Khamis, 30 September 2010

Jika Aku Seperti Dia

Tadi malam seperti malam-malam sebelumnya, ibu_suri gelisah di katil lantaran tidak dapat memincingkan mata. Jam 3 pagi dia gerak aku yang lena di sebelah.

"Kenapa I tak boleh tidoq?"

Soalan yang sukar untuk aku jawap.

"U dengaq tak perut I... kruk... krak... kruk.. krak..."

Aku masih pejam mata.

Balik kerja selalunya dia sudah sedia menunggu aku. Belum sempat tanggal baju dia akan minta aku memeluknya kemas-kemas.

"Dada I rasa berdebar-debar. Kenapa?"

Aku cuma diam. Dah tak ada jawapan yang nak aku fikir dan berikan. Aku tahu tindakan kimia di dalam badannya yang tidak stabil membuatkan dia jadi begitu. Itu apa yang aku faham lewat penerangan dari pakar Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang.

Semalam aku lansung tak boleh nak buat apa-apa. Sekadar mandi, basuh kain dan sediakan makan malam. Lebih dari itu aku hanya habiskan masa duduk di sisinya. Picit-picit kaki dan tangannya yang katanya lenguh.

Jauh di sudut hatiku berbisik; jika ditakdirkan aku tiada, siapalah agaknya yang mampu menjaga ibu_suri paling tidaknya sesempurna aku?

Dan jika ditakdirkan bahawa akulah yang sakit seperti dia kini, adakah dia boleh menjaga aku sesabar aku menjaga dia?

'Tuhan! Terima kasih kerana kau berikan aku keadaan yang seperti ini. Benarlah bahawa Engkau meletakkan dugaan kepada hambaMu itu sekadar yang mampu ditanggunginya.'

Selasa, 28 September 2010

Epal

Aku ada menerima satu e-mel yang di dalamnya ada diselitkan kata-kata ini. Ingin aku kongsikan bersama kalian. Muga memberi manafaat.

' Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu. Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu; kemudian kita tukar ilmu tersebut. Anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu. '

Ahad, 26 September 2010

Gulai Udang Kacang Buncis

Selepas Ramahdhan aku sudah jarang makan bersama anak-anak. Terasa rindu pula dengan suasana itu. Agaknya begitu juga  perasaan mak aku di kampungku terhadap anak-anaknya yang jauh termasuk aku.

Hari ini aku bertekad untuk masak sendiri. Aku beli ikan ( maaf, tak tau la pulak namanya.. ). Harga sekilo RM12. Bila ditimbang beratnya 0.5 kilo. Boleh lah beli. Sesekali makan untuk anak isteri di rumah.

Aku beli udang dan kacang buncis. Tentunya yang ini untuk dibuat gulai lemak. Aku tidak pasti sejauhmana aku boleh buat gulai lemak  udang + kacang buncis ni. Aku pun beli perencah udang. La ni serba senang. Beli je, tak perlu giling gemiling macam mak aku dulu...

"Apa hal tu ayah.... teruknya pesiang ikan?" sambil mengintai aku yang sedang mengetuk belakang pisau dengan alu lesung.. gedegung..gedegang... Keras pulak tulang ikan ni.

"Silap ayah tak suruh pekerja kedai tu potong kecil-kecil tadi," sambil aku mengesat sisik ikan yang melekat di hidung.

"Pisau ayah tu tumpul agaknya."


"Hang tu tau makan je. Bukan nak tolong ayah yang sebatang kara kat dapur ni..." keluh aku perlahan. Takut pula terdengar oleh ibu_suri yang sedang menonton Ceplos di kerusi depan. Kecik pula hatinya nanti. Tu pun dah beberapa kali dia minta maaf kat aku kerana tak boleh nak tolong aku di dapur. Jenuh juga aku memujuk.

Akhirnya siap sudah goreng ikan dan goreng telur + maiyonis. Tapi bila tiba masa untuk buat gulai udang...

Laaaa.... macam mana boleh terbeli rempah kari nih???. Sekali lagi menepuk dahi yang berdosa apa-apa. Beria-ia tadi aku beritahu ibu_suri yang aku akan memasak gulai lemak kuning. Kut-kut  akan terbuka luas sedikit selera ibu_suri yang kebelakangan ini agak tumpul.

Mau tidak mau, gulai kari pun gulai karilah!

Pendekata, makan tengahari ini kira sedaplah juga walaupu gulai lemak jadi gulai kari. Rasanya ada sikit caca merba. Sedap lagilah daripada makan lauk tunjuk-tunjuk tu.....

Hmmm... ibu_suri?  Tidur pulak dia di dalam bilik...

Sabtu, 25 September 2010

Anak Kita

Bila aku terdengar bunyi riuh di luar rumah aku segera menjengah menerusi cermin pintu. Seorang ibu sedang melaung nama anaknya yang menyelinap di celah gelap malam, entah ke mana.

