Rabu, 31 Disember 2014

Tanpa Had


Nampaknya, tidak ada pilihan lain selain beli yang baru. Bila rujuk kat TM Point di Bandar Perda, memang warrantynya dah tamat.

Sebenarnya, streamyx yang aku guna di rumah ini asalnya adalah milik Along. Dia mendapat student package semasa masih belajar di KLMU beberapa tahun dulu. Bila aku tersepit dengan belanjawan bulanan, antara kos hidup yang terpaksa aku potong ialah Streamyx. 

Bila Along dah habis belajar dan mula memiliki smart phone, dia bagi pada aku dengan memindahkan alamat Streamyx dia ke rumah aku. Dari masa itulah aku guna Streamyx ini semula, kali ini tanpa had.

Memang berbaloi guna Streamyx berbanding sebelum ini aku guna Celcom package. Dengan sambungan wifi, sekalian yang ada di rumah ini boleh akses internet tanpa had, tanpa gangguan dengan satu bayaran bulanan... 68 ringgit. Aku lebih suka guna laptop. Angah pula lebih suka guna tab. Along dan Akhmal guna smart phone.

InsyaAllah, jika nanti aku memiliki smart phone, aku pun boleh godek-godek wassup tanpa susah kat rumah. Tak perlu beli data plan lain semata-mata nak guna masa berjalan di luar. Bila di luar cukuplah cit cat dengan sms...

Isnin, 29 Disember 2014

Oh Modemku!


Semasa langit sedang berdentum dentam pagi semalam, aku masih ralit melayari internet. Sekonyong-konyongnya... panggg... bunyi letupan yang kuat berserta cahaya di depanku.

Aku pun bangun melihat switch board di depanku. Tidak ada circuit breaker yang trip. Heran juga. Aku yang tahu serba sikit tentang elektrik sebab memang dulu aku ambil kos eletronik masa di IKMKL didatangi persoalan... tadi cahaya dari mana?

Cuba mencari bau... kut ada mana-mana bahagian alat eletrik yang terbakar... tak ada juga. Aku terus menutup laptop, mencabut semua plug eletrik kecuali peti ais. 

Aku segera teringat satu waktu dulu tv di rumah abah terbakar di bahagian supply circuit kerana disambar kilat. Bila abah minta LLN (Lembaga Letrik Negara) siasat, rupanya grounding cable rumah abah dah tercabut dari bumi. Terpaksa abah beli tv baru. 

Bila petang, aku nak buka internet, tak ada sambungan. Aku segera jengah ke arah modem aku yang juga di depan.... malap. Aduh... sahih la.. yang meletup pagi itu adalah modem streamyx aku...

Sabtu, 27 Disember 2014

Hujan Emas


Seronok bila dapat berkumpul bersama keluarga besar ibu_suri. Dari Johor pun datang. Kagum dengan keperibadian mereka yang positif dan islamik.

Aku ambil sikap bersahaja dan terbuka bila bersama mereka. Pertemuan ini di ilham dan digerakkan oleh anak buah ibu_suri. Orang muda... lainlah temponya...kan. Tangan dan mulut sama ligat. Aku sebagai golongan tua mahu dilihat sebagai pemangkin dan pendamai suasana.

Sudah tentunya, hal-hal berkaitan ibu_suri aku dahulukan. Bila ibu_suri cukup selesa barulah aku boleh enjoy dengan anak buah. Ya... memang dari awal lagi aku tanam dalam diriku, aku mahu low profile dan make it enjoyable. Bila begitu barulah bermakna pertemuan ini.

Bestnya kat sini ialah aku tak perlu fikir pasal nak masak. Makan sentiasa ada sebab ramai perempuan. Selalunya anak-anak buah dahulukan aku sebagai tanda menghormati bapa saudara. Itulah tidak ruginya jika kita ambil sikap rendah diri bila sesama mereka yang muda, kan? 

