Isnin, 25 April 2022

Bahagia Bertemu Sahabat Seperjuangan...

Jumaat lagi aku dah angkut p.a system milik ofis ke dalam kereta aku balik kerumah. Dulu kini dan selamnyalah bilamana ada sahaja program anjuran JIM dan kini IKRAM, otomatik tugas aku ialah selia p.a sistem.

Nasib baik aku tak pandai nak jadi deejay. Kalau tak, sekali sapu bersih dengan tugasan deejay. Kenapa aku tak mahu jadi deejay? Sebab aku ini seorang yang tak pandai bercakap. Hanya tahu menulis.

Hari Sabtu aku dah ke dewan Pintar, Taman Guar Perahu untuk setup p.a system. Slow slow aku angkat speaker, mixer, mikrofon, laptop dan segala jenis kabel. Aku dah sekuat dan secergas dulu. Nak tunduk bangkit pun kena hati-hati takut terkehel lutut dan tulang belakang.

Kemudian ambil meja kerusi dari stor. Nasib baik bos aku cerdik, dia panggil budak-budak yang tengah main di padang untuk tolong. Tidak tolong sajalah tapi bagi la upah.

"Berapa anta bagi budak budak tu?"

"Lima ringgat."

"La...sikit sangat. Bagilah sepuluh ringgat sorang tadi. Apa sangat yang boleh dia orang beli dengan sepuluh ringgit..."ujar aku.

Angkut, susun untuk 32 meja kali 7 kerusi. Terkelepek aku sesampai sahaja di rumah sehampir waktu Maghrib. Nasib naib semasa aku keluar beli bateri untuk mikrofon, aku ternampak jualan kuih dan bubur nasi di tepi jalam. Aku singgah beli. Malas nak keluar 2 kali.

Aku dah tak sekuat dulu. Tenaga kian kurang. Berjalan sikit, rehatnya lebih.

Hari Ahad aku turun selepas Asar walaupun arahannya ialah selepas Zohor. Biarlah cikgu-cikgu sekolah yang uruskan, bisik hatiku. Depa muda muda belaka. Kederat kuat. Lagipun ini program depa sebenarnya... Majlis Iftar anjuran Sekolah Rendah Islam Amal Rintis ( SRIAR ) yang bangunannya terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Program ini juga bertujuan untuk kutip dana bagi penerusan operasi sekolah.

Ramai sahabat sahabat yang hadir selain ibubapa pelajar SRIAR. Disamping menyelia sound system, aku sempat berborak dengan sahabat lama seperti Pak Anjang, Mad Habuna, KAI, Hamizat, Zulkar9 juga wakil MPKK Hassan dan beberapa orang lagi.


Aku agak segan nak bercakap atau ketawa banyak sebab gigi aku dah tanggal banyak. Nak makan pun memilih ( ayam dan daging kambing tolak tepi ). Sakit gusi bila menggigit.

Bila dah bertemu ketika usia senja ini tiada lain yang dibualkan melainkan tentang kesihatan, tentang anak dan cucu sambil imbau kenangan lama ketika aktif menganjurkan program untuk remaja dan masyarakat.

Cepat masa berlalu. Masing masing kini ramai yang dah pencen, yang dah kematian istri seperti aku. Tapi tidak kurang juga yang masih sihat, bahagia bersama istri dan anak cucu yang ramai. Masing-masing dengan rezeki masing-masing.

Apapun bagi aku, selagi masih ada usia dan rezeki manafaatkan sebaiknya dengan kadar yang ada. Usah dihantui dengan kesedihan dan keksalan. Mohon ampun kepada Allah dan lipatgandakan amal ibadah demi menampung kekurangan.

Sekali lagi, kami akhiri majlis dan pertemuan ini dengan solat Isyak dan terawih bersama.

Rabu, 20 April 2022

Rutin Ramadhan

Tak lama lagi nak raya. Tapi aku masih tidak merasai mood itu. Suasana rumah aku malah terbengkalai. Tidak kemas dan suram.

Aku adalah beli lampu lip lap. Suruh Akhmal gantungkan di depan rumah; antara kerawang yang dibuat sendiri oleh ibu_suri dulu semasa dia baru saja keluar dari hospital setelah disahkan mengidap bipolar disorder. Sekadar nak bagi rumah nampak seri oleh yang lalu lalang.

Bila adik beradik tanya dalam wasap grup, bila plan nak balik kampung beraya, aku jawap tiada plan. Memang tidak terlintas pun di fikiran aku nak balik atau tidak ke kampung. Tak macam dulu; bila time macam ni aku akan buka buku organiser aku dan membuat perancangan balik kampung daripada servis kereta, pakain apa perlu di bawa, bajetnya bagaimana dan lain lain.