Aku teringat zaman aku membesarkan anak-anakku yang 3 orang ini. Aku pernah lalui keadaan sepertimana jiranku itu. Bagi aku membesarkan anak di dalam suasana tempat tinggal di Taman berbeza dengan kampung. Di kampung aku dulu hampir semua penduduknya adalah asal membesar di situ dengan satu budaya, satu bahasa dan kebanyakannya mempunyai pertalian saudara.

Di Taman, boleh dikatakan semua penduduknya datang dari berlainan tempat, berlainan cara hidup dan berlainan pendidikan. Maka apabila bermastautin di satu kawasan, masing-masing membawa budaya itu di sini. Maka berbagai-bagai pengaruh bercampur baur dan yang menjadi bahan eksperimennya adalah anak-anak kita.

Justeru itu jangan mengeluh atau membanding-bandingkan kehidupan kita dulu yang agak baik berbanding kehidupan anak-anak kita sekarang yang penuh dengan unsur-unsur yang kurang sihat. Bimbang, kita tidak menggunakan neraca yang adil.

Aku membahagikan tempoh usia anak kita seperti ini;

1. Usia lahir hingga Tahun 6 ( 12 tahun ) adalah usia kita berbulan madu. Apa saja yang anak kita lakukan dilihat manis belaka walaupun dia kencing dan berak di riba ayahnya.

2. Usia belasan adalah usia yang mencabar daya tabah dan minda kita. Usia ini mereka mula tiddak mahu keluar bersama kita sebaliknya lebih suka dengan kawan-kawannya yang kita sendiri tak kenal. Baju tidak lagi kita pilih sendiri sebaliknya duit kita ditagih saban hari untuk beli sendiri. Di usia ini bagi sesetangah ibu bapa adalah usia yang boleh mengalirkan airmata. Tidak nyenyak tidur malam dan hati selalu berdebar-debar.

3. Usia puluhan adalah usia di mana kita perlu berkawan dengan anak kita. Menjadikan mereka sebagai pelindung kita dan sebagai teman bicara.

Dan sikap kita mesti:

1. tabah dengah kerenah mereka

2. teguh semangat dan jangan putus asa

3. jangan maki hamun mereka sebaliknya nasihat dengan lembut menggunakan pelbagai pendekatan

4.gunakan elemen lain yang boleh membantu kita seperti kawan-kawannya, saudara mara kita atau anak-anak lain

5. hormati hak-hak mereka seperti makan pakai mereka yang sudah dewasa

6. buka sedikit ruang untuk mereka meneroka. jangan terlalu tegas dengan prinsip dan pantang kita tanpa hikmah

7. kekadang kita mengalah bukan bermakna kita kalah tetapi sebenarnya kita sedang nampak apa yang orang lain tidak nampak

8. jangan cepat melatah dengan apa saja insiden yang berlaku. tenang dan berfikir secara positif, jauh ke hadapan

9. jika terpaksa memilih antara 2 kemudaratan pilihlah satu yang kurang mudarat. Jangan di campak kesemuamya ke dalam longkang

10. jika terpaksa berdepan dengan polis atau mahkamah berdepanlah secara jujur, secara lelaki, secara manusia yang benar dan secara seorang bapa. Kalau anak kita salah akui kesalahan mereka. Rendahkan diri  meminta maaf dan menggantikan apa saja yang rugi. Percayalah, orang luar akan mengatakan kita pesimis tetapi satu hari nanti mereka jugalah yang akan mengangkat ibujari ke atas  dan  mengakui kehebatan kita yang mereka sendiri tak mampu lakukan.

11. Hargai pandangan anak dan isteri kita malah minta pandangan mereka jika kita ingin membuat sesuatu perubahan di dalam keluarga. jangan terlalu ego dengan pandangan sendiri kerana mereka mungkin tahu sesuatu ilmu yang baru lebih baik dari pengalaman lama yang kita ada. sesekali, istilah aku makan garam lebih dulu elok diketepikan.

Akhmal memang sedari  umur 7 tahun begitu menguji kesabaran, kepintaran dan kekentalan semangat ku untuk berpencak dengan tarisilatnya. Kini dia sedang meniti hujung usia belasan. Aku harap tidak lama lagi aku boleh menarik nafas lega. Dan dia akan berubah ke arah menjadi payung tempat aku berteduh.

berdiri kiri: along,angah, akhmal dan ibu_suri
lokasi: sek. tunas bakti, taiping. syawal 1430

Satu pesanku pada kalian, anak yang nakal hari ini jangan dibenci selamanya. Bukan mustahil,dialah kelak  yang akan menjadi anak yang setia menjaga hari tua kita.

