Sabtu, 30 April 2016

Mak Co


Tidur tadi aku bermimpikan Mak Co - satu-satunya mak saudara yang aku membesar dengan air susunya.

Mak Co adalah kakak ipar kepada abah. Tinggal tak jauh dari juga dari rumahku di kampung. Anaknya yang sulong - Jama adalah sebaya dengan aku dan kawan sepermainan yang akrab bersama Kulop dan Din. 

Mak Co lemah lembut orangnya. Asal dari Simpang Pulai. Aku selalu bermain dan tidur di rumahnya

Satu masa di bulan puasa, aku masih ingat. Aku pernah tertidur lama (kata mereka, aku pengsan) setelah balik dari mengambil kanji di masjid,

Semasa pemergiannya menemui Pencipta tatkala umurnya sekitar 75 tahun, Syawal tahun lepas, aku tak dapat pergi kerana masih kurang sihat akibat serangan Denggi. Tak boleh duduk lama jauh sekali untuk memandu.

Aku doakan muga beliau aman di 'sana'. Kenangan semasa kecil bersamanya sebenarnya dah banyak aku terlupa...

Istinja

Masuk sahaja dalam kereta usai solat Jumaat siang tadi, aku perasan talipon berdering. 

"Ayah... ibu berak berterabur kat dapur. Ibu tunggu ayah balik. Ada kat tandas!"

"Owh... ok. Ayah balik..."

Niat aku nak singgah makan di Kubang Semang, aku batalkan saja.

Semasa memandu, aku setkan ke dalam minda yang aku perlu cool sahaja. Tak perlu hingar bingar atau serabut.

Pertama yang aku perlu selesaikan ialah ibu_suri. Selesai istinja, aku suruh ibu_suri mandi sahaja. Selesai mandi, lapkan badan dan carikan baju, baru aku tumpu kepada karpet dan lantai dapur. 

Tuala lapik kaki di tepi singki dan di pintu bilik mandi terpaksa aku basuh dengan mesin 2 kali.

Berpeluh-peluh dan tercungap-cungap juga.

Dalam hati aku berbisik... memang tidak ada siapa yang boleh berbuat kerja begini melainkan suami untuk isteri atau isteri untuk suami.

Balik dari keluar makan malam pula tadi, tak sempat tiba ke tandas dah terkucil di lantai pintu masuk rumah.

Aku cuma geleng kepala dan tarik nafas panjang. Bukan sekali, malah berkali-kali. 

Dah OK...

Tiba-tiba sahaja icon kat new entry blog aku ini jadi ok. Dulu, keadaannya macam ni...


Paling masaalah ialah bila nak attach gambar.  Juga tak boleh adjust tulisan aku guna mode 'justify'.

Syukur sahajalah semua dah kembali normal walaupun tanpa tahu bagaimana...

Selasa, 26 April 2016

Usia

Hari ini kami ke Penang ziarah mak dan abah mertua.

Aku bukan buat apa pun. Sekadar melayan perbualan mak dan abah. Atau mungkin boleh juga dikatakaan sebagai teman berbual sahaja.

Mak dan abah memang sudah uzur sesangat. Umur abah lebih 90 tahun. Mak pula mungkin 70an. Mereka bedua lebih banyak habiskan masa di katil.... duduk atau berbaring.

Berbual pun banyaknya perkara yang sama. Aduan mereka pun masih yang itu itu juga. Kekadang, tepu juga telinga mendengarnya.

Pasal rumah pusaka di kampung, pasal perangai anak yang begitu dan begini.

Aku selalu berpesan pada ibu_suri, kita buat apa yang kita mampu untuk mak. Kita jangan persoal kenapa adik beradik lain tidak seperti kita.

Selain kita ikhlas kerana Allah, ingin membalas jasa mak dan abah... kita juga berharap apa yang kita perbuat kepada mak, begitulah yang anak akan perbuat kepada kita.

Aku tak lupa salam dan cium tangan abah sebelum balik; sesuatu yang dulu tak pernah aku lakukan. Berlebih lagi oleh ibu_suri.

Rasanya, keakraban, kasih sayang dan peduli kami kepada abah sekarang ini lebih baik dan lebih tulus dari masa kami muda-muda dulu.

