Isnin, 30 November 2015

Sebelum Terlambat




Sepatutnya aku balik tengok mak. Namun setiap kali aku rancang untuk balik, ada saja aralnya.

Kelmarin tak dapat balik sebab majlis khatan anak saudara di sini. Semalam... tak boleh juga sebab hadir kenduri di rumah jiran. Hari ini terpaksa juga balik jengah mertua di Gelugor sebab dah berjanji belikan barangan dapur seperti yang dimintanya.

Aku terbayang wajah kurus mak yang sendirian di biliknya. Mak yang sudah tidak gagah berdiri apatah berjalan seperti dahulu.

Hujan lebat begini, mak sedang buat apa ya? Mak dengan siapa, ya? Atap rumah tu bocor lagi ke mak? 

Mak... aku akan cuba balik juga sesegeranya. Walau sesusah mana aku di sini. Biarlah seragam mana ibu_suri bila saja aku bersuara tentang itu.

Bukan untuk mengadu pasal susahpayahku. Bukan juga untuk meraih belas kasihan. Cukuplah masa segar mak selama ini membesarkanku.

Cuma aku pasti akan balik untuk cium tangan dan pipi mak, Nak minta ampun dan maaf dari mak.

Sebelum semuanya terlambat....

Sabtu, 28 November 2015

M Nasir - Canggung Medonan


Terima cd ini dari seorang kawan tadi. 

Karya anak seni bernama M Nasir ini memang hebat. Ciptaannya mengangkat irama dan alat musik Melayu ke satu tahap yang tinggi di persada seni. Lirik lagunya sarat dengan falsafah hidup, kisah masyarakat dan roh ketuhanan yang realistik melangkaui tradisi lirik kecewa atau cintan cintun yang mengkhayalkan. Beliau membuat kerjarumah yang teliti dalam setiap karyanya; bukan tangkap muat.

Dikatakan bahawa ini adalah antara album studio terbaiknya setakat ini.

Aku kagum dengan hasilkerja seni, pemikiran dan kegigihan. Beliau seharusnya mendapat pengiktirafan yang lebih dari sekadar Dato'...

Hari ini, begini saja ilhamku tercatat...

Khamis, 26 November 2015

Kelu


Beberapa hari ini aku berasa sakit sendi dan pelipat kaki yang teramat ketika sujud dan duduk antara dua sujud dalam sembahyang. Hingga pernah satu ketika aku ambil keputusan untuk menggunakan kerusi.

Semalam, aku terasa sakit di tapak tangan bila mahu mengampu badan untuk bangun dari sujud. Semakin terasa anggotaku ini mulai 'uzur'.

Teringat aku akan lagu Rabbani tentang 5 perkara sebelum datang 5. Sesekali menyelinap rasa kesal kerana mempersia-siakan usia muda. Sesekali terasa begitu pantas masa berlalu...

Pun, aku sebenarnya masih sangat beruntung berbanding besanku yang beberapa hari lalu menjalani operation potong kedua belah kaki dan tangan kanan akibat diabetes yang melampau.

Aku tak sanggup nak berlama di sisi katil beliau semalam. Wad ICU di Hospital Seberang Jaya yang menempatkan juga 3 pesakit lain itu benar-benar meruntun hati kecil. Aku menjadi semakin gayat bila melhatkan perkakasan yang berselirat dengan wayar dan tiub oksijen yang ditebuk masuk melalui tengkoknya untuk laluan ke paru-paru.

Tambah menyayukan hatiku bila terpandang wajahnya yang digenang airmata sambil bola mata bergerak memerhatiku dengan tatapan yang kosong. Tiada perkataan yang terucap... Kelu...

Entahlah... Allah maha mengetahui segalanya...

Isnin, 23 November 2015

Terima Kasih, Along!


.... kerana beri ayah laptop baru. Laptop lama bukannya tak bagus cuma ketiadaan cd drive buat ayah tak boleh nak convert lagu-lagu dalam cd ayah tu kepada mp3. Apa boleh buat Along... ayah memang dah mewarisi tabiat arwah abah ayah... suka musik.

Along pula meneruskan legasi ini. Zaman Along masih kanak-kanak suka dengar nasyid hingga suruh ayah belikan gendang. Tapi bila meningkat remaja, Along suka nyanyi lagu Amok, Cromox dan ntah apa mok lagi tu pulak... hinggakan garu kepala ayah Along buat....

