Lama dan memang jarang dah menulis. Bukan tidak ingat, bukan tidak rindu pada blog aku ini tapi keadaan diri menyebabkan kemahuan menulis itu tumpul.
Aku harap sahabat lama blogger dan sahabat blogger baruku sihat dan tenteram dalam menghadapi kehidupan yang penuh liku dan berbagai warna ini. Dan tidak lupa kepada Insan Marhaen ini.
Umur aku sekarang menghampiri 61 tahun. Warga emas dah nampaknya. Tenaga pun dah kurang. Jiwa pun dah tak cukup kuat untuk menahan segala permasaalahan. Kekadang terasa seperti badan sahaja yang memikul tanggungjawap tetapi hati terasa seperti mahu pergi jauh-jauh menyendiri.
Akhmal baharu sahaja keluar dari penjara setelah setahun di dalam. Walaupun aku tidak nampak apa-apa perubahan yang positif terhadap diri dia aku harap dan telah pun berpesan kepada dia supaya mula berusaha memperbaiki diri. Aku mahu dia boleh berdikari dan urus dirinya sendiri sebab hidup aku ikut secara naturalnya tidak lama di dunia ini.
Aku tidak mahu terlalu memikirkan pasal masa depan dia. Dia lelaki. Bak kata P Ramlee, ulat dalam batu pun boleh cari makan.
tentang ibu_suri pula semakin nanar dengan halusinasinya. Beriya iya dia suruh aku pergi buat repot kat balai polis. Dan menyuruh pergi ke pejabat lawyer supaya menyaman 'orang-orang' yang selalu dia lihat di dinding dan siling biliknya.
Mereka itu (menurutnya) telah berkeluarga di sini sejak dia masuk hospital awal tahun lalu. Mereka kawal penghawa dingin, mereka kawal almari baju.
Bila dia 'merepek' begitu aku perlu seolah memberi perhatian apa yang di katakan. Kalau aku dilihat seperti acuh tak acuh, nada suaranya akan tinggi dan mula menengking aku.
Memang susah menjaga seseorang yang menghidap bi-polar disorder ini. Tahap sabar dan tenang kena tinggi tahap super gaban.
Aku selalu teringat akan kata-kata doktor dulu semasa dia mula menghidap minor stroke dan di kesan menghadapi bi-polar. Kata doktor - istri awak ini jika tidak dijaga dengan baik, dia akan boleh jadi seperti orang yang bergelandangan di jalan raya. Bercakap seorang diri malah boleh sampai ke tahap berkeliaran tanpa pakaian.
Mengenang itulah aku cekalkan hati menjaga istriku ini. Walaupun pernah beberapa kali aku mengadu kepada doktor pakar psikiatrik akan tidak tahannya aku menjaga kerenah istriku ini, doktor menyarankan aku memberi lampu hijau untuk doktor mengarahkan polis dan pihak hospital mengambil istriku di rumah dan membawanya ke hospital sakit jiwa.
Fuhhh...
Rasanya aku telah menggunakan seluruh masa senang, wang, tenaga dalam menjaga istriku ini. Aku selalu berdoa kepada Tuhan, jika Tuhan mentakdir antara manakah dalam kami berdua yang Dia ingin mengambil nyawa, biarlah nyawa istriku yang diambil dahulu.
Kalau aku yang pergi dahulu, siapalah yang mampu menjaganya sebagaimana aku...