Memaparkan catatan dengan label Marissa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Marissa. Papar semua catatan

Rabu, 24 Mei 2017

Demam


Kasihan Marissa, cucu sulongku. Tinggi suhu badannya mencecah 40 deg C hingga menyebabkan matanya menjadi merah. Suram wajahnya. Tak lalu makan.

Semalam, Angah merujuknya sekali lagi ke Hospital Seberang Jaya. Seperti kali pertama, doktor cuma ambil sampel darah, bagi ubat dan suruh berehat di rumah.

Sudah 3 harilah juga dia tak ke tadika. Hanya berbaring dan merengek dek tidak selesa.

Yang aku bimbang, bila badan terlalu panas bagi kanak-kanak seumur dia ialah kekejangan otot atau 'tarik'. Justru itu aku agak kecewa juga bila doktor tidak mengarahkan Marissa supaya diwadkan. Mungkin kerana katil wad untuk kanak-kanak dah penuh. Atau mungkin juga setakat demam, tidaklah menjadi isu kecemasan seperti kes lain yang kritikal yang mereka hadapi sekarang.

Apapun, aku selaku orang tua berperanan menjadi penenteram suasana kepada Angah, Ayu, ibu_suri malah Marissa sendiri. Aku selalu suarakan perkataan positif seperti... 

'tak mengapa. nanti baiklah dia.'

'letak tuala basah sejuk di kepala jika badannya panas nanti.'

'jangan lupa bagi ubat ikut jadual. habiskan antibiotik.'

Tapi dalam hati sebenarnya aku tetap juga bimbang. Dan berdoa muga tidak ada ujian yang lebih berat dari sekadar demam yangmana itu adalah lumrah bagi kanak-kanak yang sedang membesar...

Ahad, 14 Ogos 2016

Penghargaan

Semalam berlansungnya Sukan Tadika Amal Rintis dan Sekolah Rendah Amal Rintis di padang SR Sri Impian tak jauh dari rumah.

Seperti sebelumnya, aku diminta bertugas mengendalikan sitem bunyi dan lagu. Cuma bezanya kali ini cucuku - Marissa menjadi peserta sukan. 

Tapi oleh kerana aku sibuk dengan tugasan, tidaklah dapat nak beri fokus kepada Marissa, menantu dan besanku.


Dan aku pun tak tahu kategori sukan apa yang Marissa bertanding. Bila dia datang kepada aku dan aku bertanya... menang tak?

" Menang.." sambil mengangguk kepala dan senyum polos.





Apabila semua kategori sukan tamat dipertandingkan dan tiba sesi pengurniaan pingat dan hadiah, seperti lazim... keputusan akan diumumkan dari tempat ketiga dan ke atas.

"Pemenang tempat ketiga jatuh kepada rumahhhh KUNING!"

Maka bergemalah sorakan peserta rumah kuning sambil mengangkat tangan tanda gembira. 



Aku dan ibubapa lain hanya ketawa melihatkan telatah kanak-kanak yang sememang bersih , tak  reti apa-apa dan tak mengharapkan apa-apa yang bernilai melainkan sebuah penghargaan dari kita yang dewasa!

klip video: https://www.facebook.com/abuhanifahamri/videos/10210255387286200/
lagi gambar: https://www.facebook.com/tadikaamalrintis/posts/674013722747164

Jumaat, 20 Mei 2016

Hadiah Hari Guru



Bukan main tak sabar lagi cucu sulongku tergesa-gesa keluar dari pintu rumah sebaik saja aku sampai dan belum sempat menarik brek kereta.

Sambil menyorok sesuatu di belakang, dia tersenyum bangga. Aku sengaja bertanya...

"Ada apa kat belakang tu?"

Jeng..jeng..jeng...

"Kakak dapat hadiahhhh...." sambil menunjuk sebuah buku yang aku agak buku mewarna.

"Bagi opah tengok...." sambil membuka pintu kereta.

"Eee... cantiknya. Mana Marissa dapat?" tanya ibu_suri.