Lepas Maghrib semalam baru aku balik. Hujan renyai sepanjang perjalanan buat aku amat fokus kepada stereng. Lagipun, pandangan mata aku sudah kurang bagus bila berada di atas jalan raya yang gelap. Sikap ibu_suri yang selalu kata... okey... juga buat aku rasa seronok memandu. Bila ada rasa seronok, terasa cepat pula pemanduan ini.

Puas pujuk ibu_suri untuk singgah jenguk mak di Ipoh dengan mengumpannya untuk tidur di Hotel Fair Park. Malangnya ibu_suri tetap berkeras mahu balik rumah juga. Aku tahu dan faham... dia dah sampai ketahap tepu. Walapun hujan emas di negeri orang tetapi rumah sendiri juga yang lebih selesa...

Khamis, 25 Disember 2014

Jalan Baldwin


Semalam, 

aku bawa Akhmal ke rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya. Jahitan di bahagian anunya telah bertas. Doktor ambil keputusan untuk menjahitnya semula, bimbang akan ada infection. Bukan kepalang meradangnya dia.

Malam, aku bawa pula berjumpa dengan Pak Su yang tinggal di Lorong 11. Sering dia mengadu sakit dan lenguh dari belikat yang kemudiannya seperti bergerak ke lengan buat aku berprasangka yang bukan-bukan.

"Tak ada apa-apa ni. Memang dia sakit betul. Bawa dia pergi urut," ujar Pak Su setelah dia picit-picit serata bahagian yang sakit. Lega juga rasa hati mulanya seperti agak hampa kalaulah benar Akhmal dihinggap benda halus itu. Rasanya beban yang ada pun sudah letih menanggungnya...

Hari ini, 

aku tinggalkan dulu rumah dan segala siratan yang ada di dalamnya. Lewat pagi aku bawa ibu_suri meluncur ke Tapah. Famili ibu_suri mengadakan gathering di Kampung Batu 3. Aku dah book Hotel Kawan yang terletak di Jalan Baldwin. Dah lama aku tak bawa ibu_suri menginap di hotel. Okey juga hotel ni. Masih baru dan boleh dikira murah. Pertama kali aku menulis blog menggunakan wifi free hotel. Tapi... macam siput..

Siang, bersama dengan sanak saudara ibu_suri; baca tahlil, BBQ dan mandi di Kuala Woh. Malam, tidur di hotel. .

Esok,

selepas check out, aku pergi semula untuk bersama keluarga ibu_suri. Mungkin malam baru balik. Ingat nak singgah jenguk mak aku di Ipoh. Kalau jadilah, cadang nak bermalam dulu di Hotel Fair Park sebelum pagi lusanya aku berjumpa mak.

Tengoklah....


Selasa, 23 Disember 2014

Hujan


Hari ini, semalam, kelmarin, kelmarin dulu.... hujan. Tapi hujan hari ini sepanjang hari. Sejuknya menikam hingga ke sum sum.

Nak keluar beli lauk untuk makan tengahari pun rasa malas. Nak masak, sekadar ada ikan cencurut dalam peti ais. Nak bergulai ni, aku tak pandai.

Basuh baju dan sidai saja dalam rumah. Aku tak reti nak hantar ke kedai pengering baju macam status Kakcik Seroja di sini

Rumah sunyi saja. Akhmal dan ibu_suri semalaman tak tidur. Heran juga. 

2-3 hari aku asyik memikirkan PTPTN Along dan Angah yang masih tak jelas. Angah mungkin tak banyak tapi Along mencecah 70 ribu, katanya. Gayat aku dibuatnya.

Hurm... Nampak gayanya, tak ada pilihan lain la melainkan redah hujan juga. Apapun, solat Dhuha dulu. Sempat lagi kan......


#foto: kukur kelapa semasa kenduri walimah adik, sekitar 90an dulu...

