Rabu, 30 September 2015

Ringgit Oh Ringgit


Tadi aku ke Western Union, Bukit Mertajam untuk menuntut bayaran cd dari pelangganku di Sumatera Barat. Tatkala menulis dokumen yang diperlukan di kaunter aku di tegur oleh seorang Cina muda yang juga berurusan yang sama bersebelahan.

"Wah... kita punya duit lagi jatuh, aarr..." sambil mengaleh pandangan ke arah aku.

"Ya la..."

"Kita punya PM tak buat apa-apa ka?"

"Dia sibuk jaga dia punya kerusi" jawab ku sinis.

"Dulu, masa Mahathir... at least dia ikat kita punya ringgit tak kasi turun naik... Tapi ini PM macam tak bikin apa pun..." 

Aku nyerongin saja... tak ada perkataan untuk nak membalas kata-katanya.

"Kesian sama student luar negeri sebab bila tukar duit dapat sikit..."

Betul juga, ya... fikirku. Aku mungkin tak rasa apa-apa kesan secara terus dengan kejatuhan ringgit tapi ibubapa yang punyai anak belajar di luar negeri amat terkesan.

Setelah menerima wang RM250 dari staf WU, aku permisi kepada Cina muda itu lalu beredar. Tak kurang pulak duit yang aku dapat ni... fikir ku lagi.

Seperti Merajuk Sahaja, Abah...


Semasa aku memegang stereng kereta, abah asyik bercerita tentang hal anak-anaknya. Aku faham, ketika inilah abah berpeluang meluahkan segala yang bergejolak di hatinya dengan bebas. Dan aku juga tahu bahawa aku ketika itu perlu bersikap wajar... mendengar dengan tekun dan mencuri peluang di celah-celah keluhan abah untuk memberi sedikit komen yang membina. Ya... sedikit sahaja komen, tidak boleh lebih dari sedikit itu!

Sesekali aku berasa beruntung kerana mendapat kepercayaan dari abah sebagai pelepas segala yang terbuku di dadanya. Pengalaman aku hidup selama 55 tahun dengan menempuh pelbagai dugaan dan tribulasi membuat aku arif akan perasaan seseorang yang seperti abah. Punyai anak yang ramai, punyai harapan yang tinggi terhadap anak-anaknya; akan tetapi hasilnya tidak mencapai tahap yang dia harapkan. 

Aku tahu, bukanlah sangat 100% apa yang abah cerita itu aku kena percaya kerana abah pun ada kelemahannya selaku seorang manusia. Namun yang bernama abah tetaplah seseorang anak itu kena hormati.

Aku harap, aku nanti tidak pula menerima nasib seperti abah. Muga anak-anakku kelak yang walaupun kerja dan keberadaan mereka tidaklah seberapa namun hormat mereka kepada aku, tinggi dan luhur.

Kasihan abah... sesampai sahaja di Pejabat Tabung Haji Bayan Lepas, terkial-kial abah menaiki tangga dengan tongkat berkaki empat. Pun, abah dilayan baik oleh pengawal dan staf TH untuk tujuan pengeluaran wang.

Abah nak guna untuk perbaiki rumah pusaka abah di kampung. Abah selalu kata... abah rasa lebih tenang bila dapat duduk di kampung walaupun usang daripada duduk di rumahnya sekarang ini yang walaupun nilai harga melebihi 700 ribu ringgit!

Selasa, 29 September 2015

Kerdilnya Diri Ini...


Akhirnya aku terjumpa juga grup wasap kawan lama semasa bersekolah di SRC tahun '76~'77. Bukan main rabong rupanya mereka bersembang. 38 tahun tidak berjumpa. Namun, aku memilih untuk sesekali menyampuk sahaja. Low profile, kata orang...

Ramai yang aku dah tak kenal muka, tak ingat nama. Memang betul-betul tidak ada dalam sel memori aku sebahagian besar dari identiti mereka.

Aku teringat semasa aku remaja dulu. Terdengar mak berbual dengan adik beradiknya tatkala berjumpa semasa kenduri kendara. Mereka mengeluh kerana dah lupa nama sipolan dan rupa sipolan. Masing-masing mengadu dah mula sakit sana dan lenguh di sini.

