun taklah segetir mana insiden rosak kereta di pertengahan jalan ini namun dengan hadirnya rakan yang boleh menjadi penyejuk suasana tentu bantu mententeramkan hatinya.

"Tak perlu risau. Kalau sampai tahap kita kena ambil cuti, tak apa. Cuti saya masih ada banyak."

"Kalau kena repair, kita repairlah. InsyaAllah, saya ada duit backup. Tak perlu risau." Aku memberi keyakinan.

Aku usulkan supaya JH memanggil anaknya datang membantu. Saat-saat beginilah bantuan dari anak amat diperlukan. dan alangkah bahagianya jika anak itu membantu tanpa rungutan.

Rupanya, tali compressor yang putus. Seorang hamba Allah yang lalu, berhenti dan sudi membantu.

"Anak saya pomen kereta. nanti saya panggil dia datang sini tolong repair," sambil mengangkat talipon.

Fenomena begini tentunya menjadi satu pengalaman yang berharga dalam hidup. Ketenangan dan kesabaran adalah sesuatu yang mesti sentiasa menjadi pegangan diri kita.

kenderaan yang baik adalah salah satu dari 5 keperluan hidup yang perlu di jaga

Ahad, 23 Jun 2013

Di Kedai Kopi Tepi Masjid, Pagi ini...

Aku ke Tasik Mengkuang pun dah pukul 8 lebih. Matahari makin tajam cahayanya. Namun aku pergi juga untuk senaman berjalan. Itu azamku sejak hari Jumaat lagi - Sabtu dan Ahad ini mesti pergi riadah. Nak berjogging, dah bukan masanya. Lutut mula terasa sakit mutakhir ini.

Pemamndu lori itu singgah minum, agaknya.

















Lepas makan aku singgah minum di Kedai Kopi Tepi Masjid atau dulu di panggil Kedai Tok. Kedai ini memang antara favourite singgahanku mencari ketenangan lebih-lebih lagi waktu peringkat awal ibu_suri di serang Ahmar. Kedai ini kini diurus oleh anakcucu pemilik kedai asal.

Hasrat nak minum sambil baca Harakah tak kesampaian sebab stok masih belum sampai. Lambat pulak datangnya Harakah edisi Isnin kali ini. Mungkin lewat kerana nak cetak isu-isu Himpuan Blackout#505, fikirku.

Ramai orang. Aku ambil meja kosong hampir dengan jalan. Sambil minum dan makan cucur kegemaran, aku memerhati gelagat pasangan di hadapanku. Umur mereka mungkin 30~40an. Tatkala makanan sampai, kelihatan lelaki itu mengangkat tangan kirinya dan membaca doa makan ( aku agak ) lalu menggaul nasi juga dengan tangan kiri. Sambil menyuap ke mulut juga dengan tangan kiri, mulutnya sibuk bercakap dengan isterinya ( kemungkinan besar ). Isterinya yang hanya memesan air teh  mendengar dengan penuh tertib.

Tentu ada sebab kenapa dia makan dengan tangan kiri, fikirku. Sambil makan sesekali dia menghisap baki makanan dijejarinya. 

Kemudian kelihatan tangan kirinya mengangkat tangan kanannya ke peha. Hmm... Nak kata tangannya lumpuh... tak pasti. Melihat dari bentuk jari dan tangannya agak berlainan dari biasa.

Apapun, aku kagum. Pertamanya kerana melihatkan dia menjalani hidup di atas muka ini seperti manusia sempurna yang lain. Ada isteri, ada pekerjaan malah mungkin lebih baiknya dia ialah seorang yang warak dan menjaga sunnah. Keduanya ialah kerana mempunyai isteri yang aku kira cukup baik, solehah dan menerima suami seadanya. Satu lagi tazkirah terbaik untuk aku pagi ini...

Aku tidak menunggu lama. Sehabis saja kopi Radix yang aku minum, aku beli sedikit makanan berupa kepala ikan, sayur dan nasi kosong. Aku tahu, ibu_suri tentu lapar kerana belum makan sejak dari aku keluar tadi. Mintanya supaya aku masakkan sayur kacang panjang yang kami beli dari seorang pak cik yang menjaja di Petronas Kepala Batas semalam nampaknya terpaksa aku tangguh. Malam ni, kalau rajin... aku masakkan untuk dia. Kalau rajin la..he..he..

Sabtu, 22 Jun 2013

Patung Getah Rusa

"Eh, abang solat 2 rakaat saja ka... bukan 4?" tegur ibu_suri sebaik saja aku mahu melipat sejadah.

"4 la...."

 "Dakk... 2 saja. I tengok you solat 2 kali ja..." sambil menunjuk simbol peace.

Aku pegun sekejap sambil mengimbas. 4 .....! Err... ye ker?...... Aduhhh.... 

"Ala.... awat you bagitau. Kan dah kena sembahyang lagi sekali ni." 