Sekarang bila Along dah besar, dah pandai serba serbi bab komputer dan internet, Along suka main game pulak. Kalau dulu, bila sekereta dengan ayah Along asyik dengar lagu dari pemain mp3 melalui headphone sambil lelap mata; sekarang, Along belek game dalam handphone hinggakan ayah terpaksa akur; off pemain cd kereta ayah semata kerana tak mahu 2x bising bila bercampurbaur dengan bunyi dari game yang Along asyikkan itu.

Laptop ini ayah akan gunakan sebaiknya. Warna hitam berkilat dengan skrin yang lebih lebar buatkan ayah terasa puas bila berada di hadapannya. Laptop lama yang ringan dengan ketebalam 10mm itu ayah minta Angah simpan. 

Herannya, Angah tidak sikit pun memiliki minat seperti Ayah yang suka dengar lagu atau Along yang suka bermain dengan game.

Mungkin agaknya sebab Angah sibuk memikirkan hal keluarga setelah letih bekerja membawa jentera berat.

Apapun, muga keakraban kita sekeluarga akan berpanjangan. Bila lagi Along nak balik? Boleh kita makan ramai-ramai lagi seperti minggu kelmarin.

Ahad, 22 November 2015

Kerdil


Semalam pagi membawa ke malam, aku berada di rumah anak menakan di Taman Bertam Perdana. Kenduri sempena majlis khatan 5 orang cucu.

Aku ditugaskan untuk mengendali kumpulan qasidah dari PAKSY. Aku tak perasan bila nama itu disebut sehinggalah bila semalam, kumpulan qasidah itu sampai dan aku menyambut ustaz yang mengetuai mereka...

'Laaa.... ini ustaz Abdullah Khairi!"

Baru aku teringat PAKSY atau Pusat Kecermelangan As Syafie ini dipelopori oleh ustaz yang umum kenal sebagai ustaz yang lantang suaranya bila berceramah dan berkhutbah tanpa teks.

Mulanya aku rasa segan juga tapi lama kelamaan hilang rasa kekok atas keselambaan muaiyashah beliau.

Aku tidak pula bertanya berapa peruntukan yang anak saudara aku beri kepada PAKSY untuk mengendali majlis bacaan Yassin, tahlil beserta 5~6 buah lagu qasidah termasuk lagu Kun Anta yang mereka bawa dengan rentak perlahan dan lembut.

Aku mendapat suatu pandangan baru dari majlis anjuran anak saudaraku ini yakni jika mahu membuat amal dengan lipatan kali ganda pahalanya... peruntukkanlah sedikit wang dengan memanggil kumpulan seperti PAKSY ini untuk menyerikan majlis. Disamping memberkati majlis dapat juga membantu mereka dalam kelansungan sekolah tahfidz disamping berdakwah kepada jiran sebelah rumah dan tetamu yang datang. Pahala sumbangan kita itu juga berpanjangan selagi adanya tahfiz tersebut...

'Ayah ingat nak bergambar dengan ustaz Khairi tadi tapi ayah rasa segan pulak sebab ayah ni terlalu 'kerdil' berbanding ustaz...' ujarku pada Along semasa dalam kereta balik ke rumah...

Jumaat, 20 November 2015

LIQA'


Tadi program liqa' cuma aku sorang dengan Li - murobbi. Memang rutin setiap malam Jumaat. Seorang lagi - Mad tak hadir. Tak tahu kenapa.

Bila Li bertanya... dah ada Kitab Tauhid, aku garu kepala yang tak gatal. Isyy... asyik lupa aje nak beli. Kelemahan aku sejak dah tua ni.

Walaupun bahan dalam buku ini aku dah lalui sebelum ini namun atas nama pengajian, aku tekun juga mengikuti. Li memang osem dalam mengupas tajuk berdasarkan kemampuan dayafikir aku juga. Kami segagan dalam tarbiyah. Cuma dia lebih sikit kerana setia istiqamah dari dulu sedangkan aku umpama sabut dan batu... timbul tenggelam.

Habis usrah, aku bawa ibu_suri jalan-jalan. Itu perlu demi mengambil hatinya yang membenarkan aku ke usrah. Takpalah, kalau bersusah sikit, kan. Give and take!

Hujan lebat sejak siang tadi menjadikan malam ini sejuk. Memandu di jalan yang hening dan lengang terasa damai sambil mendengar lagu-lagu dari cd SOUL OF ISLAMIC MUSIC.

Hakikatnya, biarlah seperit mana kehidupan ini.... laluilah dengan tabah dan sabar. Kita ini hanyalah hambaNya yang kerdil lagi marhaen...

Khamis, 19 November 2015

Rupanya Mudah Jer...