Sekarang aku pula melewati zaman mak dan abah. Zaman mak dan bapa saudara. Dunia berputar tanpa sikitpun rasa belas atau ada kata tunggu dulu. Aku bukan sahaja memerlukan bantuan kanta cembong untuk membaca malah hendak membuka penutup botol mineral pun tidak ada kederat lalu terpaksa memanggil anak.

Kerdilnya diri ini...

Isnin, 28 September 2015

Kredit Pula Habis

Entah macammanalah aku boleh lupa. Sepatutnya hari ini aku bawa abah mertua ke Tabung Haji untuk pengeluaran wang. Kesian dia, tentunya tertunggu-tunggu... 

Aku cuba talipon adik ipar yang menjaga abah, kredit talipon pulak habis. Bila masa ianya habis aku pun tak tahu. 

Inilah masaalahnya kalau guna jenis prabayar. Sebaik saja aku berhenti kerja aku tukar dari pascabayar Celcom kepada prabayar OneXOX. Tujuannya untuk mengelakkan dari terpaksa membayar hampir rm100 sebulan sedangkan aku pun tak tahu kenapa boleh jadi bil sebanyak itu. 

InsyaAllah, aku harap esok aku tak lupa bawa abah. Dia mengharapkan aku. Bab nak kemas rumah, aku buat kemudian. 

Dan sebulan lebih aku tak pedulikan hal kekemasan rumah. Baru aku perasan, bila anak-anak udah tidak lagi duduk sebumbung, rumah yang dulu terasa kecil kini menjadi besar dan tak larat nak jaga. 

Sabtu, 26 September 2015

Bila Melihat Tinggal Beberapa Kerat


Pagi tadi hingga jam 3 petang aku bersama di program Qurban masjid. Aku yang tak punya kepakaran apapun ini cuma bawa sebilah pisau. Ingat cuma nak potong-potong daging saja selepas ianya dilapah.

Tahun ini masjid dapat buat qurban sebanyak 21 ekor lembu dengan 2 diantaranya adalah untuk kenduri aqiqah. Terfikir juga aku, ada banyak-banyak daging lembu ni nanti takkan habis semuanya dibedak kepada pemanggu dan orang ramai. Lebihan itu akan di beri kepada siapa?

Ingat nak balik dalam tengahari tapi bila melihatkan seorang demi seorang angkat punggung sedangkan lembu masih belum habis di lapah dan di potong untuk pembahagian, aku tunggu hingga selesai timbang.

Bila dah selesai timbang dan solat Zohor,  kasihan pula melihat tinggal beberapa kerat ajk sahaja yang bertungkus lumus membersih dan mengemas dapur, tempat penyembelihan dan pinggan mangkuk habuan kenduri. Orang ramai memang dah surut balik ke rumah masing-masing.

Aku pun mengambil aleh mencuci cawan dan pinggan mangkuk. Naik lenguh pinggang dan kecut la tangan aku bermain air dan sabun. Tapi aku anggap ianya sebagai terapi.

Sebenarnya, badan aku masih terasa sakit... penangan mengurus qurban juga, yang aku hadiri 2 hari lalu yakni pagi hari raya di Permatang Janggus.

Dan seperti yang aku duga, memang ada puluhan bungkusan daging berlebihan di atas meja termasuk yang masih di masak di dapur masjid.

Jumaat, 25 September 2015

Kenangan Cinta


Aku terima cd ini melalui pos laju tadi petang. Lega rasanya kerana dapat menebus semula kehilangan cd ini yang pernah aku beli satu ketika dulu.

Hari itu adalah hari jadi ibu_suri.  Aku beli cd ini berpasangan dengan Kenangan Cinta 2 sebagai hadiah. Gembiranya dia, boleh nampak dari riak wajah semasa aku hulurkan cd itu bersama dengan sebuah headphone

Biasanya aku beli keset sahaja sebab keset lebih murah dan boleh juga dengar di dalam kereta. Tapi untuk hadiah itu aku beli khas dalam bentuk cd kerana nampak lebih advance. Zaman itu zaman mini compo. Aku kebetulan baru saja beli mini compo jenama AKAI melalui kedai sewa beli (lupa nama tapi lebih kurang macam Singer ).

Bila tadi aku tanya ibu_suri, ingat lagi tak aku beli cd ini sebab apa.... dia kata tak ingat... Memang ibu_suri banyak lupa dah sekarang ini... macam aku juga... hi!