Rutin hidup aku setiap hari ialah kerja, otw balik beli makan di gerai tepi jalan ( 1 mangkuk bubur nasi atau moi dan sebekas lagi kuih tepung talam ) + air buah atau teh hijau dari gerai Teh Lagenda depan kubur cina Penanti atau bancuh 3in1 sahaja.

Lepas berbuka, mandi, sembahyang, tengok tv ( selalunya berita. Movie orang putih; lain selalunya tak menarik tambah lagi drama Melayu lagi la aku rasa cemuih... ) atau dokumentari sejarah Islam. Jam 11 aku masuk bilik. Dengar lagu dari pemain kaset/cd aku kemudian tidur.

Memang tiada aktiviti yang menarik sepertimana wajah dan fizikal aku yang semakin tak kuat...

Ahad, 10 April 2022

Aku Hari Ini...

Akhmal call tadi. Beritahu yang dia +ve Covid. Dia kata otw ke klinik Bersatu untuk double check tapi kena RM80. Aku kata tak perlu kalau test kit tu dah menunjukkan kamu +ve. Balik je rumah dan berehat selama seminggu.

Bila check di klinik, keputusannya dia -ve. Terbang RM80.00. Tapi at least dia tak lah berterusan di'tipu' oleh keputusan dari test kit itu. 

Hari Jumaat kelmarin dia sekeluarga berbuka puasa dengan aku. Memang begitulah dia bila hujung minggu. Datang jenguk aku yang bersaorangan di rumah. Hari hari bekerja, dia akan tinggal di rumah keluarga istrinya kerana dekat dengan tempat kerja.

Benar kata orang, bersusah susah dahulu bersenang senang kemudian. 

Yang selalu mengikuti tulisan aku ini tentu maklum betapa sengsaranya aku di tahun tahun sebelum ini. Tatkala istriku masih ada dan terpaksa menjaga kebajikannya. Tatkala Akhmal masih nakal dan keluar masuk penjara. Terperangkap dengan gejala dadah, mencuri dan bergaduh hingga ketahap hendak menyerang orang dengan pisau dan parang.

Sekarang, dia dah berkahwin. Walaupun awalnya aku agak ragu-ragu; sejauh mana dia boleh berumahtangga tapi nampaknya setakat hari ini rumahtangganya ok. Nampaknya pun dia dah tinggalkan perangai lama.

Istrinya pun walau masih berumur 23 tahun tahun nampak matang. Aku tak pernah malah tak perlu pun bertanya bagaimana istrinya boleh ada anak sendiri. Aku dah tua dan telah melalui banyak pengalaman. Aku boleh baca sejarahnya walaupun mungkin tak semua. Bagi aku selagimana sekarang ini aku lihat Akhmal dan istrinya baik baik sahaja, cukuplah setakat itu. Tak perlu korek hal hal lampau yang telah pun berada di dalam lipatan sejarah. Aku ikut resmi mak aku; tidak mahu campur tangan hal rumah tangga anak-anak. Biarlah mereka uruskan kehidupan berkeluarga mereka sendiri. Zaman mereka tidak sama dengan zaman kita. Stail mereka tidak sama dengan stail kita. 

Masa lalu aku sendiri pun bukan maksum. Anaknya itu (aku tak gemar guna istilah 'tiri') pun aku anggap seperti cucu aku sendiri. Tidak ada bezanya dengan cucu aku yang lain ( anak-anak Angah ).

Anak Akhmal

Bila ibu_suri sudah tiada di sisi dan Akhmal pun sudah kahwin, tanggungjawap aku jadi kurang. Hanya fikir hal diri sendiri dan urus rumah sendiri. Aku banyak masa lapang. Gaji aku yang ada ini walaupun sedikit terasa lapang juga. Tak macam dulu gelisah bila tengah bulan. 

Makan minum aku pun lebih kurang sahaja. Berbuka puasa dengan bubur nasi dan sedikit kuih. Sahur, aku makan nasi goreng yang aku masak sendiri.

Rumah yang kecil terasa luas tetapi sunyi. Pinggan mangkuk yang dulu terasa seperti tak cukup kini tersimpan dalam almari dan berhabuk (ingat nak jual sahaja kat online).

Almari baju yang dulu sendat dengan pakaian aku dan ibu_suri kini separuh kosong. Pakaian lama ibu_suri ada yang aku buang dan yang masih baik aku simpan dalam storan.

Ya... Aku lebih banyak sendirian. Tidur sendirian. Makan sendirian. Bawa kereta pun sendirian. Agaknya, ini adalah latihan awal sebelum aku masuk ke liang lahad, sendirian.

Aku cuba mengisi masa dengan menonton tv, baca Quran, baca buku, dengar lagu dan membaikpulih rumah. Aku juga masih bekerja dengan syarikat sahabatku di siang hari dan sebelah malamnya mengurus Kelas Cepat Membacanya di Taman Desa Murni.