"Dia menang main 'siapa cepat duduk kerusi' masa Hari Guru kat tadika tadi..." terang Ayu sambil menusuk anak kunci ke mangga pintu pagar.

Aku dah tahu hal ini awal lagi lewat wassap dari Ayu sebelum itu. Sengaja tidak memanjangkannya kepada ibu_suri.

Begitulah tabiat semula jadi setiap anak kecil terutama perempuan. Suka dimanja, dipuji dan diraikan terhadap setiap hasil yang dia telah usahakan... 

Khamis, 21 Januari 2016

Sebuah Kek


Semalam, cucu sulongku - Dhiya Marissa, genap 4 tahun. Cepat masa berlalu.

Paling happy tentulah ibu_suri. Awal dia dah peringat aku belikan kek.

"Mana lilinnya?" soal Marissa bila kotak dibuka,  terpapar hanya kek dan sebilah 'pisau'.

"Tok ayah, kalau beli kek memang takada lilin!" ujarku. "Itu semua budaya Majusi"

Terkulat-kulat cucuku, hampa agaknya tak merasa tiup lilin.

Ajak menyanyikan lagu 'Allah Selamatkan Kamu', tak mahu. nak lagu 'Happy Birthday' juga.

Yang ini, terpaksa jugalah aku ikut. Lagu paling popular di dunia malah dikatakan pernah dinyanyikan di bulan juga.

Berlainan dari adik, cucu yang ini, pasal posing bagi kat dia...


baca juga catatan terbaru blog SRI MERSING di sini...
http://keluarga-amri.blogspot.my/2016/01/al-manar.html

Isnin, 4 Januari 2016

LANGKAH BARU


Hari ini cucuku, Marissa memulakan langkah baru ke dunia pembelajaran. Nampaknya macam tak sabar...

Angah memilih Tadika Amal Rintis untuk Marissa.

Tadika yang berada di bawah naungan IKRAM Pulau Pinang dan ibu_suri pernah menjadi antara tenaga pengajar terawal sehingga 2008.

Begitu cepat masa berlalu. Terasa seperti baru saja menimang Marissa sebaik keluar dari dewan bersalin di HSJ, kini dah mulai membentuk dunia sendiri..

Di zaman ibu_suri mengajar dulu, tadika ini mendapat pujian dari sekolah rendah berdekatan kerana mampu melahirkan graduan yang berkebolehan dalam membaca, mengira dan mengaji dengan baik.

Sistem pembelajaran yang digunakan ialah Fonetik.

Tadika Amal Rinis ini menyimpan banyak kenangan suka duka kami berdua di waktu awal penubuhannya.

Kini Angah dan Marissa menyambung pengalaman itu dan akan membina pengalaman suka duka mereka pula.

Harap Marissa akan cepat belajar membaca, mengira dan mengaji.

Dan semuga, Tadika Amal Rintis akan berjaya membentuk pelajar seperti Marissa menjadi pelajar yang soleh wal musleh.

Selasa, 4 November 2014

51


Simple celebration sempena ulangtahun kelahiran ibu_suri ke 51 tadi di rumah Angah. Pertama kali juga aku belikan dia kek perisa mangga yang agak mahal harganya kat Damiral's, Perda.

Bagi aku, harga bagi sebuah keluarga ialah senyumtawa mereka. Namun bagi bagi ibu_suri agaknya ialah bilamana dapat memotong kek bersama cucu sulong kesayangannya - Marissa.

Sabtu, 6 Julai 2013

Terjatuh



Kesibukan menyiapkan blog TKM1 mutakhir ini membuatkan aku tak banyak masa untuk menulis ke blog sendiri. 

Orang lain yang menatap mungkin berasa sekejap sahaja pembacaan mereka dan mampu mendapat gambaran aktiviti yang telah dilalui oleh TKM1 sepanjang hari. Akan tetapi aku yang terpaksa bersekang mata malah hingga terpaksa menahan sakit batang hidung akibat terlalu lamanya cermin mata terletak di depan kornia.

Mencari bahan, menyusun bahan mengikut waktu aktiviti dan menyusun ayat yang sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat pembaca memerlukan masa, kesabaran dan ketelitian.