Selain lagu Khabar Buat Ibu dan Senyumlah Kuala Lumpur, aku suka dengar lagu Dapatkah. Boleh lah klik sini kalau nak dengar.


Rabu, 23 September 2015

Kalau Dah Minat


Hari ini aku berjaya mendapat pelanggan yang mahu membeli 3 keping cd ini. Pelanggan itu dari Sumatera Barat. Dia beriya-iya mahukan cd ini dan minta aku carikan. Kalau dah namanya peminat Sang Maestro Ebiet G Ade, Berapa saja harga yang ditawarkan tetap diambil. Pembelian atas talian tidak ada konsep tawar menawar.

Ini kali pertama aku membuat pengeposan ke luar negeri. Jenuh juga bertanya pada staf kaunter pos laju bagaimana caranya. Terkial-kial mempelajari cara pengiriman wang melalui Western Union. 

"Susahlah kalau macam tu?" ujar ibu_suri bila aku asyik mengguna kalkulator, mengira dan menukar RM ke rupiah yang beratus ribu itu.

Sesekali fikir, bisnes macam ni, walaupun lebih fleksibel dan kurang tekanan tapi renyah nak berebut di kaunter pos laju yang nampaknya que semakin panjang. 

Sebenarnya, aku baru saja nak berjinak-jinak dengan bisnes secara atas talian ini. Itupun setelah hampir setahun memikir dan memerhati pengalaman orang melalui facebook dan blog.

Aku masih cuba-cuba. Masih tak tahu core bisnes apa yang boleh aku ceburi. Ada pakar biz on9 kata, jangan fikir jauh-jauh. Buat apa yang kita mampu capai, yang kita minat dan yang kita mampu pikul.

Selasa, 22 September 2015

Aku Pun Ada Anak


Aku bawa abah mertua ke klinik kesihatan semalam. Petang, tak ramai orang. Untungnya sebab boleh guna parking OKU. Tak perlu pening cari parkir kosong yang memangnya terhad dan jauh.

Aku nak bawa abah guna kerusi roda, abah tak mahu. Dia berkeras nak berjalan guna tongkat sahaja. Bukannya apa, risau takut terjatuh. Kakinya mudah terkendon sebab badan abah besar dan berat.

Alhamdulillah, berjumpa dengan doktor yang sama seperti 2 minggu sebelum ini. Doktor perempuan muda berbangsa Cina tapi begitu humble buat aku rasa senang untuk bertanya. Untungkan kalau kita tidak ada sifat berprasangka terhadap bangsa lain yang ada ketika kita memerlukan khidmat ikhlasnya?

Doktor itu memeriksa laporan pemeriksaan darah yang dibuat seminggu lepas.

"Pak cik punya buah pinggang tak berapa bagus. Boleh buat scan tak sebelum jumpa saya bulan depan? Boleh buat kat private hospital atau gh. Tapi kalau di gh you taulah kan... lambat."

Semasa balik, aku beritahu abah, jangan bimbang... aku akan semak dulu dengan Hospital Lam Wah Ee tentang kadar bayaran jika buat scan di sana. Lam Wah Ee adalah hospital yang berkonsepkan kebajikan. Antara penyumbang utama ke arah pembinaan hospital ini ialah Boon Siew.

Aku cuba bayangkan betapa jika ada sekumpulan orang-orang Islam membina hospital seumpama ini untuk kemudahan orang Islam hatta yang belum Islam sekalipun... indah kan?

Abah bimbang sebab abah bukan ada duit sangat. Aku katakan pada abah, abah ada 9 anak dan berbelas-belas cucu yang dah pun berkerjaya. . Kongsi sorang sikit untuk tampung kos perubatan abah, takkan tak boleh...

Abah hanya mendengus. Aku faham sebenarnya apa yang bermain di dada abah. Aku pun ada anak walaupun tak seramai anak-anak abah...

Ahad, 20 September 2015

Beberapa Tugasan Esok

Esok... jadual aku ialah bawa abah mertua ke Klinik Kesihatan Jalan Perak. Doktor nak lihat sejauhmana perkembangan kaki abah yang bengkak itu. Aku rasa besar hati bila dapat melaksanakan tugas baru membawa abah ke klinik ini. Aku harap ianya juga adalah salah satu amal ibadah.