Mungkin faktor usia dan kesedaran pada hari akhirat!

Isnin, 25 April 2016

Maafkan Aku, Tuhan...

Tuhan,

ntah kenapa hati aku amat tidak tenteram beberapa bulan ini

maafkan aku atas segalanya

berikan aku kekuatan untuk terus ikhlas menjaga mereka
... isteri serta anak-anakku

berikan aku kekuatan untuk terus melihat dan berdoa untuk mak

beri aku kekuatan untuk terus mengharungi kehidupan ini
... memperbaiki diriku sendiri

seorang demi seorang di sisiku telah pergi menemuiMu

ntah bila giliranku....

sekali lagi, maafkan aku Tuhan,

aku tahu

aku terlalu lemah di tengah kerikil kehidupan ini

tidak ada sesiapa, tempat untuk boleh aku mengadu

aku berasa amat sendirian!

Ahad, 24 April 2016

Error

Aku masih berdepan dengan masaalah entri blog. Tak boleh masukkan gambar atau pautan. Payah nak edit catatan.

Ini semua gara-gara icon untuk editting jadi cacamerba.

Tang mana silapnya, aku pun tak tahu.

Selama ini aku hanya menulis secara text sahaja. Tak umphh rasanya.

Aku ada letakkan gambar error yang berlaku pada entri blogku kat fb di:

https://www.facebook.com/abuhanifahamri

Mungkin kalian ada nasihat yang terbaik...

Jumaat, 22 April 2016

Jangan Mood Mengatasi Hasrat

InsyaAllah, esok aku akan balik kampung. Penggiliran sebulan sekali di kalangan adik beradik yang duduk jauh supaya adik yang selalu menjaga mak dapat berehat sekejap.

Tapi aku biasanya balik hari. Tengahari sampai, makan tengahari dengan mak hinggalah ke malam selepas makan malam, makan ubat dan gantung kelambu untuk mak. Kira-kira lebih kurang jam 9.

Walaupun aku rasa ralat kerana balik sekejap sangat; tak boleh tidur bersama mak tapi itulah yang terbaik boleh aku perbuat. Bermalam adalah sukar bagi aku untuk uruskan keperluan ibu_suri.

Sebenarnya aku rindu nak jalan-jalan melihat-lihat kampung. Melihat-lihat adik beradik dan saudara mara. Namun semua itu terpaksa aku pendamkan.

Tak seperti adik-adikku yang lain bila balik kampung. Khabarnya mereka memasak, berborak dan adakalanya membawa mak berjalan-jalan. Aku tak mampu berbuat seperti itu.

Walau apapun, aku hanya buat yang terbaik dengan cara akulah...

Paling penting, harap aku tidaklah tiba-tiba kensel niat aku balik esok bila bangun pagi nanti seperti bulan lepas. Susah juga bila dah tua tua ni. Mood mengatasi hasrat... kekadang!

Tak Perlu Mimpi Yang Baru

Bangun pagi ini aku merasakan satu kelainan perasaan. Bimbang... berasa tidak mahu lagi layan kemahuan pada sesetengah harta dunia,... perlu berubah dan perlu kembali ke pangkal jalan.

Aku bangun melihat sekeliling dalaman rumah. Semuanya hanya nikmat dunia yang sementara. Apa-apa yang dulu semasa bekerja aku langgan rasanya kini aku perlu berhentikan. Apa yang ada sahajalah aku hargai atau gunapakai. Tak perlu bermimpi yang baru.

Yang ada di sisiku sahajalah yang aku jaga. Tak perlu terlalu risau pada yang lain. Semuanya serah pada Allah.

Aku tak punya banyak waktu yang tinggal. Paling lama pun 20 tahun. Paling cepat.... Allah lebih mengetahui.

Masa yang ada perlu aku menafaatkan sebaiknya.

Badan pun dah mula rasa sakit-sakit dan tak berdaya. Mak dan abah adalah contoh terbaik yang dulunya kuat bekerja, sekarang tersadai sahaja di perbaringan...

Allahu Robbi!

Khamis, 21 April 2016

Bunyi Katak

Dah lama aku dengar bunyi katak dari sisi rumah.