Tanggungjawap ibubapa adalah menjaga mereka sedaya upaya. Allahlah yang maha mengetahui siapa mereka di hari esok.  Sedangkan nabi Noh lagikan tidak mampu mengIslamkan anak dan isteri mereka. sedangkan Nabi Muhammad tidak mampu mengIslamkan bapa saudaranya. Siapa kita?

Aku harap agar ibu itu tadi banyaaaaakkk bersabar dan teruslah didik serta doakan anaknya itu!

Selasa, 21 September 2010

Tanpa Prejudis

Sebenarnya aku jarang bermasa untuk menelusuri blog-blog cerita politik. Tapi bila kawan aku meng-emel kisah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan, aku jadi teruja untuk lebih mengikutinya. Aku memang udah maklum sebelum ini bahawa baginda dikatakan amat menghormati akan alim ulama dan kerap menjadi iman sembahyang jamaah dan amat  menyayangi masjid.



Mungkin ini berkat doa rakyat Kelantan yang inginkan sebuah Kerajaan dan Intitusi Beraja yang meletakkan Islam di atas segalanya. Berbahagialah rakyat Negeri Kelantan kerana mempunyai kepimpinan yang adil dan bersih.

Aku harap selepas ini akan ada lagi negeri-negeri yang mempunyai Raja atau Sultan yang bukan setakat berjiwa rakyat malah berjiwa Islam.

Boleh sorot berita-berita yang aku pautkan di sini untuk perkongsian bersama.

1. Allahu Akbar Ganti Daulat Tuanku

2. Apabila Tuanku Mengangkat Ulama

Aku menulis ini dari hati yang tulus tanpa prejudis terhadap politik.

p/s: harap abaikan komen negatif di bawah setiap entri pautan.

Ahad, 19 September 2010

Bujal

Aku senyum sendiri bila terima foto ini dari seorang kawan. Dah lama aku tak tatap majallah ini yang menjadi teman akrab aku setiap bulan dari sejak sekolah menengah rendah lagi.

Dari sinilah aku mula mengasah bakat menulis. Aku selalu hantar pantun dan sajak. Bila pertama kali tersiar huu.. rasa macam 'dunia ini ana yang ampunya'. Seronok tak terkata.

Tak lama lepas tu aku dihujani oleh surat dari 'peminat', kononnya la... Dan yang best tu, semua peminat aku 99% adalah perempuan. Dari Perlis hinggalah ke johor. Hik! hik! Agaknya dia orang ingat aku ni hensem sesangat agaknya...

Aku simpan semua majallah ni sebenarnya. Akan tetapi sekarang ni, entah kemana lah majallah ni mak aku buang. Entah-entah, ke dalam kebun getah Wan Jaba belakang di rumah...

Sabtu, 18 September 2010

Resah

Semalam, seharian aku diselimuti resah yang tidak berpunca. Aku sendiri pun heran, kenapa dan mengapa?

Namun di ofis, aku tetap melayan pelanggan yang datang menghantar equipment untuk  di kalibrasi. Ada sesetengahnya duduk agak lama untuk berbual hal-hal semasa. Malah ada pula yang bertanyakan pandangan aku tentang hal-hal peribadi mereka. Aku tetap melayani mereka walaupun perhatian aku terhadap mereka mungkin bukanlah 100%.

Aku cuba menyenaraikan punca keresahan itu. Ada 4 atau 5 isu yang bercampur baur di benak..... mungkin. Tentunya paling atas ialah tahap kesihatan ibu_suri yang masih stereotaip. Aku hampir buntu memikirkan tindakan selanjutnya yang perlu aku lakukan. Ada banyak cadangan dilambakkan kepadaku oleh rakan-rakan maupun saudara-mara. Tapi aku masih tetap buntu. Terlalu banyak perkara yang perlu aku fikirkan seorang diri dalam satu waktu yang sama.

Dibeberapa waktu solatku hari ini aku memanjatkan doa di setiap sujud muga Allah memberi aku petunjuk dalam mendepani semua ini. Aku harap 2 hari bercuti hujung minggu ini meluangkan aku rmeihatkan jiwaraga sambil menyenaraikan apa yang perlu aku buat dan memikirkan jalan terbaik dalam menyelesaikannya. Aku perlu bersikap positif, menggunakan apa sahaja medium yang ada untuk membantuku dan tenang dalam mengambil keputusan maupun membuat tindakan.

Aku rasa tidak berapa sedap badan. Dedar. Aku mahu tidur awal tanpa memperdulikan keadaan rumah dan perkembangan anak-anakku di rumah buat seketika.

Aku bercadang untuk bangun 1/3 malam ini dan solat Tahajjud. Mengadu pada Allah. Siapalah lagi yang ada di sisiku kalau tidak Dia!