Khamis ini Raya Haji. Semalam, beriya ibu_suri mengajak ke Fatimah Bakery, Sungai Petani. Beli beberapa jenis maruku dan biskut kapal terbang. Memang tiap kali raya, sejak aku memikul 100% tanggungjawap mengurus rumah, di sinilah membeli sebahagian dari juadah.

Juadah raya aku selalunya ringkas saja. Anak-anak lelaki aku pun boleh sediakan sendiri jika ada tetamu yang datang.

Lemang pula, aku suka beli lemang Pak Teh yang setiap hari ada dijual di tepi jalan menghala Tikam Batu. Kalau sesiapa pergi ke Sungai Petani dari arah Penang, lihat saja sebelah kanan.

Oh ya... Sebelum raya aku perlu ambil stok baru ubat psikiatrik ibu_suri. Penting tu! Dalam banyak-banyak ubat ibu_suri, ubat inilah paling aku jaga.


Sabtu, 19 September 2015

Bila Sidia Mula Meminta Tuala Kecil

Malam semalam aku tidur lewat. Dalam tidur lewat itulah aku beberapa kali terdengar ibu_suri mengigau yang aku pun tidak dapat tangkap butir katanya..

Kemudian, petang... ibu_suri mengadu selsema. Beriya-iya dia minta sehelai tuala kecil untuk mengesat hidungnya yang asyik berair di sepanjang pemanduan aku ke rumah mertua di Taman Buah Pala.

Dalam perjalanan balik, aku singgah membeli Vicks VapoRub. Paling tidak, ianya bolehlah menjadi teman jika hidungnya diganggu sebu sekaligus akan meminimakan kebergantungannya terhadap aku.

Tadi dia mengadu sakit badan dan minta aku memicit-micit belakang badan. Aku harap ini bukan tanda-tanda dia akan demam. Sedang masa dia okey pun, puah-paeh juga aku menjaganya; inikan pula jika betul demam.

Memang... ibu_suri jarang sakit. Macam aku juga. Kata orang, sesiapa yang jarang sakit, bila sesekali diserang, teruk juga... betul ke?

Khamis, 17 September 2015

Bila Rasa Lemas Dan Rimas

"Abang marah ke?" tanya ibu_suri sambil merenung tepat ke mata aku. Aku aleh pandangan ke arah lain sambil membantunya bangun di bilik air.

Dah namanya hidup bersama 30 tahun lamanya, tentu dia boleh baca kelainan sikap aku walaupun aku cuba sorok.

Entah kenapa aku asyik nak marah sahaja sehari dua ini. Aku rasa lemas dan rimas kerana berasa hidup seperti terkongkong. Mahu sendirian pun tak boleh nak lama. Baru aje letak punggong di kerusi depan tv.... abang, buat apa tu? Kebergantungannya terhadap aku cukup banyak.

Nak pergi usrah bertemu kawan-kawan seorganisasi pun jenuh pujuk supaya dia benarkan. Minggu ini, entah dapat pergi atau tidak pun tak tahulah...

Nak pergi bersembahyang Jumaat di masjid, kalau dia benarkan pun bersyarat....  talipon tinggal kat rumah...

Jika ada masaalah, aku pendamkan saja sendirian. Tak boleh nak dikongsi dengan dia. Kalau ceritakan, bukannya menambah ringan sebaliknya menambah beban pula nak melayan soalsiasatnya yang berhari-hari...

Justeru itu aku persis bersendirian dalam mengemudi hidup berumahtangga. Ada anak pun bukan semuanya mereka faham untuk menolong.

Bila ibu_suri bertanya tadi... duit kita tinggal berapa la ni? Aku segera teringat cerita Ibu Mertuaku di tv semalam.

"Tu la yang abang dok pikiaq ni.... Takut jadi macam Kasim Selamat...."

"Errr.... I tak faham..."

Aku pun 'ketawa' dan cepat-cepat buka tajuk lain!

Selasa, 15 September 2015

Aritu, Bila Mereka Berjumpa...

Aritu, balik dari jengok mertua di Taman Buah Pala, emosi ibu_suri tak berapa bagus. Silap sikit saja perbualan aku, dia macam nak naik angin.

Korek punya korek akhirnya taulah aku rupanya ada 2 isu yang berbangkit;

Satu, bila ada sikit polemik dengan kakaknya tentang cucu - Marissa yang akan masuk tadika tahun depan. Siapa patut hantar pergi/balek dari belajar?