"I nampak, I bagitau la... Salah ka...?" Aku tidak mahu membidas.

Sebenarnya, mutakhir ini aku memang kerap begitu. Lebih selalu ialah kena buat sujud sahwi kerana tidak pasti jumlah rakaat yang dibuat.

Aku terlalu letih sebenarnya. Sejak tengahari memandu ke Pulau Sayak dengan biras dan keluarga mereka semata-mata kerana mahu makan mee udang. Memang sedap. Harga sepinggan sekitar RM8. Aku keluarkan RM100 dengan niat nak belanja mereka.

Kemudian lansung ke Pantai Merdeka. Lewat petang gini memang ramai orang. Rata-ratanya Melayu berkeluarga.

Dalam perjalanan balik, kakak ibu_suri beritahu bahawa patung kuda yang ibu_suri cari selama ini ada dijual di Longwan Kepala Batas. Apa lagi... bila dengar berita begitu, sebaik balik rumah dan selesai Maghrib ibu_suri ajak keluar lagi.

Mulanya aku cuba kelepiaq hinggalah ketahap kena undi secara wan tu som.

Sekali wan tu som... aku menang kerana membuat simbol batu sementara ibu_suri pula ssimbol cawan.

Kali ke 2 juga aku menang kerana silap ibu_suri membuat simbol batu yang aku dah boleh telah maka aku membuat simbol langit.

Tapi...he...he... bila melihatkan mukanya yang monyok... aku fikir lebih baik layan je kehendak ibu_suri tu daripada terjadi perkara yang tidak baik akibat ketidakstabilan emosinya nanti.

Patung kuda buatan dari getah itu akhirnya dapat aku beli dengan harga RM15. Senyum lebar ibu_suri sambil memberikan kepada cucunya - Marissa sebaik sampai di rumah.

Rabu, 19 Jun 2013

Sajak Di Dada

Sajak-sajak ini
memang selalu berdeklamasi di dada
ntah kenapa
tak tertulis ke dada komputer.

Sebabnya,
bukan semua sajak itu indah baitnya
bukan juga sedap rimanya.

Kebanyakan sajak yang terperosok di dada
adalah sajak-sajak lama 
yang huruf dan tintanya
sudah kembang
dek lamanya basah oleh airmata.


   ~ insan marhaen ~



   



Selasa, 18 Jun 2013

Dunia yang Asing... 3

Doktor India yang memegang kes ibu-suri sejak dari mula dia diwadkan itu kemudiannya menjalan ujian imbasan ke kepala ibu-suri. 

Aku tidak sempat melihat bagaimana ujian imbasan itu dibuat. Aku hanya diberi penerangan lewat imej x-ray yang menunjukkan ada banyak spot kecil-kecil di merata urat saraf dalam kepala ibu-suri. Spot kecil itulah blood clot yang kemudiannya membuatkan darah tidak sampai ke penghujung perjalanan darah hingga menyebabkan sebahagian dari otak ibu_suri rosak. Itulah Ahmar jenis ringan ( mild stroke ).

Akibatnya, ibu_suri terpaksa memakan berbagai jenis ubat termasuk antaranya yang mengandungi Gingko Biloba. Ubat-ubat ini memang mahal. Aku bernasib baik kerana kos rawatan ditanggug oleh insuran tempat kerja. Tapi selama mana?

Jadual hidup aku memang lintang pukang. Makaan tidur tak menetu. Banyak masa habis dengan ke hulu ke hilir menjaga rumah dan kerja. Kebetulan di tempat kerja, aku berdepan dengan customer claim. Kalian yang bekerja di syarikat swasta tentu faham bila ada kes customer claim ni.  Tak lena tidur memikirkan bagaimana cara nak menjawap isu tersebut.

Wajah aku memang selalu sugul. Semua hubungan aku dengan aktiviti jamaah aku buang begitu saja dari kepalaku yang kini hanya fokus kepada ibu_suri semata-mata. Dunia yang aku sedang berdepan sekarang ini memang terlalu asing dan sunyi.

Aku bertanya kepada beberapa orang tentang bagaimana menghadapi individu yang mengidap stroke ini tapi rata-rata jawapan itu tidak seperti yang aku harapkan. Bila beritahu saja yang ibu_suri menghidap stroke mereka akan susuli dengan pertanyaan lain; 

'Lumpuh sebelah kiri ke kanan?'

Sedangkan realiti yang aku hadapi ialah.... ibu-suri seperti bertenaga Badang. Kuat, agresif, bengkeng dan mudah mengamuk tak tentu pasal.

Tragis Atau Tangis

Aleh-aleh semalam aku terima panggilan talipon dari nombor yang tidak bernama.

"Assalamualaikum. Apa habaq?"

"Waalaikumsalam. Siapa ni?" sambil cuba mengecam suara yang nampaknya seperti sudah kenal benar akan aku ini.

"Kak Ton la... mak Akhmal..."