Khamis, 16 September 2010

Bukan Salah Raya

entah kenapa musim puasa dan raya kali ini:

1. banyak sangat bunyi mercun dan bunga api
2. banyak terjadi kes jenayah bunuh dan mati
3. banyak cerita hantu kat tv

mmmmm...... salah hari raya atau orang yang menguruskan hari raya?

Hari Ini

Hari ini 7 Syawal. Tahniah buat kalian yang mampu melangkah ke tangga terakhir puasa 6 hari ini.

Cepat masa berlalu. Kini kita kembali semula kepada fitrah sebagai seorang hamba yang menjejakkan kaki di kulit bumi Allah yang realitinya dilitupi onak dan dugaan. Adakah puasa kita yang lalu benar-benar mempunyai kualiti tinggi lalu dikurniai Allah markah A+?

Bukti pemberian markah terbaik itu akan dapat dilihat melalui sikap kita selepas keluar dari Madrasah Ramadhan ini. Jika sikap kita masih sama loqlaqnya seperti sebelum Ramadhan maknanya maqam kejiwaan kita masih tidak berubah. Puasa lalu kita masih tidak mampu mengubah nilai diri kita dari tahap baik kepada lebih baik. Senang ceritanya lebihkurang macam orang baru balik dari menunaikan Haji. Kalau dia benar-benar mendapat Haji yang mabrur maka akan terpancar melalui akhlaknya yang lebih baik dari sebelumnya.

Sekali lagi, cepat masa berlalu. Tidak pernah tertagak-tagak, tidak pernah mundur hatta menoleh ke belakang.

Along akan balik semula ke Batu Caves Isnin ini. Tiket bas hari Ahad dah habis, jawap Along bila aku tanya semalam.

Akhmal sudah hampir sebulan berada di rumah. Aku selalu berdoa pada Allah muga dipercepatkan proses mendapatkan lesen motor supaya dia boleh pergi bekerja demi menjaga masa depannya.

Angah pula sudahpun memulakan pekerjaan di tempat baru, MOX. Gaji di sini lebih baik, diberi insuran kemalangan semasa bekerja dan cuti juga seperti mana cuti Kerajaan Negeri.

Cuma kesihatan ibu_suri masih di tahap sama. Sepatutnya mengikut janji semalam aku akan bawa ibu_suri jalan-jalan di Empangan Mengkuang pagi ini. Namun hingga ke jam ini, bunyi dengkuran ibu_suri seakan masih jauh kembaranya di alam fana!

Dan aku, di saat masih terkial-kial menekan biji-biji huruf terakhir di papan kekunci ini,akan tetap memanjat doa tanpa cemus; muga Allah restui keluargaku dan menunjukkan kami jalan yang lurus!

Photobucket

Isnin, 13 September 2010

Kalaulah Setiap Hari Adalah Ramadhan

Ini Raya ke 5. Aku dah kembali bekerja. Dah memulakan kehidupan seperti hari-hari biasa. Tak ambil cutir extra kerana dah habis digunakan untuk urusan keluarga terutama ibu_suri sebelum ini. Jadinya, aku bekerja hari ini sedangkan orang lain masih bercuti. Sunyi pulak rasanya tanpa kawan-kawan...

Tamat Ramadhan maknanya sudah tak perlu bangun seawal 4.30 pagi untuk sediakan juadah Sahur. Makanya susah jugalah untuk bangun seawal azan Subuh untuk solat.

Dah tak perlu pening kepala fikirkan juadah apa mahu dibeli untuk berbuka. Tidak lagi berasak-asak di jalanraya untuk cepat sampai ke rumah.

Terasa rindu pula untuk kecapi semula suasana begitu. Suasana yang setiap hari penuh agenda yang mesti ditunaikan tepat pada waktu. Sahur mesti siap sebelum azan Subuh. Berbuka mesti siap sebelum azan maghrib. Penuh disiplin. Tak membazir waktu walau seminit. ada program Terawih. Ada Witir. Solat Dhuha tidak disia-siakan.

Hari ini dan esok, aku mula berhadapan dengan realiti hidup. Realiti mencari kebahagian, kedamaian dan ketenteraman.

Aku harap aku masih berpeluang bertemu dengan hari seperti hari-hari Ramadhan.

Kalaulah setiap 365 hari ini adalah hari-hari Ramadhan alangkah damainya dunia. Semua orang akan berbuat kebaikan. Semua orang akan meninggalkan kejahatan. Dan semua orang akan bermurah hati mengambil peduli mereka yang tidak berkemampuan.

Alangkah damainya kalau hari-hari adalah hari Ramadhan. Setiap amal yang kita buat, berlipat ganda pahala yang Allah berikan!