Dah selesai menukar hakmilik dari menantuku - Ayu kepada namaku. Tak susah proses tukar hakmilik ini. Isi borang tukar hakmilik, serah ke kaunter bersama geran dan laporan Puspakom, kad pengenalan diri dan Ayu serta RM100.... selesai.

Yang susahnya ialah bila nak perbaharui insuran... susah nak kira duit. Kira punya kira, tak cukup. Seluk sana seluk sini... masih tak cukup. Ngendeng kat Angahlah, pinjam dulu.

Nilai semasa Viva aku ialah RM29k. Insuran dikenakan RM1070 - maksima.

"Wah, kalau saya jual kereta ni, berbaloi juga harganya, ya!" ujarku.... bodoh.

Gadis kaunter itu ketawa...

"Bukan macam tu encik..."

Dulu, aku selalu suruh kedai sahaja yang perbaharui cukai jalan dan insuran sebab fobia dengan kerenyahan dokumentasi di JPJ. Tapi hari ini, sangkaan aku meleset rupanya. Mudah je nak urus semua ini sebab semuanya ada di JPJ.... insuran ETIQA.

"Kenapa sini tak pasang mesin ATM. Kan memudahkan pelanggan?" soalku yang nyaris tak cukup duit tadi. Kalau benar tak cukup, kena keluar ke steyen minyak atau ke bank pula yang tentunya memakan masa dan mengecewakan.

"Ntahlah encik. Mungkin kerana keselamatan..."

Aku angguk je. Malas nak ganggu dia buat kerja. Nampaknya dia bukan  jenis boleh buat kerja dan bercakap dalam satu masa....

Di Puspakom


"Sebelum hantar kereta ke Puspakom, ayah kenalah cuci kereta tu biaq bersih sikit," pesan Angah.

Aku cuma ada anak yang seorang ini sajalah yang selalu ambil berat pasal aku. Along... jauh di Kepong. Dia macam aku juga dulu, berat tangan nak menalipon tanya khabar. Balik pun 2~3 bulan sekali. 

Sejak Akhmal 'berehat' sekejap 'di dalam', aku sedikit lapang rasanya. Aku hanya perlu tumpukan tugas menjaga kebajikan ibu_suri sahaja. Akhmal pasti saja selamat 'di sana'.

Hari ini hari terakhir cukai jalan Viva aku hidup. Memang aku tunggu hari ini untuk menukar nama hakmilik dari Ayu kepada aku. Kereta aku ni dulu dibeli atas nama Ayu sebab umur aku yang dah lanjut tidak layak untuk membuat pinjaman beli kereta.

Sebelum ke JPJ untuk tukar nama, kena lalui dulu pemeriksaan Puspakom. Aku tak pernah lagi buat kerja ni semua. Terkial-kial juga aku.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Dekat pukul 6 petang baru selesai pemeriksaan Puspakom dan diluluskan untuk tukar hakmilik.

Berbagai pengalaman baru aku jumpa dalam menguruskan hal ini. Berbual dengan pemandu lori, teksi dan penjualbeli kereta banyak memberitahu aku cerita suka duka mereka dengan pegawai Puspakom, polis dan JPJ. Masih belum cukup 'bersih' rupanya pegawai kerajaan kita ini, ya!

Siang nanti, aku akan ke JPJ bersama Ayu untuk proses tukar nama. Yang ini mungkin senang sikit. Aku pernah buat semasa tukar nama Wira dulu.

Khamis, 12 November 2015

Dari ICU ke ICU


Besan aku dipindahkan dari wad ICU Hospital Bukit Mertajam ke Hospital Seberang Jaya. Kaki kanan dan tangan kirinya dijangka akan dipotong akibat diabetes. Melihatnya terlantar dengan tiub oksijen di jolok masuk melalui mulut ke tenggorok buat aku rasa gayat dan sekejap saja di katil.

Aku menasihati isterinya supaya menerima semua ketentuan Allah ini dengan sabar dan lapang dada. Mahu tidak mahu, kena hadapi. Yang sakit tetaplah sakit. Yang sihat inilah perlu kuat dan tabah menjaganya.

Aku singkap pengalaman aku semasa bulan-bulan awal ibu_suri diserang minor stroke. Yang kemudian menjadikannya murung dan kekadang agresif. Ujarku, masa itu aku terasa dunia ini teramat kosong. Tidak ada kawan. Hari-hari demi hari aku lalui, belajar mengurus tekanan dari ujian yang Allah beri. Dimasa yang sama Akhmal pula asyik keluar masuk mahkamah.