Dua, bila mak seperti menyindir kami yang tak pilih tidur di rumah bila balik kampung di Tapah sebaliknya tidur di hotel.

Aku pun tak tahu bagaimana perbualan itu berlaku samada secara santai adik beradik/anak beranak atau memang ada isu panas sebelumnya. Cuma yang tahu sepatutnya isu ini tak perlulah diperbesarkan.

Tentang cucu, ibu_suri memang teramat sensitif. Jangan sapa tegur yang tidak baik pasal cucunya, dia mesti melenting. Malah aku pun, ibu_suri boleh cubit peha kalau tersalah cakap.

Tentang tidur di hotel, memanglah.. kalau orang luar mendengar ianya seperti satu pembaziran atau berlagak. Namun keputusan lebih baik tidur di hotel dari tidur di rumah yang tak mesra OKU itu adalah keputusan aku. Untuk kesenangan aku mengurus isteriku. Dan lebih utama ialah tidak mahu menyusah atau memperolehi persepsi negatif dari orang lain yang tidak memahami permasalahan ibu_suri. Ringgit boleh dicari.

Sebenarnya, rumusan dari aritu... perlu banyak sabar, tenang dan open minded nak berurusan dengan insan-insan yang pernah kena stroke ini. Emosi mereka susah nak baca, tak stabil dan kekadang boleh terjadi sesuatu yang di luar kawalan.

Mak mertua, kakak ipar dan isteriku ini memang pengidap minor stroke. Bayangkanlah aritu, bila mereka berjumpa...

Isnin, 14 September 2015

En Alwi Yang Aku Jumpa

Beberapa hari ini semangat aku memang merudum. Tak tahu kenapa. Tak kiralah samada semangat menulis, semangat beriadah, semangat ke masjid malah semangat untuk mengemas rumah juga.

Sewaktu singgah bersembahyang Asar di Masjid Taman Saadon sebelum ke rumah mertua semalam, terserempak dengan En Alwi; mantan manager bahagian akaun di tempat kerja aku dulu. Ceria dan sihat tampak di wajah. Senyumnya lebih manis dari dulu.

"Nampak berisi sikit sekarang ni, ya!" komennya terhadap aku. Aku hanya senyum... pahit juga.

"Jaga kesihatan ya..." ujarnya lagi kemudian berlalu.

Aku melangkah masuk ke ruang sembahyang mencari posisi yang dekat dengan kipas. Sambil dalam dada teringat akan jasanya semasa aku menjadi pengerusi surau. Dia selaku penasihat. Dia jugalah satu-satunya top management people yang selalu ambil berat tentang hal-hal surau.

Wajahnya yang tenang itu buat aku membanding-bandingkan dengan diriku. Alangkah indahnya jika di hujung kehidupan ini; kala tiada beban menjaga persekolahan anak; tiada beban kesihatan; tiada beban kewangan... kita bergembira dengan amalan, kerjabakti dan menggembirakan orang lain?

Rabu, 9 September 2015

Rumah


Aku baru saja balik dari pejabat peguam di Kampung Gajah untuk urusan mendapat geran rumah dan dokumen berkaitan dari Maybank. Rupanya tak mudah juga, walaupun tunggakan bayaran rumah dah selesai tapi untuk mendapatkan geran masih memerlukan khidmat guaman. Duit lagi la tu...

Aku berhutang beli  rumah ini sedari anak aku tadika hinggalah dah berkahwin, baru merasa ianya milikku sendiri. Malah rumah aku pun daripada baru dan comel, mulai uzur dan memerlukan pembaikian.

Aku beli rumah teres ini dengan harga RM40k. Khabarnya, harga pasaran sekarang mencecah RM150k. Bezanya harga rumah dalam julat 25 tahun!

Setibanya aku di rumah, posmen pula sampai menghantar barang yang aku pesan di atas dari kawanku ini. Lama dah aku cari. Aku suka sangat dengan lagu yang menjadi tajuk album ini. Nanti, lepas solat Asar di masjid, bolehlah aku jalan-jalan sekejap mendengarkannya.

Si dia pun tengah bagus punya lena. Malam tadi dia tak berapa jerap tidur!

Selasa, 8 September 2015

Bengkak

Aku nekad mengambil aleh tanggungjawap rutin membawa abah mertua ke klinik bermula semalam. Ujarku pada ibu_suri - sekadar ini yang boleh kita perbuat demi membalas jasa mak dan abah. 