Ahad, 21 Disember 2014

Dakwah Jalanan... 2


Alhamdulillah atas semalam yang akhirnya dapat juga aku bersama rakan-rakan IKRAM dan 8 NGO lain di MEGA STREET DAKWAH, Seberang Jaya yang juga dijalankan serentak di seluruh negara.

Aku diberi 2 pilihan oleh naqib usrah samada bersama dengan Street Dakwah atau Back To School (bantuan keperluan sekolah kepada yang memerlukan). Aku pilih Street Dakwah kerana bagi aku ia lebih realistik walaupun sebenarnya aku ni tak gheti nak hemoih orang. Sebab itu bila ibu_suri dulu ajak aku jadi ahli MLM, aku cukup susah hati.

Selain kena rajin hemoih, jiwa juga kena kental. Sekental-kental jiwa aku, takat bubuh flyers kat kereta, peti surat dan raga motor je. Tapi ada rakan wanita yang agresif bekerja; sorang-sorang dia pi jumpa dan edar flyers. Sama juga dengan rakan muaallf; mereka cukup gigih. Malu juga rasanya berbanding aku yang Islam baka ni.

Apapun, pencapaian paling manis semalam ialah kami dapat mengislamkan seorang wanita India beragama Hindu tapi berfahaman pluralisma. Berusia sekitar 20an. Masaalah beliau sekarang ialah bagaimana nak berhadapan dengan ibubapanya. Yang itu serahkan kepada Hidayah Centre untuk urus.

Perician pengislaman wanita itu boleh ikuti di pautan ini. Foto-foto lain di sini tapi aku mengelak dari berfoto kerana aku sedar akan ketidakhensemnya aku...

Jumaat, 19 Disember 2014

Dakwah Jalanan... 1



Harap, aku dapat join mereka esok.

Walaupun aku terasa amat segan sebab dah lama menjauhkan diri dari program jamaah; walaupun aku tak minat sangat program jenis hemoih orang; walaupun aku tak boleh nak lama bersama mereka sebab tak boleh nak tinggalkan ibu_suri lama-lama dalam kereta... tapi aku mahu ketepikan.

Aku ingin cuba bersikap profeional dan positif dalam pandangan. Ini kali ke 2 aku join mereka.

Khamis, 18 Disember 2014

Rindu


Hari ini tak banyak perkara baru yang aku perbuat. Semuanya rutin yang sama. Basuh pakaian, sapu laman rumah, kemas dapur dan gosok baju. Rutin yang tak pernah habis.

Petang... hujan.

Kekadang terbit rasa cemburu bila melihat sesetengah rakan ada kesempatan buat program kemasyarakatan. Itu semua dah lama aku ketepikan. Ketepi semata-mata alih fokus pada keluarga.

Aku juga dah lama tak pergi kuliah Dr Danial di Tapian Gelanggang. Bebaru ini, rakan yang mengambil aleh tugas mengelola kuliah Dr Danial atau lebih mesra kami panggil DD ada menghubungiku melalui message di fb. Katanya, dia dah bina page Jef's Teammedia khusus untuk berkongsi klip video kuliah-kuliah DD. Boleh klik di sini.

Aku ingat, minggu-minggu akan datang aku nak cuba hadir semula ke kuliah DD. Walaupun tak lama at least aku cuba berjinak semula. Hasil dari tarbiyah DDlah aku menjadi seperti aku sekarang ini.

Aku rindukan suasana dulu. Suasana kuliah dan berjamaah

Rabu, 17 Disember 2014

Penyakit


Malam ni tak tahu nak tulis tentang apa. Tapi tangan ini kata, rugi kalau sehari tak menulis.

Hari ini seharian hujan. Aku pun tak ada mood nak kemas rumah maupun memasak. Cuma perangat apa yang ada dalam peti sejuk. Seronok bila tengok peti sejuk kosong dari makanan yang tersimpan.