Mengalami hal ini buatkan aku terasa kagum dengan tugasan penulis berita maupun cereka. Daya imiginasi dan pengetahuan luas dalam ilmu bahasa amat penting. Bagaimana perasaan mereka bila tiba-tiba sahaja penat lelah mereka itu diperlekeh oleh sesetengah pembaca?

Hari ini seperti biasa, selang 2 minggu akan ziarah mak abah di Taman Buah Pala, Gelugor bersama kakak ipar dan Marissa yang dijaganya.

Kasihan Marissa sebab terjatuh dari tangga semasa bermain di rumah mak abah. Bukan main lagi ibu_suri toghek menegur kakak ipar yang sedikit alpa menjaga Marissa sebentar tadi.

Aku yang ada semasa itu hanya melihat saja Marissa tersembam ke muka tangga akibat tergelincir. Bagi aku ianya taklah serius sangat. Bagi aku biarlah sesekali Marissa merasai bagaimana sakitnya kalau terjatuh.

Bagi aku Marissa akan lebih cepat belajar erti hidup jika dia banyak menempuh kesusahan daripada terlalu banyak menikmati kesenangan.

Isnin, 6 Mei 2013

Warkah Buat Anak Cucuku

Wahai anak dan cucuku, 





















Maafkan ayah kerana tidak dapat menghadiahkan untuk kamu;

1. Lebuhraya tanpa tol
2. Pengajian percuma
3. Turunkan harga kereta
4. Harga minyak turun
5. Caj elektrik lebih rendah

sempena Hari ulang tahun ayah yang ke 53 ini demi masa depan kamu. Namun sama-samalah kita berdoa muga-muga 5 tahun akan datang ayah masih sihat dan mampu meneruskan perjuangan ini!


Isnin, 18 Februari 2013

Lepaskan!

Cucuku - Marissa
Cucuku,
Sudah besar kau sekarang ya. Sudah pandai berjalan dan mencipta kata-kata. Sudah pandai memunggah hiasan di kabinet Opah. Tapi Opah hanya ketawa seraya berkata: Tak apa. Biarkan..biarkan...

Anakku,
Sudah dewasa kau sekarang. Sudah bijak memintal perbualan. Sudah ada keluarga sendiri. Sudah ada kapal dan sauh sendiri. Ayah sudah boleh lepas sebelah tangan. Sudah boleh melepas separuh dari lelah di dada. Sudah boleh ayah jadikan kawan. Jadikan tempat bergantung harapan.

Isteriku,
Lepaskan anakmu. Biarkan ia berenang mencari kehidupan di lautan. Kendali sendiri ombak dan taufan. Panjatkan saja doa di awan. Usah ingat dia masih hingusan. Masih tidak mahu lepaskan dari bcelah ketiakmu.

Aku,
Inilah masa terbaik untuk membuat 5S kehidupan sementara usia yang masih ada peruntukkan dari Tuhan!

Rabu, 23 Januari 2013

Gelang Untuk Marissa

Baru saja selesai mengendali mesyuarat untuk program AQSA2GAZA@MYDIN yang dirancang bermula pada 26 ~ 27 Disember ini di foyer Pasaraya Mydin, Bukit Jambul. Aku ajak ibu_suri ikut sama supaya dia tahu apa sebenarnya yang aku buat bila kata nak pergi meeting. Tidaklah nanti dia akan bersangka buruk dan berkata; 

" You pergi meeting ke atau jumpa sapa?".. marah!  Pada aku itu bukan perkataan yang boleh dibuat mainan. Pedih rasa hati jika kejujuran kita dipertikai sesuka hati.

Selama 2 jam mesyuarat itu berlansung maknanya selama 2 jam jugalah ibu_suri terpaksa duduk bersimpuh tak bergerak. Kesian juga dia. 

Selain alasan di atas, aku membujuk ibu-suri agar ikut bersama ialah kerana aku tidak mahu dia kesunyian di rumah. Bila sunyi nanti dia akan asyik teringatkan cucunya yang sudah 2 hari tidak berada di rumah kerana giliran bermalam di Bukit Tengah. 