Ahad, 12 September 2010

Manja

Aku ambil keputusan untuk balik kampung semalam bersama bakal menantu menggunakan 2 kereta. Wah, tak perasan rupanya familiku dah sedikit membesar. Setahun dua lagi, mungkin lagi besar sebab bakal bergelar DATUK. Alamak, segan pulak rasanya...

Pertama, singgah ke rumah besan di Permatang Batu (belakang kilang Allagapa's, Bukit Tengah). Sempat bincang-bincang pasal tarikh walimah Angah dan dijangka ianya pada 19 Jun 2011.

Kemudian terus ke Kampung Batu 3, Tapah; rumah pusaka bapa mertua. Rumah beratap zink, tengaharinya memang hangat walaupun di tepi hutan, di tepi anak sungai dan di kaki Cameron Highlands. Teringat nak pergi ke rumah blogger JH di kampung Lubuk Katak dan ke Kuala Woh untuk mandi manda namun kondisi ibu_suri tidak betah untuk aku banyak menyinggah.

Dari Tapah aku naik semua ke Kampung Kepayang, Ipoh. Di rumah mak adik beradik dah ramai yang balik. Aku salam dan peluk mereka semua tanda masih kasih dan terima kasih. Dan... apa lagi, aku mencari lemang dan rendang tapi kali ini bukan lagi dari air tangan abah tetapi oleh adik-adik. Namun, rasanya tak lari mana.... tetap sama.

Dan paling mengagumkan aku ialah bila melihat motor tua abah di sini sudah bertukar wajah menjadi motor klasik. Apabila abah sudah tiada, motor ini terperap di bawah rumah tak siapa jaga. Maklumlah, nak jual pun tak seberapa harganya. Nak ditukar milik tak boleh pula. Aku agak akan jadi besi buruk la jawapnya.

Namun jangkaanku meleset. Dengan usaha mak dan adikku Napi, motor abah telah dibaikpulih dengan kos RM1k. Fuhhh... bukan main cantik dan terasa kagum pula.

"Angah berkenan tang cermin tu, ayah!"

"Heh, ayah suka tengok lampu dia. Ada oning pulak!"

Ha... ha...ginilah fe'el manusia kan. Yang buruk tidak dipedulikan. Bila dah cantik baru terhegeh-hegeh ngaku berkenan.

Aku terfikir pula;

"Motor ni ada roadtax ke, dik?" tanya aku pada Kedek.

"Adaaaa... "

"Hik! hik! pelik undang-undang kat Malaysia ni, ya! Motor yang tuannya dah jadi Allahyarham 3 tahun dulu pun masih boleh diperbaharui. Macam tak logik je.. Tak heranlah kalau Allahyarham juga boleh pergi mengundi masa pilihanraya, ya! "

Sayangnya aku tak dapat nak ambil foto motor abah kerana hari dah malam. Kamera handphone aku agak koman, tak ada flash untuk snap gambar waktu malam.

Seperti biasa, bila balik dari kampung ke Penang aku akan singgah ke R&R Sungai Perak untuk makan nasi dengan gulai tempoyak ikan patin. Namun bagi ibu_suri, dia lebih mahu duduk dalam kereta seorang diri.

Raya kali ini ibu_suri memang betul-betul manja. Di rumah mak, asyik nak baring atas riba aku sahaja!

Sabtu, 11 September 2010

Hari Rayaku

Aku cuba membuatkan suasana Hari Raya ceria demi anak-anak. Berhempas pula mengemas rumah yang natijahnya boleh siap hingga takat ruang makan. Dapur tetap berselerak.

Tak apa kut. Tetamu takkan nak ziarah sampai ke dapur, fikirku.

Aku suruh Angah beli 3 batang lemang dan rendang. Selalunya, tepi jalan dekat UiTM ada banyak penjual. Tapi bila dikopek untuk hidangan, aduh... separuh mentah. Rasa marah aku. Kalau 3 batang harga RM9, 3 batang? Rendang pulak entah apa-apa. Macam tak rasa ada dagingnya. Satu bekas harganya RM10. Uhh... masa inilah aku teringat lemang yang abah masak. Memang tak sama. Masa inilah aku teringat rendang yang mak masak. Jauh beza.

Paling ramai datang ziarah ialah budak-budak yang seperti selalu berkeliaran serata Taman. Suasana begini kurang baik. Anak-anak aku aku tak biarkan begitu, dulu.

"Masuk..masuk..."

"Kami dah kenyang, pak cik.Cuma nak beraya."

"Hah, kalau nak beraya kena makan kuih rayalah. Lepas tu kena salam pak cik dan abang-abang ni."

Mau tak mau bebudak tu masuk dan minum. Seperti biasa kalau dah kenyang, kacang sajalah yang depa tuju.