Hujan yang turun setidak-tidaknya akan meringankan kerja aku membuang tahi kucing di depan rumah. Suka sangat kucing jiran aku ni berak depan rumah. Kekadang bila tak perasan, habis terpijak dan membekas di merata porch kereta. Baunya... masyaallah... 'semerbak' mencucuk rongga hidung. Selalu aku memujuk hati ini supaya ikhlas membuang tahi kucing itu. Bila kita ikhlas, muga-muga dapat pahala. Apalah yang kucing-kucing itu tahu melainkan 'melepas' ikut keselesaan dia aje lah....

Akhmal pun dalam sehari dua ini nampak ok.

Sebelum aku keluar bawa ibu_suri jalan-jalan tadi, aku sempat sms dia...

"Ayah harap kamu buanglah tabiat tidak baik itu. Ayah akan bantu kamu settle 1~2 isu dengan balai. Bila semua itu selesai nanti, ayah bantu kamu carikan kerja. Bila dah kerja, kamu simpanlah duit. 2~3 tahun nanti bolehlah kawen dengan ..... "

Tapi bila dah tekan butang send , aku rasa macam ntah apa-apa pulak. Aduh... garu kepala walaupun tak gatal. Akhmal ini seorang penuntut janji...

Tapi kekadang, kawen ini boleh menjadi ubat yang mujarab untuk 'penyakit' macam si Akhmal ni. 2~3 orang kawannya dulu aku perhatikan begitu...

Isnin, 15 Disember 2014

Ijazah

Maaflah sebab akhir-akhir ini aku lansung tak baca blog kalian apatah lagi untuk tinggal komen. Tak tahu kenapa. Namun aku harap kalian masih sudi baca tulisan aku kalau pun tidak meninggalkan komen. At least, aku tidak merasa kesaorangan.

Kekadang timbul juga rasa bosan untuk menulis hal-hal peribadi yang tak pernah ceria ini. Mahu tulis yang elok-elok saja. Yang mungil-mungil saja. Tapi bila sesekali fikir, yang elok-elok sahaja itu bukan biografi namanya. Biografi ialah susurgalur penghidupan yang nyata dan telus. Lagipun, aku tak pandai nak berlakun.

Kekadang aku berfikir bahawa beruntungnya aku ini kerana Tuhan berikan aku ujian. Agaknya supaya aku selalu menjajarkan semula kehidupan aku setelah Dia melihat aku sudah mulai terkucil. Dan ujian yang diletakkan di pundakku itu adalah beban yang Dia tahu boleh aku pikul. 

Kekadang aku sendiri pun tak menyangka, aku boleh harungi semua ini. Pernah satu ketika aku seperti rasa sudah terperosok ke satu sudut yang tidak bergerak bergerak kemana lagi.  Itu ketika aku hendak melansungkan walimah Angah. Namun berkat kesabaran dan doa... aku lolos jua.

Paling kemuncak rasa tertekan dan aku sudah tidak tahu nak berbuat apa, aku pulang ke kampung untuk memandang wajah mak. 

Masa itu adalah tahun ke 2 ibu_suri mengalami bipolar disorder. Masa-masa dia pernah mengamuk dan membaling pisau ke arah aku. Masa-masa dia paksa aku membawa dia berjumpa dengan KM Pulau Pinang di Komtar.

Aku suruh Angah bawa kereta sebab aku bimbang aku tak boleh fokus semasa memandu. Ingat nak mengadu pada mak. Meluahkan apa yang bersarang di dada. Tapi akhirnya bila sampai ke rumah dan melihat mak yang seddang terbongkok-bongkok mengemas rumah, aku jadi kelu. Tak dapat nak keluarkan kata apa-apa sebaliknya hanya menatap wajah mak sepanjang masa walaupun beberapa kali mak bertanya.... kenapa?

Hari ini, walaupun masih ada dugaan yang aku terima sana sini, aku boleh mengatakan bahawa aku sudah sedikit kebal menghadapinya. Sudah mangli dan boleh tenang melaluinya.