Sekarang ini, aku sudah sedikit 'kebal' dengan ujian sebegini. Walaupun aku masih juga resah, lelah dan sesekali jemu, aku masih boleh bersikap selamba dengan semua itu. Aku boleh bersikap biasa walaupun sebenarnya dalam hati tidak rasa selesa...

Rabu, 11 November 2015

Antara 2 Perasaan


Rabu jam 12 tengahari adalah slot ibu_suri dengar Calo Bolly di Mutiara FM. Kat rumah takada radio, jadi dengar melalui talipon bimbit jer...

Tapi sesekali dia mengeluh. 

"Kenapa?"

"Teringat Akhmal..."

Aku terdiam. Tahu dia mula teringat-ingat akan anak yang seorang ini. Kalau bagi aku sunyinya rumah tanpa Akhmal sedikit mententeramkan suasana tetapi sebaliknya bagi ibu_suri.

Dah 2 hari dia di 'sana'. Aku suruh Angah sahaja pergi jenguk dia di IPD, Perda. Aku malas nak pergi....errr.... bukan malas yang malas tapi malas yang ada rasa malu. 'Malu' terhadap polis di situ yang mungkin dah kenal muka aku. Jemu mengulang balai yang dah tidak menggerun lagi.

Namun aku tahu, anak tetap anak walaupun cuma anak angkat. Tapi... di umur lanjut begini, aku dah letih memikirkan masalah anak-anak. Kalau boleh aku nak lihat semua anak-anakku hidup dalam suasana yang positif dan kondusif, bukan serabut macam ni.

Okeylah... masa untuk bersiap pergi ke hospital. Urus priskripsi farmasi ibu_suri. Stok ubat psikiatriknya hampir habis. Bagi aku, ubat ini lebih penting dari segala jenis ubat yang ibu_suri perlu makan stiap hari.

Selasa, 10 November 2015

Jauh Dalam Hati...


Pagi, mulanya aku rasa sedikit lapang sebab Akhmal dah tak ada. Selesa untuk aku fikir dan urus ibu_suri seorang saja. Akhmal di sementara ini tentu saja 'selamat' di 'sana'.

Pagi, aku kemas bilik Akhmal sekadar mana yang aku 'sanggup' buat. Selebihnya, aku kemas cd-cd yang bersepah di laman tv. Aku promo mana-mana yang aku rasa sesuai di laman fb untuk dijual, Aku dah tak mahu simpan sebahagiannya kerana tak secocok dengan naluri.

Petang, selepas ibu_suri puas tidur (malam kami tidak dapat tidur hingga jauh malam... berbual tentang Akhmal), aku ke rumah mertua. Beberapa hari ini, tidak ada sesiapa yang menjaga mereka. Aku ambil inisiatif mengulang mereka di sana walaupun tahu ini melibatkan kos minyak, tol dan sarapan yang bukan sedikit bagi yang tak bekerja macam aku kini.

Tengah malam, ntah kenapa tiba-tiba hati aku rasa sebak pula. Sebak bila terkenangkan bagaimanalah makan dan tidur Akhmal sekarang ini.

Ya... semalam, rumah aku sekali lagi di serbu.  Akhmal di gari masuk ke kereta. Walau apapun alasannya, pandangan mata atau rayunya, aku tenang sahaja memerhati.

Bukan aku tak pernah nasihat, malah dah letih...

Sabtu, 7 November 2015

SATU PERJUANGAN


Semasa aku hadiri liqa' kelmarin, sahabatku Rusli telah menghadiah sekeping cd yang dibelinya semasa menghadiri program PTI di Shah Alam Oktober lalu. Aku memang kepingin memilikinya dan alhamdulillah, dapat.

Album ini bernama SATU PERJUANGAN; adalah kompilasi lagu haraki Pertubuhan IKRAM Malaysia. Diterbitkan oleh Risalah Harmoni Sdn Bhd, membariskan beberapa kumpulan nasyid dengan 8 lagu serta 2 minus one.

1. IKRAM ( lagu rasmi )
    lagu: Qhaleed SaffOne
    lirik: Mohamed Hatta Shaharom
    artis: SaffOne

2. WANITA IKRAM PEMACU ISLAH
    lagu: Syalina Ahmad
    lirik: Dr Lilis Surienty Abd Talib & Mardiana Ibrahim
    artis: Zeyad, Muharrik dan SaffOne