Ooppsss... Aku serta merta jadi seperti serba salah.

"Haaaa.....Kak Ton. Ada kat mana ni?"

Serba salah bukan kerana apa. Aku tahu tentu dia akan bertanya pasal Akhmal. Nak aku ceritakan bagaimana tentang Akhmal yang kini terkurung di Sungai Petani. Rasa malu ada. Rasa bersalah ada. Gagal menjaga Akhmal sebaiknya.

Akhmal















Memang Akhmal pernah mengajak aku berjumpa maknya yang dah lama tak bersua. Tapi bila dirisik, Kak Ton dah tak tinggal di Setiawan lagi sebaliknya di Selangor.

"Tak apalah IM. Tak perlu segan dengan Kak Ton. Kesian kat IM sebab terpaksa jaga Akhmal dengan keadaan begitu." Kak Ton seperti sudah tahu titik bengik tentang Akhmal.

Aku cuba juga mengelak dari berbual banyak tentang Akhmal.

Akhmal adalah anak kak Ton yang ke 6 dengan suami yang ntah keberapa. Tapi kerana waktu itu Kak Ton berniaga sedangkan bapa Akhmal menghilang ntah kemana, dia mahu berikan anaknya kepada orang lain untuk menjaga. Kebetulan kakaknya tinggal di sebelah rumah Tok Ba kepada ibu_suri di Air Itam, maka tawaran itu di sambut oleh ibu_suri. Panjang cerita  sebenarnya.

Cuma tiba-tiba aku terasa seperti akan berlaku suatu pertembungan atau mungkin satu pertautan kekeluargaan dalam sedikit masa lagi.

Ntahlah... Aku harap akhirnya peristiwa ini nanti berlaku dengan happy ending. Seperti tak tahu apa yang akan terjadi bila Akhmal keluar nanti dan dibawa berjumpa dengan maknya - Kak Ton... tragis atau tangis!

Ahad, 16 Jun 2013

Sebuah Kek

Semalam aku ke rumah mertua membawa satu kek sempena Hari Bapa. Sesampai saja ke sana, adik ipar memberitahu bahawa mereka semua tiada di rumah kerana menjenguk rumah pusaka di Kampung Batu 3, Tapah yang telah beberapa kali di masuki pencuri.

Sudahnya, kami sahajalah di rumah itu - aku, ibu_suri, kakak ipar, adik ipar, Marissa dan lain-lain cucu menakan. Apa yang perlu diperbuat dengan kek ini?

Aku letakkan di meja. Setelah siap membuat se jug air oren dan menyediakan piring serta sudu, aku ajak Marissa memotong kek. Marissa yang kini sudah mula petah bercakap ( bahasa dia yang aku pun sukar nak faham ) bukan main lagi tak sabar. Berlemuih tangan dan mulut. 

Khabarnya, Marissa bakal dapat adik awal tahun depan. Harap-harap kali ini biarlah lelaki. Semasa Marissa lahir dulu, Ayu mempunyai masaalah melahirkan. Natijahnya doktor memberitahu bahawa kelahiran akan datang terpaksa dilaksanakan melalui pembedahan.

Sewaktu memegang pisau di tangan Marissa yang sudah mula jinak untuk kudukung dan ajak bermain, aku teringat arwah abah aku sendiri. Seumur hidup aku, aku tidak pernah meraikan Hari Abah kerana sikap aku yang memang tidak gemar menyambut hari yang sebegini. 

Cumanya kerana meraikan kehendak ibu_suri yang memang peka dengan tarikh-tarikh istimewa seperi Hari jadi dan Hari Ibu/Bapa ni. Muga abahku aman damai di alam 'sana'...

pusara abah memang ringkas saja binaannya

Jumaat, 14 Jun 2013

Dunia Yang Asing... 2


"Maaf encik. Kami terpaksa ikat tangannya sebab dia cuba nak mencabut tiub dari  botol air di tangannya. Dia meronta nak balik." terang jururawat sebaik saja aku menghampiri katil.

"Awak kenal ini siapa?" tanya jururawat pada ibu_suri.

Bila ibu_suri menggeleng kepala tanda 'tak kenal' tiba-tiba aku terasa dunia ini terlalu sayu. 

"Ini suami awak..." terang jururawat lagi. Respon ibu_suri seperti orang yang sedang terpinga-pinga.

"I nak balik. Kenapa I ada di sini? I dah sihat. You bawa I balik!" sambil meronta minta dilepaskan ikatan.

Jantung aku bagai nak rak tatkala melihatkan gelagat ibu_suri begitu. Tak pernah seumur hidup aku melihat dia diikat bagai orang ganas. Tak pernah seumur hidup aku mendengar dia bercakap I You dengan aku. Aku persis orang binggung.

Cuba menalipon kakak ipar... adik ipar... mertua di Air Itam. Entah kenapa semuanya tidak mengangkat talipon. Aku menjadi seperti tak tahu nak buat apa.