Walaupun kita tinggal di seberang sedangkan anak-anaknya yang tinggal dekat masih ada, kita usah ingat kenapa dan mengapa tidak mereka. Kita ikhlaskan hati menggalas tugasan ini. Aku rasa bukan saja ini akan menyenangkan hati abah malah meringankan 'beban' yang terpaksa dipikul sendirian oleh Yati, adik ibu_suri yang selama ini menjaga mereka berdua sejak bertahun lamanya.

Aku beritahu doktor wanita Cina di bilik 7 Klinik Kesihatan Jalan Perak itu bahawa abah masih belum di periksa darahnya. Dan... kaki abah bengkak.

Doktor memberi tarikh temujani baru hari Khamis ini untuk pemeriksaan darah. Memberi ubat untuk 2 minggu termasuk pil untuk buangkan air dari dalam badan. Fahamlah aku, kaki abah bengkak mungkin disebabkan kegagalan buah pinggangnya memproses nyahkan lebihan air dalam badan. 

Bukan mudah bawa abah yang susah untuk berjalan sebab lutut yang tak kuat. Juga, bukan mudah sebab abah kerap mahu ke bilik air. Untungnya sebab aku mempunyai pengalaman luas semasa menjaga ibu_suri dulu. Pengalaman ini aku gunakan pula semasa menjaga abah. Apa pengalaman berguna itu?

Sabar
Tenang 
Berlapang dada
Memahami
Kasih sayang

Selepas Khamis ini, 2 minggu lagi aku perlu bawa abah semula untuk temujanji baru. Doktor nak lihat semula kondisi kaki abah selepas makan pil itu. Tapi rasanya... masih sama!

Ahad, 6 September 2015

Subuh Sepi'e

Aku memanglah, dari balik bawa ibu_suri jalan-jalan tadi masih belum ngantuk. Habis tengok cerita James Bond di TV2, mata tetap segar. Bila dengar dengkur ibu_suri mula teratur, aku teringat nak keluar bersendirian, minum di warkop tepi Masjid Kubang Semang. Sambil memandu sambil dengar cd Iwan Fals; penyanyi yang lantang mengkritik penguasa melalui lagu-lagunya.

Jam 3 aku balik rumah dan buka laptop. Ingat nak baca fb dalam setengah jam lepas tu tidur. Mana tau... tiba-tiba terpacak ibu_suri di birai katil;

"Pukul berapa?"

"Pukul 3..." 

"Nak pi pancoq..."

Tak lama, terdengar bunyi debur air. Dan tak lama juga, dia memanggil. Sebaik aku menjengah pintu...

"Laa.... apahalnya mandi Subuh sepi'e ni?"

"Pukul berapa?"

"Baru pukul 3..."

"Laa... ingatkan dah pukul 7..."

"Pukul 7 apa ke gelap gelemat kat luar..."

Tak terkata apa selain menarik nafas dalam dan lepaskan. Dia... macam selalu... nyerongin sambil mengucapkan ayat powernya.... sorry la bang!

Jumaat, 4 September 2015

Khutbah USL


Khatib solat Jumaat hari ini ialah ustaz Shahril Long. Mendengar nama dia saja dah pasti aku takkan mengantuk punya hari ini. Ini ustaz termasuk dalam kategori tak baca teks. Nas Quran dan hadis keluar cair dari mulutnya.

Isi khutbahnya ialah tentang hukum Hudud. Walaupun dalam kepala aku tika mendengar tadi ada pelbagai prasangka dan andaian namun aku cuba ketepikan. Memang... semua yang disampaikan oleh USL itu benar dan tepat. Hukum Islam adalah penyelamat umat di dunia. Segala bala dan musibah yang berlaku di negara kita sekarang adalah berpunca dari kita yang tidak mengamalkan sistem Islam dalam hidup dan pentadbiran negara.

Biasalah penyampaian USL ini, tajam dan pedas. Hendaknya, dalam keadaan di mana umat Islam dalam satu parti ada yang memisah diri membina parti lain. Ini yang aku agak tak banyak sikit berupa sindiran kepada golongan yang memisah diri ini. 