Aku memang selalu berpesan pada Angah supaya berkhidmat samarata antara keluarga dia dan keluarga isterinya. Dia perlu menganggap ibubapa Ayu adalah ibubapanya juga sepertimana Ayu perlu menganggap aku dan ibu_suri adalah ibubapanya juga.

Aku tidak mahu ada di antara anak-anaku yang tidak reti menghormati orang tua mereka sendiri. Aku katakan pada Angah;


"Jika kamu mahu anak kamu menghormati kamu bila kamu tua, kamu hormatilah kedua ibubapa kamu tatkala mereka sudah tua. jika mereka sudah tiada, hormati dan ziarahi keluarga mereka. Jika keluarga mereka juga tiada, hormati dan ziarahilah kawan-kawan baik mereka."


Sewaktu minum-minum di Restoran Cahaya Al Amin depan Hotel Summit, ibu_suri buat entah keberapa kalinya menyatakan hasratnya untuk menghadiahkan gelang tangan untuk cucunya - Marissa.

"La... kan dia masih kecik sangat lagi. Mana dia reti pakai rantai.." aku mengelak.

"Emmmhhh... You memang kedekut. Kedekut soiihhhh....." sambil menjuih bibir. Aku tertawa saja...

Selasa, 22 Januari 2013

Makhlok Halus Itu

Masa aku menyertai kelompok KL112 bulan lepas, aku diberitahu bahawa kakak ipar yang mengasuh cucuku - Marissa diserang angin Ahmar. Ketika mereka sekeluarga makan di gerai, anak sulongnya perasan mulut mama mereka senget dan air minuman meleleh jatuh di sudut bibir.

Mereka segera kejarkan mama mereka ke Hospital Seberang Jaya. Mama mereka di tahan di wad dan disahkan sebahagian saraf otaknya mengalami blood clot. 2 hari selepas itu dia dibenarkan balik kerumah dan aku sempat menjenguk. Memang, perubahan sikapnya akibat mild stroke persis ibu-suri juga - kebudakbudakkan.

"Mudah sungguh manusia ni dapat stroke," bisik hatiku. Betapa rapuhnya manusia ini. Tapi itupun masih ramai yang melupakan tanggungjawap mereka terhadap Tuhan.

Memang kecoh sekejap Angah dan Ayu kerana tiada siapa yang boleh menjaga Marissa. Terpaksa mereka ambil cuti. Masa itu ragam ibu_suri juga bukan kepalang. Dia mahu menjaga Marissa yang kononnya lebih berhak. Aku terpaksa memainkan peranan secara halus dalam menangani situasi ini.

Sekali lagi aku berpesan pada Angah yang mula nampak hilang punca; "Masa inilah yang selalu ayah pesan - menarik rambut dari tepung; rambut jangan putus, tepung jangan tupah. Ini baru sebahagian kecil dari permasaalahan hidup yang perlu kau pikul."

Geleng kepala juga aku bila birasku yang memang aku tahu suka sangat berjumpa bomoh; di malam itu juga mereka pergi berjumpa Pak Su. Kononnya Pak Su berjaya menangkap makhlok halus itu dan memenjarakannya ke dalam botol. Ditunjukkan kepada aku gambar makhluk halus itu di ketika sambutan Hari lahir Marissa baru-baru ini. Kepercayaan aku?   Ah.... cuma 50-50.

Namun aku berpandangan rawatannya selepas itu dengan Al Jabbar di Tanah Liat itu lebih munasabah. Boleh nampak banyak perubahan kesihatannya berdasarkan karektornya yang semakin normal.

Semua fenomena ini memberi pengajaran dan renungan terbaik buat aku. Aku memang selalu begitu - suka melihat apa yang terjadi kepada orang lain dan membandingkan dengan diriku sendiri.

Aku mesti terus menjaga kesihatan ibu_suri sebaiknya dari serangan angin Ahmar yang ke 2. Tidak ketinggalan kesihatan diriku sendiri, adanya. Aku amat berharap agar Allah mengasihani diriku yang kerdil lagi marhaen ini! 