Rontaan ibu_suri minta dilepaskan buat aku seperti hilang akal. Tak jauh dari katil ibu_suri ada wad kanak-kanak. Wad itu telah pun dikunci dan beberapa orang menjaga pintu luar dan dalam. Sepertilah ibu_suri ini seorang yang bahaya dan akan mencederakan mereka.

Tuhan... Aku semakin terasa sendirian dalam berfikir untuk berbuat sesuatu dengan pantas...

Nak talipon mak dikampung mengadu dan minta pandangan? Ntah...




Semua ciri catatan ini ada di sini.

Rabu, 12 Jun 2013

Kepak

Beriya-iya ibu_suri minta aku belikan KFC untuk dimakan bersama Angah dan keluarga. Walaupun umat Islam disaran supaya boikot KFC namun bila ada maslahat yang tertentu aku terpaksa juga membeli.


















Kata Angah KFC Padang lalang, Bukit Mertajam lebih sedap berbanding yang lain. Namun bagi aku sama je rasanya dengan lain KFC pun. 

Aku minat perisa Korean tapi di situ perisa tersebut dah habis. Jadi, pesan KFC spicy pakej Family Combo A. Tak sangka, dapat payung panas percuma, satu. 

"Encik nak yang mana? Ada 2 jenis." sambil menunjuk kepada poster yang terbentang di birai siling. 

Aku ambil yang ada logo Superman. 'Sesuailah dengan aku yang dah tua ni..!' bisik hati kecil. 

Meriah suasana makan malam kami dengan keletah cucuku - Marissa yang makannya sikit, buangnya lebih. 

"Dia dah kenyang la tu." ujarku pada Ayu yang beriya-iya mengadun Marissa supaya tak mencamuk ruang makan. Segan agaknya dengan perangai Marissa yang sedikit nakal ini. 

Aku tersilap kerana tidak meminta bahagian kepak. Akibatnya, kesemua potongan ayam dalam kotak adalah bahagian dada dan isi. 

Aku cuma makan seketul sahaja sekadar mahu ambil hati ibu_suri dan anak menantu. Sebenarnya, aku sudah terlalu kenyang makan cucur dan kotiaw goreng yang aku beli di Pasar Tani otw baik kerja tadi. Ditambah pula dada dan isi bukanlah pilihan tekakku yang tidak berapa gemar makan ayam. Atau kalau pun mahu makan, lebih gemar bahagian kepak walaupun kawanku seorang jururawat pernah berpesan - jangan. Katanya; bahagian kepaklah suntikan hormon selalu dilakukan oleh penternak.

Selasa, 11 Jun 2013

Tersungkur Di Gelanggang

Baru balik dari bermain badminton di Sunway Sport Centre, Seberang Jaya. Tidak pulak aku tahu rupanya selama ini ada gelanggang badminton dan futsal di situ. Bagus juga idea membina gelanggang sukan yang seperti ini. Tapi bagai dijangka - pengusahanya .... bangsa Cina.

pinjam














Sebenarnya ini usul dari naqib usrah aku - Mohd Isa ( menggantikan naqib sebelum ini Ustaz Mohd Rozee ). Usrah tidak semestinya menadah kitab semata. Usrah boleh juga dalam bentuk riadah, makan-makan, rehlah atau ziarah. Kepelbagaian begini akan menjadikan usrah itu menarik. Tidak jumud.

Aku bukanlah pandai main badminton. Malah bila masuk saja ke gelanggang untuk memukul bulu tangkis, dah mula terasa gayat. Asyik terpukul angin aje.

Bila permainan set dimulakan, aku cekalkan hati untuk mengambil servis sedangkan sebenarnya aku rasa teramat segan dengan kawan-kawan lain yang muda dan bergaya dengan kasut sukan serta reket mahal. Aku tahu, gaya permainan aku ini macam kartun. Maklumlah, aku bukannya membesar dengan budaya sukan sebaliknya lebih kepada budaya suri rumah - jaga adik, basuh kain, masak untuk adik-adik dan cari kayu api.

Sup..sap..sup..sap... toinggg.... aku tersungkur di gelanggang ketika mengambil bola drop shot oleh pihak lawan. Berguling aku. Bila bangun, rasa berpinar. Tapi gagahi juga meneruskan permainan dan terasa markah perlawanan terlalu lambat tamat.

Bila balik dan bercerita pada ibu_suri, ibu_suri sebaliknya.... HA..HA..HA..

"Tak boleh nak bayangkan macam mana rupa abang terjatuh tadi...!"... Alahai...

Esok pagi, gerenti aku akan berjalan macam robot masuk ke ofis!

Isnin, 10 Jun 2013

Dunia Yang Asing... 1

Aku ingin ceritakan semula kisah bagaimana mulanya ibu_suri menjadi sepertimana sekarang.

Setelah 4 hari ibu_suri dimasukkan ke Bukit Mertajam Specialist Center (sekarang KPJ Specialist Center) atas rawatan sakit perut, doktor sahkan dia boleh discharge. 