Selepas beberapa siri hujan lebat atau hujan renyai 3~4 hari ini, sambung menyambung suara katak sejak senja tadi hingga sekarang. Syahdu pula rasanya mendengar muzik alam semulajadi ini.

Betulkah mereka ini sedang memanggil hujan untuk turun lagi? Atau sekadar berzikir tanda syukur kerana hujan bebaru ini?

Bunyi katak juga mengingatkan aku pada kampung yang aku dibesarkan. Kampung nan damai; bila pagi nampak kabus dan embun di hujung daun.

Bila musim hujan, rumah kampungku memang selalu bah. Akan nampaklah katak kembong berenang-renang di permukaan air.

Kiranya, masih beruntung jugalah aku sekarang ini kerana masih boleh dengar bunyi katak walaupun tinggal di kawasan taman. Sesekali bunyi cengkerik dan sesekali bunyi pipit.

Entah bagaimana nanti di zaman cicitku nanti. Kalau aku sekarang hanya mendengar bunyi dan tidak dapat melihat katak, cicitku nanti mungkinkah lansung tidak mendengarnya?

Rabu, 20 April 2016

Pengalaman Bisnes On9

Nak citer sikit pengalaman baru sejak tercebur dalam bisnes online ni.

Aku minat kumpul lagu Ebiet G Ade. Dalam banyak koleksi, ada satu keping tu cd berkembar. Aku dapat dari Indonesia masa awal-awal dulu.

Bila sekarang aku dah dapat banyak cd yang dikirim oleh kawan dari Sumatera, aku rasa nak lego lah cd berkembar ni. Malas simpan sebab leceh bila nak mainkan di pemain cakera di  dalam kereta.

Aku pun promo la kat facebook. Ada seorang pelanggan nak beli. Tapi... sementara dia nak bankin duit untuk bayaran, dia punya tanya soalan...

... cd ni digitally remastered ke?
... betul ke tak de calar?
... boleh tengok cd sebenar?
... boleh tengok inlay dalam?
... keluaran tahun bila?

dan berbagai lagi. Siap buat wassup call. First time aku terima selama 2 tahun guna talipon pintar ni.

Aku hampir give up juga dan mula tidak menaruh harapan yang tinggi.

Tau-tau, lepas seminggu ting.. tong... Isnin baru ni dia kata dah bankin duit dan tergedik-gedik minta aku hantar hari itu juga. Konon lagi 2 hari kena pergi ke Australia.

Aku kata tak sempat hari itu.

Dia nak cancell. Minta pulangkan semula duit yang dia dah bankin. Aku jawap okey la.. nak buat macam mana.

Kemudian pm lagi... suruh cuba pos juga hari itu. Aku pun mahu tak mahu, bergegas ke Pejabat pos laju di Juru yang tutup jam 6 petang.

Cun cun sampai... tapi orang tersangat ramai. Sabar ajelah nanti giliran..

Bila dah bagitahu dia yang cd dah diposkan, dia minta tracking no. Kemudian dia check dalam online system Pos Laju, tak ada pun tracking no seperti yag aku berikan. Dia minta aku snap gambar borang.

Teringat slogan Customer Comes First masa kerja dulu, aku pun layan jer lah...

Aku dapat tahu dari kawan-kawan dalam grup bisnes cd online, ada seorang lagi pelanggan yang suka main-main. Konon nak beli tapi akhirnya tak beli.

Kawan-kawan aku tu siap warning kat aku.... jangan kirim barang selagi pelanggan tak bankin duit...

Aspalela....

Selasa, 19 April 2016

Hari Ini...

Hari ini Marissa tidak ke tadika. Jadi, aku tak perlu kalut untuk bersiap-siap mengambilnya. Boleh relaks sikit...

Sebaliknya pada ibu_suri. Sugul sikit nampaknya sebab tak dapat berjumpa dan berbual dengan cucu. Sambung tidur bila aku khabarkan.

Aku belek-belek kalendar harian aku hingga bulan 6 di talipon. Rupanya paling banyak agenda untuk 2 bulan ini ialah menghantar ibu_suri, abah dan mak mertua ke klinik atau hospital.