Aku curi masa lepas solat Sunat Aidil Fitri, singgah di rumah kakak ipar yang tinggal tak jauh dari rumah. Ramai sungguh jamaah hari ini. Melimpah ruah.

"Kalau solat 5 waktu seramai ini tiap hari... wah... agaknya mau kiamat dunia ni."

Tidak menggembirakan ialah ibu_suri. Hari Raya baginya seperti hari biasa. Lebih banyak memerap dalam bilik. Dan aku terpaksa selalu memujuknya daripada mengalirkan airmata.

Hari Raya kali ini aku tidak seperti kebiasaan dahulu. Dulu aku gemar pergi ziarah adik-beradik dan rakan taulan. Namun hari ini aku cuma menunggu dengan harapan adalah adik-beradik atau rakan taulan yang datang.

Tapi tiada siapa!

Khamis, 9 September 2010

5 Perkara

Orkut Scraps Eid Ul Adha


*** SELAMAT HARI RAYA ***

buat semua yang sudi membaca tulisan-tulisan bilis di blogku yang tak sepertinya selama ini!


.............oooo0000OOOO0000oooo..............



Esok, Syawal akan tiba untuk gantikan Ramadhan. Cepat rasanya masa berlalu. Tak terhambat.

Aku temani ibu_suri yang tampak murung di bibir katil. Aku faham perasaannya. Lebih-lebih lagi bila dia melihat aku bak lipas kudung mengemas rumah. Takut tak sempat.

"Sori, I tak dapat tolong u."

"Ah, takpa."

"I tak seronok."

"Tak mau sedih-sedih macam ni la. Kita kan nak Raya. Takpa, abang kemas rumah. Anak-anak ada boleh tolong. Kan abang dah cakap kat u; yang penting ialah u mesti terima qada dan qadar Tuhan yang memberi u tak sihat (aku jarang guna perkataan sakit demi menjaga hati ibu_suri). Kedua, u mesti jaga kesihatan. Makan ubat dan jangan banyak tidur. Ketiga, u mesti banyak berdoa pada Tuhan supaya cepat sembuh; banyak beristighfar dan zikir. Keempat, u mesti selalu bersikap positif. Sikap positif boleh bantu u sihat dengan cepat. Ada tengok abang selalu sedih depan u?"

Geleng kepala.

"Hmm... jangan ingat abang selalu senyum dan ketawa depan u bermakna abang tak sedih dengan keadaan u. Sebaliknya abang akan selalu fikir macamana usaha untuk berubatkan u. Kelima, u mesti banyak bersabar. Kuatkan semangat. Keadaan u ni sebenarnya masih ok berbanding orang lain yang kudung kaki atau yang tak boleh bangun lansung. u, at least boleh berjalan walaupun cepat letih; boleh makan walaupun kurang selera; boleh berbual walaupun kurang lancar. Ada orang yang lansung tidak boleh buat semua ni."

Tarik nafas panjang.

"Rehat dulu, ya! Abang nak mandi dan sembahyang."

" Sembahyang tepi I, ya!"

Ok.... No problem!

Selasa, 7 September 2010

Smile Is The Best Medicine

Pabila ibu_suri menggelengkan kepala tatkala ditanya di mana langsir pintu Hari Raya lepas, neuron dalam otakku mula berkocak deras. Aku memandang pintu rumah. Hmm... nampaknya kitar semula langsir inilah.

Bila saja aku turunkan langsir itu baru aku sedar rupanya rumah aku hanya bersih di luar tetapi berdebu di belakang. Hampir setengah hari aku bersilat di anjung rumah. Mengemop lantai, vakum siling dan membasuh langsir. Mak aii... berat langsir itu seberat tugas suri rumah, rupanya!

Di masa yang sama aku teringat anak-anakku. Apa yang hendak dihidang kalau kawan-kawan mereka datang beRaya. Lebih-lebih lagi kalau bakal besanku bertandang kelak?

Aku menghantar mesej pada kakak iparku yang tinggal di Bertam, bertanyakan kuih raya. Aku jumpa kawanku yang selalunya menjual tempeyek, antara makanan kegemaranku. Aku tempah 3 bungkus. Aku teringat minuman botol HPA. Sarsi dan Ice Cream Sodanya, sedap. Aku akan beli beberapa botol untuk dihidangkan pada tetamu. Ringkas dan cepat prosesnya. Sementelah, aku bukan pandai sangat nak buat sirap atau jus oren.

Aku jengah bilik anak-anak. Uhh... macam kapal karam. Semua ini perlu aku sempurnakan. Puasa tinggal 3 hari sahaja lagi. Sempatkah aku?

Aku bimbang juga dengan keadaan ibu_suri yang mutakhir ini kuat tidur. Sesekali dia mengeluh dan bertanya aku kenapa dia jadi begitu. Aku pun menggaru kepala yang tak gatal. Apa yang boleh aku kata melainkan.... jangan bimbang. Abang akan ikhtiarkan untuk cari ubat. Sabar ya...