Pagi itu aku uruskan dulu membuat repot polis kerana dalam kalut ke hulu kehilir menjaga ibu_suri dan melihat anak-anak di rumah, dompet aku hilang ntah kemana.

Selepas siap buat laporan, aku bergegas ke RHB di Lebuh Pantai untuk batalkan kad bank. Dalam perjalanan itulah doktor India yang merawat ibu_suri menalipon;

"I want to do scanning on her head. She looks confusing this morning."

Eh, apahal pulak kena scan? Bukan ke dah boleh balik? Confuse yang macam mana?

"Doctor, please wait. I see her first!"

Aku bergegas kembali ke BMSC. Lift tak berfungsi. Aku menaiki tangga. Sebaik saja berada di tingkat 2, keadaan suram. Rupanya lif di sekat dengan papan tanda. Tingkap keliling wad di tutup. Ramai jururawat di serata wad, mundar mandir.

Di atas katil, aku terkejut melihatkan tangan ibu_suri teringat di birai katil. Kenapa pula ni?














... sambung

Ahad, 9 Jun 2013

Pengerusi Sementara


Pengerusi Sementara berpeluk tubuh meneliti agenda


















Semalam, aku hadiri Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Seberang Perai Tengah kali ke 4. Aku ingatkan ia bermula jam 2.30 petang tapi rupanya dah terlewat setengah jam.

Namun bernasib baik sebab mesyuarat masih belum bermula. Agaknya, setengah jam itu adalah ruang masa pendaftaran perwakilan. Aku duduk di sebelah Tuan Hj Mohd Taufek. Heran juga aku, kenapa dia turut sama datang? Rupanya dia mewakili YDP untuk perasmian mesyuarat. Hj Taufek adalah seorang usahawan Pest Control yang berjaya. Tapi dia cukup tawadhu' disamping giat berdakwah di daerah Thailand dan Vietnam sana.

Sejurus bermula mesyuarat aku di sebut-sebut oleh rakan-rakan di sisi untuk menggantikan Pengerusi Tetap yang tidak dapat hadir kerana urusan tertentu. Mulanya aku menolak. Manalah aku reti bab-bab mengurus majlis besar dan rasmi macam ni.

Tapi bila SU dan YDP pula yang meminta aku ke hadapan, dengan mengambil sikap sami'na wa athoqna, aku menarik nafas panjang dan dalam lalu duduk di hadapan perwakilan mesyuarat. Inilah kali pertama seumur hidup aku menjadi Pengerusi Tetap... oopss... istilah sebenar... Pengerusi Sementara mesyuarat.

Aku mulakan majlis dengan Fatehah demi mengambil keberkatan Ummul Quran. Dan cuba sedaya upaya mengendali mesyuarat sambil dibantu oleh SU yang juga rakan akrabku.

Ini juga adalah berkat tarbiyah dari jamaah seperti usrah dan mukhayyam yakni patuh pada arahan jika arahan itu adalah dari qiadah jamaah. Aku percaya, jika kita ikhlas Allah akan turunkan bantuan.

Pujukan ibu_suri sebelum aku bertolak tadi supaya balik awal nampaknya terpaksa aku abaikan. Lagipun, aku tidak pula berjanji. Aku tahu, tak manislah balik awal sebelum tamat mesyuarat. Aku tak selalu dapat bertemu dengan sahabat seperjuangan. Kesempatan begini aku cuba gunakan sebaik mungkin untuk bermuayasyah bersama mereka.

Sabtu, 8 Jun 2013











Meminati lagu-lagu nyanyian Ebiet G Ade ini sebenarnya sudah lama. Lama sejak di IKM lagi.

Di asrama 3 tingkat itu selain di diami oleh pelatih dari Semenanjung, ada juga yang datang dari Sabah dan Serawak tajaan Yayasan negeri.

Aku selalunya lepak di bilik kawan baikku Aziz ( dari Melaka ) disetiap kali habis kuliah. Ntah kenapa, aku malas nak lepak di bilik sendiri yang kebanyakannya adalah pelatih senior  dari Kelantan.

Di bilik Aziz ini ada beberapa pelatih dari Sabah dan Serawak. Mereka inilah yang disetiap kali ada di bilik akan memutarkan lagu Ebiet G Ade menggunakan mini-compo mereka. Hari-hari telinga aku disogokkan hingga akhirnya aku menjadi ketagih mendengar lagu-lagu Ebiet yang memiliki seni muzik, lirik dan penghayatan yang tersendiri. Bila aku dah keluar bekerja, berkahwin dan tua-tua begini, masih tetap meminati lagu-lagu beliau yang sebelum ini aku tak pernah kenal pun sepertimana kenal Borery Marantika maupun Bob Tutupoly.