3. MARS IKRAMTEENS
    lagu: Izzatul Islam
    lirik: Izzatul Islam
    artis: Izzatul Islam

4. WAWASAN WANITA IKRAM
    lagu: Qhaleed SaffOne
    lirik: Ustz Arpah
    artis: SaffOne dan Little Caliphs

5. NAHNU ANSORULLAH
    lagu: Farhanah Ibrahim
    lirik: Farhanah Ibrahim
    artis: Zeyad

6. CITA PERJUANGAN
    lagu: Qhaleed SaffOne
    lirik: Norfizam Said
    artis: SaffOne

7. AKU BERBANGSA MUSLIM
    lagu: Khubaib Muhammad Asmadi
    lirik: Fedaa'
    artis: Fedaa'

8. DEMI MASA
    lagu: Qhaleed SaffOne
    lirik: Copyright
    artis: SaffOne

Pada keseluruhan lagunya memang bagus untuk di dengar terutama kepada ahli IKRAM itu sendiri dan pejuang Islam, umumnya. Sekeping berharga RM25; harga berpatutan bagi sesuatu cd baru yang di terbitkan.

Jumaat, 6 November 2015

Liqa' Malam Tadi


Aku bertukar naqib (selepas ini dipanggil mutarrobi) untuk entah keberapa kali selama di dalam proses tarbiyahku melalui usrah (selepas ini dipanggil liqa'). Yang istimewanya, mutarrobiku kali ini ialah sahabat baikku sendiri. 

Lain juga rasanya. Kemesraan dan ukhuwah itu lebih hampir dan erat. 3 jam juga lamanya tapi terasa cepat masa berlalu.

Setidak-tidaknya, liqa' kali ini dapat menyemarakkan semula roh agama di dalam dadaku. Menguatkan semula tulang temulang ibadahku untuk tegak berdiri dengan sempurna.

Pendekata, malam ini aku seperti mendapat suntikan semangat baru. Semangat untuk terus perbaiki diri.

Lepas liqa', aku bawa ibu_suri jalan-jalan sempena mengambil hatinya yang sabar menunggu aku di rumah Angah hingga jauh malam.

Akhmal tidak ada di rumah. Dia ke Setiawan berjumpa emaknya atas urusan keluarga. Muga baik-baik saja dia di sana...

Khamis, 5 November 2015

ULTA

Semalam adalah hari ULTA ibu_suri yang ke 52. Mulanya ingat nak rai bersama anak dan cucu, tapi disebabkan Along tak dapat balik maka keraian itu dilewatkan. Semuanya bersetuju, kira okey la...

Sewaktu masuk ke kereta, Angah wassup klip video ucapan dari Marissa. Bukan main asyik ibu_suri menatap hinggakan...


... mengesat airmata beberapa kali. Di sepanjang pemanduan, suasana hening sehinggalah tiba ke restoran. Begitulah kekadang mudahperasanya ibu_suri. Emosinya kekadang sukar dijangka...


*ULTA - ulangtahun

Isnin, 2 November 2015

Tatkala Bersendirian


Malam tadi, tumpang ibu_suri lena awal, aku keluar memandu ke Seberang Jaya. Singgah minum sambil makan roti bakar sambil 'menelaah' media sosial di talipon.

Aku perlu sesekali bersendirian begitu. Sepanjang hari, kebergantungan ibu_suri yang terlalu banyak dari aku buat aku rasa terkongkong dan terbeban. 

Aku sengaja memilih tempat duduk yang menghadap sekumpulan kumpulan mak nyah. Kuat sembang dan tawanya. Ada yang lawa, tak kurang juga yang menggeligelemankan bulu romaku.

Sambil hisap rokok, bercerita tentang kisah sesama mereka. Bahagian perbualan mereka yang masih kuat aku ingati ialah...

"Awat, you orang berdua pun bercinta ke? Mana boleh bercinta sesama lelaki.... Sorang dari hangpa kena jadi perempuanlah!"

Sesekali aku rasa beruntung sebab dapat menyelami sebahagiaan dari realiti kehidupan masyarakat seperti ini. Golongan remaja yang merempit, melihat remaja yang ditahan di lokap, yang sedang asyik khayal dengan picagari dadah di lengan, yang melerai motor curi dan melayan pelanggan lelaki oleh 'lelaki'.

Aku lihat sendiri semua kebejatan ini. Justeru itulah bila kerajaan membuat keputusan untuk meng'halal'kan vape kerana meraikan aspirasi anak muda, aku berasa teramat sedih. Pada aku, kerajaan tidak ada hati perut lansung. Tega melihat generasi depan yang rosak.

Aku keluar restoran ketika jam tawaf di tangan menunjuk angka 4 am. Memandu pulang sambil memutar cd lagu-lagu Kembara, terhimbau kenangan semasa masih remaja tahun 70an... Aku tak kenal semua ini. Masa itu, kampung aku masih bersih dari semua gejala negatif...