Sejak semalam aku mula rasai sakit-sakit di tapak kaki bila bejalan. Lebih ketara setelah terjatuh akibat hilang keseimbangan badan semasa menyarung seluar.

Haha... asyik kalut menghantar orang lain untuk pemeriksaan kesihatan tetapi diri sendiri?

Isnin, 18 April 2016

Perjalanan

Beberapa hari ini, hati aku berasa kurang selesa. Tak tahu kenapa.

Selalunya, bila berkeadaan begini aku lebih banyak tidur atau memandu kereta sambil dengar lagu. Nak dengar lagu di rumah, ibu_suri tak benarkan. Bising katanya.

Atau aku berlamaan di masjid. Terutama di masjid yang aku singgah sewaktu perjalanan. Ada diantaranya amat mendamaikan...

Kekadang berfikir, kenapa hingga dah tua begini aku masih tidak dapat berehat dari menanggung pelbagai masaalah hidup tak berpenghujung.

Dulu, masa kerja, kerjalah salah satu beban. Sekarang dah tak kerja.... ada 2 lagi beban yang mau tidak mau, aku pikuli.

Kekadang terasa seperti aku ini menidakkan ketentuan Allah. Mengeluh dan mengeluh atas ujian daripadaNya. Aduhai...

Apa yang aku rancang samada sejak aku ambil keputusan untuk berhenti kerja mahupun yang aku rangka dalam diari semalam, tidak semuanya dapat aku laksanakan. Keresahan buat aku sesekali putus asa.

Tidak dapat berkongsi dengan sesiapa.

Masa-masa begini aku teringat pada mak. Mahu rasanya aku tinggalkan rumah ini. Duduk di kampung bersama mak. Rumah yang penuh sejarah.

Aku boleh buat begitu jika mahu tapi mereka yang berada di pundakku ini, nak di kemanakan...

Aku sayang pada keluargaku. Sedari mula berakad aku telah menanam azam akan mempertahankan 'masjid'  ini biar apa pun warnanya nanti.

Makanya..... aku masih perlu mengharungi semua ini. Berjalan seiring mereka di lorong penuh debu...

Mereka mungkin tidak tahu apa-apa dan mengharap aku memandunya...

Sabtu, 16 April 2016

Suatu Pertarungan

Malam kelmarin. Bila tiba-tiba ibu_suri mengejutkan aku yang tidur-tidur ayam di katil sambil menjerit.

Nasib baik ada Akhmal. Dalam takut dan geli, dialah aku suruh turun ke gelanggang.

Cuma pesanku... halau sahaja keluar. Jangan cederakan.

Dia cuma tersasar arah. Cuaca panas begini dia pun tercari-cari habitat reptilianya yang semakin pupus dek kerakusan manusia juga.

Aku ni dah tua. Mana larat nak bersilat. Cuma jadi juru kamera ajelah...

Nak tengok gambarnya boleh ke sini.

(Maaf, tak dapat attach klip video dan gambar kerana masaalah setting.)

Jumaat, 15 April 2016

Berita

Setiap berita kurang baik memang tidak boleh dikhabarkan kepada ibu_suri secara mendadak. Jika masa itu jiwanya tidak kuat, rasa hiba akan membuatnya jadi murung sepanjang hari. 

Atau berita itu akan menghantuinya sepanjang minggu, sepanjang bulan atau di ketika-ketika yang dia teringat...

Berita tentang bapa saudara Ayu di sini adalah contoh terbaharu. Kekadang terlihat dia seperti mau menangis dan bila aku bertanya...

" I sedih dengaq pak su Ayu meninggal. I macam mana agaknya nanti...?"

Memang susah nak membalas persoalan itu.

Semasa abah aku meninggal 2008 dulu yakni tak lama selepas ibu_suri diserang ahmar, ibu_surilah yang beria-ia menangis sedangkan kami adik beradik termasuk mak masih boleh tersenyum dan ketawa.

"Kenapa kita tiba-tiba nak balik ni?" bila melihat aku kelam kabut menyiapkan pakaian ke dalam beg.

"Abah tak sihat..." jawapku walaupun sebenarnya ia adalah berita sebaliknya yang aku terima dari adikku di kampung.