Dan aku bersyukur untuk itu... Kini, aku boleh bercakap dan layak untuk bercakap tentang perkataan SABAR kepada adik beradik dan rakan-rakanku yang sedang berhadapan dengan masaalah hidup kerana aku sudah diijazahkan dengan kesabaran untuk sekian lama...

Ahad, 14 Disember 2014

Ngobrol


Alhamdulillah.. akhirnya dapat juga hadiri majlis walimah anak sahabatku sekaligus mini re-union dengan sahabat lain yang datang dari Kuala Lumpur. Mereka adalah apa yang kami istilahkan geng IKM Kuala Lumpur.

Boleh tahan juga jauh lokasi rumah - Kampung Ulu Kuang, Chemor, Perak.

Usai ngobrol dengan geng semua, ibu_suri ajak juga aku terus ke rumah mak. Tapi sebelum ke rumah, aku singgah di bengkel kereta di Jalan Fair Park, Ipoh kerana memang sejak awal lagi stereng aku rasa bergegar bila kelajuan mencecah 80km/jam.

"Abang... tengok ni. Tayar ni dah gelong..," ujar mekanik Melayu.

"Takkan macam ni. Kereta saya baru setahun jer..."

Mau tak mahu kena juga tukar ke tayar baru. Aku beli tayar yang paling murah di situ - jenama Hankook. 

Memang seronok dapat ngobrol dengan adik beradik. Mak pun nampaknya hepi... Lupakan sekejap Akhmal di rumah. Dia bukannya kecik lagi.

Apapun, aku hargai pengorbanan dan kepedulian adik-adikku... Duyah dan Mamat yang terus-terusan memikul tanggungjawap menjaga kebajikan mak.

Jumaat, 12 Disember 2014

Luah


Akhmal dah pun discaj semalam. Tapi, belum cukup pun sejam di rumah, dah cunggit keluar dengan motornya. Bukan dia yang bimbang, sebaliknya aku.... takut bentan pulak kawasan operationnya itu.

Esok, keluargaku di kampung adakan kenduri doa selamat atas hajat yang dah lama mak utarakan. Esok juga aku ada jemputan kenduri kahwin anak kawan di Chemor. Kawan semasa belajar di KL dulu. Sekaligus, kami akan buat re-union dengan kawan-kawan lain yang dijangka akan hadir sama.

Bila aku suarakan pada Akhmal:

"Esok ayah nak balik kampung. Ada kenduri..."

"Ala... Asyik balik kampung jer..."

Bila aku cadangkan pada ibu_suri bahawa kami cuma pergi Chemor sahaja dan tidak lansung ke kampung, ibu_suri pun bertanya. Dan bila aku jawap:

"Kesian tinggal Akhmal sorang-sorang. Dia kan baru balik dari hospital dan kita perlu jaga makan ubat dan teman dia di rumah."

"Ala.... kalau kita di rumah pun dia bukannya ada. Tengok...... mana dia pergi la ni!... ghaib"

Ni yang dikatakan... luah mati mak telan mati bapak...

Dan sebenarnya, aku memang selalu berada di persimpangan seperti ini...

Apapun, Asar dah masuk. Jom solat dulu. Lepas solat, dah janji dengan ibu_suri nak bawa dia jalan-jalan kat pekan BM. Aku nak beli selipar baru gantikan yang lama dah hampir rabak.

Memandu sambil dengar cd Ebiet G Ade (nama sebenar:  Abid Ghoffar bin Aboe Dja'far) yang baru aku terima dari Yani Handayani, Bandung tadi

Lampiaskan sekejap lelah di jiwa ini dan sakit kepala sejak dari pagi. Amat teruja dengan lagu-lagunya yang puitis yang diberitahu bahawa album ini dibikin khas untuk isterinya -  Yayuk Sugianto

Khamis, 11 Disember 2014

Rungut... Catatan 3


Walaupun terasa jemu mengulang Akhmal di wad 7 itu saban 2 kali sehari; ditambah dengan kerenah dia yang dah mula rasa bosan asyik berbaring tanpa aktif macam ketika dia sihat, aku tidak ada pilihan lain melainkan sabar. Balik pula, aku perlu pastikan paling tidak bawa ibu_suri jalan-jalan walaupun dalam hujan teramat lebat seperti malam tadi.