Ahad, 21 Oktober 2012

Syukur

Baru balik dari riadah di Tasik Mengkuang. Walaupun badan terasa amat malas untuk pergi, aku paksakan juga.

Di bilik, ibu_suri masih tidur. Aku biarkan dia begitu. Hampir 2 hari lalu dia lansung tidak tidur. Bimbang juga pada tekanan darah tingginya. Semasa pemeriksaan di klinik, bacaan sistoliknya adalah 200. Pembantu Perubatan pun terkejut dan segera menyuruh ibu_suri memakan sejenis pil untuk mengurangkan tahap tekanan. Hal itu saja memakan masa setengah hari kami di sana. Doktor tak henti-henti menjeling aku.

Akhir-akhir ini pula kerap hujan. Bila hujan begini yang membimbangkan aku ialah bumbung yang bocor. Semakin serius nampaknya. Tak tahu bila aku punyai bajet untuk membaikinya.

Tapi walau apa pun aku bersyukur atas apa yang aku ada dan lalui selama ini. Emosi ibu_suri juga semakin stabil berkat konsisten memakan ubat epilim, sertraline dan risperidone. Sebenarnya, kalau tidak kerana kesabaran yang kuat dan kental ini, sudah lama keluarga aku berantakan. Bukan mudah hendak menjaga seseorang yang mengalami bi-polar disorder seperti ibu_suri 2 tahun dulu.

Apa-apun jom layan klip video cucu kesayangan ibu_suri ini yang dulunya sedang belajar meniarap. Kini dia sudah pandai merangkak dan sedang belajar berdiri.

Ahad, 14 Oktober 2012

Puncak Himalaya

Lanskap depan Penjara Sungai Petani

Sebenarnya aku masih letih dek seharian memandu, semalam. Pagi riadah mingguan di Tasik Mengkuang. Bawa ibu_suri bersama agar dia dapat menghirup udara baru dan berjemur di bawah cahaya matahari pagi. Asyik memerap saja di rumah kurang sihat untuk kulit.

Tengahari kami ke Sungai Petani, ziarah Akhmal. Terkilan juga kerana kaki Akhmal masih tidak dirawat oleh doktor hospital. Secara baik aku tanya pegawai penjara, kenapa? Rupanya pihak penjara menunggu perpindahan dokumen perubatan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Sungai Petani. Itu mau makan beberapa minggu kalau tidak bulan. Tika itu nanti Akhmal dah dipanggil semula ke mahkamah. Ntahlah..

Balik, seperi biasa ibu_suri suruh drive ikut jalan jauh. Aku pujuk dia agar balik saja untuk sembahyang dan rehat. Aku curi tidur hingga menjelang Maghrib. Belas juga dia kepada aku walaupun dia sendiri tak boleh nak picing.

Selesai Maghrib dia push aku bawa dia jalan-jalan lagi walaupun bila aku bertanya ke mana, dia cuma hinggut bahu. Aku pun cari akal untuk selesaikan urusan perbankkan kemudian singgah makan di gerai Mee Pokok Ceri kat astaka tak jauh dari Masjid Seberang Jaya. Memang diperakui mee gorengnya sedap.

Balik menjelang 10 malam kerana itu masa Angah dan Ayu balik bersama Marissa. Sambil ibu_suri bermain dengan Marissa yang tak berapa mahu sangat dengan orang selain mamanya, Angah berbual dengan aku perihal dia nak balik kampung Ipoh esok. Memang, berbanding ziarah orang tua ibu_suri di Penang, Angah lebih suka ziarah mak aku di kampung.

Bila Marissa merengek mau tidur, ibu_suri tiba-tiba bangun dan tarik tangan aku;

"Jom bawa I ronda-ronda. Boring la.. Marissa dah tidoq!"

"Apa ibu... kesian kat ayah!" ujar Angah. Aku malas banyak cakap, meminta kunci. Bawa Viva Angah lebih relaks rasanya berbanding Kancil aku yang dah tak berapa best akibat kemalangan dulu. 

