Sabtu, 31 Oktober 2009

Kancilku

Adapun berpagi-pagi aku mencatukkan diri di Perodua Seberang Jaya itu semata-mata untuk penyelenggaraan kereta sebenarnya. Aku perlu hambat masa lantaran di tengahari pula wajib menghadiri jemputan kenduri arwah di rumah Kak Sal, jiran depan.

Banyak sungguh kereta hari ini, getus hatiku. Bilalah agaknya nak siap keretaku jika begini situasinya. O.. Hari ini bukankah hujung bulan. Kebanyakkan pekerja telah pun menerima gaji. Macam akulah juga.

" Kereta encik kena buat full service. Dah terlajak banyak kilometer dah ni. " Alahai...Tentu banyak RM terpaksa dikeluarkan dari kocekku ini!

" Lebih kurang RM200.. " Errkkksss....Aku menelan air liur sendiri.

" Lampu low beam sebelah kiri tu masuk kali ini dah 3 kali bulbnya rosak. Sekarang ni ayaq masuk ke dalam bingkai tu pulak. Dah macam akuarium. Boleh bela ikan, " ngomel aku sambil ketawa kecil. Aku agak lampu ini pun nak kena tukar, mungkin. Pokai aku dibuatnya. Fe'el aku pula tak suka beli yang bukan ori. Al maklumlah, bukan kerana banyak wang. Aku dulu pernah jadi technician di kilang Hitachi Semiconductor. Selalu repair mesin. Jadi, aku arif benar akan baik buruknya jika kita menggunakan alatganti yang bukan ori. Kancil aku itu pun hampir 3 tahun usianya. Sudah mengembara 93 756km jauhnya.

Arakian, seketika penantian itu, aku mundar-mandir melihat kereta-kereta yang berlambak di sini. 'Curi-curi' ambil gambar tentunya untuk bahan tulisan blog.

Adapun aku ini tergolong di kalangan manusia yang penakut dan penyegan untuk ambil gambar orang lain lantaran tiada keizinan rasmi. Pun hendak minta izin itu satu segan yang lain pua. Memangnya tidak ada tanjak sebagai camera man, aku ni!

Sekalian staf di sini aku anggar mencecah 95% Melayu. Pun begitu aku agak bos paling atas ialah Cina. Kenapa gitu ya? Justeru, melihat kepada cara pentadbiran dan perkhidmatannya memang jarang orang kita dapat empersembahkan kepada pelanggan sebegini mesra dan selesa.

Aku biasa pergi selenggarakan kereta Wira aku di Pusat Servis Proton berhampiran Carrefour atau Hospital Seberang Jaya yang aku kira pengurus besarnya adalah Melayu. Aku pergi sekali tu sahajalah. Selepas itu aku lansung tidak jejak kaki ke situ lagi. Perkhidmatannya jauh dari apa yang aku harapkan.

Mentari 10 darjah lagi di atas kepala barulah nama aku dipanggil untuk dipulangkan kunci. Kancilku ini menggunakan sistem contact point sebagai penghidup enjin.Contact Point perlu ditukar baru pada setiap 20 ribu kilometer. Ah, barulah aku dapat rasakan betapa powernya terjahan injap-injap dalam enjin menekan pedal minyak.

Alakulihal, sesampai di rumah, ibu_suri masih juga dengan projek 'tak relevan'nya itu. Aku gegas mandi dan memakai sut untuk hadiri majlis tahlil yang sudah pun bermula.

" IM, ibu tak mai ke? "

" Dia ada kat belakang. Biasalah.... Sat lagi dia mai la kot! "

Khamis, 29 Oktober 2009

Solomon Yang Kehilangan

" Ini saja yang saya boleh kasi sama you. Saya akan doakan pada Tuhan supaya you selamat balik. " Ujarku dengan perasaan yang berbelah bagi dan serba salah. Tampak dari air muka Solomon riak kecewa. Kecewa kerana dia tidak mendapat bantuan kewangan yang sepatutnya untuk membeli tiket balik semula ke rumahnya di Johor Bharu.

Aku perhatikan hingga hilang kelibat Solomon dan isterinya ditelan lorong masuk ke jeti. Rasa kasihan ada. Rasa bersalah dan rasa takut di tipu pun ada.