Mengulang itu tak mengapa juga. Namun menjaga emosi mereka berdua ini yang memenatkan. Contohnya semalam apabila misi (India) datang untuk menyuntik ubat ke tangan Akhmal. Misi itu mungkin sedikit 'keras' berbanding misi lain yang agak lembut memegang tangan dan menancap/mengeluarkan jarum picagari. Mulut misi India itu pula terlebih ramah yang hanya menambah bunga-bunga api 'pertikaman' lidah sesama mereka. Berbagai perkataan yang tidak enak di dengar keluar dari mulut Akhmal. Berada di tengah-tengah situasi itu buat aku amat tertekan. Dan Akhmal mendesak aku untuk discahrge. Walaupun aku akan jawapan doktor nanti tapi aku cuba juga;

"Tak boleh. Walaupun tempat operationnya dah tak ada masaalah tapi dia demam sekarang. Saya tak boleh lepaskan dia selagi saya pastikan demamnya itu baik."

Maka aku terpaksa tahan telinga bila maklumbalas itu aku sampaikan ke telinga Akhmal.

Semasa memandu (yang sengaja aku ambil jalan jauh dan singgah minum dulu di kopitiam tepi Masjid Kubang Semang), aku terfikir bahawa mungkin inilah bezanya penjagaan seorang ibu berbanding bapa. Ibu dalam menjaga kerenah anaknya tak pernah merungut akan kesusahan tetapi sebaliknya aku..... merungut berkajang-kajang di dalam blog ini...he..he..

Selasa, 9 Disember 2014

Sentuhan... catatan 2


Hari ini masuk hari ke 3. Akhmal masih di wad 7 namun kerap bertukar bilik. Dia agak murung. Kurang makan dan minum.

Ni, baru balik dari melihat dialah. Badannya sikit panas. Kawasan operation membengkak.  Aku ajukan kepada misi yang datang untuk mengambil tekanan darah - 113/76.  


Tak segan misi itu menyelak kain berwarna hijau tua dan membelek. 

"Bagaimana kalau suruh dia memakai seluar dalam?" Cadangan itu buatkan aku senyum simpul. Anak-anak sekarang mana kenal seluar dalam.. ha..ha..

Kemudian mengambil infrared ear thermometer lalu menyelak cuping telinga.

"Ya.. dia demam."

Aku tahu, walaupun aku selalu dipersalahkan atas kisah silam dia namun saat-saat seperti ini dia mahu aku berada di sisinya selalu  walaupun aku percaya dia juga tahu aku terpaksa di masa yang sama menjaga ibu_suri. Dia dan ibu_suri pada aku karektor hampir sama... kekadang seperti orang terlebih dewasa tapi adakalanya seperti anak kecil.

Bagi aku, ini adalah kesempatan terbaik untuk tunjukkan kasih sayang aku kepada dia sebagai seorang bapa walaupun bukan yang sedarah sedaging. 

Aku ambil tuala basah dan lap ke seluruh tubuhnya. Sambil berdoa muga sentuhan dan kepedulian aku akan dapat menjadi penawar kepada sikap-sikap negatifnya selama ini. Muga sentuhan dan kepedulian ini akan menguatkan ikatan kemesraan antara kami yang selama ini agak hambar.

Aku sekarang ini ibarat menatang Akhmal di tangan kiri dan ibu_suri pula di tangan kanan.

Isnin, 8 Disember 2014

Bilik OT... catatan 1



Bila saja doktor bagitau yang Akhmal terpaksa menjalani operation untuk memastikan teori berdasarkan foto scan itu benar atau sebaliknya, akulah orang yang paling gelisah. 

