Memaparkan catatan dengan label Masih Kepeningan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masih Kepeningan. Papar semua catatan

Khamis, 30 Jun 2011

Masih Kepeningan...3

Sekiranya Allah hendak renggut nikmat yang kita miliki selama ini hanya dalam masa sedetik sahaja. Tidak susah bagi Dia. Cuma hanya dengan kata-kata - Kun, maka jadilah seperti kehendakNya.

Hari Sabtu lalu aku menghantar Kancilku ke Perodua untuk simple servicing. Itupun memakan kos RM160. Kemudian aku hantar pula ke kedai tayar Asia di Penanti. Perlu gantikan tayar hadapan yang sudah botak dan membuat penjajaran. Itu pula memakan RM240. Bermakna kesemua itu berjumlah RM500.

Ahad pagi aku pulang ke kampung bersama ibu_suri dengan hasrat menziarahi emak. Aku dapat rasakan memang mak menanti kepulangan kami berdua sejak majlis walimah Angah. Aku cuba untuk duduk lama dengan mak dan balik hanya selepas Maghrib ditunaikan.

Manalah tahu. Hanya tidak sampai 10km sahaja lagi untuk sampai ke rumah, tiba-tiba kemalangan. RM500 yang dikeluarkan untuk penyelenggaraan kereta itu sebelum itu lesap dalam masa kurang 48 jam. Digantikan pula dengan kos baikpulih akibat kemalangan yang mungkin mencecah RM10 ribu. Itupun jika pihak insuran Maybank ETIQA tidak mengisytiharkannya sebagai total loss.

Aku sepatutnya bersyukur. Kecederaan teruk hanya pada kereta yang boleh dibaikpulih. Kejadian ini juga membuatkan aku tersedar. Kembali membuat penjajaran terhadap laluan perjalanan hidup. Aku tahu, aku masih banyak dosa dengan Tuhan!

( Kalau pergi ke Perodua di Auto City, boleh lihat Kancil ibu_suri - PHF 1407 di parkir, sebelah kanan pintu masuk. Masih dalam proses kelulusan insuran. )

Selasa, 28 Jun 2011

Masih Kepeningan...2

Sekitar tubuh terutama bahagian kanan semakin terasa sengal. Terutama kepala yang berdenyut bak orang demam panas.

Tidak mengapa juga kalau begitu adalah aku. Tapi ibu_suri yang juga mengalaminya lebih aku bimbangi. Sudahlah dia memang separa normal ditambah dengan kesakitan yang sebegini. Dia kerap merasa pilu kerana Kancil yang dia beli melalui titikpeluhnya sebagai guru tadika dan tuisyen dahulu kini remuk. Agaknya seserius mana remuknya kereta itu begitulah remuknya hati ibu_suri. Cuma dia tak bisa meluahkankannya selain dari airmata. Aku membujuknya dengan menyuruhnya bersyukur kerana tubuh badan kami tidak seremuk Kancil itu. Malah masih boleh makan, berjalan dan mandi manda walaupun kekadang melelong juga.

Wira yang aku beli demi keluarga
Trauma kemalangan Ahad lalu membuatkan aku fobia bila memandu kereta Wira yang Angah pinjamkan pada aku. Biarlah Angah bawa motor sementara ni, katanya. Aku menjadi terlalu amat berhati-hati terutama bila melihat motor yang menyelit di celah aku.

Namun sesekali aku bimbang juga kerana isterinya -  Ayu dah mula loya-loya. Selalu aku menasihati supaya hati-hati membawa motor. Kalau tidak kerana ibu_suri yang mahu dibawa bersiar-siar di waktu malam, aku lebih rela duduk di rumah supaya Angah boleh menjemput Ayu pulang dari kerja dengan Wira.

Rapuhnya diri kita ini bak sebiji gelas. Jatuh sahaja ke lantai akan pecah berderai. Kereta kalau rosak ada spare part untuk diganti. Tapi kalau badan kita rosak? Begitu kata-kataku membujuk ibu_suri. Agaknya Tuhan 'masih pandang' pada kita. Justeru itu dia selalu uji kita supaya ingat padaNya!