Enjoy life sementara aku juga pasti akan pergi mengikuti perjalanan ibu_suri...

Rabu, 6 April 2022

Perut Meragam

Pagi ini rasa perut tak berapa nak selesa. Ulang alik ke tandas, beraknya sikit sahaja. Angin sahaja yang keluar. Agaknya sebab semalam aku sahur dengan megi kari+roti bun tuna + teh tarik sahaja kot. 

Berbuka semalam pun ala kadar sahaja. Beli moi dan kuih seri muka. Itu pun dah RM6. Ada belen 3 biji buah pelam dari pokok jiran yang gugur, aku kutip dan makan. Itu sahaja makan malam aku. Keluar dengan hasrat nak makan tambahan, kedai kegemaran aku tak buka pula.

Terasa kosong Ramadhan aku tahun ini. Akhmal dah tak lagi tinggal bersama aku. Ketiadaan ibu_suri lebih terasa. Jika tidak. selalunya aku akan sentiasa sibuk mengurus makan minum dan berak mandi dia hingga kekadang berguni guni rungutan aku.

Rupanya hidup tanpa cabaran ini lebih 'menyakitkan'. 

Terbayang bila Raya nanti, Along selalunya akan balik beraya di rumah. Pastinya dia juga akan terasa kekosongan rumah ini. Dah la aku ini jenis pendiam. Dia juga seperti aku, tak banyak cakap. 

Hujung minggu kalau nak balik kampung pun sudah tiada siapa juga. Anak saudara kebanyakannya dah kahwin dan tinggal di rumah sendiri. Kalau masa mereka kecil dulu, akan riuh laman rumah mak dengan gelagat mereka bermain terutama di musim Ramadhan ini sebab hantu syaitan semua telah dirantai.

Namun aku terfikir;

Kalau aku yang baru setengah tahun ketiadaan istri, apatah lagi emakku yang bertahun-tahun ketiadaan abah. Ditambah pula dengan ketidakupaya mak bergerak akibat stroke. Hanya boleh mengesut, itupun amat terbatas akibat usia renta yang menjangkau 80 tahun.

Beginilah hakikatnya kehidupan. Ada yang rezekinya dimasa tua riuh dengan anak cucu yang tinggal se rumah. Namun ada juga yang merenung masa hadapan yang kosong dan sepi.

Namun masih bernasib baik juga kalau nak dibandingkan dengan ortu ( orang tua ) yang tiada lansung waris yang datang menjenguk sedang dia dalam keadaan serba kurang.


Ahad, 3 April 2022

Selamat Berpuasa...

Hari ini hari pertama kita berpuasa. 

Selamat bersahur dan selamat berpuasa buat semua sahabat bloggerku.

Setingkat lagi umur kita mendaki masa. Dan tak sangka masa itu tiba kepadaku untuk bersahur dan berbuka sendirian. Selama ini aku hanya membaca di akhbar atau mendengar di siaran tv kisah orang yang bersendirian dalam hidup.

Tapi tak mengapa. Akubterima kenyataan hidup ini kerana memang tersurah di tangan Tuhan. Kita selaku makhlok kecilnya terima sahaja dengan segala syukur kerana keadaan aku ini rasanya lebih baik dari sesetengah mereka yang lebih malang. 

Rezeki masih tetap ada sesuai dengan usiaku. Kesihatanku juga boleh dikatakan masih baik sesuai dengan usia.

Aku masih ditanya khabar oleh anak anakku.

Malam pertama ini aku ditemani bersahur oleh Akhmal, anakku yang cukup bermasaalah satu masa sebelum ini... ingatkan ?

Alhamdulillah, sekarang ini dia sudah ok. Sejak berkahwin nampak sedikit kematangannya dalam mengendali hidup. Malah dialah yang selalu bertanya khabarku dan tempat aku meminta tolong.

Semalam aku minta dia gantikan tikar di bilik aku. Aku ceriakan sedikit bilik tidur aku di bulan mulia ini.

Sebab itu sebelum ini aku pernah menulis bahawa anak kita walau senakal mana: boleh kita marah tapi jangan membencinya apatah lagi buang dari keluarga. Sebaliknya anak yang kita benci dan meluat itulah mungkin yangvakan menjaga kita bila kita sudah diusia renta.

Kita terima sahaja keadaan anak anak kita seadanya dia. Semua anak anak kita bukan sama nasib hidupnya. Seperti juga nasib kita dulu di samping emak abah kita.

Ahhh....tiba tiba teringat mak aku dikampung. Mak aku yang telah ditinggalkan abah dan berbuka serta bersahur sendirian sejak lebih 10 tahun.

Al Fatehah buat abah!