Isnin, 30 November 2020

Maafkan Aku, Tuhan..


 Tuhan,

Terasa amat letih dan jemunya aku menggalas tanggungjawap ini. Berilah aku kekuatan. Campakkanlah keikhlasan. Jauhkanlah dari rasa cuak, malas dan kebencian.

Muga aku dapat menjaga kebajikannya sehingga akhir hayat dia.

Dia insan yang aku pilih menjadi istri dan ibu kepada anak anakku.

Walaupun dia tak seindah mana tapi dialah yang menerima aku seadanya.

Maafkan dia.

Dan maafkan aku jua...


Ahad, 22 November 2020

Catatan Subuh

Sekitar jam 4.30 pagi ibu_suri teriak nama aku. Beberapa kali juga baru aku bangun.

I lapar la...

Begitulah dia kalau malam cuma makan makanan ringan, bukan nasi. 

Kelak belum sempat matahari bangun dia akan meratus diri kerana lapar.

Aku pun paksa diri, bangun, jerang air dan buatkan se mug milo serta beberapa keping roti sapu kaya planta. Itu yang ringkas.

Selesai beri dia makan ingatkan boleh sambung tidur semula tapi mata dah tak boleh picing. Kaleh kiri kanan, sama.

Sekali lagi ibu_suri teriak nama aku.

Bang, basah la.

Aku tahu, itu maknanya dia suruh aku tukar lampin.

Fikir punya fikir, aku bangun la juga, tukarkan lampin dia walaupun aku lihat lampin itu masih belum sangat perlu ditukar.

Ingat hati kalau tukar sekarang, lambat sikitlah nak tukar yang lain. Dapatlah aku rileks lama sikit.


Dan semasa menukar lampin inilah aku teringat adikku, Duyah di kampung yang diamanahkah oleh keluargaku untuk menjaganya sebab dialah yg paling dekat duduk di situ.

Aku tahu, faham dan merasai bagaimana renyahnya menjaga orang yang sakit terutama mak sendiri yang tua dan lumpuh sebelah badan pula.

Selesai aku urus pakaikan lampin ibu_suri, baringkan dia, selimutkan dan memakaikan 'cuf' oksigen ke mulutnya, aku menghantar wasapp kepada adikku.


Aku menghela nafas panjang dan dalam. Aku teringat bagaima susah payah mak menjaga aku, anak yang sulong di kalangan 10 adik beradik. Sepatutnya di bahu akulah terpikulnya tanggungjawap menjaga mak. 

Namun apakan daya. Tuhan lebih mahu adikku ini yang meraih Syurga berkat menjaga mak...