Aku suruh Angah bawa kereta sementara Along di duduk di sebelah. Aku dan ibu_suri duduk di belakang.

Sampai di Taiping, aku buat-buat terima panggilan dari adik. Kemudian aku beritahu ibu_suri, abah sudah tiada.

Berhamburlah airmata ibu_suri. Katanya dia tak sempat nak minta maaf, tak sempat nak tengok wajah abah dan ... dan... sementara nak sampai ke Ipoh.

Bagi yang tahu, selalunya akan memberitahu kepada aku lebih dulu akan apa sahaja berita yang tidak enak diketahui. 

Malah pernah ibu_suri tidak aku beritahu lansung akan berita kematian saudaranya. 

Maka bila dia tahu dari mulut orang lain, dia akan persoal aku kenapa dia tidak diberitahu.

Masa itu... macam-macam bunga dan buah silat akan aku gunakan untuk mengelak....

Selasa, 12 April 2016

Kematian Itu Adalah Peringatan

Dapat berita, adik besanku meninggal dunia sekitar jam 9 malam tadi di Hospital Seberang Jaya. Muga rohnya dicucuri rahmat Allah...

Setahu aku, dia sihat sahaja. Setiap kali keluarga Ayu mengadakan samada kenduri arwah mahupun kenduri kahwin, bapa saudaranya yang juga dipanggil Pak Su inilah yang mengurus penyediaan makanan.

Tiba-tiba sahaja minggu lepas dia muntah-muntah. Di kejarkan ke hospital dan terus dimasukkan ke ICU. 

Mulanya doktor syak akibat serangan jantung. Namun bila dibuat imbasan didapati beliau mengidap ahmar di bahagian kepala. Doktor akhirnya mengatakan harapan untuk baik adalah 50-50.

Aku bercadang untuk menziarahinya siang nanti tapi Allah lebih menyayangi beliau dan dipanggil terlebih dahulu.

Berita sedih begini bila didengar oleh ibu_suri, jiwanya akan sedikit terkesan. Dia mula merasakan bahawa seolah dirinya juga 'tidak lama'. 

Justeru itu setiap kali ada berita kurang enak sebegini aku akan ambil masa untuk memberitahunya.

"Kenapa pulak kita nak risau. Mati itu tetap ada. Jadi kalau kita tahu yang kita ini akan mati, kena banyakkan amallah untuk bekalan," ujarku.

"Kekadang ada baiknya kalau orang yang sakit lama macam you. Sempat bertaubat, sempat beramal. Cuba tengok orang mati dilanggar kereta atau yang sihat tapi tiba-tiba terjatuh dalam bilik air dan terus mati, bak kata orang... tak sempat mengucap..."

Sebenarnya setiap berita kematian itu adalah peringatan terbaik pada setiap pendengar yang hatinya lembut dan mahu melihat di sebaliknya...

Isnin, 11 April 2016

Laksa Sotong Taman Cekur Manis


Semalam aku bawa ibu_suri ke Kulim untuk belikan beberapa helai baju pakai harian. Baju-baju yang sedia ada dah bertas dan koyak.

Cuaca panas yang berlarutan sejak berbulan-bulan ini akibat fenomena el-nino bikin aku mengintai warong minuman. 

Terpampang besar nama Laksa Sotong di seberang jalan dengan tagline - Laksa Sotong Abang Sombong - menggamit selera untuk singgah.

Aku beli sepinggan untuk ibu_suri, makan di kereta. Tambah dengan 2 bungkus air kelapa ikat tepi. 

Aku cuma rasa sesudu kerana belum lapar. Huu... jika ada 10 bintang, 8 bintang aku berikan kepada rasa laksa dan air kelapa ini. Memang pergh!

Aku panjangkan pujian ini kepada taukeso warong. Panjang senyumnya dan berkali-kali ucap terima kasih. 

Aku tak lupa memanjangkan penemuan baik ini di facebook sebagai info kepada friends sekaligus tolong promo bisnes orang kita...