Namun, bila di luar; bersama rakan-rakan dan saudara-mara aku tetap bersikap seperti tiada apa-apa. Aku percaya pada falsafah hidup; Smile is the best medicine!

Kini aku mula memahami kenapa para surirumah begitu ambil berat tentang persiapan Hari Raya. Semua ini untuk kesejahteraan dan kegembiraan anak-anak dan suami juga!

Ahad, 5 September 2010

RAYA

Baru perasan rupanya dah hampir RAYA
Baru perasan rupanya Puasa hampir ke hujungnya
baru perasan rupanya Lagu RAYA mula berkumandang mengatasi lagu Ramadhan
Baru perasan rupanya orang lebih suka shopping kuih RAYA daripada kurma
Baru perasan rupanya orang mula kalut ke pasaRAYA daripada berterawih di masjid.

Baru perasan rupanya orang dah mula mengira cuti RAYA
baru perasan rupanya orang dah mula ke bank mengeluarkan duit untuk beRAYA
baru perasan rupanya orang dah mula mengantung langsir RAYA
baru perasan rupanya orang dah mula hantar servis kereta
Baru perasan rupanya ada yang dah mula balik kampung untuk beRAYA.

Mungkin ada yang terlupa masih ada orang yang tak kisah pasal RAYA
orang gila
penagih
dalam penjara
Mungkin ada yang terlupa ada orang yang hari RAYA pun akan berpuasa
orang papa
pemgemis
Mungkin ada yang terlupa untuk balik kampung berhari RAYA.

.
.
.
.

Hik! Hik! Hik!
.
.
.
.

Aku pun baru perasan rupanya minggu depan RAYA
Aku terlupa bahawa tiada siapa lagi yang boleh diharap untuk melangir rumah supaya seri hari RAYA
Aku terlupa bahawa anak-anakku juga aku perlu ambil kisah RAYA mereka
Aku terlupa bahawa mak di kampung belum lagi di hantar duit RAYA
Aku pun tak perasan berapa rakaat sudah aku berterawih menjelang RAYA.

.
.
.

Hik! Hik!

.
.
.

Aku termenung melihat sejadah di ruang tamu
Aku berteleku memandang langsir yang masih berdebu
Aduhai ibu_suri, mana perginya langsir kita yang dulu?


langsir RAYA 2008


Kemas rumah hmmm... tak tahu nak mula dari mana!

Sabtu, 4 September 2010

Rindu

Menjelang ke 24 hari Ramadhan aku mula terasa pancit. Letih jiwa raga. Berat rasanya memikul tanggungjawap menjaga keluargaku ini sendirian.

Itupun kira alhamdulillah juga. Cuma menjaga seorang isteri dan 3 orang anak. Bukan 1 team bola macam sahabatku di Permatang Janggus itu. Hik!


sebahagian dari anak-anak sahabatku itu. Sesekali melihat keletah mereka, rasa terhibur.

Khamis lepas aku bergegas balik kampung berdua dengan adikku yang tinggal di Kulim. Tanpa pengetahuan ibu_suri sebab respon ibu_suri bila diajak balik agak negatif.

Jumaat pula cuti kerja lagi kerana perlu rujuk Akmar di klinik Kubang Semang sebelah pagi dan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat lepas sembahyang Jumaat. Kerja-kerjaku di ofis tentunya sedang menimbun.

Entah kenapa ibu_suri sejak dua menjak ini asyik tidur je. Bila aku tegur dia membentak.

Bangun sahur jam 4.30 pagi. Kekadang sampai tak tahu nak masak lauk apa untuk makan. Pernah terlupa pesan Angah beli lauk, terpaksalah aku merekacipta lauk dengan apa yang ada.

"Pasal apa bau lain macam je ayah?"

"Apa la ayah.. Asyik hangit je 2-3 hari ni!"

Kekadang bila singgah di Bazaar Ramadhan, 2-3 kali ulang alik kerana hampir tak tahu nak beli lauk apa. Balik-balik ayam, daging, ikan keli, ikan bawal... Balik-balik kuih tepung talam, karipap, cucur udang....uffsss... macam takda lauk lain lagi kat atas dunia ni...

Namun apa nak dikatakan lagi. Sabar ajelah menempuh sisa hidup yang tinggal sedikit ini. Aku berdoa muga-muga di usia yang masih berbaki ini aku sempat menjaga ibu_suri hingga akhir hayatnya dan melengkapkan bekalanku ke sana.

Seseakali bila melihat adik-adik dan rakan-rakanku tampak bahagia dengan keluarga dan masih boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan, aku merasakan diriku amat kerdil....