" Saya punya dompet hilang. Saya pergi repot dekat balai polis Batu Maung. Dia orang cakap kalau boleh dapat pun, beg saja. Duit selalunya tak ada. "

" You bawa berapa dalam beg? "

" Satu ribu tiga ratus. "

" Kenapa tak simpan dalam bank? You ada kad kan? "

" Saya mau jalan-jalan. Jadi saya bawa duit dalam poket. Mana tau bila mau beli barang, duit sudah hilang. "

" You datang 2 orang saja? "

" Ya. Saya ada kena stroke dulu. Kaki tak boleh jalan. Lama duduk hospital. Sekarang sudah baik sikit. Saya berniaga goreng mee, dekat sana rumah. Ada simpan sikit duit ingat mau jalan-jalan sama isteri tengok Pulau Pinang. "

" 2 orang saja? " Aku di ketuk kehairanan dan sedikit kurang percaya. Masakan dah tau sakit kaki, dah tua dan takada pengalaman suasana di sini, tiba-tiba dia boleh datang melancong begitu saja. Dan dari gaya bercakap, tidak nampak macam orang luar Pulau Pinang.

Aku berfikir panjang juga sebelum mengambil keputusan membawa mereka ke Jeti dengan masa keluar makan ku cuma 40 minit bermula jam 1 tadi.

Aku di datangi mereka sebaik saja aku hendak masuk ke kereta setelah berjumpa Khaizul, Setiausaha JIM Seberang Perai Tengah untuk menyerahkan dokumen Laporan Mesyuarat Agong Tahunan yang perlu diposkan ke JIM Pusat seberapa segera.

Solomon adalah seorang penganut Kristian berusia 68 tahun bersama isterinya yang berusia 53 tahun datang ke sini menaiki keretapi. Sebelum bertemu aku, mereka baru sahaja pergi ke Gereja dan kemudian ke Tokong Cina Than Siang tak jauh dari Tokong Ular untuk meminta bantuan, namun hampa.

Bergantang-gantang komen kehampaan mereka terhadap sikap staf di kedua-dua rumah ibadat itu yang tidak melayani mereka sebaiknya.

Aku hanya mendengar dan berhati-hati. Disamping aku cuba mengingati kembali buah-buah silat yang pernah aku pelajari satu masa lalu. Mana tau tiba-tiba nanti mereka hulur pisau pula kat aku nanti. Ini zaman yang tidak ada perkataan mustahil!

Walau apapun, aku berdoa pada Tuhan selepas itu; kiranya benar mereka dalam kesusahan akan ada insan lain yang akan membantu mereka selepas aku menghantar mereka untuk menaiki feri ke stesyen keretapi Butterworth. Aku tak mampu nak membantu lebih dari itu!

Selasa, 27 Oktober 2009

Niaga Melayu

Akhirnya aku singgah juga di sini setelah sekian lama hanya lalu lalang di hadapannya. Mee Rebus Pak Ngah. Kedainya terletaknya di Sungai Dua tak jauh dari Caltex. Ada banyak cawangan.

" Kalau nak dibandingkan, Mi Rebus Ramli lagi sedap! " ujarku pada ibu_suri yang sesekali mengesat tempias kuah di bibirnya dengan tisu. Tanpa menjawap, ibu_suri teruskan jua suapannya. Itu adalah isyarat bahawa Mee Pak Ngah ni sedap bagi seleranya.

Aku teringat bahawa orang Melayu bukannya tidak boleh maju dalam perniagaan seperti kaum Cina atau Mamak. Orang Melayu punya potensi tersendiri sebenarnya. Cuma, mereka ini perlukan kesungguhan, keterbukaan minda, kreatif dan inovatif.

Banyak yang aku sudah lihat perniagaan orang Melayu yang boleh aku kira setara dengan usahawan Cina taraf sederhana. Antaranya Kedai Kain Wahab, Kedai Perabut Shaari, Kedai kek Harlina dan Restoran Nasi Ayam Peiuk Besar. Mereka ini setahu aku mempunyai lebih dari satu cawangan.

Aku tetap kagum dan berharap mereka ini terus berkembang mencipta jenama tersendiri.

Tapi maaflah, walaupun aku nampak macam bagus je bercerita bab berniaga akan tetapi aku sendiri sebenarnya culas dan segan berniaga.

Tak reti dan tidak ada bakat lansung untuk ceburi bidang ekonomi. Cuma tumpang seronok dan berbangga melihat kejayaan mereka.

Setakat jual kacang putih di kampung semasa kecil dulu, pernahlah...