Di zaman pemain keset masih menjadi pilihan peminat muzik, aku memiliki hampir semua album Ebiet sedari volume 1 hinggalah keluaran terkini masa itu. Beberapa album antaranya adalah keluaran asli dari penerbit asalnya di Indonesia.

Aku memang meminati puisi dan muzik sekaligus. Jadi, situasi ini memang menepati citarasaku yang semasa itu jiwan-jiwang. Bila dah bekerja dan kenal realiti kehidupan dan dakwah aku alehkan sedikit ke arah meminati lagu-lagu berunsur ketuhanan dan kemasyarakatan. Dan lagu-lagu Ebiet masih menepati citarasaku dan kekal menjadi lagu-lagu kegemaran.

Semasa tinggal di rumah sewa 2 tingkat (Solok Mahsuri 5, Bayan Baru) bersama kawan-kawan, aku diam di satu bilik sendiri. Kawan-kawan aku secara berseloroh selalu berkata;

"Kalau ada dengar lagu Ebiet dalam rumah ni maknanya IM dah balik kerja."

Aku perasan, antara yang tegar sama seperti aku adalah blogger http://sufina2008.blogspot.com/  Sayangnya, ntah kenapa aku dah tak boleh akses lagi untuk membacanya...

Khamis, 6 Jun 2013

Bergaya

"Kenapa abang tak mau pakai baju macam abang x?" tiba-tiba ibu_suri bersuara tatkala aku asyik melayari fb sementara menunggu Isyak masuk.

"Baju macam abang x?" Aku sedikit hairan. "Baju macam mana tu?" "

Ala... Baju kotak-kotak ke.  Baju belang-belang ke?"

"Baju yang abang pakai tu kenapa?"

"Baju abang tu kaler kosong je. Gelap-gelap pulak tu. Pakailah yang ceria-ceria sikit."

Jika bercakap tentang kegemaran antara aku dan ibu_suri memang kerapnya tak sama. Akulah yang banyak beralah kerana aku tak suka bertelagah.

Bab jumlah baju, seluar maupun kasut, memang tak punya kuantiti yang banyak. Kalau almari baju 2 pintu itu, aku ambil bahagian kiri yang sempit saja sementara ibu_suri akan ambil ruang kanan yang luas. Aku cuma menggantung beberapa helai kemeja, t-shirt dan baju Melayu.

Baju pula hampir semuanya warna gelap seperti hitam, biru tua atau kelabu. Tak tahu sebab apa. Pernah juga beli baju warna hijau muda atau merah tapi cuma seheai dua.

Masa remaja dulu aku suka baju kotak-kotak. Zaman baju jarang.. bak kata R Azmi.  Kemungkinan selepas ini aku akan beli kemeja kotak-kotak dan warna-warni. Aku ingin cuba ubah gaya hidup sekarang ini kepada yang lebih ceria.

"Jangan nanti you jeles pulak bila tengok abang bergaya satu macam je nanti...ya!" Ujar ku diringi tawa yang dibuat-buat...

Rabu, 5 Jun 2013

Waktu-Waktu Pahit













Udah lama aku tak hadir usrah. Sejak kempen PRU13 hinggalah hari ini.

Patutnya, malam ini malam usrah. Tapi aku ambil keputusan untuk mula hadir di minggu depan. Biar ibu_suri benar-benar stabil dahulu. 

Memang, terasa kosong jiwa ini bila tak disiram dengan suasana usrah. Terasa pakum bila tidak disentuhi tazkirah dan ukhuwwah. Elemen inilah yang telah mendidik aku sekian tahun sejak bujang hingga mencecah usia setengah abad.

Walaupun aku tidaklah sehebat rakan-rakan seangkatan yang sudahpun berada di tahap 5 fasa tarbiyah namun aku tetap bersyukur kerana masih berada dilingkungan suasana berjamaah. Bukan menjadi bak seekor kambing yang bersendirian dari kelompok. Yang kemudiannya akan mudah diterkam pemangsa.

Aku futur sekejap dari rangkaian tarbiyah jamaah semasa ibu_suri diserang Ahmar tahun 2008 dulu. Masa itu memang aku merasakan dunia gelap dan terlalu sunyi. Sendirian berhadapan dengan dunia yang begitu asing dan tak pernah terfikir akan mengalaminya. Sikap ibu_suri yang kekadang murung teramat atau kekadang bengkeng tak bersebab ( bipolar dis-order ) membuatkan aku seperti hilang arah tujuan. Hanya berjalan mengikut hayunan kaki dan dorongan keadaan.

Lama juga aku terpaksa lalui waktu-waktu pahit itu hingga pernah terasa seperti mahu terjun dari Jambatan Pulau Pinang sahaja. Namun kekuatan dalaman berkat dari tarbiyah usrah dan didikan mak semasa kecil membolehkan aku cekal dan terus tabah.

Bayangkan, jika dimasa yang sama tekanan kerja terus-terusan datang dan pergi. Di masa yang sama Akhmal terlibat dengan gejala gam, curi motor, bergaduh dan syabu. Terasa aku bersendirian menghadapi semua itu.