Namun aku mendengar dengan hati terbuka dan fikiran positif. Tak ada satu pun dari apa yang disampaikannya itu tidak betul. Cuma bagi aku, kaedah seseorang itu membuat kerja atau mengimplementasinya sahaja yang sikit berbeza. Dengan kata lain bermaksud... tujuan sama, pendekatan sahaja yang berbeza.

Berbeza pendapat adalah lumrah. Namun orang yang berjiwa besar akan menerima semua perbezaan dengan lapang dada.

Bagi aku, khutbah hari ini amat berisi berbanding khutbah beberapa minggu sebelum ini yang malap saja isinya...

Khamis, 3 September 2015

Warisi


Akhirnya semalam, aku terima kaset yang aku beli secara online dari rakan fb di Indonesia. Seminggu lebih juga kirimannya itu baru sampai secara pos biasa.

Walaupun kaset ini keadaan luarannya udah lusuh tapi dek kerana minat mendalam terhadap penyanyinya dan bercita-cita untuk mengumpulkana semula semua album beliau sedari vol 1 hingga vol 22, aku pejam mata membelinya dengan harga RM40 setiap satu termasuk ongkir. Dan walaupun sekarang ini orang dah tak pandang pada kaset tapi bagi para kolektor yang kebanyakannya Indonesia, mendengar lagu melalui kaset juga sesuatu yang klasik.

Sekarang ini pemanduanku terasa lebih menyeronokkan sebab keretaku telah ditambah dengan pemain kaset. Ini membolehkan aku mendengar semula koleksi kasetku yang disimpan sejak muda yang jumlahnya menghampiri seratus unit. Antara koleksi itu yang aku sayang ialah kaset zaman kegemilangan nasyid era 90an.

Sekarang ini aku minat kumpul semula cd lagu terutama nasyid dalam bentuk individual album (bukan kompilasi) dan aku hampir dapat mengumpulkan kesemua album Rabbani, Hijjaz, Raihan, SaffOne, NowSeeHeart dan banyak lagi. Aku tak banyak simpan album asal Ebiet G Ade. Yang ada hanya dalam bentuk kompilasi. Koleksi lagu dalam bentuk cd lebih tahan lama berbanding kaset yang mudah rosak pitanya jika tidak dikelola dengan baik.

Bila ibu_suri membebel kerana dalam kereta dia lebih suka dengar radio frekuensi 95.7, aku cuma membalas... nak buat macam mana... like father like son.

Selalunya anak yang sulong akan lebih mewarisi fe'el bapanya, kan. Macam Along juga yang mewarisi banyak fe'el aku. 

Nasib baik juga....ujarku tatkala ibu bercerita tentang Along sambil sarapan pagi tadi. 

Kenapa?... 

Sebab kalau ikut perangai ibunya susahlah isterinya nanti.... asyik angin jer seluruh badan...

Selasa, 1 September 2015

Kesumat


Kat wall  facebook aku sejak 3~4 hari ini tak habis-habis cerita rentetan dari BERSIH. Rasanya kalian juga tahu dan alami. 

Penat juga mengatur hujah dengan mereka. Kekadang terasa jelak dan seperti mau saja aku unfriend mereka ini. Tak reda kesumat mereka. Pada pandangan aku yang membaca posting mereka, seolah-olah mereka ini berpagi-pagi solat Dhuha, berpetang-petang dengan bergunjing. 

Tak kiralah, apa yang berlaku itu samada salah penganjur atau peserta  tapi yang panas dikipas ialah elemen perkauman. 

Ada satu posting itu, selepas aku menukar tempo hujah dari kontra kepada bentuk sindiran, dia terus terang mengatakan dia cuma provoke... sini. Pada aku sebenarnya dia sedang mencipta dosa kering.

Apapun, pendirian aku ialah kita sepatutnya menjadi pendamai bukannya penambahrosak. Kita patutnya cuba menutup aib dan meraikan kebaikan. Sepatutnya menjadi seperti lebah bukannya seperti lalat.

Ada 5 tuntutan BERSIH yang saya percaya takkan ada siapa yang mengatakan tidak menyokong. Itu sepatutnya yang dipandang dan dikupas. Bukannya isu ranting .. kenapa tak bersolat di masjid sebaliknya di jalan raya, dipersoal Cina yang menuang air untuk Muslim berwudhuk, bercampur lelaki perempuan, perempuan Cina memakai seluar pendek dan Cina tidur di hotel sementara Melayu tidur di atas jalan.