Aku ambil kesempatan peluang menunggu bilik OT itu kosong, beberapa kali ke surau Hospital Seberang Jaya, membuat solat hajat. Aku amat berharap sangat agar segala kemungkinan negatif yang digambarkan oleh doktor itu tidak berlaku. Jika benar berlaku, aku bakal berdepan dengan satu lagi gerbang cabaran hitam persis masa Akhmal disahkan menghidap sindrom Disleksia ketika umur 11 tahun dan bilamana doktor mengesahkan ibu_suri diserang mild stroke tahun 2008.

Malah sementara menunggu di depan bilik OT, aku tak henti-henti berdoa muga Allah selamatkan Akhmal.

Dari jam 5 pagi aku menghantar Akhmal ke wad kecemasan hinggalah sekitar jam 3 petang bila Akhmal selesai pembedahan, aku melalui dengan penuh debaran dan seperti bersaorangan.

Sebaik saja doktor India itu keluar dan memberitahu aku bahawa secara dasarnya Akhmal tidak perlu melakukan pembedahan yang terpaksa dilakukan jika kemungkinan negatif itu berlaku, spontan aku menyebut di depan doktor itu.... Alhamdulillah. Terasa seperti Allah mendengar dan menerima doaku...

Melihat Akhmal yang masih mamai di katil wad, aku ambil kesempatan untuk balik menjenguk ibu_suri yang aku tinggalkan seharian di rumah. Mujur ibu_suri ok saja di rumah. 

"I tak mandi lagi..."

"Kenapa...?"

"Tunggu you balik lah... nak syampu rambut.." 

Memang setiap hujung minggu, rutin aku menyampu rambut ibu_suri dan kekadang memotong kuku jari tangan dan kakinya...

Ahad, 7 Disember 2014

Planet Pluto


Mula tu ingatkan tak mahu tulis dah tentang apa pun dan siapa pun kecuali tentang ibu_suri dan mak di kampung saja. 

Justeru itu kalau kalian perasan header blog aku itu aku tulis... Kado Kecil Buat Istri. Belum siap lagi tu. Nak tambah.... Nyanyi Rindu Buat Ibu. Maksudnya, blog aku nanti hanya akan berkisar tentang kisah aku bersama ibu_suri dan mak di kampung sahaja.

Ini semua kerana aku dapat rasakan ada nama-nama yang selama ini aku tulis tentangnya di blog aku ini tidak menyenanginya.

Tapi malam ini aku tak tahan daulat juga. Nak tulis juga. Bagi aku, sesuatu peristiwa itu kalau tidak dicatatkan semasa ianya berlaku akan jadi rugi.

Sewaktu otw balik dari rutin bawa ibu_suri jalan-jalan (kali ini aku bawa ibu_suri jalan-jalan hingga ke 'planet Pluto'. bila dah balik baru dia tanya... planet Pluto tu jauh ke bang? Arghh...), Akhmal menalipon...

"Ayah... perut akhmal sakittt..." dan talipon kemudiannya diam.

Aku bergegas memandu. Dalam kepala memang macam-macam dok ada. Aku kenal anakku yang seorang ini. Sebab itu aku bimbang sesangat.

"Jom ayah bawak pi hospital. Badan kamu panas ni."

Menggeleng sambil juga memegang ari-ari dan mengerang. 

"Tak mahu bawak dia pi hospital ke?" soal ibu_suri berkali-kali. Hmmm... dia tak mahu.. kena sabar memujuknya pelan-pelan... 

Menangani permasaalahan Akhmal bukan sama seperti menangani permasalahan abang-abang dulu. Dan bila kalut begini akan menjadi 2 kali lebih kalut sebab ditambah dengan kekalutan yang dibuat oleh ibu_suri. Dalam masa yang  sama, tangan kanan jaga Akhmal, tangan kiri jaga ibu_suri. Bayangkan kalau masa aku bawa Akhmal ke hospital dan ibu_suri beriya-iya mahu ikut kononnya nak teman aku yang sebenarnya lebih mudah kalau ibu_suri duduk di rumah sahaja menanti.

