Isnin, 31 Oktober 2022

Tuhan, Ampunilah Diriku!

Sekadar ingin bertanya khabar kepada rakan blog aku yang masih ingat dan mengikutiku. Lama tak menulis. Di rumah takda line internet walaupun kalau setakat pc itu Along boleh bagi. Bukan tak mahu install tapi kerja aku dengan gaji yang seciput ini rasanya tak mampu.

Dulu, kelmarin, semalam aku terlalu banyak masa kosong hingga tak tahu nak buat apa. Badan terasa lemau sebab tidak lagi aktif seperti masa masih aktif menjaga kebajikan ibu_suri. Otot tangan dan kaki aku pun terasa dah lembik, tak kenyal seperti dulu.

Semasa aku bersiap-siap untuk ke tempat kerja tadi aku berfikir... sampai bila aku hatrus membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa aku manafaatkan?

Dulu bukan main lagi aku merungut sebab terpaksa susahpayah menjaga kebajikan ibu_suri. Emosi, jiwa, hati dan tenaga rasa amat tertekan kerana terlalu letih badan dan fikiran yang 24 jam tanpa henti terpaksa berhadapan dengan kerenah ibu_suri.

Kini dia sudah tiada. Sesekali terbit rasa rindu untuk merasai kesibukan masa masa menjaga sidia. Tapi... apa yang boleh aku katakan. Allah lebih menyayanginya. Atau mungkin juga Allah mahu beri peluang untuk aku 'berehat' setelah lama bersekang mata, hati dan fikiran menjaga sidia.

Rumah pun dah sebulan lebih aku tak usik. Bila aku ke dapur tadi membasuh cawan minum aku terpandang sawang yang terjuntai dari siling. Parah ni, bisik hatiku bila melihat siling yang lain juga semakin banyak sawang. Dah macam rumah kosong tak berpenghuni.

Aku kena 'bangkit'! Bangkit dari malas dan tidak bertenaga. Aku perlu mengisi sisa sisa hidup yang  masih ada dengan sesuatu yang bermanafaat. Menjaga keadaan rumah supaya kekal bersih dan berseri setidak-tidaknya untuk aku nikmati semasa aku masih hidup ini lansung mewariskannya kepada anak-anakku bila aku telah tiada.

Menyimpan sedikit dari gaji aku yang ada untuk bekal bila tiba masanya aku dah tak mampu lagi makan gaji.

Memperbaiki dan meningkatkan amal ibadahku selagi aku masih terdaya untuk berdiri, rukuk dan sujud kepada Tuhan. Aku tahu, Tuhan tidak pernah memalingkan muka dariku walaupun aku selalu mengabaikan suruhanNya.

Aku ingin kembali menjadi diri aku yang 30 tahun dulu; aktif dalam kerja kerja amal dan berjaga malam.

Tuhan, ampunilah diriku. Sahabat, doakan aku!