Namun syukur kerana hari ini aku mulai terasa lapang. Boleh senyum panjang dan melakukan semula kegiatan kemasyarakatan meneruskan hobi sedia ada.

Dan paling bahagia ialah bila aku sudah mula boleh kembali ke saf perjuangan bersama rakan jamaah. Boleh hadir usrah, mukhayyam, muktamar dan qiadah.

Aku benar-benar percaya bahawa jika Allah sayang kepada kita Allah akan uji kita. Jika Allah sayang pada kita, Allah akan beri jika kita meminta dengan penuh harap dan rendah diri.

Jika hidup kita sentiasa mudah dan mewah, kita perlu rasa bimbang!

Selasa, 4 Jun 2013

Nama Itu Sudah Sebati

Sebenarnya, atas sebab tertentu, aku  bercadang untuk tanggalkankan jenama insan marhaen yang ada pada diriku. Aku memilih nama ganti Hujan Petang yang penah aku gunakan untuk blog antologi puisiku satu ketika dulu.

Namun nampaknya aku tidak boleh lari dari imej yang telah aku bina bertahun-tahun sejak berkecimpung dalam dunia blog ini. Bukan saja rakan blog malah rakan di luar masih tetap memanggil aku dengan nama itu. Malah sebenarnya aku sendiri terasa seperti kehilangan glamour bilamana menggunakan nama lain.

Jadi, hari ini aku kembali memakai nama insan marhaen. Nama pena yang memang kiranya sudah sebati dengan diriku.

InsyaAllah, aku akan terus menulis blog walaupun dimasa yang sama semakin ramai kawan-kawanku  beraleh ke Facebook.

Bagi aku, menulis bukan untuk suka-suka semata tetapi sebagai catatan serius untuk mengabadikan sejarah hidupku. Kalau tidak untuk generasiku akan datang, cukuplah untuk kepuasan diriku sendiri.

 photo gif017.gif

Isnin, 3 Jun 2013

Dilain Peluang, InsyaAllah!

Aku ambil cuti hari ini. Selain untuk bawa ibu_suri berjumpa doktor pakar di Klinik Kubang Semang, perlu bawa Viva ke bengkel ketuk untuk dibaikpulih.

"Awat tak hantar ke kedai Melayu sana?" sambil menunjuk ke bengkel di kanan jalan setelah aku beritahu bahawa pilihan aku ialah ke bengkel Cina di kanan Jalan Penanti.

"Ntahlah. Susah abang nak cakap. Tapi pengalaman abang mengatakan bengkel Cina ni lebih cepat siapnya dan kerjabuatnya meyakinkan."

Itu adalah pengalaman aku yang sebenar. Memang. Kalau lain orang tahu jawapan aku, mesti mereka mengatakan aku ini pengelat. Tidak mahu menyokong bangsa sendiri. Apa salahnya tidak elok sedikit demi  membantu ekonomi bangsa sendiri?

Aku pernah beri kontrak pada Melayu untuk ubahsuai rumah. Setahun baru siap. Itupun setelah bertukar tangan 3 kali. Biras aku pernah menghantar keretanya untuk dicat semula ke bengkel Melayu. Berbulan baru siap.

Aku dah minta sebutharga dari Perodua Seberang Jaya untuk baikpulih Viva ini. Perodua letak harga RM680. Bengkel Cina ini letak harga RM280.

Walaupun aku lebih cenderong menghantarnya ke Perodua namun kekangan kewangan buatkan aku mencari bengkel setempat yang lebih murah dan meyakinkan sahaja.

Dilain peluang insyaAllah... Aku tetap menyokong kerjabuat orang kita... orang Islam!

Ahad, 2 Jun 2013

Jiwa Yang Bergetar

Hari ini aku ziarah Akhmal pula. Dah setahun dia berehat di 'dalam'. Walaupun dia seringkali mengeluh kerana terkurung begitu lama namun bagi aku sebaliknya. Tau-tau dia akan keluar sekitar hujung tahun ini.

Dia tampak biasa-biasa saja. Jari kakinya yang patah itu masih sakit. Seperti biasa aku menasihatinya supaya peluang berada di sini, isikan dengan berfikir siapa dan kemanakah dia sepatutnya pergi. Aku minta dia membina sikap dan hidup baru pabila keluar nanti. Hmm.. Ntah dia peka atau tidak.. wallahualam!

Bagaimana dia nak bina hidup baru? Persoalan itu selalu menghantui kotak fikiranku tak kira semasa memandu, semasa menunggu waktu solat Jumaat masuk malah ketika berada di 'bilik termenung'.

Akulah sebenarnya yang perlu memainkan peranan sebagai penunjuk jalan, pemangkin dan tulang belakang. Masakan dia boleh berdikari sedangkan dia sendiri umpama sampan terumbang ambing di tengah lautan. Pantai masih samar dan masyarakat keliling pastinya memandang dengan penuh bimbang dan syak.