Ahad, 10 April 2016

Os - Bomoh


Terlebih dahulu, takziah buat keluarga Mr Os atau Mohd Yusuf bin Abdul Hamid. Pemergian beliau pada umur 55 tahun diharapkan husnul khotimah

Sehari sebelum itu aku menerima sekeping cd dari seorang kawan. 

Bukanlah sangat kerana lagu tetapi lebih kepada suka mendengar sebutan loghat Perak oleh Os yang memang pekat. 

Salah satu lagu yang terdapat di dalam cd itu ialah 'Deghoyan Dah Berbunge'. 

Sebenarnya, semasa aku menjalani Job Training di pekan Parit pada tahun 1982, aku dah biasa dengar. Ianya boleh dikatakan lagu masyarakat di sana. Os cuma merakamkannya dalam bentuk yang lebih sempurna.

Tempat yang disebut di dalam lagu seperti Bota dan Padang Tenggala memang ada. Kebanyakan terma di dalam lirik lagu itu memang selalu digunakan.

Mendengar lagu-lagu Os dalam cd ini semasa memandu buat aku rasa bening sekejap. Terhimbau kisah lama semasa bertugas di kedai radio/tv encik Jumberi. 

Tidur di kedai, mandi di Sungai Perak dan makan kuih pokas adalah kenangannya. Masyarakat Melayu dan Cina di sana memang baik dan sederhana.

Harap, satu hari nanti aku dapat kembali ke sana untuk melihat-lihat semua itu. 

Sabtu, 9 April 2016

Ke Klinik


Kelmarin, aku hantar mak mertua ke Klinik Kesihatan Bukit Jambul. Ini pertama kali. Selalunya aku hantar abah sahaja. Mak, adik ipar yang hantar.

"Abang tak kisah jika perlu hantar mak dan abah untuk pemeriksaan kesihatan di klinik setiap kali. Ini sahaja yang kita boleh bantu sementara mereka masih hidup," ujarku pada ibu_suri.

Acapkali aku terangkan pada ibu_suri, usah disungut apa yang adik beradik lain telah buat untuk mak dan abahnya tetapi tanya diri kita sendiri; apa yang kita boleh perbuat untuk mereka.

Aku masih berasa kesal hingga sekarang kerana tidak banyak yang aku telah perbuat untuk abah semasa hayatnya. 

Abah pergi menemui Tuhan tatkala aku sedang tenggelam punca dengan sakit ibu_suri yang aku tidak pernah ada pengalaman menanganinya.

Jumaat, 8 April 2016

Menulis


Aku akan cuba mengendurkan catatan tentang hal-hal keluargaku yang amat peribadi mulai hari ini. 

Aku mula berfikir begini setelah pembacaan beberapa artikel, klip video dan meneliti respon dari entri-entri di dalam blog aku selama ini.

Sebaliknya aku akan menulis hal-hal keluarga yang biasa, dari pemerhatian alam sekeliling, pembacaan serta pendengaran.

Apapun aku harap aku tidak akan berasa jemu dan berhenti menulis. Inilah satu-satunya minat yang berterusan sejak dari dari tingkatan 3 dulu lagi. 

Selasa, 5 April 2016

Ikan Bakar


Hari ini genap 23 tahun usia Akhmal. Dah besar panjang. Katanya, hujung tahun ini nak 'kawen' .

"Nanti, nak bagi bini hang makan apa?" tanya ibu_suri sambil tertawa.

"Tu la... dia kata dok cari kerja ni..." sampuk Ema.

Ema adalah satu-satunya anak menakan ibu_suri yang serasi dengan Akhmal. Mungkin disebabkan sifatnya yang agak ketomboyan, aku tidaklah sangsi sangat akan pergaulan mereka.

Aku minta ibu_suri jemput dia makan bersama kami di restoran ikan bakar di Taman Arowana. Bukan sangat kerana nak raikan ulangtahun Akhmal tetapi lebih kepada kebersamaan.

Di sana, aku perasan yang Ema memerhati gelagat aku mengurus duduk dan makan ibu_suri. Membasuh tangan, mengambilkan ikan bakar setelah disisih tulang serta menyediakan minuman.

"Nanti jika ditakdirkan ayah dah tak ada lagi, Akhmallah yang akan mengganti ayah menjaga ibu..." ujarku selamba.