Hingga ke jam ini pun Akhmal masih ketegar tak mahu ke hospital. 

"Kita tunggu esok saja. you pi tidur dulu di bilik. Abang baring di luar ni..." sambil mengharapkan ibu_surilah yang akan mampu berjaga kerana aku tahu.... aku ini pantang letak saja kepala ke bantal... zzzzzzzz.... lebih jauh dari Pluto...

Jumaat, 5 Disember 2014

Di celah Kerusi Panjang


Semalam bawa ibu_suri ke Klinik Kubang Semang. Temujanji jam 10.30 pagi tapi orang masih ramai. Giliran yang ke 10. Kalau masa aku masih kerja dulu, aku akan ambil cuti sehari sebab tahu sangat. Sini, masa tidak boleh menjanjikan ketepatannya...

Timbang berat badan ibu_suri oleh misi adalah proses pertama rawatan. Seperti yang aku jangka, berat badan bertambah sekitar 4 kg lagi. Tahap gula dan tekanan darah...hmmm... aku katakan ok lagi walaupun kata misi... tidak!

Mengurus ibu_suri untuk buang air di tandas adalah sesuatu yang memerlukan jiwa yang slow and steady.

"Kenapa klinik tak buat tandas yang mesra OKU?" tanya ibu_suri bila terasa payah nak mengangkat badan, memijak anak-anak tangga ke mangkuk tandas. Aku cuma..... ntahlah!

Keluar dari tandas aku papah masuk semula ke dalam klinik dengan tujuan supaya dia duduk dulu di kerusi paling hampir sebelum pergi semula ke kerusi di depan bilik doktor pakar. Tiba-tiba....

Bluppp!... tersadung kaki kerusi lalu jatuh terduduk di celah!

Aku yang dah biasa dan faham dengan keadaan seperti ini menenang dan uruskan dia dengan senyum tanpa peduli apakah reaksi orang lain yang aku percaya... ikut simpati...

#catatan sebelum ini..JATUH

Khamis, 4 Disember 2014

Layan


Alhamdulillah, dapat juga balik kampung jenguk mak walaupun cuma beberapa jam sahaja. Bila mak selalu bertanya:

"Kenapa tak tidur sini?"... aku selalunya diam kalau tidak ada sebarang alasan logik untuk diberi. Tak mahu aku guris perasaan mak atau ibu_suri jika memberi jawpan yang sebenar. Mereka berdua takkan faham sebab sejarahnya panjang.

Apapun, sekembali saja ke rumah dari kampung, terus layan fb MemBers EGA. Dan aku terkesima bila menatap gambar itu. Bait-bait lirik lagu itu memang dari dulu memberikan persis satu kekuatan bila menyanyinya sorang-sorang.

Selain solat, baca Quran atau tidur, bawa kereta sambil bernyanyi sorang-sorang adalah salah satu cara aku melampiaskan segala keresahan yang bersarang di dada.

#boleh dengar lagu itu di sini

Rabu, 3 Disember 2014

Mak Tunggu, Aku Datang


Aku berkira-kira untuk balik kampung hari ini. Aku telah berjanji pada diriku sendiri untuk selalu jenguk mak, paling minima 2 minggu sekali. Aku nak celen dengan adik-adik aku.

Tapi kelmarin dan semalam terpaksa 'bersilat' dengan hal-hal Akhmal. Insiden yang memang mengguris perasaan dan menuntut kesabaran, toleransi dan skil kaunseling yang pernah aku sedikit sebanyak pelajari semasa melibatkan diri bersama ibu_suri dengan grup kaunselor.

Esok perlu hantar ibu_suri ke klinik untuk rawatan susulan hipertensi dan diabetes.

Aku kira hari ini adalah hari yang terbaik. Namun tak sampai hati nak kejutkan ibu_suri yang hingga saat ini masih teratur dengkurnya. Jam semakin sayup memanjat langit.