Sememangnyalah menjaga kebajikan isteri yang mood dis-order ini memang perlukan kesabaran yang tinggi malah lebih tinggi dari puncak Himalaya. Tuhan ingin menduga aku, sebenarnya!

Isnin, 18 Jun 2012

Anak Emas


Itu bukan cek milik aku tapi milik Dhiya Marissa, cucu kesayangan ibu_suri.

Kerajaan Pulau Pinang melalui projek Anak Emas telah menaikkan imbuhan dari RM100 sebelum ini kepada RM200 tahun ini bagi setiap anak yang lahir di tahun tersebut.

Untungkan jika mempunyai kerajaan yang begitu kreatif dalam memberi keselesaan hidup rakyat di bawahnya.

Ada satu lagi program untuk OKU imbuhan RM100 setahun. Semasa singgah di Pusat ADUN Penanti aku sempat bertanyakan hal ini.

"Encik kena bertanya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana imbuhan ini disalurkan melalui JKM."

"Saya selalu pergi JKM tapi depa tak pernah beritahu pun. Mereka cuma bagi bantuan bulanan persekutuan RM150 untuk ibu_suri sahaja. Untuk Akhmal hanya akan menerima RM300 jika dia bekerja. Kalau tak bekerja tak dapat apa."

"Cuba encik pergi bertanya sekali lagi. Jika mereka tak beri baru encik datang buat aduan di sini. Sepatutnya mereka bagi."

Rasa seperti ada yang tak kena!

Ahad, 19 Februari 2012

Aula

Aku memang tak sedap badan sedari semalam. Tengkuk rasa sakit terutama bila nak beri salam kiri dan kanan selepas sujud akhir sembahyang. 

Aku paksa diri aku untuk bersiap-siap ke Tasik Mengkuang. Aku nak rehatkan minda dan perasaan aku. Bertalu-talu sms datang mengingatkan aku bahawa petang ini ada Majlis Pertemuan JKP IKRAM dengan ahli di RECSAM, Pulau Pinang. Aku tak pasti boleh hadir atau tidak walaupun aku tahu dan faham bahawa kehadiran aku itu perlu. Respon dari ibu_suri bila aku beritahu semalam agak negatif. Aku akan melihat yangmana lebih aula. Memanglah tarbiyah aku menyatakan jamaah lebih utama tetapi adakalanya untuk menjaga jamaah, keluarga perlu didahulukan.

Aku tahu, ibu sedikit emosi bila dapat tahu Marissa terpaksa di rujuk ke doktor pakar jantung. Beriya-iya ibu_suri tanya kenapa tapi aku dan Angah hanya menjawap: tunggu doktor kata apa. Sedangkan sebenarnya doktor khuatir Marissa mengalami jantung berlubang atau ada saluran darah yang terganggu.

"Itu cuma jangkaan doktor. Tak ada apa-apa kut!" pujuk aku kepada Angah.

Kesian aku melihat Ayu yang seharian menunggu Marissa. Dahlah dia sendiri masih dalam pantang, terpaksa pula bersekang mata menunggu Marissa di katil wad yang pastinya amat tidak selesa. Begitulah pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Aku dapat lihat airmatanya jatuh walaupun Ayu selalu cuba menyorok. Mereka terlalu muda untuk kenal erti jerih perih menjaga anak.

Aku berpesan pada Angah bahawa yang paling utama suami kena kuat semangat kerana isteri bergantung pada semangat suami. Dan isteri pula kerana kuat dan tabah kerana anak bergantung semangat dari ibunya pula. Begitu kitaran saikologi hidup. Tapi aku dapat rasakan Ayu sebenarnya tidak cukup kuat. Tak seperti mak aku yang menjadi idolaku hingga sekarang bila setiap kali ditimpa ujian Tuhan.

Ada biskut, cokelat dan juga Makallah 1su Mutiara

"Kenapa tak mahu makan cokelat ni?" Tanya aku pada Angah bila dia memberi aku beg berwarna pink yang dihadiahkan oleh sekumpulan orang yang membuat ziarah ke pesakit hospital ini pagi semalam. Angah geleng kepala.