Setiap kali ziarah dia di sini memang buatkan jiwaku bergetar. Tiada siapa yang tahu walang di hatiku ini. Tidak Angah. Tidak Along. Hatta ibu_suri memang tidak boleh tahu dan tidak akan aku mengadu.

Ujar Akhmal, 10hb ini ada program Jalinan Kasih dianjur oleh pihak penjara. Raut wajahnya memberitahu aku akan harapan tingginya atas kehadiraku.

Aku hanya melepas keluh yang panjang dan dalam. Bukan dek tidak dapat hadir tapi mengenangkan 'letih' aku berhabisan segalanya untuk mereka berdua sahaja.... Akhmal dan ibu-suri!

Sabtu, 1 Jun 2013

Hujung Usia Ini...

Bersama ibu_suri, aku ziarah abah di Taman Buah Pala. Abah tinggal bersaorangan di rumah. Mak pergi ke rumah cucunya di Kepala Batas. Kesian melihat abah; yang sebaik kami sampai, dia sedang berbaring  sendirian menanti waktu Zohor masuk. Dalam rumah sunyi sahaja,

Umur abah dah lebih 80 tahun. Lutut dan kakinya dah tak kuat untuk berjalan banyak. Kekadang menggunakan kerusi sebagai sokongan untuk bergerak.

Abah menerima kunci dari KM
Boleh di katakan selang seminggu aku akan ziarah mertuaku ini. Tidak ada alasan untuk aku tidak boleh menziarahinya selalu. Kereta, ada. Bebanan menjaga anak juga dah berlalu. Sekadar duit minyak dan tol berapalah sangat.

Bapaku adalah bekas anggota SC (Special Constable ) zaman dharurat dulu. Kemudian bila dah pencen dia mendapat tawaran untuk mendiami tanah TOL di Lorong Buah Pala, Bukit Gelugor.

Sekarang ini kawasan tersebut telah diambil aleh oleh Syarikat Nusmetro untuk didirikan pangsapuri puluhan tingkat. Sebahagian dari tanah itu dibina rumah teres 2 tingkat untuk diberi secara percuma kepada bekas penduduk Lorong Buah Pala termasuklah mertuaku sebagai pampasan.

Tak  adapun yang aku buat di sana selain duduk menonton tv, membaca akhbar atau mangadap laptop. Cuma jika dia mahu ke kedai membeli barang atau berjalan menemui kawan-kawannya, aku bawakan. Kasihan juga melihatkan dia begitu payah memasuki kereta dengan hayun langkah yang terkengkang-kengkang

Melihat keadaan fizikal dan mendengar keluhan bapa mertua selama aku di sana tadi membuatkan aku insaf kepada diri sendiri. Apalah guna masa muda dihabiskan untuk menghimpun harta jika di hujung usia kita cuma boleh melihatnya sahaja tanpa dapat menikmatinya seratus peratus.

Alangkah beruntungnya jika diusia masih segar ini kita isi dan penuhi ia dengan amal bakti yang menjurus kepada  akhirat!

Adaptasi

Seminggu dua ini aku tidak berkesempatan ke Tasik Mengkuang untuk riadah seperti yang termaktub dalam azam awal tahun. Sebelum jam  8 aku perlu berada di depan Bilik Mengandung, Klinik Kubang Semang untuk memeriksa tekanan darah.

Pada dasarnya aku tidak gembira dengan bacaan yang tercatit di kad rawatan. Grafnya yang turun naik itu memberi isyarat bahawa tahap hipertensi ibu_suri sebenarnya perlukan lebih tindakan lain dari sekadar ubat biasa.

1. 130/80 mmHg
2. 152/89 mmHg
3. 124/74 mmHg
4. 146/82 mmHg
5. 170/90 mmHg
6. 140/80 mmHg

Ada rakan blogger di sini yang menyarankan beberapa cara seperti di sini. Susahnya, ibu_suri ini tidak mau yang renyah dan untuk berdisiplin terhadap aturan yang baru itulah yang payah.

Dia perlu mengadaptasi gaya makan minum yang baru itu dengan pengubahsuaian kebiasaan lama. Contohnya, habit meminum teh ais ditukarkan kepada teh o ais atau teh o ais limau. Lebih makan sayur dengan ikan berbanding ayam atau daging apatah lagi makanan laut. Kata Dr Azlina, masakan dari organ dalaman juga mesti dielakkan.

Itulah... kekadang... Bila aku memandu kereta sendirian pergi atau balik kerja aku selalu terfikir; bagaimanalah kebajikan ibu_suri kelak jika ditakdirkan aku 'tiada'? Bukan setakat makan minum dan ubatnya sahaja. Penjagaan emosinya itu yang lebih kritikal!


rujuk:
1. Maksud mmHg - sini
2. Maklumat Hipetensi - sini