Aku rindukan suasana itu. Rindu sesangat!

Jumaat, 3 September 2010

Aku Sebagai Ayah

Aku cuba memahami jiwa anak-anak aku yang aku sendiri sedar atau tidak tau-tau melihat mereka terpampang dewasa di hadapanku. Sudah bergelar anak muda. Berbadan sasa, tinggi dan cergas melebihi aku yang mula kerepot.

Aku cuba menggauli mereka seumpama kawan tanpa merendahkan martabat aku sendiri sebagai ayah. Lantaran itu aku selalu cuba berbual dengan nada yang sama dengan nada mereka. Cuba berbincang dengan menerima pandangan mereka dan memberi alasan yang berlapik jika tidak bersetuju.

Along kini 24 tahun. Angah pula mencecah 23 tahun. Dan Akhmal telahpun melepasi 17 tahun. Untuk menseimbangkan isi dan citarasa perbualan kami, aku perlu menjadi pemangkin. Bila aku berbual dengan Angah sementara Akhmar mendengar, aku cuba untuk tidak membiarkan Akhmar menguap kerana topik perbualan kami tidak mencecah tahap IQ Akhmar. Aku cuba menjadikan perbualan itu berlaku secara timbal-balas 6 mata.

Bukan mudah juga hendak menjadi bapa yang dihormati oleh anak-anak. Aku tidak boleh ego dan terlalu bercerita tentang kehebatan aku masa muda dahulu. Aku perlu akur bahawa zaman aku tidak sama dengan zaman mereka. Aku masih ingat pesan Nabi kita yang mahfumnya; didiklah anak-anak kamu sesuai dengan zamannya.

Aku harap aku akan dapat menjadi ayah yang dihormati dan disegani oleh anak-anakku. Aku tidak mahu mereka menyegani aku kerana ketegasan yang melampau. Segani aku kerana tidak boleh tidak mesti patuh dengan apa sahaja arahan aku.

Aku mahu mereka hormati aku kerana aku adalah ayah yang menghormati pandangan mereka. Yang menjaga hak-hak mereka sebagai anak di zaman siber ini. Dan mereka menghormati aku kerana jujur dan ikhlas membesarkan mereka untuk menjadi manusia.

Aku harap aku tidak salah mendidik mereka dan mereka pula tidak menyalahkan aku kerana tersalah mendidik mereka.

Aku mahu mereka akan menghormati aku sepertimana aku menghormati abah aku dahulu, kini dan selamanya!

p/s: takziah buat keluarga Nyah Azki atas pemergian Mak Nyah ( rujuk entri Balik Kampung )ke Rahmatullah semalam akibat sakit tua.

Rabu, 1 September 2010

Di Sebalik Rumah Batu

Aku masih ingat. Beberapa musim Ramadhan yang lalu. Tika itu aku masih aktif dengan JIM sebagai setiausaha. Rutin aktiviti bila menjelang Ramadhan ialah membuat sumbangan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah. Punca wang sumbangan adalah dari ahli JIM atau ahli luar JIM.

Aku banyak bertemu dengan keluarga susah. Yang susahnya mereka itu kekadang tidak pernah terlintas di benakku sebelum ini. Seperti tidak logik tapi kenyataannya di depan mata.

Aku dan rakan-rakan singgah di sebuah rumah. Ada suami yang lumpuh kedua belah kaki. Isterinya cuma terbaring di katil lantaran tua dan uzur, Anak perempuannya baru balik dari kerja.

"Saya kahwin dengan isteri saya kerana kasihan pada dia. Dia lebih tua dari saya tapi saya tak kisah. Demi mahu menjaga, saya mengahwininya."

"Selain dari dia (anak perempuan), kami ada seorang lagi anak lelaki. Tapi..... tu dia la... Nak cakap pun salah... tak cakap pun salah."

Rupanya, anak lelaki yang dimaksukan itu tinggal hanya beberapa jengkal dari rumahnya. Tapi anak lelakinya ini tidak pernah ambil peduli hal mereka. Malah, tingkap yang menghala ke rumah mereka pun di tutup. Anak-anak mereka di larang dari bermain di rumah pak cik ini.

Begitu kering dan dangkal sikap anak lelakinya itu.

"Terlalu dengar cakap isteri," celah anak perempuan pak cik itu.

"Tuhan sajalah yang membalas jasa baik anak-anak semua. Jarang ada orang yang datang bagi sumbangan kat pak cik ni." sambil mengesat airmata.

Beginilah dunia. Di sebalik rimbunan pohon yang rendang dan rumah batu yang tersergam indah di kiri kanan jalan yang saban hari kita lalui, rupanya jauh ke dalam ada rumah usang yang penghuninya amat memerlukan kasih sayang dan rasa prihatin dari insan seperti kita, rakyat marhaen!