"Orang bagi, kita ambillah."

Lepas makan pagi di restoran Sri Semarak dengan Radix O dan roti canai, aku singgah di Masjid Mengkuang untuk solat Dhuha. Ada sekumpulan pelajar; agaknya membuat program Qiamullail. Beberapa orang dari mereka sedang 'berdakwah' kepada beberapa orang remaja di bawah tempat letak motor. Aku memerhati dengan senyum!

Sabtu, 18 Februari 2012

Marissa - hobinya..tidur!

Marissa - hobinya..tidur!

Dhiya Marissa demam. Sejak semalam. Angah bergegas mengejarnya ke Hospital Seberang Jaya jam 5 pagi bila mendengar nafas Marissa turun naik agak kasar. Doktor mengesahkan dalam saluran nafas Marissa ada gelema.

"Bukan gelama!" tegasku dalam seloroh bila ibu_suri masih tidak faham apa yang telah terjadi kepada Marissa. Nak beritahu pada ibu_suri ini pun satu hal juga. Maklumlah, sayang sangat ibu_suri ini pada Marissa hinggakan kekadang aku buka blog aku lantas lagu dari singingbox aku berbunyi; ibu_suri beliakkan mata;

"Pelan sikit la komputer tu. Marissa tidur!"

Aku harap Marissa akan segera sembuh. Kasihan dia, belum pun cukup usia sebulan, sudah terpaksa diwadkan.

Aku sendiripun belum sempat ziarah Marissa. Hari ini dan esok jadual aku cukup padat. Pagi terpaksa pergi kerja untuk selesaikan tugasan yang berlambak. Petang, ada kenduri kesyukuran di rumah blogger JH sempena pemergian anaknya belajar ke Yaman.

Esok pagi aku akan pastikan beriadah di Tasik Mengkuang. Dan petang tak pasti samada aku akan dapat menghadiri sesi pertemuan antara Jawatankuasa Pusat IKRAM dengan ahli-ahli IKRAM Pulau Pinang. Aku belum pernah bersua dengan mereka sebelum ini.

Ahad, 12 Februari 2012

Terisi

Melawan panah matahari dengan kamera talipon bimbit

Aku tak jadi pergi kerja hari ini. Selepas Qiamullail malam tadi di mana aku dipertanggungjawap menguruskan logistik dan makan pagi, aku ke Tasik Mengkuang; seperti selalunya hujung minggu... riadah. Aku rasa puas. Untuk esok, aku fikir esok sahajalah. Workload ini kalau nak dihiraukan, sampai bila pun takkan habis.

Walaupun baru jam 8 lebih tapi cahaya matahari tajam menikam kulit. Pijarnya begitu lit lit! Semakin ramai orang-orang Melayu beriadah sejak akhir-akhir ini berbanding beberapa tahun lalu trek di sini kebanyakannya di monopoli oleh bangsa Cina.

Angah dan keluarga ada di rumah. Sengaja aku 'arah'kan Angah balik bawa Marissa, cucunda sebagai 'umpan' ibu_suri agar tak bersungut kerana ketiadaan aku di rumah malam dan pagi ini. Kalau ada Marissa, ibu_suri sanggup seharian tak keluar rumah. Asyik mengagah dia saja walaupun Marissa lebih banyak tidur dari jaga.

Benar sangat kata rakan blogger sekalian bahawa bila ada cucu nanti tentu kesunyian ibu_suri terisi. Aku?... he..he.. Selalu ibu_suri tanya; kenapa tak mahu dukung Marissa? Aku jawap; tunggu bila dia boleh berjalan nanti. Kita tengok... dia manja Opah ke atau Tok Ayah!

Sayangnya, Marissa itu cucunda perempuan. Kalau lelaki tentu aku boleh ajak pergi masjid, mengajar silat dan bernasyid. Besar sikit boleh ajar macammana nak setup p.a system di atas stage dan tak lupa ajar tulis blog!